Sabtu, 5 Oktober 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Rasuah budaya baru Malaysia

Posted: 04 Oct 2013 08:17 PM PDT

October 05, 2013

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Minggu ini peristiwa besar berlaku di negara jiran Indonesia apabila Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan (MK), Akil Mochtar.

Akil ditahan pada Rabu malam kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian pilihan raya umum (PRU) Pegawai Daerah Gunung Mas, Kalimantan Tengah.

Turut ditangkap bersama Akil di kediamannya pada ketika itu adalah seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dan seorang usahawan, dan pegawai KPK merampas wang dolar Singapura bernilai antara Rp2 bilion hingga Rp3 bilion.

Tindakan ini merupakan satu tindakan berani dalam usaha Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk memerangi rasuah walaupun penangkapan itu memberi tamparan hebat kepada institusi kehakiman Indonesia kerana Mahkamah Perlembagaan mempunyai reputasi sebagai satu daripada institusi paling bersih di republik itu.

Dua lagi suspek kemudian ditangkap pegawai KPK di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Jurucakap KPK, Johan Budi memberitahu sidang akhbar di bangunan KPK selepas penangkapan itu, KPK menangkap Ketua Mahkamah Perlembagaan berinisial AM kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian PRU Pegawai Daerah Gunung Mas itu.

Beliau juga mengesahkan lima suspek ditangkap suruhanjaya itu berhubung kes berkenaan, iaitu tiga orang di kediaman Ketua Mahkamah Perlembagaan di Jakarta Selatan dan dua orang di sebuah hotel di Jakarta Pusat.

Sementara itu, seorang hakim Mahkamah Perlembagaan, Hamdan Zoelva memberitahu pemberita di bangunan Mahkamah Perlembagaan selepas penangkapan itu, semua hakim mahkamah itu akan berusaha mengembalikan integriti dan kewibawaan Mahkamah Perlembagaan.

Di Malaysia minggu ini Laporan Ketua Audit Negara 2012 diedarkan kepada 222 anggota Parlimen yang menyaksikan wang pembayar cukai dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Laporan Ketua Audit Negara juga membuktikan rasuah, pembaziran dan kecuaian meresap masuk dalam kerajaan daripada peringkat bawah sehingga atas dan sudah menjadi budaya masyarakat negara ini terutamanya di kalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Bayangkanlah kakitangan kerajaan boleh menuntut RM300,000 untuk lawatan empat hari bagi mengkaji penggunaan sistem kecemasan 999 tanpa sebarang tindakan diambil dan bebas begitu sahaja.

Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan bayaran sebanyak RM320,000 oleh Kementerian Kesihatan kepada dua syarikat untuk dua kempen atas talian menerusi Facebook dan Twitter yang merupakan media sosial yang boleh digunakan secara percuma.

Selain itu Jabatan Kastam pula didedahkan membelanjakan lebih RM600,000 untuk membeli kasut dan but yang tidak digunakan.

Laporan itu juga mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan yang bernilai RM1.33 juta.

Daripada jumlah itu, statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.

Banyak lagi yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara yang tidak dapat dinyatakan di sini.

Di kala pembaziran wang pembayar cukai dilakukan oleh kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan apa alasan untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semasa Bajet 2014 nanti untuk menambahkan pendapatan negara?

Apa pula alasan untuk memotong lagi subsidi RON 95 nanti?

Apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibayar gaji oleh pembayar cukai?

Apakah SPRM hanya melihat sahaja dan berharap rakyat Malaysia akan melupakannya?

Golongan agama perlu memainkan peranan. Rasuah dan penyelewengan adalah masalah yang lebih besar daripada pasangan bukan muhrim berdua-duaan di bilik hotel!

Jangan sampai masyarakat antarabangsa melihat Islam mazhab Malaysia menghalalkan rasuah dan hanya cekap dalam melakukan "tangkap basah". – 5 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved