Sabtu, 12 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Evolusi Umno terhenti

Posted: 11 Oct 2013 08:03 PM PDT

October 12, 2013

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Hari ini perwakilan Umno di seluruh negara akan memilih pemimpin bagi sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Siapa yang dipilih akan memberikan isyarat tentang hala tuju parti Melayu terbesar itu bagi penggal ini sehingga menuju pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013 seharusnya memberikan pengajaran kepada Umno apabila menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) yang mereka pimpin itu sudah tidak lagi mampu untuk mendapatkan kuasa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Umno hidup sehingga hari ini dan masih lagi berkuasa sejak Malaysia merdeka kerana parti itu berevolusi mengikut perkembangan zaman.

Sejarah menyaksikan bagaimana apabila sosialisme dan komunisme popular di tanah air sekitar 60-an dahulu, Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil alih kuasa daripada Tunku Abdul Rahman melaksanakan dasar-dasar sosialisme seperti Bank Rakyat, Felda dan banyak lagi.

Selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang menyaksikan pertumpahan darah antara kaum Melayu dan Cina, Abdul Razak dengan beraninya memulakan hubungan diplomatik dengan negara komunis China.

Tindakan Abdul Razak itu berjaya melunakkan kemarahan kaum Cina selepas 13 Mei dan menyebabkan Umno dan BN relevan pada ketika itu dan menang Pilihan Raya Umum 1974 dengan majoriti besar.

Sokongan yang diterima Abdul Razak bukan hanya daripada kaum Melayu, tetapi Cina dan India serta etnik lain.

Satu lagi contoh yang dapat dilihat adalah peristiwa politik di sekitar Pilihan Raya Umum 1999. Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan Umno terpaksa membayar harga kehilangan sokongan majoriti Melayu sehingga menyebabkan negeri Terengganu ke tangan PAS.

Keputusan pilihan raya itu merupakan pendorong kepada perletakkan jawatan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Abdullah Badawi yang mengambil alih kepimpinan memulakan dasar Islam Hadhari di kala Islam popular dan Arabisasi semakin diterima orang Melayu.

Pilihan Raya Umum 2004 menyaksikan BN menang dengan majoriti paling besar dalam sejarah. Akan tetapi Abdullah gagal untuk melaksanakan reformasi yang beliau janjikan sehingga menyebabkan beliau dihukum dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Datuk Seri Najib Razak melancarkan gagasan 1Malaysia dalam kempen sebelum Pilihan RayaUmum  2013.

Majoriti dalam Umno tidak mengikut rentaknya. Di sebalik ucapan Najib untuk membawa Umno mengikut peredaran zaman, beliau ditekan oleh golongan dalaman terutamanya fraksi Dr Mahathir yang tidak mahu membiarkan evolusi berlaku mengikut kehendak zaman.

Najib dihukum lebih teruk dalam Pilihan Raya Umum 2013 walaupun Umno meningkatkan jumlah kerusinya.

Peningkatan kerusi Umno sahaja tidak bermakna apabila parti komponen seperti MCA dan Gerakan hampir dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Ini kerana kalau hanya bersendiri, Umno tidak akan mampu memerintah negara.

Hari ini, Najib sudah tidak lagi bercakap soal 1Malaysia. Apa gagasan terbarunya sudah tidak diketahui.

Pemilihan hari ini akan memberikan isyarat apakah orang Najib seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mampu mengekalkan kedudukan mereka untuk menyokong beliau dalam apa sahaja dasar yang ingin beliau bawa.

Jika tewas Khairy dan Shahrizat, lebih sukar bagi Najib melakukan evolusi kepada Umno mengikut perkembangan zaman seperti bapanya, Abdul Razak dahulu.

Jika evolusi Umno tidak berlaku, kita akan saksikan keputusan yang lebih menarik dalam pilihan raya akan datang dengan syarat Pakatan Rakyat berada dalam keadaan tersusun dan stabil. - 12 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved