Rabu, 11 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Di manakah skrip-skrip itu hendak dipentaskan?

Posted: 10 Dec 2013 03:59 PM PST

December 11, 2013

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Sambil membimbing peserta kursus penulisan skrip drama pentas selama 14 sesi (14 minggu) itu saya pun terfikir juga - untuk apa skrip-skrip drama pentas (teater) hendak dihasilkan banyak kalau pementasannya masih sukar untuk dilaksanakan, disebabkan kerajaan masih enggan memperuntukkan bajet yang munasabah untuk itu?

Tetapi saya meneruskan juga tugas membimbing itu. Alhamdulillah, beberapa orang menunjukkan bakat yang sangat memberangsangkan. Maksudnya kalaulah kita memerlukan skrip baru untuk pementasan, beberapa skrip yang dihasilkan oleh peserta kursus ini layak untuk diangkat dan dipentaskan. Karya Ayieat Farid misalnya, pasti akan meletupkan sesuatu yang boleh menggegarkan masyarakat kita hari ini. Demikian juga dengan karya Kassim Muhamad, walaupun akan menghadapi masalah dalam hal teknikal daripada segi pengarahannya.

Sebuah rumah itu tiba-tiba tidak lagi menjadi rumah manusia, tetapi rupa-rupanya rumah para syaitan, dengan sang Atok itu bapanya syaitan, walaupun tidak ada lakonan atau mekap yang meniru syaitan, dan tanpa sekali pun disebut kata 'syaitan' dalam skripnya. Hanya kepala saya yang membacanya merumuskan demikian. Maka saya tak bersetuju dengan judulnya "Suci Dalam Debu". Tak sesuai. Farid perlu berikan judul yang baru. (Tapi itu hanya cadangan. Pilihan tetap pada Farid).

Malah bukan dua itu saja skrip yang bagus. Ada lagi. Karya-karya peserta dari Bali (Indonesia) dan Bangladesh (dalam bahasa Inggeris) itu pun boleh dipentaskan. Demikian juga monodrama "Uri" karya Nik Norimani, dan beberapa lagi - daripada Firdaus dan Amera Yusof, semuanya boleh dipentaskan. Cuma soalnya di manakah skrip-skrip itu hendak dipentaskan?  

Nik Norimani mungkin tidak akan menghadapi masalah untuk mementaskan "Uri", kerana drama itu hanya memerlukan seorang pelakon sahaja. Kalau ada sedikit bajet lebih, bolehlah dimasukkan juga penyertaan beberapa orang korus bagi memeriahkan lagi persembahan itu.

Namun faktor paling pentingnya ialah Nik Norimani itu sendiri; walaupun masih belajar di tahun akhir di Universiti Malaya, dia sudah menjadi aktivis teater yang sangat aktif dan sudah banyak terlibat dengan pementasan, sebagai sinografer, pereka cahaya dan berlakon. (Pementasan teater saya "Pengisytiharan Abul 'As Menantu Nabi" di Kota Bharu 15 Mac lalu, dialah sinografernya). Maka, tentulah dia tahu di mana dan bagaimana boleh mendapatkan penganjur untuk pementasannya.

Kalau saya masih di usia sedang aktif selepas universiti dulu saya pasti teruja untuk mementaskan karya Panji Wilimantara dari Bali yang berjudul "Apa Jadinya?". Sebab apa? Sebuah karya yang kelihatannya mudah dan ringkas, berlatar hutan, gubuk usang dan anak sungai di hutan, tempat dua insan sang bapa dan anak lelakinya tinggal dengan berburu dan menangkap ikan, lalu mereka bercakap soal mengapa manusia perlu kahwin. Ternyata Panji pelajar wayang kulit ini walaupun katanya belum ada pengalaman menulis tetapi gayanya mencipta dialog yang begitu segar bersahaja membawa nada humor bersama makna yang filosofis Hindu itu - saya seperti tidak mahu percaya bahawa "Apa Jadinya?" adalah skripnya yang pertama. Mitos Jaratkaru yang dimasukkan dengan unsur teatrikal itu pasti mampu mengangkat skrip ini menjadi satu persembahan yang menarik.

Nah, itulah dia, kursus penulisan skrip teater 14 minggu yang sedang saya bimbing sekarang ini membuktikan bahawa kita sebenarnya tidak bermasalah dalam penulisan skrip, kalau kita benar-benar mengingin dan memerlukan skrip untuk pementasan. Kita sebenarnya mempunyai ramai yang berbakat. Kita boleh melahirkan ramai lagi penulis skrip teater yang boleh menghasilkan karya bermutu dan boleh memberi nafas segar kepada dunia teater.

Hanya satu masalah dan halangan besar dalam dunia teater kita yang belum dapat kita atasi, iaitu masalah kesedaran pentadbir dalam kerajaan atau pihak berkuasa dalam negara kita sekarang terhadap pentingnya aktiviti teater dan perlunya diperuntukkan sejumlah bajet mencukupi bagi mengaktifkan aktiviti teater.

Itulah masalah kita yang sebenarnya dalam dunia teater di Malaysia hari ini. Untuk menghasilkan skrip bermutu nampaknya tidak begitu bermasalah. Yang bermasalah ialah untuk mementaskannya, kerana skrip-skrip itu perlu dipentaskan. Dan itulah perkara yang sering saya ulangi kepada peserta tersebut: "Mesti ingat dalam kepala sewaktu kita menulis, bahawa tulisan kita ini adalah untuk dipentaskan, untuk dilakonkan di atas pentas, dan ada penonton yang menonton lakonan cerita yang kita tulis ini."

Pesanan tersebut penting, untuk memandu pemikiran dan kreativiti penulis skrip. Makanya dalam sesi-sesi perbincangan pun hal bagaimana sesuatu skrip itu hendak dipentaskan selalu dibangkitkan, hingga sering juga saya perlu mengingatkan, begini:

"Kita ini penulis skrip. Kenapa nak fikirkan sangat soal bagaimana adegan itu hendak dipentaskan. Itu kerja pengarah. Biarlah pengarah yang memikirkannya. Susah atau senang hendak pentaskannya, boleh atau tak boleh, itu bukan urusan penulis. Penulis hanya menyediakan bahan untuk direalisasikan ke atas pentas oleh pengarah. Kalau ia tak boleh dibuat hari ini, belum ada orang yang tahu bagaimana hendak membuatnya, tak mengapa, suatu hari nanti pasti akan ada orang yang boleh membuatnya. Tulis saja. Jangan bataskan imaginasi kamu."

Dalam skrip Farid misalnya, Habil menghentakkan kepala ibunya berkali-kali dengan seketul batu besar. Kata seorang peserta dalam perbincangan: "Biar kepala itu hancur berkecai." Bagaimana membuat itu? Biarkan sang pengarah yang memikirkannya. Biarkan itu menjadi cabaran kepada pengarah yang akan mengarah skrip itu nanti.

Demikian juga dengan skrip Kassim Muhamad. Terdapat beberapa adegan yang tak siapa pun tahu bagaimana hendak menunjukkannya di atas pentas. Tetapi tak mengapa, kata saya. Masalah itu boleh difikirkan kemudian. Sekarang tuliskan saja, kalau itu idea yang hadir dalam kepala.

Begitulah, sebuah teater itu prosesnya pasti akan mengalir menuju kepada pementasan. Maka pementasan itu mesti ada. Tak dapat tidak. Dan pementasan memerlukan peruntukan kewangan yang mencukupi, sedangkan teater bermutu itu di mana-mana pun di dunia ini bukanlah produk yang boleh dikomersialkan. Ia mesti dibiayai oleh kerajaan atau pihak yang kaya (korporat, yayasan, individu filantrofis) dan tidak mengharapkan keuntungan daripada wang yang dibelanjakan untuk teater.

Tetapi kita tidaklah pula boleh menunggu saat bertuah itu. Apa yang boleh kita lakukan sekarang perlu kita lakukan sekarang. Kalau kebetulan ada bakat di bidang penulisan yang boleh dibimbing dan diangkat menjadi penulis, kita lakukan; kerana di situ pun mungkin ada tenaga ampuh seperti Nik Norimani itu, bersama kawan-kawannya, yang mampu menemukan jalan bagi memungkinkan teater selalu dipentaskan.

Kassim Muhamad juga sudah banyak kali terlibat dalam kerja pementasan, mengkhusus di bidang pengurusan, (di samping menulis esei, cerpen dan puisi). Hanya kali ini secara serius dia mahu menulis skrip teater. Kebetulan melalui kursus ini dia menghasilkan sebuah skrip yang sangat menarik. Mengangkat sang ular menjadi suatu watak yang melengkapkan kehidupan seorang anak muda berwawasan besar. Tetapi sang ular berwawasan lebih besar, hingga akhirnya berlaku pertembungan dan pertarungan yang dahsyat.

Tentu dia pun inginkan karyanya yang luar biasa itu dipentaskan, untuk melihat sejauh mana kreativiti dan teknologi boleh saling membantu bagi mencipta sebuah karya seni yang berbeza dan menarik.

Nampaknya, seperti yang memang selalunya pun begitu, penulis tidaklah selesai kerjanya dengan sekadar menghasilkan skrip sahaja. Mereka perlu juga terus berusaha semampunya, bagi membawa hasil karya mereka itu ke hadapan penonton. – 11 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Tentang gambus, festival dan sifatnya

Posted: 10 Dec 2013 03:24 PM PST

December 11, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Saya ingin menjemput pembaca dan peminat muzik untuk cuba luangkan masa pada sabtu ini, 14 Disember 2013 (8 malam - 10 malam) dan hadir memeriah serta memberikan sokongan dengan menonton persembahan 'live' pemain gambus/oud dalam dan luar negeri di Festival Gambus Kebangsaan (NGF 2013) di  Auditorium Mini JKKN, Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan oleh National Conservatory of Art (NCA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Seperti biasa, untuk program yang berbentuk ilmiah ini tiket masuk adalah percuma, sebab umum tahu orang kita yang majoritinya Melayu masih ingin dan lebih ghairah kepada pertunjukan hiburan artis glamour yang tidak tahu berlakon, tapi laku sebagai pelakon kerana kisah putus tunangnya menjadi bahan cerita masyarakat atau belanja kawin yang mencecah hingga RM13 juta.

Saya juga akan faham jika yang membuat persembahannya penyanyi popular seperti Hafiz atau Faizal Tahir contohnya yang dijemput untuk bermain gambus secara miming, saya gerenti walau dikenakan bayaran, pasti ramai yang akan hadir. Mereka bukan hendak dengar muzik gambus, mereka cuma excited lihat penyanyi pujaan main instrumen pelik.

Yang tidak berbakat menyanyi, tapi laku sebagai penyanyi walau yang ditonjolkan hanya cermin mata rayban sambil tersengih berposing menggamit orang kampung menampal wajah mereka di bilik sambil berangan sampai kiamat.

Jadi kita faham tentang senario mentaliti masyarakat yang tidak minat dan faham sangat tentang muzik, berbanding hiburan dan gossip di negara yang kebanyakan rakyat dan pemikiran mereka sudah mencapai tahap tepu ini.

Bukan itu saja, bahkan tidak ada bajet atau tajaan daripada segi ringgit kecuali tempat yang disediakan, juga makan dan minum. Sebenarnya ini kali kedua program seperti ini diadakan.

Kali pertama ia berlangsung tahun lalu, tapi tanpa ada promosi ia kurang mendapat sambutan melainkan galakan dan sokongan pihak yang terbabit.

Saya rasa kerajaan perlu memberi sokongan wang ringgit kepada mereka yang terlibat kerana program berbentuk ilmiah seperti ini walau hasil pulangannya daripada segi komersial tidak memberangsangkan, namun untuk jangka masa panjang, ia penting untuk anak cucu kita nanti tahu apa itu muzik zapin, ghazal, mahupun muzik Timur Tengah.

Agak menghairankan kerana peruntukan kerajaan untuk cabang seni dan budaya itu sepatutnya lebih mencukupi sebenarnya, tapi itulah, apabila segalanya dipolitikkan maka jadilah ia seperti cerita biasa yang selalu kita tonton dan baca hari ini.

Raja Zulkarnain dan gambusnya.Raja Zulkarnain dan gambusnya.Saya sempat bertemu dan berbual panjang dengan orang kuat program NGF baru-baru ini, Raja Zulkarnain (lahir 1971 di Muar, Johor) atau nama panggilannya Zul yang merupakan aktivis gambus di negara kita ini.

Kita kata aktivis kerana tahap dedikasi dan minatnya yang mendalam terhadap alat muzik tradisional terutama gambus agar dapat diterima secara komersial di negara kita ini.

Saya rasa jika kita bercerita tentang gambus atau oud, sebenarnya alat muzik ini namanya oud, bukan gambus.

Tetapi, kita sudah terbiasa dengan nama gambus Melayu oleh orang lama dulu yang memang terlalu menjaga adat dan budaya.

Orang dahulu tidak gemar muzik tradisional lama seperti zapin dan joget diusik mahupun ditambah sesuai dengan peredaran zaman.

Tidak menghairankan antara sebab itu juga muzik tradisional kita kekal selamanya di sini dan sukar untuk berkembang di merata dunia seperti muzik blues dan jazz.

Zul penting dalam dunia gambus tanah air selain nama-nama lama yang kita kenal seperti allahyarham Fadhil Ahmad.

Penting kerana selain pernah menjadi tenaga pengajar untuk alat muzik gambus di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari 2003 hingga 2010, sebelum ASK ditukar namanya kepada Aswara pada 2005, beliau juga berjaya menghasilkan sebuah buku hasil karangannya bertajuk 'Oud , Warisan Seni dari Timur Tengah' yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad pada 2013.

Beliau pernah berguru dengan Nasheer Shamma selama mendalami muzik gambus di Kaherah, tokoh muzik oud terkenal di persada antarabangsa yang berasal dari Iraq.

Jadi, bagi kita yang berminat untuk kenal dengan lebih mendalam apa itu gambus, oud atau sejarahnya, bolehlah memiliki buku tersebut yang boleh didapat di kedai-kedai utama.

Menariknya tentang Zul, asalnya beliau mendalami ilmu gitar di G I T London dari 1999-2000 namun selepas mengenali alat muzik oud pada 1999, beliau mula jatuh cinta sehingga 3 bulan berikutnya beliau berguru dengan seorang tenaga pengajar gambus di London.

Alat muzik oud ini sangat unik, seperti kata Zul. Oud baginya adalah tentang elemen mistik yang terdapat di dalamnya. Saya akui katanya itu, sama seperti sitar yang mana untuk mencapai tahap 'feel' atau 'rasa', ia bukan suatu yang mudah.

Sama seperti saya menonton persembahan atau mendengar muzik Munir Bashir (oud), Naseer Shamma (oud), John McClaughin (guitar), Paco De Lucia (gitar flamenco) mahupun Osman Ali Khan (sitar). Mereka akan membawa kita secara perlahan-lahan masuk ke dunia mereka melalui irama yang dimainkan. Nilai asyik itu sukar untuk digambarkan. Benarlah kata pujangga, kita hanyalah alat saja, segala bunyi dan rasa itu milikNya yang abadi jua.

Untuk program NGF 2013 ini nanti, antara peserta ialah Muhammad Razman Shaharin Hadi (pemain gitar flamenco dari Malaysia), Ismahairi Putra (Singapura), Mohd Zulhafis Zulkeply (UPM), Syech Razie Ali Maula Dawilah (Indonesia), Nathan William Fischer (USA), Zulkifli Ramli (Dewangga Sakti) dan Eric Zang (USA).

Saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada Zulkarnain, saya percaya jika kita tekun dengan watak yang kita jalani ini, akan ada hasil dan hikmahnya di kemudian hari. – 11 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved