Ahad, 19 Januari 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Selepas gagal dengan isu agama, 13 Mei pula dibangkitkan

Posted: 18 Jan 2014 03:54 PM PST

January 19, 2014

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.

Tingkah laku ahli-ahli politik di Malaysia amat menyedihkan. Selepas isu agama seperti kalimah Allah dipolitikkan, tanpa segan silu tragedi berdarah 13 Mei 1969 pula dimainkan.

Sudah tidak ada lagi rasa cinta dan sayang kepada negara. Mereka hanya sayangkan kuasa dan kekayaan walaupun tahu, ia tidak boleh dibawa ke dalam kubur.

Sebagai tindak balas kepada flash mob yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon daripada PKR yang menyumbatkan kangkung ke dalam efigi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, Umno Pulau Pinang semalam mengadakan satu perhimpunan bantahan.

Kira-kira 600 orang berhimpun dengan sepanduk dipegang tertera dengan ayat "Menghina PM seperti menghina Melayu", "Melayu Pulau Pinang bertahan kerana makan kangkung", "ABCD_ Asal bukan Cina DAP" dan "DAP musuh Islam".

Selain itu terdapat juga sepanduk berbunyi, "Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969... adakah anda mahu lagi?".

Yang menghairankan, walaupun Adun Machang Bubuk bukan ahli DAP, parti tunjang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang itu juga yang menjadi mangsa.

Mungkin juga Umno Pulau Pinang sudah menganggap semua orang Cina adalah ahli DAP, maka parti itu harus dipersalahkan dalam apa sahaja masalah yang berlaku.

Ataupun seperti biasa, kerja rumah tidak dibuat terlebih dahulu sebelum membuat bantahan. Ataupun penganjur perhimpunan tidak membaca akhbar terlebih dahulu sebelum membuat sepanduk.

DAP adalah soal kedua, lebih penting lagi, mengapa tragedi berdarah 13 Mei perlu dibangkitkan kembali?

Apakah kerana isu kalimah Allah gagal untuk memenangi hati orang Melayu bandar yang terdedah kepada maklumat daripada internet?

Ataupun pimpinan Umno Pulau Pinang berfikir hanya dengan tragedi berdarah seperti 13 Mei mereka dapat kembali berkuasa?

Sekali lagi, Najib dilihat gagal untuk mengawal ahli partinya untuk tidak bertindak luar batasan.

Tidak hairanlah mengapa bekas Menteri Penerangan dari Umno Tan Sri Zainuddin Maidin memberikan cadangan agar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan peranan dalam pentadbiran kerajaan.

Mungkin bagi orang lama seperti Zainuddin yang dikenali sebagai Zam, "budak-budak baru" seperti Najib masih tidak mempunyai kualiti untuk memimpin negara dan memerlukan orang lama untuk membantunya.

Kita mahu lihat sejauh mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan keadilan dalam isu 13 Mei yang dimainkan semula ini.

Jika PDRM pantas bertindak apabila terdapat isu dengan pemimpin pembangkang, diharapkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dapat mengarahkan pegawainya untuk mengambil tindakan terhadap pimpinan Umno Pulau Pinang.

Jika terpaksa menunggu restu menteri Umno sebelum mengambil tindakan, tidak ada beza PDRM di bawah kepimpinan Khalid atau KPN sebelum ini.

Sebab itu kita mahu PDRM yang bebas daripada politik kepartian. PDRM yang boleh bertindak terhadap mana-mana ahli politik tidak waras tanpa mengira daripada Barisan Nasional (BN) atauPakatan Rakyat (PR).

Jika terus dibiarkan keadaan seperti hari ini, Malaysia yang indah dan aman walaupun terdapat berbilang kaum dan agama akan musnah.

Selepas musnah, tidak mungkin Malaysia dapat dipulihkan kembali. – 19 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Perlunya keberanian dalam mengembalikan keyakinan rakyat

Posted: 18 Jan 2014 03:15 PM PST

January 19, 2014

Datuk Nur Jazlan Mohamed is a three-term MP for Pulai and the new PAC chairman. Apart from being in the new politics, he also writes for The Malaysian Insider while debating other matters at www.jazlan.net

'Membetulkan apa yang biasa dan membiasakan apa yang betul', ini adalah ungkapan yang sering diucapkan Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara dalam setiap seminar atau perjumpaan yang dihadirinya.

Baru-baru ini, saya berkesempatan mengikut Seminar Pengurusan Kewangan untuk Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Negeri dan Persekutuan anjuran Jabatan Audit Negara (JAN).

Seminar itu membuktikan betapa pentingnya peranan PAC sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri dalam memastikan semua perbelanjaan serta hasil kerajaan dibelanja dan dikutip dengan lebih cekap serta berkesan.

Ia juga satu sinergi yang amat penting antara sebuah jabatan kerajaan yang kritikal tanggungjawabnya seperti JAN yang mendapat bantuan daripada ahli-ahli politik melalui PAC dalam memastikan setiap sen duit rakyat dibelanjakan dengan sewajarnya.

Ia memandangkan PAC adalah sebuah jawatankuasa yang bebas dengan ahli-ahlinya terdiri di kalangan kerajaan pemerintah dan pembangkang sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

Dalam senario rakyat yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang yang tidak dapat ditampung, semua mata kini tertumpu kepada bagaimana kerajaan perlu mengurangkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran serta rasuah dalam perbelanjaannya.

Pada pandangan rakyat, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai dasar berjimat cermat kerajaan pada awal bulan ini, tidak mempunyai kesan besar, sekiranya perbelanjaan kerajaan terus menerus memperlihatkan kelemahan daripada segi pengurusan kewangan.

Apa yang mereka (rakyat) mahu lihat adalah kesilapan dan kelemahan yang dinyatakan dalam setiap siri Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diatasi dan tidak berulang pada masa akan datang.

Secara peribadi saya sebenarnya, memahami bahawa rakyat dapat menerima hakikat kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang tetapi mereka tidak akan dapat menerima kenyataan mengapa kerajaan tidak bertindak tegas dalam memastikan setiap perbelanjaan dikawal serta diuruskan dengan cekap serta  berkesan.

Itu yang saya dapat selami serta perhatikan apabila berhadapan dengan kira-kira 500 audien ketika menyertai program Wacana anjuran akhbar Sinar Harian minggu lalu.

Wacana bertajuk 'Kejutan Ekonomi Selepas PRU13', turut disertai Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan serta Prof Datuk Dr Amir Hussin dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majoriti penonton serta dua ahli panel dalam wacana berkenaan menyalahkan kerajaan yang menjadi punca kenaikan harga barangan serta kos sara hidup dan ia dilakukan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) memenangi PRU13.

Walaupun diserang bertubi-tubi selama dua jam dalam wacana berkenaan, saya tetap berpendirian bahawa kerajaan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kenaikan harga barangan serta sara hidup.

Saya tegaskan apa yang rakyat nikmati selama ini, terutama sekali sejak dua dekad lalu, adalah disebabkan kerajaan yang berterusan menyerap kenaikan kos barangan dunia demi kesejahteraan rakyat melalui penyaluran subsidi.

Namun, lama-kelamaaan kerajaan tidak lagi berupaya menyerap kos berkenaan dan hakikatnya, sejumlah kira-kira RM45 bilion tetap diperuntukkan kerajaan untuk subsidi pelbagai barangan asas.

Fakta berkenaan akhirnya diterima kebanyakan penonton dalam wacana berkenaan tetapi saya tetap menegaskan bahawa kerajaan perlu telus dengan rakyat dalam soal kenaikan harga barangan.

Sebenarnya, jika diteliti dengan mendalam krisis kurang keyakinan terhadap kepimpinan negara pada masa sekarang, seperti apa yang berlaku dengan cemuhan segelintir rakyat kepada perdana menteri dalam isu 'kangkung' adalah berpunca daripada keengganan barisan Kabinet untuk berdepan dengan PAC atau forum terbuka seperti dalam wacana anjuran akhbar Sinar Harian.

Saya berpendapat pembabitan menteri Kabinet dalam forum terbuka seperti ini sebenarnya, akan memberikan imej positif kepada kerajaan memandangkan rakyat kini, rata-rata mempunyai pendidikan serta dapat menilai penjelasan yang diberikan kepada mereka.

Kerajaan BN juga perlu sedar bahawa pembangkang memanipulasikan forum-forum terbuka ini, dengan menunjukkan bahawa mereka bersama rakyat sedangkan pada hakikatnya, ia adalah untuk 'political mileage' masing-masing.

Langkah berdepan dengan rakyat adalah lebih baik daripada terus membiarkan isu itu terus diperkatakan sehingga menimbulkan kecurigaan di kalangan rakyat disebabkan sensasi dalam media sosial.

Kehadiran menteri Kabinet akan dapat menghapuskan segala sangka buruk terhadap kerajaan yang selama ini, dimainkan oleh pembangkang dan berkisar kepada penyelewengan

Tambahan pula, barisan menteri Kabinet adalah dianggap sebagai golongan pemimpin yang terbaik di kalangan semua rakyat Malaysia.

Hakikatnya, rakyat kini semakin sedar bahawa pada masa akan datang sumber utama dana kerajaan yang dibelanjakan untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada mereka sudah tentu datang daripada hasil percukaian.

Jika dulu, sumber kerajaan datang daripada pelaburan langsung asing (FDI) dan Petronas tetapi masa berkenaan sudah berlalu dan sebab itu, hasil percukaian yang mantap dan berkekalan perlu diwujudkan demi kelangsungan negara pada masa akan datang.

Bagaimanapun,  pada waktu sama, rakyat tidak mahu cukai dikenakan terhadap mereka dalam kadar yang tinggi serta membebankan dan sudah pasti rakyat akan lebih prihatin dan teliti terhadap perbelanjaan kerajaan memandangkan mereka membayar cukai untuk setiap sen wang yang dibelanjakan kerajaan.

Atas sebab itu, saya menegaskan bahawa  kerajaan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada rakyat apa yang akan mereka hadapi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Kerajaan tidak boleh berterusan bersikap retorik dengan memberikan gambaran bahawa keadaan ekonomi negara bertambah baik dengan angka-angka yang mengelirukan.

Pertumbuhan ekonomi positif yang digambarkan kerajaan hanya dapat diterima jika hasilnya dimasukkan ke dalam poket rakyat.  Angka yang mempunyai gambaran positif ini, langsung tidak akan berkesan untuk rakyat jika mereka terus dihimpit dengan kenaikan harga barangan.

Atas sebab itu, sudah sampai masanya, kerajaan BN memperkasakan peranan PAC dalam mengawal perbelanjaan negara kerana rakyat perlu sedar bahawa setiap duit mereka dibelanjakan dengan cekap serta berkesan.

Penggunaan duit rakyat yang cekap serta tidak membazir sebagai contoh dalam pelantikan konsultan hingga dilihat mengenepikan sumber manusia tempatan sedia ada seperti kakitangan awam, akan terus memperlihatkan ketidakseriusan kerajaan dalam berbelanja.

Seperti yang saya sering perkatakan dalam siri artikel sebelum ini, PAC yang ahlinya dianggotai daripada wakil kerajaan pemerintah dan juga pembangkang boleh bertindak sebagai 'watchdog' kepada kerajaan.

Walaupun pelbagai inisiatif diambil kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam menambah baik pentadbiran kerajaan tetapi dalam LKAN saban tahun memperlihatkan hasil sebaliknya.

Memang benar, tidak semua projek kerajaan bermasalah, tidak semua perolehan kerajaan mempunyai unsur penyelewengan atau rasuah, tetapi masih ada kelemahan yang perlu diatasi dengan segera.

Jika sebelum ini kerajaan membuat keputusan bahawa JAN dilibatkan daripada mula untuk setiap projek bernilai RM500 juta dan ke atas bagi memastikan tiada sebarang unsur ketirisan berlaku, kini sudah sampai masanya PAC juga diberikan mandat sama.

Saya berpendapat bahawa PAC perlu dimaklumkan untuk setiap projek kerajaan yang bernilai RM100 juta ke atas daripada masa ke semasa.  Ini membolehkan 'check and balance' dilakukan terhadap projek berkenaan.

Pada masa sama, pembabitan PAC juga perlu ada dalam setiap pelaburan besar yang dilakukan kerajaan melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), sekali gus dapat memastikan wang kerajaan dibelanjakan dengan lebih berkesan.

Penglibatan PAC secara langsung ini, akan dapat memberikan imej positif kepada kerajaan dalam usaha membuktikan keseriusan untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan cekap dan berkesan.

Saya juga berpendapat bahawa sudah sampai masanya, menteri Kabinet 'berani' berdepan dengan PAC dan membuang segala tanggapan negatif terhadap jawatankuasa ini.

Keberanian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhadapan dengan PAC dalam menerangkan mengenai isu artis Kpop tahun lalu, jelas sesuatu yang amat positif.

Kesannya, isu berkenaan tidak lagi dipermainkan oleh pembangkang memandangkan mereka mempunyai wakil dalam PAC dan boleh bertanyakan soalan serta segala sangkaan buruk terhadap kerajaan mengenai isu itu, secara terus.

Walaupun, KSU yang bertindak sebagai bertindak pengawal terhadap semua projek kerajaan serta perbelanjaannya tetapi jika menteri sanggup berhadapan dengan PAC ia akan memberikan gambaran bahawa para menteri sanggup berdepan dengan rakyat sekaligus menunjukkan keseriusan serta rasa ambil berat terhadap segala permasalahan rakyat.

Keberanian menteri-menteri ini, sekali gus akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka sememangnya, bersama-sama dengan rakyat dalam memastikan segala wang yang dibelanjakan menepati kehendak rakyat serta negara.

Selain itu, saya juga mahu kerajaan khususnya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) menekankan kepada semua ketua setiausaha (KSU) kementerian supaya benar-benar mengetahui segala projek serta perbelanjaan yang berlaku dalam kementerian masing-masing.

Ini amat penting memandangkan ada projek kerajaan yang disensasi serta dimanipulasi pembangkang bahawa kononnya berlaku ketirisan, penyelewengan serta salah guna kuasa terhadap projek berkenaan.

Contoh terbaik adalah mengenai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, yang sebelum ini, disensasikan bahawa berlaku penyelewengan serta ketirisan tetapi keberanian Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berhadapan dengan wakil-wakil rakyat dalam PAC, perlu dipuji.

Walaupun projek KLIA2, tidak terdapat dalam LKAN 2012, tetapi keberanian Datuk Seri Long See Wool yang memberikan kerjasama baik kepada PAC dan mengetahui sepenuhnya subjek yang dibincangkan berjaya memberikan maklumat yang agak memuaskan hati semua ahli PAC.

Di sinilah, kita lihat ada lompang kosong yang seharusnya diisi Jawatankuasa Pemilih (Select Committee) untuk kementerian-kementerian bagi memberi peluang kepada pemantauan yang lebih telus serta berkesan.

Jika suatu hari nanti, kerajaan mengambil tindakan berani untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilih di peringkat kementerian ia akan membolehkan rakyat melalui wakil-wakil rakyat mereka bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan setiap perbelanjaan benar-benar telus serta mempunyai akauntabiliti.

Saya yakin usaha ini, jika diterima kerajaan akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan BN sentiasa mengutamakan rakyat dan tidak akan bertindak mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

Sebenarnya, banyak kisah teladan serta pengajaran yang boleh diambil dalam LKAN tetapi berapa ramai terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam yang menjadikannya sebagai iktibar atau pengajaran.

Tahun ini, 2014 akan menyaksikan LKAN dibentangkan tiga kali setahun dalam Dewan Rakyat dan adakah senario 3P (Penyelewengan, Penyalahgunaan dan Pembaziran) terus akan ditimbulkan dalam LKAN selepas ini?

Pada masa sama, , rakyat juga perlu sedar bahawa keputusan menukar kerajaan tidak akan dapat menyelesaikan masalah kenaikan harga barangan serta kos sara hidup yang tinggi.

Kalau rakyat tertarik dengan sistem politik pemerintahan kerajaan dua parti di negara barat seperti Amerika Syarikat dan UK sebagai satu cara untuk mengekang kenaikan harga barang , rakyat pasti akan hampa kerana harga barang dan perkhidmatan di negara tersebut tetap tinggi dan berkali ganda berbanding negara kita. Tanyalah kepada rakyat yang biasa ke negara-negara berkenaan.

Kita tidak perlu pergi lebih jauh daripada negara jiran kita di Singapura , Indonesia dan Thailand untuk mengetahui bahawa kos petrol, eletrik dan makanan di negara tersebut jauh lebih tinggi daripada negara kita.

Kita perlu menghormati pemimpin dan kerajaan yang dipilih kerana keputusan memilih mereka adalah berdasarkan majoriti kerusi di Parlimen. Ambillah iktibar daripada pengajaran di negara jiran kita, Thailand di mana segelintir rakyat di ibu kota Bangkok bertindak mengikut rasa hati dengan menolak demokrasi serta sistem pilihan raya dengan melakukan demonstrasi jalanan.  Akibatnya negara tersebut semakin terpisah kepada dua bahagian , bandar dan luar bandar.

Saya khuatir negara kita juga akan mengalami nasib yang sama jika kemarahan rakyat ini tidak dirasionalkan oleh kepimpinan negara dengan segera. Kesannya, adalah kepada negara dan keseluruhan rakyat untuk jangka masa panjang. - 19 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved