Khamis, 2 Januari 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Meraikan penulis baru di Alang Sedayu

Posted: 01 Jan 2014 05:20 PM PST

January 02, 2014

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Pada 26 Disember 2013, bertempat di Alang Sedayu, Gombak. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan program "Makan Malam dan Santai Seni" bersama pelajar-pelajar kursus Penulisan Skrip Teater dari sebuah universiti di Lembah Kelang, yang tamat pengajian pada akhir Disember lalu.

Bukan selalu diadakan kursus penulisan skrip teater sedemikian di negara kita ini. Saya pun tak tahu pasti bilakah ia pernah diadakan sebelum ini. Tapi rasa-rasanya memang pernah diadakan. Apakah ia membawa hasil yang sepatutnya atau tidak, pun tidak pasti. Tetapi ternyata kita tidak pernah menyedari adanya sebilangan penulis skrip yang lahir dari mana-mana kursus sebegitu.

Setelah memulakan kursus tiga jam 14 siri (14 minggu) pada 12 September itu, saya mensasarkan untuk melihat sekitar 10 orang peserta (daripada 16 orang yang mengikuti kursus) akan lahir sebagai penulis, pada akhir kursus. Alhamdulillah, sebelum minggu ke-10 saya sudahpun diyakinkan bahawa sasaran itu akan tercapai. Maka perbincangan dengan kawan-kawan Paksi bersetuju untuk mengadakan program makan-makan santai seni, bagi meraikan penulis-penulis baru itu.

Ya, sepuluh orang atau lebih tiba-tiba muncul sebagai penulis baru mengkhusus di bidang teater (walaupun tiga daripada mereka bukan orang Malaysia) – ini tentulah bukan satu perkara biasa. Ia sesuatu yang bukan biasa terjadi. Maka itu Paksi mengambil sempenanya, menjemput kawan-kawan penulis dan budayawan yang biasa dengan Paksi dan teater, untuk hadir makan-makan sambil meraikan kehadiran penulis-penulis baru ini.

Alhamdulillah malam itu hadirlah A Samad Said (SN), Siti Zainon Ismail, Prof Shaharir, Pyanhabib, Rahimidin Zahari, Sani Sudin, Rahmat Harun, Nur Hanim Khairuddin, Chan Yong Sin, Ahmad Lutfi Othman, Lim Hong Siang, Amni Jagat, Hazayani, Tini Rahim, Nizam Yamin, Soleh, di samping beberapa orang Paksi sendiri seperti Kassim, Hasni, Dr Alinor dan Nasser; dan juga seorang pensyarah drama dari universiti tersebut.

Sebahagian kami hadir sejak petang lagi, kerana jemputannya pun bermula jam enam. Lokasinya yang masih terpelihara alam semulajadinya itu – itulah yang mewajarkan jemputan sedemikian. Dimeriahkan pula oleh buah-buah durian yang disumbangkan Tian Chua itu (sahabat Paksi orang politik yang mengerti seni-budaya).

Duduk-duduk, makan-makan, borak-borak, sambil menikmati persembahan kawan-kawan, dimulakan oleh penyair muda dari Johor, Amni Jagat. Kemudian Nik Norimani (Amani) pula melakonkan semula sebahgian teater mono yang dipersembahkannya di Kota Bharu baru-baru ini. Tanpa apa-apa persiapan – tanpa kostium, mekap dan cahaya yang diperlukan. Hanya lakonannya sahaja, dalam pelbagai watak mengenai lelaki yang kehilangan alat jantina kerana kesilapan tok mudim itu. Sangat menarik.

Panji Wilimantara pelajar wayang kulit dari Bali itu menyampaikan lagu khas Jawa dari wayangnya – juga sangat mengasyikkan. Sayang kawannya pelajar tari yang sama-sama dari Bali, Ida Ayu Sasrani (Dayu), terpaksa bergegas pulang ke Bali kerana suatu keperluan. Kita kehilangan suatu persembahan tarian solonya malam itu.

Pelajar jurutera elektrik dari Bangladesh, Pardita Jamal Parisa, menyampaikan puisi Inggeris. Pelajar Malaysia Norhan Fahmi juga menyampaikan puisi. Manakala pensyarah drama mereka menyampaikan sebuah lagu Melayu. Firdaus pelajar cacat penglihatan itu sepatutnya akan menyanyi bersama petikan gitar Amera Yusof, tetapi tak dapat melakukannya kerana Amera pun, sebelum itu, terpaksa bergegas ke rumah ibunya atas suatu urusan yang tak dapat tidak.

Apapun, yang pentingnya dalam program itu bukanlah persembahannya, tetapi kehadiran bersama antara penulis dan seniman yang sudah ternama dengan yang baru bermula untuk menjadi penulis itu. Seperti dikatakan tadi, bukannya selalu terjadi bahawa tiba-tiba lahir di kalangan kita sekitar sepuluh orang atau lebih penulis baru yang mengkhusus di bidang teater. Maka Paksi berbesar hati menyambut kelahiran itu.

Seperti dikatakan – bukan selalu terjadi kelahiran penulis yang seperti ini. Saya sendiri pun masih ada beberapa tanda tanya di dalam kepala. Bagaimanakah sebenarnya ia terjadi? Dan bagaimanakah seterusnya ia akan terjadi?

Antara dua soalan itu soalan kedualah yang lebih mustahak difikirkan sekarang. Bagaimana-kah seterusnya yang akan terjadi kepada pelajar-pelajar penulisan skrip teater itu? Apakah mereka akan benar-benar menjadi penulis selepas ini ataupun mereka menghasilkan skrip itu hanya untuk keperluan peperiksaan sahaja, dan selepas ini mereka akan melupakannya?

Memang ada seorang dua, selain daripada Panji dan Dayu, yang nampaknya akan terus aktif berteater. Panji dan Dayu itu memang jelas sudah menjurus untuk berterusan di bidang teater – seorang dengan seni tari dan seorang dengan wayang kulit. Tetapi mereka akan aktif itu di tanahair mereka sendiri – di Bali, Indonesia. Bukan bersama dengan kita di sini – di Malaysia.

Soalnya, di antara 13 peserta yang dari Malaysia itu berapa orangkah yang mungkin akan berterusan aktif di bidang teater dan/atau penulisan? Memang sebahgian mereka telah menunjukkan bakat yang sangat menggalakkan dan memberikan harapan besar kepada kita. Tetapi, seperti yang selalu dikatakan, di negara kita ini teater moden yang sebenarnya teater belum lagi mendapat penghargaan daripada masyarakat. Sedangkan dalam masyarakat Melayu lama dahulu teater dihargai.

Hari ini yang diberikan penghargaan oleh masyarakat kita (juga kerajaan) hanyalah kepada teater komersil atau teater hiburan – muzika dan konsert. Rahimidin sendiri seorang pegawai di Istana Budaya, mengaku akan hal ini.

Namun walau bagaimanapun teater moden Malaysia terus berkembang jua dengan caranya sendiri. Nik Norimani pun sudah berjanji akan mementaskan "Uri" karyanya itu pada akhir Februari. Dan kita menantikan peserta-peserta kursus yang lain itu pun akan mementaskan karya mereka masing-masing. Ayieat Farid dengan "Rumah Syaitan"nya, Panimalar dengan "Kemarahan"nya, Amera Yusof dengan "Perutusan Luka Memori Keluarga"nya, Firdaus dengan "Wasiat Arwah" dan seterusnya.

Pentas Santai Seni Paksi di Alang Sedayu malam itu diakhiri dengan penampilan A Samad Said. Dengan wajah dan penampilannya seorang seniman sejati dengan kebijaksanaan kesenimanannya, Samad Said menyampaikan amanat ringkas yang sungguh bermakna. Bukan sahaja buat penulis-penulis baru malah buat semua penulis dan aktivis budaya yang hadir dalam pertemuan itu. Memang demikianlah seorang seniman yang telah mencapai tahap kebijaksanaan kesenimanannya. Selalu ada sesuatu yang berhikmah darinya.

Prof Shaharir dan Siti Zainon tidak tampil ke pentas malam itu, tetapi kelihatannya begitu asyik dan ria sekali berbicara dengan teman-teman. Memang pun program itu bukan untuk menyampaikan sesuatu di atas pentas. Ia hanyalah satu lagi pertemuan keluarga besar Paksi, yang kali ini diadakan khas untuk menyambut kehadiran penulis-penulis baru itu.

Sesungguhnya kehadiran penulis-penulis baru, apatah lagi aktivis teater, ke tengah-tengah masyarakat hari ini adalah penting. Kerana itulah Samad Said, Prof Shaharir, Siti Zainon, Chan Yong Sin dan Rahimidin pun bersetuju untuk bersama-sama dengan Paksi, meraikan mereka. – 2 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Antara dua darjat: Marcus Malone dan Carlos Santana

Posted: 01 Jan 2014 03:00 PM PST

January 02, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Carlos Santana atau nama sebenarnya Carlos Augusto Alves Santana (lahir 20 Julai 1947) adalah antara gitaris kelahiran Mexico terhebat dunia dan lagenda yang masih hidup.

Sejak bermain muzik di jalanan di sekitar San Francisco tahun 60an dulu, bersama Gregg Rollie (organ) dan David Brown (bass) yang juga merupakan pemuzik jalanan, menubuhkan kumpulan muzik Santana Blues Band pada tahun 1966 dan mengecap kemasyhuran dan sukses terutama di waktu empat album awal mereka, Santana (1969), Abraxas (1970) dan Santana (111) (1971) dan Caravan Serai (1972).

Santana meletup dan melonjak nama mereka selepas terlibat dalam festival Woodstock pada tahun 1969. Waktu itu bayaran untuk mereka hanyalah sebanyak AS$2500 sahaja berbanding Jimi Hendrix yang dibayar AS$30 ribu.

Selepas album Caravan Serai dan muncul dengan album-album seterusnya yang turun naik prestasi dan populariti, akhirnya Santana kembali meletup dengan album Supernatural (1999), kolobrasi dengan penyanyi popular waktu itu adalah formula yang menjadi dan atas semua kejayaannya sebagai seorang pemuzik ternama, nyata beliau seorang pemuzik sejati yang masih terus berkarya kerana cinta dan nilai 'spiritual'nya yang tidak berbelah bagi terhadap muzik dan pencipta.

Saya didedahkan dengan muzik Santana sejak zaman sekolah dulu di kampung, hujung tahun 70an terutamanya. Bilamana setiap kali berlangsungnya upacara majlis kahwin, biasanya tuan rumah akan menyedia atau menjemput kumpulan muzik (kugiran) yang didatangkan khas samada dari Parit, Taiping atau Ipoh untuk menghiburkan penduduk kampung demi memeriahkan lagi majlis perkahwinan anak atau menantu mereka.

Dan kumpulan muzik ini biasanya mereka akan mainkan lagu wajib seperti Black Magic Woman, Samba Pa Ti, Oye Co Mova, She's Not There dan banyak lagilah. Semua lagu ini dipopularkan oleh Santana. Jadi saya kenal Santana melalui muzik mereka yang dipenuhi dengan mood latin rock, salsa, blues, afro-cuban, latin jazz antaranya.

Saya beli buku tentang Santana, judulnya 'Soul Sacrifice-Santana Story' tulisan Simon Leng awal tahun 2000 dulu di Tower Record yang lokasinya waktu itu di KL Plaza, Bukit Bintang.

Baru-baru ini, pada 22 Disember yang lalu, saya ada terbaca kisah antara bekas pemain conga Santana, Marcus 'Magnificent' Malone yang juga seorang gelandangan tanpa rumah, dipertemukan semula dengan beliau setelah berpisah selama 40 tahun.

Lantas saya pun tonton episod pertemuan semula mereka di You Tube, ia menarik dan mendapat banyak respons positif daripada para peminat Santana di seluruh dunia.

Saya lantas menggeledah rak buku untuk mencari kembali buku Santana yang saya beli itu untuk mencari jika terdapat kisah Marcus Malone di dalam buku tersebut.

Memang benar, Marcus pernah menyertai kumpulan Santana dari tahun 1966 sehingga tahun 1969. Waktu itu karier Santana baru bermula dan mereka masih lagi sebuah band amatur yang sedang mencari-cari arah tuju dan trademark dalam permainan.

Marcus adalah seorang pemain conga berbakat yang memasukkan elemen Afro-Cuban ke dalam muzik Santana.

Apa pun, keperibadian dan gaya Marcus agak berbeza daripada karektor lain-lain ahli yang 'hippie'seperti Santana, David Brown, Gregg Rolie antaranya. Bertambah malang bila Marcus terlibat dalam kes bunuh pada tahun 1968 yang mengakibatkannya dipecat daripada kumpulan Santana. Akhirnya beliau meringkuk di penjara sehingga tahun 1973. Marcus digantikan oleh Michael Carabello.

Segalanya bermula daripada segmen kendalian wartawan video, Stanley Roberts untuk segmen 'People Behaving Badly' di siaran KRON 4 yang sempat menemuramah Marcus, yang sedang melalui musim  sedihnya di Oakland, California. Tanpa rumah, tanpa segalanya melainkan gambar foto sewaktu beliau masih menjadi ahli band Santana di tahun 1966 dulu.

Perkara paling baik adalah apabila Santana memberi maklum-balas malah sanggup dipertemukan semula dengan bekas pemain conganya itu. Saya suka melihat detik yang sebegitu, betapa Santana tidak pernah melupakan 'roots'nya. Waktu dan ketika yang tepat telah menemu malah membuka sinar dan lembaran hidup baru yang lebih bermakna untuk Marcus Malone, apatah apabila ia terjadi sebelum Krismas.

Apabila beliau melakukan tindakan yang betul dan mulia, itu tidaklah menghairankan saya kerana beliau adalah pemuzik yang telah melalui pelbagai pengalaman spiritual dalam hidupnya. Awal tahun 70an, beliau atas nasihat kawan pemuzik yang juga merupakan guru muziknya John McLaughlin pernah menyertai perguruan spiritual Sri Chinmoy yang berpusat di bandar New York. Sri Chinmoy waktu memberikan nama 'Devadip' kepada Santana.

Bersama McLaughlin dengan menggunakan nama Devadip Carlos Santana beliau telah menghasilkan album spiritual seperti Love, Devotion dan Surrrender (1973) juga album-album spiritual lainnya seperti Illuminations (1974 – kolobrasi bersama Alice Coltrane) dan Oneness - Silver Dreams Golden Reality (1979).

Gaya permainan Santana tidaklah sehebat John McLaughlin dari segi 'feel', teknikal mahupun 'speed'. Pun apabila saya mendengar atau menonton persembahan bersama mereka di video, Santana ibarat B.B King atau Jimi Hendrix yang setiap 'note' atau petikannya mengandungi seribu cerita dan makna.

Itulah juga yang membuatkan nama beliau sehebat semua gitaris yang terdapat di dunia ini sehingga majalah Rolling Stone menobatkan beliau sebagai pemain gitar yang menduduki tangga ke-20 diantara 100 gitaris terhebat dunia sepanjang zaman yang dipilih.

Ahli kumpulan muzik Santana sentiasa bertukar ganti sepanjang musim karier mereka. Neal Schon sewaktu mudanya dalam usia belasan tahun pernah menganggotai Santana untuk album Santana (111) dan Caravan Serai sebelum meninggalkan band tersebut bersama Gregg Rollie untuk menubuhkan kumpulan Journey pada tahun 1973.

Khabarnya Santana akan berkolobrasi dengan Marcus Malone dan bekas ahli band Santana lainnya dalam sebuah album pada awal tahun depan. Nyata kehidupan ini adalah misteri yang mengandungi berbagai cerita dan rahsia.

Setiap satu itu terjadi pasti ada sebab dan musababnya. 40 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk mempertemukan mereka berdua – Carlos Santana si pemuzik sejati dan Marcus Malone, pemain conga berbakat yang tersadai bersama takdir hidup yang tidak menyebelahinya. – 2 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved