Khamis, 12 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Najib, ini caranya umum naik harga minyak

Posted: 11 Sep 2013 05:13 PM PDT

September 12, 2013
Latest Update: September 12, 2013 04:13 pm

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Sudah seminggu lebih, harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan 20 sen seliter. Ramai yang masih marah terhadap keputusan itu.

Namun, reaksi rakyat biasanya bagaikan air tin bergas. Ketika pengumuman dibuat, bukan main berbunyi hissnya air tersebut ketika penutup tinnya dibuka. Namun setelah beberapa ketika, air tersebut akhirnya tenang untuk ditelan ke perut manusia.

'Hiss' air kali ini akan lebih berpanjangan daripada biasa. Pertama kerana 51% telah mengundi untuk menurunkan harga minyak. Tapi tidak sampai setengah tahun, majoriti ini dihadiahkan dengan kenaikan 20 sen harga minyak.

Kenaikan 20 sen akan menyebabkan rakyat akan terpaksa membayar lebih RM10 untuk 50 liter minyak yang dibeli.

Marah sangat ke rakyat pada lebihan RM10 yang perlu dibayar? Soalan ini bukan untuk menafikan bahawa rakyat berasa marah, tapi lebih kepada memahami apa yang rakyat marah sebenarnya.

Pertama, lihat bagaimana Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman kenaikan harga minyak. Najib memilih waktu petang, ketika semua berpusu-pusu hendak balik ke rumah selepas kepenatan bekerja untuk menaikkan harga minyak.

Ini menyebabkan ramai yang bergegas untuk mengisi minyak terakhir mereka yang berharga RM1.90. Jika difikirkan semula, mereka melihat RM10 (itupun jika tangki betul-betul kosong) yang boleh dijimatkan ini sebegitu besar sehingga ada yang sanggup bergaduh dan beratur berjam-jam lamanya di stesen minyak.

Ada seorang sahabat saya yang beratur satu jam untuk mengisi setengah tangkinya. Dia merasa puas dan marah. Puas kerana beliau berjaya mengisi minyak murah RM1.90 buat kali terakhirnya. Marah kerana satu jam menunggu dan hanya RM6 yang berjaya dijimatkan daripada 30 liter minyak yang diisinya kerana Najib buat pengumuman "last minute".

Dalam hujahnya, Najib berkata kenaikan harga minyak ini akan menjimatkan RM1.1 bilion untuk tahun 2013, dan RM3.3 bilion untuk tahun-tahun akan datang.

Mendengar hujah ini, rakyat terus naik minyak kerana persepsi BN boros dan pemimpin BN hidup mewah sudah terbenam di sanubari rakyat. Lebih-lebih lagi apabila rakyat terbayangkan isteri Najib, NFC, kapal selam Scorpene, kerugian MAS dan sebagainya.

Emosi rakyat lebih meluap apabila dijolok dengan soalan wang yang dijimat ini diguna untuk apa. Janji untuk memperbaiki pengangkutan awam daripada wang yang dijimatkan ketika harga minyak dinaikkan dulu tidak pernah ditunaikan.

Lebih membara hati rakyat apabila ada yang menyebut berbilion ringgit yang dijimatkan daripada poket rakyat ini akhirnya akan jatuh ke tangan kroni.

Pada rakyat, jika duit yang dijimatkan itu bakal jatuh ke tangan kroni, lebih baik duit ini disimpan dalam bentuk subsidi pada rakyat. Sekurang-kurangnya, rakyat boleh "ambil duit" setiap kali mengisi minyak.

Lebih memburuk kemarahan rakyat adalah siri kenyataan yang dibuat para pemimpin BN secara spontan untuk menyokong naiknya harga minyak.

Bermula dengan kenyataan Bung Mokhtar yang menghina orang kampung kepada hujah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata kenaikan harga minyak hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat 0.1% dan timbalan menteri kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan yang membandingkan Malaysia dengan negara bukan pengeluar minyak – rakyat berasa kerajaan sedang membodohkan mereka.

Sebab mereka tahu, masalah ekonomi negara berpunca daripada sikap boros kerajaan dan rasuah yang berleluasa dan bukannya kerana harga minyak dan wang yang digunakan menampung subsidi rakyat.

Ini masalah Najib dalam membuat pengumuman naik harga minyak. Najib terlupa mengambil kira persepsi buruk rakyat terhadap beliau dan BN sebelum membuat pengumuman tersebut. Najib juga terlupa kebengongan hujah-hujah yang dikemukakan ahli politik BN yang ibarat menyimbah minyak pada api yang sedang membara.

Lebih teruk lagi, Najib terlupa rakyat kini tidak bodoh, dan maklumat kini hanya di hujung jari.

Tak pasti samada PEMANDU terlibat tak dalam membantu Najib membuat pengumuman harga minyak naik ini. Jika ya, rasanya lebih elok Najib dapatkan bantuan lain.

Najib tahu rakyat akan marah dengan pengumuman naik harga minyak, dan beliau juga tahu pembangkang akan ambil kesempatan menerkam. Oleh kerana PRU14 masih jauh, mungkin Najib dan para penasihatnya berasa beliau tidak perlu mengambil kisah semua itu.

Tapi beliau terlupa, ahli bawahan Umno yang tidak cukup makan juga terasa dengan kenaikan harga minyak ini. Berapa ahli Umno malam itu yang juga seperti sahabat saya beratur untuk mengisi minyak RM1.90 bagaikan ini adalah kali terakhir baginya?

Cara lain

"Bermula hari ini, kerajaan perlu mula berjimat cermat dalam perbelanjaannya demi pengukuhan ekonomi dalam jangka panjang. Sebagai Perdana Menteri, saya telah mengambil keputusan supaya rumah Seri Perdana dan Seri Satria akan mengurangkan pembelanjaan sebanyak 50%. Semua kerja penaiktarafan dan penambahbaikan dibatalkan untuk lima tahun akan datang. Kapal selam Scorpene akan dijual.

"Jumlah pembelanjaan saya ke luar negara akan dikurangkan sebanyak 30%. Semua kementerian dan jabatan di bawahnya mesti mengurangkan pembelanjaan sebanyak 30% mulai besok. Semua ini akan dilaporkan ke media dari semasa-semasa.

"Diharap rakyat dapat bersama-sama kami untuk turut berjimat-cermat. Kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel. Maafkan kami. Kerajaan sedar bahawa kenaikan ini akan memberikan impak sedikit sebanyak kepada kenaikan kos harga barang.

"Kerajaan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengawal kenaikan dan inflasi yang bakal datang ini. Demi sama-sama merasai kenaikan ini, saya dan barisan kabinet bermula saat ini tidak lagi dibenarkan mengambil elaun minyak.

"Sikap boros pembelanjaan kerajaan mesti dihentikan demi menyelamatkan ekonomi negara dan meneruskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran defisit fiskal dalam lingkungan 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020.

Rakyat tidak keseorangan dalam hal ini. Saya dan barisan kabinet akan bersama rakyat mengharungi detik mencabar ini."

Bayangkan sekiranya pengumuman di ataslah yang dibuat Najib pada 11.45 tengah malam; dan 12 tengah malam harga minyak dinaikkan.

Pertama, pemilihan waktu ini boleh mengelakkan rakyat bergelut membeli minyak RM1.90 sebelum tengah malam. Walaupun pada besok paginya ada yang terkejut dengan kenaikan harga minyak, tapi melihat kenyataan Najib yang "memukul diri dan kerajaan" dengan mengakui kerajaan harus menghentikan sikap borosnya, rakyat akan berasa kurang marah.

Paling utama ialah pengakuan Najib bahawa masalah utama yang belenggu negara ialah keborosan kerajaan pimpinannya di dalam pengumuman itu.

Ditambah pula dengan langkah-langkah yang diambil Najib untuk menunjukkan bahawa barisan pemimpin dan kerajaan turut sama bersusah bersama rakyat, pengumuman ini bakal membantu meminimakan kemarahan rakyat dan mengelakkan kemarahan rakyat seperti yang berlaku sekarang.

Sebenarnya inilah cara terbaik dalam mengumumkan berita buruk, tatkala seseorang itu berada di persepsi negatif rakyat.

Rakyat tidak marah sangat pada RM10 lebihan yang perlu dibayar. Rakyat lebih marah cara pengumuman itu dilakukan, alasan yang diberikan oleh Najib dan bertambah marah apabila mendengar hujah-hujah dangkal para pemimpin BN untuk memaksa rakyat menerima kenaikan harga minyak dengan hati terbuka.

Api kemarahan itu bertambah apabila rakyat terfikir mengapa mereka saja yang dikorbankan, dan bukannya para pemimpin yang elit, yang kaya-raya dan tinggal di rumah-rumah besar. Ini tidak ditambah lagi dengan sengatan daripada pihak pembangkang.

Pendek kata, usah guna jalan dan hujah berliku ketika mengumumkan sesuatu yang buruk. Sedarlah wahai Perdana Menteriku, jalan berliku ini susah, dan kerana jalan ini, kamu sudah kehilangan undi popular.

Lain kali, cubalah pula jalan lurus. Percayalah, langkah ini lebih mudah walaupun nampak susah pada langkah pertamanya.

Sudah tentu pembangkang akan mengambil kesempatan lagi, tapi pintu kesempatan agak sempit kerana tempoh "hiss" rakyat akan menjadi minima.

Dan lebih penting ialah pintu peluang untuk terus berkuasa terbuka luas, sekiranya para pimpinan BN dan kabinet Najib mengambil kesempatan untuk menunjukkan tauladan yang baik bahawa mereka turut berjimat-cermat, sokongan rakyat akan kembali pada BN.

Walaupun Malawi mundur, tapi tindakan kerajaannya untuk menjual pesawat presiden untuk memberi makan lebih dari sejuta rakyatnya yang kelaparan adalah jauh lebih maju daripada kerajaan BN, dari segi menjaga hati rakyat. - 12 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Polis tak perlu hormat sasterawan negara?

Posted: 11 Sep 2013 05:01 PM PDT

September 12, 2013
Latest Update: September 12, 2013 04:01 pm

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Apabila seorang sasterawan besar seperti A. Samad Said (yang berusia 81 tahun) itu didatangi tiga orang anggota polis ke rumahnya pada tengah malam pukul 12.30, untuk diambil dan dibawa ke balai polis – apakah makna dan implikasi maknanya?

Memang dia tidak ditahan hingga bermalam di dalam lokap. Tetapi dia didatangi tiga anggota polis ke rumahnya pada waktu lewat malam ketika orang mulai merehatkan diri di bilik tidur itu, tanpa didahului sebarang makluman rasmi hingga menimbulkan kejutan dan gangguan, dan membawanya pergi ke balai – apakah itu suatu tindakan yang wajar ke atas seorang yang telah dianugerahi gelar Sasterawan Negara oleh Yang Di-Pertuan Agong, dan telah menghasilkan sejumlah 71 buah buku (sebagai khazanah bangsa dan negara ini)?

Bukanlah kita mengatakan orang yang bergelar Sasterawan Negara itu tidak boleh disentuh langsung oleh penguatkuasa undang-undang atau pihak keselamatan. Sasterawan Negara pun manusia biasa juga, dan tertakluk kepada undang-undang negara juga.

Kalau dia melakukan kesalahan jenayah dia pun wajar ditangkap dan dihukum juga. Tetapi Samad Said tidak melakukan kesalahan jenayah, dan dia seorang warganegara yang bertanggungjawab dan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan polis sekiranya diperlukan (dan dimaklumkan secara rasmi).

Peristiwa tengah malam 3 September (atau pagi 4 September) itu bukanlah kali pertama Samad Said berhadapan atau berhubungan dengan pihak polis. Sebelum itu pun dia sudah beberapa kali berkunjung ke pejabat polis kerana diminta hadir dan juga kerana urusan perundingan (untuk perhimpunan Bersih).

Maksudnya kalau dia diperlukan, dia sedia bekerjasama. Tidak ada masalah. Sudah ada rekod membuktikannya. Dia bukanlah jenis orang yang akan lari bersembunyi seperti yang didakwa oleh pihak polis itu.

Kita tidaklah mempersoalkan hak polis untuk mengambil keterangan daripadanya berikutan kehadirannya membaca puisi di kalangan mereka yang membawa bendera merah-putih Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka malam 30 Ogos itu. Yang kita persoalkan ialah cara mereka mendatangi rumahnya dan membawanya pergi ke balai di waktu tengah malam itu.

Yang kita persoalkan ialah sikap angkuh sombong para menteri Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang mencemuh dan menghina dia – ("memalukan" dan "tidak senonoh?"). Kata Kassim Muhamad (S/U Seniman Paksi Rakyat), orang-orang besar politik Umno itu bukan sahaja angkuh sombong tetapi "bengis sombong" (brute force).

Langsung mereka tidak tahu menghormati orang berjasa, apatah lagi menghormati hak dan kebebasan bersuara seorang budayawan-seniman berbakat besar satu-satunya sepertinya yang kita miliki itu. Mereka langsung tidak menghormati hak rakyat untuk berbeza pandangan pun. Maka melalui barabarajiwa.blogspot Kassim bertanya:

"Apakah Bengis Sombong belum sedar bahawa rakyat termasuk anak-anak muda yang menghadam maklumat yang berbeda – yang bukan made in and by Umno – mengetahui bahawa sesungguhnya dalam perjuangan kemerdekaan itu, ada watak-watak lain yang disembunyikan yang sebenarnya berjuang untuk memerdekakan negara ini?"

Kassim Muhamad menjudulkan entrinya 8 September itu "Brute force as a culture", dan memulakan tulisannya dengan bertanya: "Bengis sombong (brute force) yang 'memalukan' dan yang 'tidak senonoh' sebagai budaya?"

Ya persis itulah juga yang mengganggu fikiran saya. Apakah bengis sombong atau angkuh sombong itu sudah menjadi budaya sebahagian masyarakat kita, khasnya bahagian yang masih bersama dengan Umno itu?

Hingga orang seperti Samad Said itupun apabila dia menggunakan hak kebebasannya sebagai rakyat negara demokrasi untuk menyatakan pandangannya yang berbeza itu lalu diherdik dan diancam oleh menteri bahawa gelar Sasterawan Negaranya patut ditarik balik.

Maka tidak hairanlah kalau anggota polis pun boleh "menyerbu" ke rumahnya di tengah malam lalu mengambilnya ke balai, semata-mata kerana hendak bertanya maklumat mengenai kehadirannya di Dataran Merdeka bersama anak-anak muda yang membawa bendera berbeza pandangan itu.

Apabila bengis sombong sudah menjadi budaya pihak kuasawan negara kita, maka begitulah! Polis pun tidaklah diperlukan untuk "tahu beradab" dengan tokoh-tokoh penting yang telah mencapai tahap 'negarawan' berjasa bagi negara kita. Sesiapa pun boleh saja dilayan bagai penjenayah apabila dia tidak disukai oleh pihak kuasawan.

Inilah tanda-tanda sebuah masyarakat yang belum cukup matang, sebuah kerajaan yang kurang tahu beradab, dan sebuah tamadun yang kurang nilai kemanusiaannya.

Saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku dua tahun lebih yang lalu, apabila Samad Said kali pertama dipanggil ke balai polis. Waktu itu Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) mengeluarkan kenyataan akhbar, antara kandungannya:

"Seniman Paksi Rakyat di samping menyatakan kesyukuran dan berbangga kerana puisi sebagai suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum khasnya apabila pihak polis pada 27 Jun lalu mengambil tindakan memanggil seorang Sasterawan Negara ke balai polis untuk disiasat kehadirannya membaca puisi di suatu majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun itu, kami juga berasa kesal dan sedih kerana berpendapat tindakan pihak polis itu agak kurang wajar."

Kata kenyataan itu lagi: "Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya. Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (saw) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin.

Seterusnya kenyataan itu menegaskan: "Sasterawan dan seniman besar yang amanah dan bertanggungjawab setaraf Datuk A. Samad Said itu, yang jelas menjadi ikon rakyat kerana kejujuran kata-katanya, biarlah dia terus menikmati kebebasannya berkarya, agar dapat dia menyumbangkan sesuatu yang sangat berharga, yang menjadi idaman semua bangsa di dunia ini. Apakah kita tidak mempunyai idaman yang murni itu?"

Kenyataan akhbar Paksi itu ditutup dengan kata-kata: "Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri."

Suatu kebetulan yang cantik. Pada Sabtu ini, PAKSI dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan bicara buku Samad Said yang terbaru, iaitu kumpulan puisi "Di Atas Padang Sejarah".

Panel pembicaranya terdiri daripada Rahmat Harun, Fadhallah Pit dan Hasni Abas. Moderator: Ariff Atan. Tempat: Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Waktu: 9 pagi hingga 1 tengahari. Minum dan makan disediakan. Semua dijemput hadir. (Maklumat lanjut, hubungi 016-672 4825/012-475 3516).

Marilah kita hadir!


 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved