Sabtu, 28 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


PCA tidak selari dengan hak asasi manusia, kata Suhakam

Posted: 28 Sep 2013 02:01 AM PDT

September 28, 2013

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius terhadap cadangan pindaan ke atas Akta Pencegahan Penjenayah (PCA) 1959 yang disifatkannya menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya rasa bimbangnya ke atas cadangan pindaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 25 September 2013.

"Setelah mengkaji Rang Undang-undang tersebut, Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat beberapa peruntukan terutama sekali berkenaan dengan penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, yang tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)," kata Hasmy dalam kenyataannya.

Menurutnya, Suhakam juga bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.

"Suruhanjaya berpendapat bahawa peruntukan ini mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pihaknya juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.

Dalam usaha Kerajaan memerangi jenayah, adalah penting untuknya memastikan bahawa undang-undang yang digubal adalah progresif dan tidak mundur, menyedari akan kedudukan Malaysia sebagai ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang mengkehendakinya menegakkan piawaian tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini.

Oleh itu, katanya, suruhanjaya berpendapat adalah penting untuk Kerajaan menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia berikut

• Bahawa penahanan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya;

• Bahawa penahanan mestilah berdasarkan sebab dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang;

• Bahawa maklumat tentang sebab-sebab penahanan mesti diperuntukkan; dan

• Bahawa hak untuk perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang mesti diperuntukkan.

Menurut Hasmy, suruhanjaya berpendapat bahawa selaras dengan matlamat ternyata Kerajaan untuk menggerakkan negara ke arah mencapai status negara maju pada masa akan datang, adalah penting untuk Malaysia menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan norma-norma hak asasi manusia di samping memastikan penglibatan yang bermakna bersama pelbagai pihak berkepentingan di dalam proses kajian semula undang-undang dan perancangan dasar yang mana Kerajaan komited untuk menjalankan. – 28 September, 2013.

SPRM belanja RM1 juta semasa PRU, tapi tujuh kes sahaja disiasat?

Posted: 28 Sep 2013 01:41 AM PDT

OLEH MD IZWAN
September 28, 2013

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibidas DAP kerana mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta tetapi hanya tujuh kes disiasat semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, serta mendesak untuk tampil telus membuat penjelasan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching (gambar) dalam satu kenyataan mempertikaikan keupayaan SPRM berbanding dengan kumpulan bebas Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) yang tidak mendapat sebarang peruntukan tetapi dapat mengesan banyak salahguna kuasa yang berlaku semasa PRU berjalan.

"Ia sangat mengejutkan selepas berbelanja RM1 juta bagi perbelanjaan saraan belanja hidup ke atas pegawainya semasa PRU13, SPRM hanya menemui tujuh kes sahaja yang berkemungkinan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Berbeza dengan kumpulan Pemantau, yang terdiri daripada Bersih, Mafrel dan Pusat Komas yang menemui lebih tujuh kes meragukan semasa pilihan raya lalu," kata Ahli Parlimen Kulai tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim semasa sidang Parlimen pada 26 September 2013 memberitahu dewan SPRM telah membelanjakan RM1 juta perbelanjaan sara hidup untuk pegawainya semasa PRU13 lalu.

Menurut Razali lagi, SPRM menerima 82 aduan, bagaimanapun hanya tujuh sahaja yang sedang dalam siasatan ketika ini manakala selebihnya telah diketepikan.

Teo berkata jumlah peruntukan tersebut bukan kecil dan mendesak SPRM menjelaskan secara teliti dan telus mengenainya.

"SPRM perlu memberi penerangan bagaimana RM1 juta ini dibelanjakan, dibelanjakan oleh siapa dan untuk apa.

"Keduanya, selepas membayar banyak untuk pegawai SPRM, pembayar cukai berhak untuk mengetahui apakah yang telah dipantau oleh mereka semasa PRU13 lalu," tegas Teo lagi.

Semasa pilihan raya lalu, Pemantau berjaya memantau 23 kerusi Parlimen semasa hari penamaan calon, 51 kerusi semasa tempoh berkempen dan 87 kerusi semasa hari mengundi.

Sepanjang tempoh tersebut, Pemantau mendapati wujud unsur rasuah melibatkan wang tunai dan pemberian barang-barangan di lima kawasan yang dipantau, 22% semasa hari penamaan calon.

Semasa tempoh berkempen, hampir setengah daripada kawasan yang dipantau (23 atau 45%) mendapati wang telah diberikan di 19 kawasan (37%), manakala semasa hari mengundi kumpulan tersebut melaporkan wujud unsur rasuah di 16 kawasan yang dipantau (18%).

"Ia tidak masuk akal setakat ini SPRM hanya menemui 7 pelanggaran kesalahan pilihan raya yang berpotensi," kecam Teo lagi.

Baru-baru ini, Tribunal Rakyat selesai bersidang membuat rumusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal melaksanakan PRU13 dengan bersih dan adil.

Ketua Pasukan Perundangan tribunal berkenaan, Professor Gurdial Singh Nijar ketika membentangkan laporan tribunal berkenaan berkata kebanyakan isu yang ditimbulkan semasa dan selepas pilihan raya pada 5 Mei lalu juga gagal di uruskan dengan baik oleh pengendali pilihan raya berkenaan. – 28 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved