Selasa, 1 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Memugar sokongan di negeri Melayu

Posted: 30 Sep 2013 06:32 PM PDT

October 01, 2013

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa sokongan pengundi Melayu kepada Umno/BN dalam PRU yang lalu telah merosot di empat negeri, memberi makna yang besar kepada dinamika politik negara ini di masa depan.

Dalam ucapannya di Kongres Khas Kebangsaan DAP bagi pemilihan semula pucuk pimpinan parti itu di Petaling Jaya kelmarin, Lim menyatakan bahawa sokongan undi Melayu kepada Umno/BN telah merosot, iaitu lebih dari 3% di Terengganu dan Perlis sementara 1% di Pahang dan Pulau Pinang.

Ini berlaku, kata Lim, walaupun Umno/BN mempunyai sumber kewangan yang banyak, mengawal media, meniupkan semangat perkauman dan lain-lain, tetapi undinya tetap merosot.

Kenyataannya ini yang tentunya datang dari hasil kajian partinya membuktikan bahawa politik di negara ini sangat dinamik sifatnya. Ia tidak statis atau beku, tetapi pantas berubah. Oleh itu, siapapun, baik pemimpin dan pendukung parti politik dalam Pakatan Rakyat serta individu yang berminat politik memikirkan dinamika politik ini.

Walaupun perubahan di empat negeri itu kecil saja kelihatannya seperti yang disebut oleh Lim, tetapi sudah ada "gegaran"  di kalangan pengundi Melayu walaupun bersekala kecil. Boleh jadi dalam PRU akan datang, "gegaran" itu akan bertambah besar.

Johor, negeri yang menjadi benteng Umno yang amat kukuh sejak sekian lama sudah dapat ditembusi dalam PRU yang lalu. PAS sendiri sudah mencapai empat kerusi DUN, di samping kejayaan besar DAP dan PKR.

Oleh itu dalam kontek Pakatan Rakyat, maka parti komponannya mestilah mengatur langkah dengan strategi berkesan untuk meluaskan lagi pengaruh Pakatan Rakyat walaupun dilihat sukar. Tidak mustahil perubahan pengundi Melayu itu akan bertambah besar di pelbagai negeri dalam PRU akan datang.

Untuk itu Pakatan Rakyat mesti diperkukuh dan jangan ada sama sekali, komponan dalam Pakatan menghantar isyarat salah yang boleh dilihat umum bahawa Pakatan menghadapi perpecahan.

Oleh kerana PAS paling banyak bertanding di kawasan pengundi Melayu di luar bandar maka PAS mungkin dilihat lebih besar tugasnya dalam memugar pengundi Melayu, terutama di luar bandar. Namun, komponan parti seperti PKR dan DAP sendiri perlu membantu PAS secara maksima ke arah mencapai objektif ini.

Umpamanya di kawasan yang majoritinya Melayu, DAP perlu hadir bersama program PAS untuk menerangkan dasar DAP yang tidak anti Melayu yang selama ini dilebel oleh BN. Demikian juga PKR mestilah turut membantu PAS bersama DAP di kawasan Melayu itu. Ertinya program bersama berterusan mestilah diadakan sekerap mungkin.

Saya tertarik menyaksikan beberapa kempen Pakatan Rakyat di Johor dalam PRU yang lalu di mana PAS, PKR dan DAP mengadakan kempen bersama, di pentas yang sama, di kawasan yang sama. Imej kesepakatan ini memberikan kesan yang sangat baik kepada pengundi di kawasan itu.

Di kawasan bandar dan semi bandar, demografi pengundi berbeza, umpamanya di Selangor, Pulau Pinang dan Perak, yang dilihat sokongan pengundi Melayu bandar kepada Pakatan sangat significan. Kemenangan 15 kerusi PAS di Selangor, umpamanya, memberikan kesannya sangat bermakna, bahawa PAS mampu menyerlah di kawasan bandar yang sifatnya sangat majmuk, menyebabkannya mendapat empat kerusi exco, sebuah pencapaian yang luar biasa.

Seperti diketahui, kawasan bandar – yang berganda ramai pengundinya – didominasi oleh masyarakat sivil, terpelajar, terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dari pelbagai sumber media baru yang sangat terbuka sifatnya. Ini berbeza dengan masyarakat luar bandar yang sangat tertutup, mendapat maklumat dari sumber media tradisi yang terbatas, dikawal oleh kerajaan BN dan menerima pelbagai habuan menjelang PRU.

Bagaimanapun keadaan di luar bandar itu sudah ada sedikit perubahan walaupun sangat perlahan. Oleh itu jika ada usaha besar-besaran dari Pakatan Rakyat, tidak mustahil perubahan lebih besar akan berlaku.

Dalam hubungan ini, pimpinan DAP yang telah bermesyuarat untuk memilih kembali pucuk pimpinannya, saya yakin akan terus bersedia bersama PAS dan PKR untuk mengatur strategi bersama yang lebih berkesan dalam usaha Pakatan mencapai kemenangan dalam PRU akan datang.

Dalam PRU yang lalupun DAP telah memperlihatkan kesetiaannya besama PAS dan PKR dalam mengatur program bersama semasa kempen yang menghasilkan kemenangan gemilang di kawasan bandar. Umpamanya di kawasan Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara dan Selatan, Serdang, Shah Alam dan lain-lain.

Sementara itu, PAS sendiri yang akan mengadakan Muktamar Tahunannya Ke-59 November ini, saya yakin, akan memperbaharui komitmennya untuuk terus bersama dalam Pakatan Rakyat. Saya juga yakin, pucuk pimpinan PAS mempunyai kematangan politik yang cukup untuk terus bersama pendukung Pakatan Rakyat.

Walaupun ada desakan dari Dewan Ulama PAS supaya mengkaji balik hubungan PAS dengan PKR, namun saya kira, Muktamar PAS November ini tidak akan mengambil sikap counter productive. Malah ia akan mengambil sikap yang matang, akan terus kekal dalam Pakatan. Pelbagai kenyataan pemimpin tertinggi PAS nampaknya memberi jaminan tersebut dan ini sangat melegakan.

Pada ketika Umno/BN sangat berhajatkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat dengan menyediakan ruang luas di media mereka untuk memaparkan bunga-bunga perpecahan itu, terutama mengenai isu "Ulama dan 'Profesional' dalam PAS", pemimpin PAS segera memberi jaminan bahawa isu itu tidak berbangkit, malah tidak wujud sama sekali.

Kepelbagaian pemikiran dan pendekatan di dalam PAS sebenarnya adalah perkara biasa dan ini memancarkan segarnya demokrasi di dalam PAS. Namun semua pendukung PAS yang berjumlah lebih sejuta orang itu, mempunyai fikrah yang satu, rebah dan bangun bersama Islam.

Tidak ada golongan yang lebih istimewa dari yang lain di dalam PAS, semuanya amilin yang mendukung prinsip yang satu. Cuma yang berbeza dalam memberi pendekatan di samping memberikan sumbangan kepada parti menerusi kebolehan masing-masing. Adapun keputusan muktamad mengenai sesuatu dasar parti akan diputuskan oleh Muktamar Tahunan PAS.

Oleh itu, saya yakin, Muktamar PAS November ini akan berikrar memperkukuhkan lagi Pakatan Rakyat. Komitmen ini, sudah tentu akan disambut gemuruh oleh rakyat Malaysia yang mahukan keadilan,  demokrasi dan keterbukaan. - 2 Oktober, 2013.

16 September, Hari Malaysia dan Chin Peng

Posted: 30 Sep 2013 06:15 PM PDT

October 01, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Rakyat Malaysia baru saja menyambut Hari Angkatan Tentera dan ramai yang menghadiri Perarakan Raksasa bersempena Hari Angkatan Tentera yang ke-80 yang berlangsung pada 21 September bersamaan hari sabtu yang lepas. Hari Angkatan Tentera disambut pada 16 September setiap tahun.

Saya turut hadir bersama keluarga menonton Perarakan Raksasa di Dataran Mereka pada pagi sabtu yang lalu. Sebenarnya yang beriya-iya sangat nak ke sana itulah salah seorang anak saya yang berumur 11 tahun, Aqeef namanya.

Saya cuba menjadi seorang ayah yang memahami apa kehendak dan kemahuan anaknya. Saya mahu anak-anak saya dapat merasai nikmat kehidupan di zaman kanak-kanaknya. Tidak ada rugi pun jika kita sama-sama meraikan hari yang menyeronokkan bagi mereka.

Nyata kepuasan dan rasa kagum jelas di mata anak-anak saya bahkan pada riak para pengunjung juga yang berpeluang berbagai pertunjukan seperti acara payung terjun, operasi menyelamat, perarakan kereta kebal dan banyak lagi yang kesemuanya menarik untuk ditonton.

Cuaca pun hari itu baik dan ramai yang hadir di Dataran Merdeka pagi itu. Saya kagum dengan para perajurit kita yang bersemangat dengan pakaian tentera mereka menyertai perbarisan kawat. Kita pun tidak kenal mereka sebagai individu. Ramai yang bergambar dan bangga dengan para perajurit kita.

Menonton mereka berkawat sambil menyanyikan lagu patriotik "Inilah Barisan Kita" dengan penuh semangat memang mendatangkan rasa bangga dalam diri saya. Kita masyarakat biasa tidak mampu melakukan pengorbanan sepertimana yang mereka lakukan.

Tapi itulah, mereka umpama lilin yang menerangi hidup kita. Setahun sekali mereka diraikan. Perjalanan hidup sebagai seorang askar tidaklah manja dan lemak seperti kita, saya faham tentang itu dan saya salut mereka!

Sebenarnya saya pernah menyertai Pasukan Simpanan Tentera Darat(PSTD) pada hujung tahun 80an dulu di Lumut. Itu pun secara paksa sewaktu di Institut Kemahiran Mara Lumut (IKM) dulu. Selama sebulan menyertai latihan memang menjadikan kita manusia yang lebih berdisiplin, kental dan bagus untuk memotivasikan diri untuk hidup kita di masa depan.

Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita tidaklah ramai sangat berbanding negara-negara jiran kita seperti Singapura, Thailand mahupun Indonesia. Bayangkan Tentera Darat kita hanya berjumlah 120 000 anggota sahaja berbanding Singapura seramai 372,000.

Begitu juga kelengkapan ketenteraan kita tidaklah sebanyak negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia.

Mungkin ramai anak muda hari ini yang tidak berminat untuk menyertai ATM. Mungkin kerana gaji yang tidak setimpal atau terpaksa menjalani kehidupan yang penuh disiplin sebagai seorang tentera pun mungkin juga. Saya juga tidak sanggup untuk menjadi seorang tentera sebenarnya.

Ramai kawan sekolah saya yang menyertai tentera dan polis selepas tamat era persekolahan. Salah seorang kawan sekolah saya, yang mana kami telah berjumpa semula selepas 20 tahun pada tahun 2008 dulu sewaktu saya tinggal di Ipoh dari tahun 2006 hingga tahun 2009 dulu.

Waktu itu beliau baru bersara sebagai seorang Pegawai Waran 2 dalam usia 43 tahun selepas berkhidmat selama 21 tahun dalam ATM.

Hasilnya kawan saya itu boleh goyang kaki sambil menikmati wang pencen setiap bulan sebanyak seribu tujuh ratus ringgit sebulan untuk sepanjang hayat. Sedang saya sehingga ke hari ini terpaksa bekerja untuk terus hidup. Tapi itulah, kita punya tugas dan watak masing-masing dalam hidup ini.

Ramai juga yang kecundang selepas bersara dari tentera. Gagal menguruskan hidup, putus asa, menjadi penagih dadah tapi ramai juga yang berjaya. Segalanya bergantung pada diri kita sendiri.

Peristiwa serangan pengganas di Lahat Datu, Sabah pada 11 Mac 2013 lalu masih segar bermain di ingatan kita rakyat Malaysia. Itu baru sikit, dalam lingkungan 300 pengganas sahaja dan pihak tentera dengan kerjasama PDRM berjaya mematahkan serangan mereka pada Mac 2013.

Saya kenal baik seorang bekas askar renjer yang kita panggil Pak Din. Pak Din berkhidmat dalam tentera selama 13 tahun dan yang menariknya beliau pernah berkhidmat di Sabah selama 3 tahun ( 1985-1987).

Pak Din selalulah bercerita kepada saya tentang pengalamannya sewaktu berkhidmat di Lahat Datu dan kawasan sekitarnya sewaktu beliau berkhidmat di sana dulu. Semangatnya sebagai tentera masih tersemat di jiwa walau sudah bersara.

Sewaktu Parti Komunis Malaya ( PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 untuk menentang British dan Jepun, menakluk Tanah Melayu pada tahun 1948 dulu saya masih belum lahir lagi. Pemberontakan mereka berlangsung sehingga tahun 1989 dan kita semua tahu yang ketua mereka Chin Peng baru saja meninggal dunia pada 16 September yang lalu, kebetulan hari matinya jatuh pada Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera.

Di sana sini ramai orang memperkatakan tentang Chin Peng yang penuh kontroversi itu terutamanya tentang abu mayat nya yang tidak diterima Kerajaan Malaysia dan sebagainya. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Kg Koh, Sitiawan.

Sewaktu saya bersekolah rendah di SRK Gangga dari tahun 1974-1979 dulu, guru besar sekolah saya ialah Ong Boon Chooi, adik Chin Peng. Beliau pernah mengajar dalam kelas saya sewaktu saya di darjah enam.

Apabila saya naik ke sekolah menengah pula, pun guru besar saya waktu itu Ong Boon Chuan, juga adik kepada Chin Peng. Jadi bagi saya ahli keluarga Chin Peng juga dikira berjaya dalam akademik , punya peranan dan berjasa juga kepada negara.

16 September juga kita menyambut Hari Malaysia. Semua rakyat tanpa mengira bangsa meraikannya  dan kenyataannya kita masih dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan aman damai, itu yang lebih penting. - 2 Oktober, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved