Khamis, 26 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Hidup dan mati

Posted: 25 Sep 2013 04:30 PM PDT

September 26, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Hidup ini pasangannya adalah mati. Seperti pasangannya lelaki dan perempuan, siang dan malam, matahari dan bulan. Cepat atau lambat semua kita akan mati. Mengapa kita perlu takutkan mati? Suka atau tidak, ia tetap akan datang menjemput kita. Dalam bentuk yang bagaimana, wallahualam.

Usia saya sudah menjangkau hampir separuh abad. Kawan-kawan sebaya saya ada yang dah pakai ketayap, ada yang dah nampak tua sangat, ada yang jiwa muda. Begitulah putaran alam dan turun naik nasib kita di muka bumi ini.

Yang dah meninggal pun ada juga. Kematian seorang sahabat baik sebaya usia saya, Amirul Fakir (penyair dan penulis) beberapa tahun yang lalu nyata mengingatkan kita bahawa kehidupan ini sangat rapuh sebenarnya, umpama barang yang mudah pecah.

Ia kadang membuatkan kita takut sehingga terlalu berjaga-jaga akan kehidupan dan kesihatan kita. Pun dalam sihat walafiat jika waktu sudah sampai dan maut itu datang menjemput, apa yang mampu kita lakukan? Di dalam tidur, di dalam jaga dia tetap akan datang juga.

Kita kalau boleh tidak mahu apa saja jenis penyakit datang kepada kita. Tapi kenyataannya jika kita perhatikan di mana-mana pun, kedai yang paling laku dan paling ramai pengunjung adalah kedai ubat atau farmasi. Hospital pula tidak pernah sunyi dan kosong, sentiasa penuh dengan pesakit yang datang pada setiap waktu tanpa henti.

Saya bersembang dengan seorang kawan, baru-baru ini. Topik yang kami bualkan adalah tentang kehidupan yang sementara ini. Beliau seorang yang islamik seperti mana ramai kawan saya yang beragama islam.

Nyata ketakutannya kepada Tuhan dan kematian nyata pada riak dan nadanya. Nyata juga dia cuba menghitung setakat mana amal yang dibuatnya untuk menjadi bekal akhirat.

Adakah itu cara terbaik untuk menilai kasih sayang dan perhubungan kita dengan Tuhan?

Saya katakan kepada kawan saya itu, jika kita hitung nilai baik dan terlalu berkira-kira dengan Tuhan dalam bab amal dan kebaikan, maknanya perhubungan kita denganNya masih jauh, sedang yang terbaik adalah apabila kita punya keyakinan yang kita ini sentiasa dalam pelukan kasih sayangNya, walau siapa pun kita.

Saya nyatakan juga, Tuhan memerlukan saya hidup buat masa ini, apa juga sebab dan musabab terkandunglah di dalam rahsiaNya, saya tidak perlu dan tidak akan tahu apa ceritaNya. Bukankah cerita kita di dunia ini adalah milikNya kerana kita bergerak dan bernafas atas keizinannya juga?

Bukankah kita hadir di dunia ini atas rahmat kasih dan sayangnya juga? Baik atau buruk adalah ciptaan dan permainan manusia untuk membezakan cara dan afaal kita di dunia ini.

Hukum karma mahupun qada dan qadar itu nyata dan kita perlu menerima apa yang terhidang dalam lapang dada kerana walau apa pun, nilai positif itu wajib tersemat di dalam dada dan di situlah nilai atau tahap yakin kita pada cerita dan takdir kita di dunia ini.

Innalillah itu adalah sebaik pengucapan kerana kita belajar untuk mengembalikan apa saja yang dipinjam apabila sampai masanya.

Jadi, perkara yang terbaik adalah inilah kita yang seadanya. Perlakuan mahu pun adab itu bergantung pada tahap faham dan kenal kita. Walau saya tidak kelihatan islamik pada mata yang memandang, saya juga punya keyakinan yang mungkin lebih daripada mereka yang nampak islamik.

Luaran bukanlah jawapan untuk Tuhan semestinya bersetuju dengan apa yang kita lakukan. Kerana nama pun luaran, jadi tidak ada yang kekal hatta apa yang terkandung di kotak fikir kita sekalipun. Fikiran kita sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan semasa.

Yang kekal hanyalah roh kita. Yang itu semua kita memilikinya. Tak kira sama ada kita ini seorang perompak, penagih dadah, kongsi gelap, peguam, jurutera, doktor, pencuci, pemuzik, penceramah atau siapa pun kita. Kita memilikinya kerana cerita di dunia ini bergantung pada apa watak kita dan bagaimana kita menanganinya.

Roh itu singgah di jasad, menjadikan kita bernyawa dan hidup dalam acuan dari yang maha mencipta. Akal membentuk perjalanan hidup dan nafsu kita. Hitam atau putih kitalah yang mencorakkan, pun atas izinNya juga.

Jadi kesimpulannya perlukah kita terlalu berjaga-jaga akan kehidupan dan nasib kita? Adakah perlu kita ke masjid untuk mendekat dan mengingatkan kita kepada Dia selalu? Atau kita lebih takutkan dosa dari Tuhan itu sendiri sedang di mana-mana manusia tetap akan melakukan dosa, tanpa kita sedar mahupun dalam sedar.

Perhubungan kita dengan Tuhan bukan hanya melalui pengucapan dan ritual semata bahkan merangkumi segala macam aspek kehidupan yang kita sedang jalani ini. Segala jawapan akan kita temui di dalam diri kita sendiri, kerana kita tidak akan menipu diri kita sendiri sebagaimana kita menatap wajah kita sendiri di cermin.

Kita bercerita tentang mencari kasih-sayang Tuhan dalam konteks manusia yang beragama. Syariaat itu nyata dan kita tidak akan menafikan. Pun adakah ucapan dan kata-kata puji kita itu singgah dan melekat di jiwa atau hanya sekadar ucapan di angin lalu sahaja?

Apa yang nyata juga agama hari ini menjadi subjek atau isu yang sangat sensitif di kalangan kita dan mereka. Kita menjaja nilai baik dengan bermodalkan agama kerana itu dengan mudah akan mendatangkan rasa percaya dan yakin sesama kita.

Kita menjadikan ringgit dan kebendaan sebagai Tuhan secara tidak langsung walau kita kata Tuhan itu satu. Tidak susah untuk kita menyuci dosa dan menunjukkan kepada masyarakat yang kita ini makhluk yang punya nilai percaya tidak berbelah bagi. Kita hanya perlu ke Mekah menunaikan haji atau umrah dan kita pun bersih walau yang nyatanya tatkala bangun pagi mata kita masih hijau akan harta dan gilakan kemewahan, bukankah kita di sini hanya menipu diri semata ?

Saya percaya kepada keikhlasan kita dalam mengenal siapa kita dan alam ini, itu lebih bermakna dan memberi kesan kepada jiwa. Apabila pulang nanti sama ada suka atau tidak kita perlu meninggalkan apa yang tersayang dan apa ada di badan. Roh itu tidak perlukan intan berlian dan angan-angan untuk bekal mengadap pencipta.

Saya agak terkesan tatkala satu babak dalam filem Wali Sembilan dialog antara Sheikh Siti Jenar (pengamal aliran wahdatul wujud) dalam sidang para wali, yang mana katanya, "Di antara kita memang harus ada yang mati, dan aku memilih kematian. Kematian adalah sebuah tidur yang panjang (untuk kita lebih mengenal diri)."

Apa yang terbaik, jalanilah kehidupan ini dengan berlapang dada dan tanamkan keyakinan bahawa kita ini adalah makhluk yang istimewa seperti janjiNya. Belajarlah apa yang tersurat dan tersirat, apa ada di luar dan di dalam tembok. Kita tidak akan rugi untuk itu. – 26 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved