Rabu, 4 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Naik minyak: Kerajaan ulangi janji tidak tertunai 7 tahun lalu

Posted: 04 Sep 2013 02:45 AM PDT

ANALISIS OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
September 04, 2013

Tujuh tahun lalu, iaitu pada tahun 2006, ketika menaikkan harga minyak, kerajaan pernah membuat janji yang sama dengan apa yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini.

Ketika itu, kerajaan berjanji akan menggunakan penjimatan RM4.3 bilion dari kenaikan harga minyak untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam di negara ini.

Namun, ia tidak pernah dilaksanakan. Pengangkutan awam di negara ini tetap pada kadar yang sama di mana rakyat tidak boleh bergantung kepadanya.

Jalan raya di Malaysia penuh dengan kenderaan persendirian dan kesesakan berlaku di mana-mana kerana jalan raya penuh dengan kenderaan.

Hari ini, Putrajaya berjanji akan menggunakan sebahagian hasil daripada potongan subsidi minyak sebagai ganjaran kepada penduduk luar bandar yang membantu mengekalkan kuasa Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu, melalui pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan juga sedang melihat cara membangunkan kawasan berkenaan.

"Lebihan itu akan diagihkan ke banyak kawasan. Kerajaan akan memfokuskan kepada pembangunan kawasan pedalaman," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu mengumumkan kerajaan akan menjimatkan sejumlah RM3.3 bilion setahun selepas menurangkan subsidi minyak.

Perdana menteri membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sebagai langkah bagi mengurangkan defisit fiskal.

Pada tahun 2006, kerajaan naikkan harga minyak 30 sen. Hasilnya, kerajaan dapat RM4.3 bilion darinya.

Apabila ditekan rakyat, kerajaan berjanji ia akan digunakan untuk pengangkutan awam.

Dalam Debat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" pada 15 Julai 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shabery ditanyakan soalan itu.

Mengikut jawapan di Parlimen sebelum itu, kerajaan baru belanjakan RM834.75 juta untuk prasarana pengangkutan sejak dari tarikh itu.

"Kenapa perkara ini berlaku? Dengan kenaikan kali ini pula, kerajaan boleh jimatkan RM13 bilion. Jika RM4.3 bilion kerajaan terkial-kial membelanjakannya, apa jaminan kerajaan dalam membelanjakan wang dari penjimatan RM13 bilion ini?" tanya penulis selaku wakil Anwar, dalam debat itu kepada Shabery.

Soalan itu dibuat berdasarkan perbandingan yang dibuat dari janji kerajaan ketika menaikkan harga minyak pada tahun 2006 lalu.

Penjimatan sebanyak RM4.3 bilion itu katanya untuk mempertingkatkan prestasi pengangkutan awam di negara ini.

Namun, ketika itu Shabery tidak langsung menjawab soalan itu.

Beliau mengambil sikap menyerang pihak yang bertanya soalan dengan kononnya wartawan itu tidak mengikuti isu semasa dengan baik. – 4 September, 2013.

Selangor arah semua aktiviti di rizab sungai dihentikan

Posted: 04 Sep 2013 01:35 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
September 04, 2013

Kerajaaan negeri Selangor hari ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan semua permohonan menjalankan aktiviti di kawasan rizab sungai berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dicapai susulan daripada kejadian pencemaran tumpahan diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rantau Panjang dihentikan tugas untuk sementara hingga menyebabkan kira-kira sejuta pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar), berkata beliau kesal dengan kejadian seumpama itu dan tidak mahu ia berulang lagi.

"Kejadian ini menyusahkan rakyat terutama mereka yang berkeluarga apabila bekalan air terputus di beberapa daerah di Selangor.

"Kita mengarahkan PBT untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti dan pemantauan ketat harus dilaksanakan di kawasan rizab sungai terutama melibatkan aktiviti tidak berlesen," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Abdul Khalid berkata, beliau juga menggesa kerajaan supaya mempertingkat penguatkuasaan undang-undang alam kerana semakin kerap berlaku kecuaian hingga menyebabkan kes pencemaran.

"Kita menyarankan kerajaan pusat khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menguatkuasakan prinsip pencemar membayar dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Melalui akta itu setiap kos kerosakan dan kos membaiki kerosakan akibat pencemaran itu ditanggung sepenuhnya oleh individu atau syarikat yang menyebabkan pencemaran berlaku," katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri bersama agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar serta semua PBT di Selangor akan terus bekerjasama memantau dari semasa ke semasa.

Jumaat lalu, warga kota terputus bekalan air kerana diesel tumpah ke dalam sungai hingga menyebabkan tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan.

Tumpahan diesel itu dipercayai dari sebuah kawasan perusahaan yang beroperasi di Rawang.

Tumpahan menyebabkan empat loji di Sungai Selangor terpaksa ditutup membabitkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, 2 dan 3 serta Loji Rantau Panjang.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Awam SYABAS, Abdul Halem Mat Som berkata, berikutan penutupan itu, bekalan air ke tujuh wilayah pengagihan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor terjejas secara berperingkat.

Menurutnya, keempat-empat loji rawatan air itu membabitkan pengeluaran bekalan air terawat sebanyak 2,670 juta liter sehari (JLH) atau 57% peratus bekalan untuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – 4 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved