The Malaysian Insider :: Bahasa |
Adnan kesal pihak tertentu politikkan kejadian banjir Posted: 20 Dec 2013 03:07 AM PST Beliau berkata mereka terbabit seolah-olah menafikan takdir dan ketentuan Allah. "Ada pihak mendakwa kononnya kerana BN memerintah berlakunya bencana banjir sehingga rakyat susah. Apa yang dicakapkan itu bukan disebabkan kerajaan, tetapi jika siapa juga memerintah waima pembangkang sekalipun jika banjir berlaku, ia tetap berlaku. "Janganlah kita menyalahkan sesiapa dengan mempolitikkan bencana banjir ini," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat nasional dan penghargaan kepada para sukarelawan di Masjid Abu Bakar, Temerloh, hari ini. Bantuan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mengenai kerjasama yang boleh diberikan pembangkang, menteri besar berkata apa yang perlu dilakukan ialah mereka turut turun padang membantu mangsa banjir. "Tetapi bukan hanya dengan turun sekali-sekala dan membawa beberapa kampit beras untuk diberikan kepada mangsa banjir, sudah mendabik dada serta heboh dalam media sosial," katanya merujuk sikap segelintir anggota parti pembangkang dalam menghulurkan bantuan di negeri ini. Adnan berkata kerajaan melalui pelbagai agensinya telah dan sedang memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang membabitkan lebih 13,000 keluarga dan lebih 61,000 mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sebelum ini. Beliau berkata selain kerajaan, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah juga prihatin terhadap musibah yang menimpa rakyat dengan memberikan bantuan wang tunai RM500,000 untuk membeli barang keperluan kepada mangsa banjir. Adnan meminta semua rakyat Pahang yang ditimpa musibah banjir supaya banyak bersabar dan reda dengan ujian Allah itu. Beliau turut berterima kasih kepada semua agensi kerajaan terbabit, para dermawan, pihak swasta serta individu yang memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang. - Bernama, 20 Disember, 2013. |
Perbicaraan kes saman Anwar terhadap Anifah ditetapkan 8 April Posted: 20 Dec 2013 02:48 AM PST Kes saman itu berhubung kenyataan menteri berkenaan dalam satu sidang akhbar di Washington empat tahun lalu. Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Syed Ismat Syed Muhamad yang mewakili Anifah, dan peguam Masturina Mohamad Rodzi yang mewakili Anwar. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Januari lepas memerintahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Anwar bagi menghidupkan semula saman sivil beliau terhadap Anifah atas kapasiti peribadi menteri itu. Pada 6 Januari 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan untuk membatalkan saman berhubung kenyataan yang dibuat menteri itu pada Mei 2009 semasa sidang akhbar di Jabatan Negara di Washington. Pada 27 Mei 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasiti peribadi dan rasmi beliau dan kerajaan Malaysia atas dakwaan menteri itu memfitnahnya dalam sidang akhbar Anifah bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton. Beliau mendakwa kenyataan Anifah tidak berasas dan telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing. Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama, 20 Disember, 2013. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan