Sabtu, 28 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Muktamar PAS dan jangkaan rakyat

Posted: 27 Sep 2013 06:06 PM PDT

September 28, 2013

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

Sebuah parti politik semestinya mempunyai cita-cita untuk memerintah negara dengan membawa dasar partinya ke dalam kerangka kerajaan dan menjadikan pemerintahannya berkesan mengatasi masalah yang dihadapi rakyat.

Bukan itu sahaja , bahkan parti politik perlu mempunyai aspirasinya untuk menyuntik nilai kebebasan dan prinsip moral yang tinggi bagi mencapai erti kemanusiaan dan harga diri.

Dasar pemerintahan dan falsafah kemanusiaan perjuangan parti mesti disampaikan kepada orang ramai melalui kepimpinan yang mampu memberi pencerahan dalam laras bahasa difahami orang awam.

Rasional kepartian

Dalam kejelasan itu, parti politik juga terpaksa melalui rasional organisasi kepartian yang melibatkan dinamika bagaimana ahli dan kepimpinan menanggap cita-cita tersebut di mana aspek ideologi menjadi titik perdebatan ahli dan kepimpinan membentuk evolusi parti tertentu dalam proses aktiviti politiknya.

PAS sebagai parti politik yang berpaksikan ideologi politik Islam kini melalui proses dinamika antara desakan menuju cita-cita kepemerintahannya dan desakan ahlinya yang khuatir kepada hilangnya jati diri ideologinya.

Situasi ini semakin menjadi dalam suasana pemilihan parti yang akan menyaksikan siapa yang paling tepat kejelasannya dalam membentuk kepimpinan dan masa depan politiknya.

Mengambil posisi

Adalah signifikan bagi ahli dan kepimpinan parti PAS hari ini mengambil posisi yang jelas ketika kita berhadapan dengan keperluan memerintah dan mengekalkan jati diri prinsip perjuangannya kerana dari posisi ini PAS akan lebih mudah menyatakan hasratnya kepada rakyat Malaysia dan kepada ahlinya ke mana hala tujunya.

 PAS dan kepimpinannya harus menyatakan niatnya untuk menjadi kerajaan kepada rakyat Malaysia melalui apa sahaja keputusan strategik yang diambilnya dengan meletakkan asas kewujudan negara ini sebagai komitmennya. Ini bermakna , ia harus juga komited kepada prinsip demokrasi secara berpartisipasi, mengiktirafi kepelbagaian, menyegarkan masyarakat sivil dan membawa agenda reform dalam dasar negara.

Komitmen ini mesti dijelaskan juga kepada ahli yang kadang-kadang terkeliru dengan menganggap komitmen kepemerintahan PAS akan menggadai jati diri prinsip Islamnya kerana penegasan kepimpinan selama ini ialah dalam bentuk format dan dan kerangka perundangan semata-mata yang jauh capaiannya dalam konteks politik kenegeraan.

 Penegasan hanya kepada soal bentuk (forms) dan tidak menjurus kepada isi kandungan (substance) prinsip kepemerintahan seperti mengasaskan keadilan, membudayakan kepimpinan bermoral dan menguruskan ekonomi negara melalui dasar inovatif tidak akan membantu kita memilih posisi yang jelas.

Kegagalan untuk mengambil posisi yang jelas akan hanya mengheret parti kepada perbalahan yang tidak sudah dari isu remeh-temeh yang tidak produktif seperti ulama atau tidak ulama, demokrasi vs syura dan pertikaian antara parti komponennya tentang kerusi dan sebagainya.

Jangkaan rakyat

PAS tidak boleh lari daripada menerima hakikat bahawa ia sebuah parti yang sudah berada dalam arus perdana. PAS mula diterima secara nasional sebagai parti yang boleh menjamin nasib pelbagai kaum di negara ini. Pencapaian ini adalah sesuatu yang diperlukan oleh PAS kerana selama ini, PAS cuba dipenjarakan di balik tembok konkrit oleh sikapnya sendiri mahupun oleh musuh politiknya.

 Menjelang muktamar, PAS diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukan sahaja oleh ahli PAS dan kerana itu sebarang pemilihan yang dibuat oleh perwakilan perlu juga mengambil kira apakah jangkaan rakyat terhadap bakal kepimpinan yang akan menerajui PAS.

Rakyat tidak berminat apakah PAS akan meletakkan calon ulama atau tidak sepertimana rakyat tidak berminat apakah PAS akan menghapuskan golongan Liberal (jikalau ada istilah itu), yang berminat tentang semua itu hanyalah Umno dan konconya serta para cybertrooper murahan mereka.

Rakyat mahu melihat apakah kepimpinan PAS akan mampu melakarkan perubahan besar negara dan apakah kepimpinan PAS nanti akan mengemukakan idea kepemerintahan dengan lebih efektif dan berwibawa. Itulah harapan rakyat dan tumpuan rakyat kepada PAS yang sebenarnya.

Kesedaran ahli PAS

Ahli PAS bukan lagi pemain simpanan, mereka kini menjadi penyerang handalan dan ramai yang berminat untuk melihat mereka beraksi. Ahli PAS juga lebih bijak untuk tidak dimangsakan oleh musuh politik mereka daripada Umno dan ahli PAS sudah cukup matang mengenali taktik dan kempen murahan sesetengah pihak. Apatah lagi sebahagian ahli PAS kini menjadi ahli mesyuarat negeri, memegang GLC dan menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, JKKK, pengerusi masjid dan lain-lain. Bukankah mereka harus praktikal dalam menentukan masa depan parti?

Pemimpin yang mereka akan pilih bukan sahaja akan menjadi pemimpin parti, tetapi pemimpin negara. Rakyat hanya mengharapkan pemilihan pimpinan PAS oleh para perwakilan memenuhi jangkaan mereka kerana parti politik dan kepemerintahan negara tidak dapat dipisahkan. Rakyat juga mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Umno tetapi mereka juga mengharapkan apakah ucapan 'selamat datang' kepada kepimpinan PAS memenuhi kehendak mereka? – 28 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Keindahan manusia di sebalik pemergian Ustaz Azizan

Posted: 27 Sep 2013 04:51 PM PDT

September 28, 2013

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Sejurus selepas PRU-13, allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak dimasukkan ke hospital dan beberapa hari selepas itu, kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat kencing manis.

Ketika itu, ramai yang masih hangat mengulas mengapa Pakatan Rakyat tidak berjaya menakluki Putrajaya. Walaupun prestasi Pakatan Rakyat meningkat tujuh kerusi di atas kertas, secara makronya PR dan PAS dilihat mengalami prestasi menurun kerana jumlah negeri yang dikuasai mereka menurun.

PAS kehilangan Kedah, manakala Perak terus kekal di bawah BN pada 2013 tidak sepertimana yang berlaku pada 2008.

Kerana keadaan Ustaz Azizan yang kurang sihat dan menyayatkan hati ketika itu, tiada yang sanggup atau sampai hati untuk mengulas secara khusus prestasi PAS di Kedah.

Contoh terbaik ialah sikap yang diambil Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel),  Prof Mohammad Redzuan Othman ketika membentang kajian mengenai keputusan PRU13 di bulan Mei yang lalu.

"Saya tidak mahu mengulas terlalu panjang memandangkan (bekas MB Kedah) Tan Sri Azizan Abdul Razak kini berada di hospital, tapi kita semua tahu keputusannya (pilihan raya)," katanya yang masih diingat saya sehingga hari ini. Sikap ini adalah satu sikap terpuji dan ia simbol keindahan watak makhluk bergelar manusia.

Ahli dan pemimpin PAS juga tidak bercakap mengenai kehilangan Kedah. Jika bercakap pun, semua menampilkan akhlak yang tinggi dengan hanya memfokuskan kepada kebaikan yang dibawa Ustaz Azizan selaku mantan Menteri Besar Kedah seperti Kolej Insaniah dan kebersihan pentadbirannya daripada unsur rasuah.

Tiada perkara negatif yang didengari di media. Tiada yang menuding jari kegagalan PAS di Kedah.

Begitulah indahnya keadaan watak manusia, terutamanya ahli PAS ketika mengulas politik Kedah ketika Ustaz Azizan uzur sehinggalah kembali ke pangkuan Ilahi pada 26 September.

Kejayaan, kebolehan, keunikan, kelebihan, jasa dan pengorbanan Ustaz Azizan menjadi sebutan, manakala perkara negatif dimaafkan tanpa disebut kerana mengakui hakikat kita semua hanyalah insan biasa.

Alangkah baiknya jika budaya ini dapat terus disuburkan di kalangan ahli PAS kepada pemimpin mereka yang masih sihat, terus bermandi peluh tanpa kenal penat lelah dalam memperjuangkan Islam.

Bayangkan jika semua ahli PAS boleh sentiasa menilai semua pemimpin dari sudut positif, jasa dan pengorbanan mereka, sudah tentu parti akan bergerak lebih maju kedepan.

Pertandingan di muktamar juga akan menjadi lebih sihat kerana yang dikempenkan dan digemburkan ke media ialah prestasi, kehebatan dan jasa calon yang bertanding dan bukannya kesilapan dan 'dosa' yang diperbesarkan mana-mana pihak.

Calon yang menang sudah tentunya adalah daripada kalangan yang berusaha kuat, tinggi jasanya, elok akhlaknya dan kental perjuangannya.

Perkara ini wajib dipraktik sepanjang masa, lebih-lebih lagi untuk ahli PAS. Sekiranya sikap positif ini dapat ditonjolkan oleh ahli PAS, sudah tentu orang akan tertarik kepada parti kerana ia berjaya menunjukkan Islam yang sebenarnya melalui akhlak tinggi yang dibawa ahlinya.

Amat pilu untuk saya melihat budaya menyebut-yebut baik tentang seseorang hanya ditonjolkan ketika seseorang itu sudah uzur dan mendekati ajal manakala kesilapan, tuduhan dan fitnah sering dilemparkan ketika pemimpin ini masih hidup dan sihat.

Takkan kita nak tunggu sehingga tokoh hebat PAS seperti Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Haron Din, Harun Taib, Mohamad Sabu, Datuk Mustafa Ali, Husam Musa, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar Nasrudin Hassan, Siti Zailah, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahmad Awang, Dr Mahfodz, Mazlan Aliman, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Rani Osman, Khalid Samad, Ustaz Nik Zawawi dan lain-lain lagi mengalami keuzuran dan mendekati ajal – barulah kita mengerti untuk mengenang, menghayati, menyebut dan fokus kepada nilai positif, pengorbanan dan jasa mereka untuk parti?

Sudah tentu tidak.

Diharap kita dapat belajar untuk menghayati pengorbanan dan jasa pemimpin sepanjang masa. Jangan tunggu ketika mereka sudah uzur dan sudah tiada, barulah kita tahu untuk menghayati kebaikan dibawa oleh mereka yang sudah lama berjuang.

Perbezaan pendapat tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk menghayati pengorbanan dan jasa pemimpin dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Itulah keindahan yang dapat saya amati di sebalik pemergian Ustaz Azizan. Al-Fatihah. – 28 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved