Rabu, 4 Disember 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Apabila Najib kemaruk naikkan harga

Posted: 03 Dec 2013 03:54 PM PST

December 04, 2013

Dr Dzulkefly Ahmad is a member of the PAS central working committee and ex-MP of Kuala Selangor.

Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak-Barisan Nasional (BN) semacam orang 'kemaruk' persis 'baru lepas berpantang'. Sejak pembentangan Bajet 2014, Najib tidak lagi peduli akan kesan tindakan polisi kewangan yang membebankan kepada rakyat khasnya rakyat berpendapatan rendah.

Yang pentingnya beliau kini adalah untuk mengatasi bebanan hutang yang hampir sangat mencecah had statutori yang tidak diizinkan undang-undang yang digubal sendiri oleh BN satu ketika dahulu. Najib baru mengakui bahawa negara akan bankrap kalau langkah drastik dan konkrit tidak diambil segera. Najib semacam orang baru sedar dari koma atau mimpi negeri yang panjang. Kerana terlalu bermewah dan boros dahulu kini tindakan beliau dalam kegusaran dan perhitungan beliau serba tak kena nampaknya.

Kalau Maybank Investment Bank (IB) pada Oktober lalu mengumumkan inflasi paling tinggi dalam tempoh 20 bulan kerana kenaikan 20 sen RON 95 dan diesel pada September 2013 lalu, maka rakyat mesti bersiap dengan kenaikan inflasi yang paling parah pada tahun depan ini akibat pelbagai kenaikan yang dilakukan kerajaan Najib mutakhir ini.

Semasa mengumumkan tentang pengenalan GST dalam Bajet 2014,  Najib mengisytiharkan penarikan balik subsidi gula sebanyk 34 sen sekilo. Pelbagai alasan diberikan untuk kesihatan rakyat. Harga gula melonjak dari RM2.50 sekilogram ke RM2.84 sekilogram.

Kenapa harga runcit lebih mahal darioada harga pasaran gula mentah dunia adalah kerana isu monopoli. Gula diimpot oleh dua syarikat yang diberikan AP iaitu Felda Global Venture dan Tradewind.

Tetapi lebih pelik lagi, kedua-dua membeli gula secara kontrak jangka panjang yang dibuat oleh kerajaan sendiri bagi pihak mereka daripada pembekal gula mentah dunia. Meskipun harga gula dunia turun, kontrak jangka panjang yang kerajaan meterai adalah pada harga lama yang lebih tinggi. 

Sepatutnya kerajaan mesti letakkan risiko turun-naik harga pasaran komoditi ini (hedging) ini kepada pembekal gula yang mengimpot. Maka jelasnya kroni terus membuat keuntungan ratusan juta RM sementara rakyat tanggung impak kenaikan harga gula sebab kononnya kerajaan tidak sanggup lagi menampung subsidi.

Hakikatnya yang disubsidi adalah dua syarikat kroni yang terus untung hampir RM1 bilion mengikut dakwaan sesetengah pihak. Inilah yang dikatakan 'celaka' yang menimpa rakyat!

Bayangkan kalau Pakatan Rakyat perintah Putrajaya, kami tidak hanya beri AP kepada dua syarikat. Kami akan buka AP kepada semua pihak yang mampu mengimpot gula lantas mengizinkan persaingan tanpa diganggu atau diherot 'kuasa pasaran' atau 'distortion of market forces' dengan monopoli.

Semacam tidak puas menganiaya rakyat dengan kenaikan harga bahan bakar iaitu petrol dan diesel serta gula, semalam Menteri Tenaga, Teknolog Hijau dan Air, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa tariff elektrik di Semenanjung dinaikkan dari 33.54 sen/kWj ke 38.53 sen/kWh bersamaan kenaikan 4.99 sen/kWj atau 14.89% (15%).

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj. Kedua-dua kenaikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2014, umum Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili (kanan) petang semalam.

Bagi membuktikan bahawa kerajaan prihatin kepada rakyat berpendapatan rendah, Maximus berkata kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Labuan bagi penggunaan bawah 300 kWj sebulan.

Kerajaan katanya, akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20.00 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

Di sini kerajaan Najib-BN tampak sama ada tak cerdik atau tak peka atau mungkin kedua-duanya sekali. Kesan kenaikan tarif adalah seperti juga ketika kesan gula atau bahan bakar seperti petrol dan diesel dinaikkan. Ingat! Beban bukan hanya pada harga bahan tersebut yang menghimpit rakyat.

Kecelakaan yang menimpa rakyat adalah kesan rantaian atau 'knock-on chain effects' yang dicetuskan oleh kenaikan bahan-bahan asas seperti bahan bakar petrol dan diesel, gula dan tarif utiliti asas seperti elektrik ini! Jelasnya kenaikan ini mencetuskan pelbagai barang makanan dan minuman juga perkhidmatan yang melibatkan tenaga dan elektrik bakal mengalami kenaikan harga.

Betullah kerajaan boleh membantu rakyat dengan pelbagai kaedah termasuk pembayaran rebat bagi melindungi golongan berpendapatan rendah. Tapi jangan sampai untung secupak, rugi segantang!

Yang rakyat mahu ingatkan Najib-BN ialah inflasi atau kos kenaikan barangan dan perkhidmatan akibat kenaikan tarif elektrik ini pasti akan membebankan semua rakyat. Tentunya yang berpendapatan rendah akan merasakan impak paling teruk. Mereka tidak mampu mendapat kenaikan pendapatan berbanding golongan eksekutif yang boleh mendapat kenaikan gaji secara mendadak.

Terkini diramalkan pelbagai pihak, termasuk Badan Penyelidik Bank Pelaburan (IB) seperti RHB dan Maybank, bahawa inflasi dengan ukuran Indek Harga Pengguna (CPI) bakal melonjak ke tahap 3.5% hingga 4% tahun depan. Tidak dapat dinafikan bahawa inflasi sebenar yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih tinggi.

Bagi menangani unjuran buruk inflasi tahun depan, beberapa badan penyelidikan bank pelaburan (IB) membuat ramalan bahawa Bank Negara (BNM) akan menaikkan kadar pinjaman semalaman (OPR) dengan 25 hingga 50 basis point, dari 3.0% kin ke paras 3.25% ke 3.50%.

Bayangkan kesan kepada peminjam di segi kenaikan kos pinjaman dan bayari an ansuran bulanan mereka. Statistiktentang pinjaman tak-berbayar atau Non-Performing Loan (NPL) nampaknya sengaja disembunyikan BNM. Apakah semua ini akan meningkat kadar kebankrapan atau kemuflisan rakyat?

Sangat tidak bertanggungjawab untuk Najib menjadikan inflasi lebih teruk lagi dengan penarikan subdisi dan serentak memeras serta mencekik rakyat dengan cukai seumpama GST nanti. Rakyat seumpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Badan Utiliti gergasi seperti TNB ditubuhkan bagi memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Betul ia juga sebuah syarikat komersial. Namun rakyat mengingatkan Najib-BN bahawa akhir bulan Oktober lalu, TNB baru sahaja mengisytiharkan 'keuntungan bersih' untuk tahun kewangannya berakhir Ogos 2013 sebanyak RM4.61bilion berbanding RM4.41bilion tahun sebelumnya.

Maka syarikat-syarikat milik kerajaan seperti TNB wajar dan wajib mengimbangi khidmat kepada rakyat sebagai 'pemilik' atau 'stakeholders' sebenar negara ini dengan perhitungan keuntungan atau 'bottomlinenya.

Sekali lagi, dalam pelbagai penerusan dasar monopoli dan amalan runding-langsung dalam projek berskala besar atau 'big-tickets items'', termasuk subsidi kepada syarikat Penjana Tenaga lebih Bebas (IPP) yang menelan berbillion RM setahun, Najib-BN lebih bersedia dan rela melindungi kroni mereka daripada melindungi rakyat teramai.

Sangat malang! – 4 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Bahtera post Muktamar PAS ke-59

Posted: 03 Dec 2013 03:46 PM PST

December 04, 2013

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

Muktamar baru sahaja berlalu dan semua aktiviti seakan kembali normal bagi pimpinan dan ahli PAS. Kini mata tertumpu pada Perhimpunan Agung Umno walaupun pemilihan sudah pun dilakukan. Namun tulisan saya bukan tentang Perhimpunan Agung Umno, saya lebih berminat untuk melihat pasca muktamar PAS kerana suasana kehadiran muktamar ke-59 baru-baru ini dipenuhi dengan pelbagai kempen dalaman berbagai pihak yang boleh disifatkan sebagai agresif.

Saya menamakan suasana ini sebagai dinamika kumpulan dalam usaha untuk meletakkan kedudukan masing-masing dalam hirarki parti. Namun apa yang lebih utama dalam dinamika kelompok ini ialah kesannya yang jika tidak dikawal dengan baik oleh kepimpinan tertinggi akan berpotensi menjadi barah yang melemahkan dan membunuh parti.

Implikasi

Proses pembarahan tidak akan berlaku dengan cepat. Ia umpama 'killing me softly' dan apa yang kita saksikan dalam kelincahan kempen sebelum muktamar adalah asakan kumpulan untuk mendapat pengiktirafan melalui perwakilan.

Pada waktu yang sama ia adalah tanda kematangan dan perkembangan PAS, malangnya ia juga tidak berakhir dengan berakhirnya muktamar. Kesan keputusan  muktamar tidak menyenangkan pihak tertentu dan mereka meneruskan asakan dalam pembentukan barisan Kabinet khususnya di peringkat Pemuda. Ia menandakan permulaan kepada satu cabaran besar kepimpinan Presiden PAS dan pasukannya berhadapan dengan proses perkembangan dan konflik dalaman parti.

Apa yang membimbangkan pemerhati yang mahu melihat PAS maju ke hadapan ialah konflik dalaman berterusan akan mengalihkan tumpuan untuk membina kekuatan parti bagi persediaan PRU14.

Setiap kelompok akan mengukuhkan lagi kedudukannya pada pemilihan dua tahun lagi dan isu seperti pelaksanaan hudud dan perundangan Islam akan menjadi polemik dalaman yang pada hakikatnya tersemat mesej siapakah yang lebih kuat nadanya memperjuangkan isu ini.

Dalam hal ini, pertembungan idea pengoperasian Islam dalam konteks kuasa akan berterusan lewat garis keras dan sederhana dalam perdebatan parti. Ia akan memberi kesan kepada strategi parti kerana idea itu akan memberi impak kepada persoalan komitmen dengan PR, persoalan demokrasi dan konteks dinamika kepelbagaian kaum di negara ini.

Terpulanglah kepada kepimpinan parti untuk mengendalikan gelora yang tidak dapat dielakkan ini mengikut perkiraan dan pertimbangan siyasah syariyah yang bijak.

Tenang setelah gelora?

Tiada yang tenang dalam kehidupan sesebuah organisasi politik kerana organisasi kepartian 'bernyawa' atas gelora ini.  Ia akan menguji kepimpinan kerana memimpin dalam cuaca tenang tidak memerlukan kehebatan manakala memimpin dalam ribut dan lautan bergelora memerlukan seseorang itu menggunakan segala skil kepimpinan yang ada.

Pasukan kepimpinan yang akan membawa cabaran ini tidak boleh mengambil sikap 'sweep under the carpet' seperti lazimnya dibuat oleh mereka yang lebih suka 'lari' daripada masalah, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah dan untuk melakukan demikian ia memerlukan pemimpin yang berisiko tinggi meletakkan popularitinya terancam.

PAS tidak memerlukan pemimpin yang popular dalam mengharungi cabaran pasca muktamar ke-59, jika ia serius untuk melakar masa depan yang cerah dalam politik tanah air.

Pemimpin yang bertindak atas memenuhi kehendak kelompok tertentu dan tiada data yang bebas dan berkecuali untuk membuat keputusan hanya akan menyuburkan barah sedia ada sehingga pemimpin itu sendiri sendiri akan terancam kerana barah ini.

Pulau impian

Istilah 'pulau impian' menjadi  sandaran harapan kepada mangsa gelora badai dan ribut taufan yang melanda sesebuah perjalanan. Ia harapan kepada kelegaan dan idaman kepada ketenangan dan kerehatan.

Walaupun ia satu harapan namun dalam melalui badai perjuangan, istilah rehat dan pulau impian hanyalah motivasi untuk melalui satu ujian kepada satu ujian yang lain. Sebesar-besar ujian ialah mengekalkan bahtera terus dikemudi dalam lautan ganas, nakhoda senantiasa meletakkan orangnya di tempat yang tepat dan menyemarakkan semangat untuk terus fokus sampai ke destinasi.

Kepimpinan post-muktamar perlu menjadi nakhoda dan pengemudi yang cekap dan tiada kompromi kepada unsur yang menghalang fokus perjalanan ini. Kepimpinan yang mementingkan populariti dan suka ambil jalan mudah tanpa sistem membuat keputusan yang adil dan bebas untuk menguruskan parti, hanya akan menyuburkan perbalahan dan bahtera mungkin akan tenggelam. 

Dalam hal ini, saya sudah pun melihat perjalanan kali ini akan menjadi mencabar, parut terluka perlu masa yang lama untuk sembuh, pemimpin tak perlu menikmati masa bulan madu kerana seharusnya mereka sudahpun bekerja sejak kelmarin lagi. Selamat belayar. – 4 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved