Isnin, 16 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Najib, ini caranya nak guna konsultan mahal

Posted: 15 Sep 2013 06:02 PM PDT

September 16, 2013
Latest Update: September 16, 2013 09:23 am

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Menggunakan konsultan yang mahal-mahal, nampak senang tetapi sebenarnya susah.

Pertama, mereka dilantik kerana mereka bijak dan orang yang menggaji mereka kurang bijak.

Kedua, mereka dianggap lebih mengetahui dan orang yang membayar mereka kurang mengetahui.

Ketiga, setiap idea mereka mempunyai kelebihan (advantage) untuk dilihat sebagai perkara baru yang menakjubkan kerana orang yang mengorek poket untuk membayar mereka kurang pengalaman pada perkara yang mereka ingin dikonsultasikan.

Keempat, konsultan mahal pandai menyerang kelemahan pelanggannya yang paling utama ialah "kemalasan", dengan menawarkan solusi penuh (total solution) melebihi apa yang diperlukan.

Kelima, para konsultan juga mempunyai ramai sahabat yang akan melobi meyakinkan pelanggan bahawa solusi yang dibawa mereka adalah yang terbaik.

Jika seseorang ingin menggunakan khidmat konsultan mahal, syarat pertama ialah seseorang itu harus membuat kajiannya sendiri secara mendalam dahulu mengenai subjek yang ingin dikonsultasikan.

Syarat kedua ialah seseorang itu harus juga rajin membuat kajian terhadap cadangan solusi yang dikemukakan oleh para konsultan untuk memastikan bahawa cadangan tersebut betul-betul unik.

Pengalaman saya di bidang elektronik telah membuka mata saya bagaimana teknologi lapuk di negara lain telah dibawa masuk dan dijelmakan sebagai teknologi yang baru untuk dijualkan kepada rakyat dan kerajaan Malaysia.

Kerana jahil dengan teknologi, ramai yang menganggapnya baru kerana nama teknologi itu diubah dan pakejnya diMalaysiakan.

Kerajinan dan kemahiran menggunakan khidmat Google adalah syarat minima untuk mengesan perkara-perkara seperti ini.

Malangnya, kedua-dua kemahiran ini jelas tiada pada pasukan penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kalau tidak, bagaimana cadangan tema "Endless Possibilities" ini boleh diberikan kelulusan oleh pasukan Najib walaupun kini sudah ditangguhkan. Begitu juga konsep 1Malaysia.

Jika pasukan Najib rajin meng'google' cadangan-cadangan dari para konsultan terlebih dahulu, sudah tentu mereka akan menjumpai apa yang dijumpai pembangkang, di mana kedua-dua konsep ini pernah digunakan di negara Israel.

Konsep 1Israel telah digunakan semenjak 1980 dan "Endless Possibilities" pula digunakan sebagai tema di Kementerian Pelancongan Israel.

Ini bukan satu kebetulan pada pendapat saya. Ini semuanya adalah hasil kebijaksanaan konsultan-konsultan mahal yang amat memahami hakikat bahawa passport orang Malaysia tidak boleh memasuki Israel.

Bagi mereka, adalah agak sukar untuk orang Malaysia mengesan bahawa perkara yang sama sudah dipakai di negara yang tidak boleh dimasuki mereka.

Jadi, mereka sanggup mengambil risiko untuk mengemukakan idea lapuk dalam bekas yang baru kerana mereka yakin dapat mengeksplotasikan hakikat hubungan diplomasi Malaysia dan Israel dan juga kelemahan pasukan penasihat Najib.

Disebabkan kemalasan dan kurang mahir menggunakan Google, cadangan konsultan-konsultan mahal akhirnya diterima bulat-bulat oleh Najib.

Konsep 1Malaysia terlepas masuk pada 2009 dan selepas didedahkan 1Israel, Najib terpaksa mempertahankan konsep 1Malaysia habis-habisan adalah idea tulen ciptaannya sendiri.

Para konsultan mahal pula membisu sambil berpesta dengan untung berjuta-juta. Sudah tentu, mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesan daripada idea tersebut kerana Najib sudahpun mengaku bahawa idea 1Malaysia itu adalah hasil ilhamnya sendiri.

Kini "Endless Possibilities" pula hampir berjaya dijadikan tema. Nasib baik adanya portal seperti The Malaysian Insider yang membongkar hasrat Najib untuk menggunakan konsep tersebut terlebih dahulu.

Kalau tidak, manalah rakyat dan pembangkang Malaysia dapat mengutuk sambil menyelamatkan Najib daripada menggunakan konsep yang sama yang telah digunakan oleh kerajaan Mongolia dan juga Kementerian Pelancongan Israel.

Bayangkan apa yang berlaku, jika tema itu digunakan terlebih dahulu sebelum terbongkar bahawa perkara yang sama digunakan oleh Kementerian Pelancongan Israel.

Apakah masa itu, Najib hendak mengaku "Endless Possibilities" ini idea tulennya lagi?

Jika pasukan penasihat Najib rajin dan mahir Google sedikit, sudah tentu perkara-perkara ini boleh dielakkan.

Pendek kata, wahai Perdana Menteriku, tolonglah pastikan para penasihatmu jangan malas, dan mahirlah ber"Google" jika ingin menggunakan khidmat konsultan yang mahal-mahal.

Jika tidak, apa yang dibeli menggunakan duit rakyat Malaysia hanyalah bahan lama yang dijelmakan dalam bekas baru oleh khidmat konsultan yang mahal-mahal – yang akhirnya hanya memudaratkan karier politik Datuk Seri. Sekadar satu teguran tulus ikhlas daripada seorang rakyatmu. – 16 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Tahalluf: Biar muktamar yang putuskan

Posted: 15 Sep 2013 05:54 PM PDT

September 16, 2013
Latest Update: September 16, 2013 04:54 pm

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Tahalluf:  Biar muktamar yang putuskan

Seingat saya, sudah dua kali Muktamar PAS meluluskan ketetapan untuk memperkasa Tahalluf-Siasi yang membawa PAS menyertai Pakatan Rakyat. Iaitu Muktamar PAS di Perak beberapa tahun lalu dan yang terakhir Muktamar PAS di Kota Baru.

Suatu masa dulu, apabila timbul isu supaya PAS bergabung atau bekerjasama dengan Umno ekoran masalah kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, lalu Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Khas membincangkan isu tersebut, tetapi cadangan Tuan Guru itu dipinda dengan mengadakan Persidangan Khas di Taman Melewar.

Persidangan itu membincangkan isu tersebut dan keputusannya ialah juga memperkasa Tahalluf Siasi dengan parti dalam komponan Pakatan Rakyat. Isu ini reda untuk beberapa ketika, namun kocakan dalaman PAS masih terasa, hinggalah menjelang dan sesudah PRU yang lalu, di mana isu ini timbul kembali dengan hangatnya. Lebih-lebih lagi menjelang Muktamar PAS Novembar akan datang.

Sudah tentu ia memberi gambaran seolah-olah dua keputusan Muktamar PAS di Ipoh dan di Kota Baru serta Sidang Khas di Taman Melewar itu sudah tidak relevan lagi, atau ia tidak boleh lagi diperkasakan.

Cadangan yang  dibuat oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib di Multaqa Ulama SeMalaysia di Alor Star baru-baru ini agar PAS mengkaji semula Tahalluf-Siasi atau hubungannya dengan PKR menyerlahkan bahawa ada kalangan di dalam PAS benar-benar sudah merasakan tidak lagi selesa bekerjasama dengan PKR. Tidak diketahui bagaimana kedudukannya dengan DAP, salah satu parti dalam komponan Pakatan Rakyat.

Seperti kata penulis dalam The Malaysian Insider, ini adalah kemuncak dari perbezaan pendapat dalam PAS. Secara diam-diam ia telah berlaku dalam PAS sejak menjelang pilihan raya umum ke-13. Namun ketika itu ia tidak jelas sejauh manakah isu itu akan pergi. Tetapi cadangan Datuk Harun hari ini menunjukkan kemanakah sebenarnya sasaran segala apa yang berlaku dalam PAS itu.

Pada pendapat saya, perbezaan pendapat yang tajam ini sudah lama berlaku di dalam PAS hingga lahirlah gelaran Kumpulan Erdogan (nama Perdana Menteri Turki yang bersikap terbuka dan sederhana) dirujuk kepada golongan profesional yang berbeza pendapat dengan golongan ulama.

Nasharudin Mat Isa sebelum dikeluarkan dari Majlis Syura ulama berulang kali mendesak agar PAS mengkaji balik kedudukannya dalam Pakatan Rakyat dan kini jelas apa yang  dinyatakan oleh Nasharudinsejak sekian lama itu telah dinyatakan secara rasmi oleh Ketua Dewan Ulama PAS.

Oleh yang demikian sudah pastilah Muktamar PAS ke-59, 22  hingga 24 November ini di Shah Alam akan menjadi medan sebenar perbezaan pendapat ini.

Pada pendapat saya, isu Tahalluf-Siasi yang tajam ini memang wajar dibawa dalam muktamar tersebut. Ini untuk memberi kesempatan seluas-luasnya kepada para perwakilan membahaskan isu ini dan seterusnya perwakilan akan mengambil keputusan muktamat sama ada PAS masih mahu meneruskan Tahalluf-Siasi atau sebaliknya.

Perwakilan mempunyai masa yang cukup hingga menjelang muktamar untuk membuat persediaan secukupnya  mengumpul fakta dan berhujah secara matang, dan tentunya bukan emosi, sama ada PAS hendak terus dengan Tahalluf-Siasi atau menarik diri dari Pakatan itu. Pemerhati politik dalam dan luar negara sudah tentu memerhatikan keputusan ini, justru keputusan yang vital ini akan menentukan masa depan Pakatan Rakyat, malah PAS sendiri.

Benar, penyertaan PAS melalui Tahalluf-Siasi hanyalah sebuah ijtihad politik secara jamaie, oleh itu ia boleh diteruskan atau sebaliknya, bergantung kepada keperluan, keadaan dan iklim politik semasa. Kerana itu, apakah benar suasana sekarang, terutama berasaskan keputusan PRU yang lalu, boleh mewajarkan PAS menarik diri dari Tahalluf-Siasi dan membatalkan ijtihad tersebut.

Maka itu, jika ada perwakilan yang akan membawa usul supaya PAS menarik diri dari Tahalluf-Siasi, ia hendaklah menyertakan fakta yang sejelas-sejalsnya mengapa ia membawa usul itu.

Umpamanya, berdasarkan keputusan PRU yang lalu, adakah benar pengundi Melayu sangat sedikit memberikan sokongan kepada calon PAS disebabkan faktor PKR dan seumpamanya - sebutkan negeri dan kawasan, serta peratusannya. Demikian juga, mungkin disebabkan faktor "bersahabat" dengan PKR menyebabkan pengundi Melayu lari dari PAS.

Oleh itu, semua pihak mahu mengetahui data terperinci yang menyokong usul supaya PAS menarik diri dari Tahalluf-Siasi itu.

Tidaklah wajar jika ia hanya dibuat berdasarkan andaian atau  hearsay saja. Zaman kini masyarakat memerlukan bukti.

Dalam keadaan begini, ternyata PAS benar-benar berada di persimpangan jalan, sama ada akan meneruskan Tahalluf-Siasi dengan komponan parti lain dalam Pakatan Rakyat atau PAS akan bersendirian bertarung di medan politik di masa depan terutamanya ketika berdepan dengan Umno/BN yang rasis. Iaitu dalam usaha PAS untuk menawan sebanyak-banyaknya pengundi Melayu dalam PRU akan datang, di mana dalam PRU yang lalu, dikatakan pengundi Melayu tidak menyokong PAS atas sebab yang disebutkan di atas tadi.

Berikutan itu, para perwakilan akan memilih saf pimpinan PAS akan datang, sama ada dari kalangan yang mahukan PAS keluar dari Tahalluf-Siasi atau mahu kekal di dalamanya. Siapakah saf pimpinan akan datang yang masih bersedia meneruskan Tahalluf-Siasi, atau siapakah saf pimpinan yang mahu PAS menempoh gelombang politik masa depan secara bersendirian dan yakin dengan cara itu akan mencapai kemenangan? Perwakilan nampaknya hanya ada satu pilihan.

Perwakilan diperlukan membuat pilihan yang tepat dan ini sangat crucial bagi PAS dalam usahanya untuk meneruskan kelangsungannya dalam hayat politik negara, sungguhpun sifatnya sebagai sebuah gerakan Islam tidak akan tergugat.

Keputusan Muktamar ini nanti sifatnya muktamad dan kita yakin ia dijalankan secara demokratik.

Selepas ini, saya kira, tidak akan timbul lagi isu-isu "tidak selesa" dalam Pakatan, justru muktamirin telah membuat keputusan yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Keputusan Muktamar PAS kali ini hendaknya akan menyelesaikan masalah ini secara tuntas, settle once for all, justru ia adalah keputusan muktamar dan hendaknya diterima oleh setiap orang kerana ia diperoleh secara demokratik dan tentunya mengakhiri segala perbezaan pendapat mengenai hal ini dalam PAS selama ini.

Dengan adanya peraturan baru pemilihan pucuk pimpinan muktamar akan datang ini, kita yakin ia akan berjalan dengan lancar. - 16 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved