Rabu, 29 Januari 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Ada apa dengan plastik

Posted: 28 Jan 2014 04:22 PM PST

January 29, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Ada di kalangan mereka yang katanya 'cool' mempersoalkan tentang kehidupan serba plastik dan mereka mahukan yang 'real' dan tidak plastik. Apa yang tidak plastik? Bagi saya selagi manusia itu bernama manusia yang masih makan dan minum, kita semuanya plastik.

Apa salahnya kalau hidup bergelumang plastik, digelar plastik dan dikelilingi plastik?

Jika dikata plastik itu tentang hal yang tidak jujur dan hipokrit, sedikit sebanyak kita juga terpaksa berlakon sesuai dengan watak kita di dunia yang berbagai ragam ini. Yang tidak plastik apa yang ada di dalam jiwa kita. Apabila diterjemahkan, ia akan menjadi plastik.

Golongan sadhu, sufi atau namakan apa saja watak 'real' yang hidup dan selagi masih ada nafsu dan bernafsu, semuanya plastik. Yang tidak plastik itu jika kita masih seorang bayi yang baru lahir sehingga berusia 5 tahun, waktu itu nilai kehendak kita terhadap dunia masih kurang.

Paling jelas, orang gila itu bagi saya tidak plastik. Kalau sekadar buat-buat gila atau gila-gila, itu plastiklah juga namanya.

Apabila dewasa dan berakal kita semakin pandai membentuk imej diri sesuai dengan kehendak kita, tidak kira sama ada itu imej yang 'cool' mahupun 'poyo', pun plastik juga namanya.

Akal dan nafsu membentuk kehendak dan nilai dalam hidup kita. Cerita dunia adalah tentang hal dan nafsu belaka. Kita cuma mampu mengurangkan tahap nafsu dan kehendak dengan cuba memadamkan sedikit demi sedikit cerita dan mimpi indah duniawi. Itu kita katakan dalam istilah 'zuhud' atau apa saja gelaran yang sesuai diguna pakai.

Cerita manusia dan setiap kejadian di muka bumi ini juga memang unik dan magik. Kebesaran Tuhan atas segala kejadian. Bermula daripada roh yang ditiupkan ke jasad, maka setiap makhluk termasuk manusia bernyawa.

Roh, nyawa, jiwa atau semangat itu sama saja makna dan pengertiannya cuma daripada segi sifat dan penyesuaiannya saja yang berbeza.

Roh adalah rahsia zat, yang itu kita pun tidak tahu apa cerita dan rahsia di dalamnya. kita cuma menumpang 'rasa'Nya saja. Jadi roh atau semangat akan hidup dan menyala berpandukan arah dan lorong yang kita sedang tuju ini, selagi kita bernyawa.

Semua kita diberi roh untuk kita bernyawa. Ia membolehkan kita bernafas dan hidup dalam meniti usia dari bayi sehingga menuju dewasa. Apabila kita diberi nyawa dan bernama manusia, kita dianugerahkan akal juga nafsu yang membentuk apa kita mahu dalam hidup ini, sama ada kita suka hitam mahupun putih.

Tiada siapa yang mengajar kita bagaimana hendak cari makan untuk terus hidup selepas saja kita dikeluarkan daripada rahim ibu kita. Itu secara fitrahnya kita akan faham sendiri, semua daripada izinNya jua.

Semangat adalah gerak daripada yang maha tahu atas segala cerita dan rahsianya. Maka atas izin daripada gerak dan rasa, akal pun berfungsi dan kita pun menangis kelaparan sehingga disuakan susu ibu, kita pun terlena.

Di usia kanak-kanak kita diajar tentang agama, Tuhan dan segala yang berkaitan tentang alam ini walau tidak sepenuhnya. Kita dididik menjadi manusia yang berdisiplin dan percaya tentang adanya Tuhan, rukun iman mahupun Islam.

Itu kalau dalam agama Islam, kalau agama lain ada cara mereka masing-masing. Asas untuk membina tahap percaya perlu ada dalam diri kita.

Semakin dewasa kita akan semakin faham dan akan diberi pilihan, sama ada masih selesa bermukim di situ atau meneruskan perjalanan untuk mencari dan mendalami ilmu dan pengetahuan. Takdir membawa kita ke mana yang dimahuNya. Namun, kita yang memilih lorong mana mahu kita ikut bersesuaian dengan jiwa dan kehendak.

Sepanjang kita membesar dari usia kanak-kanak, remaja menuju ke dewasa, kita adalah seorang manusia yang berkehendak itu dan ini sesuai dengan sifat kita. Jadi selagi waras, kita ini plastik.

Mungkin kita punya cita-cita dan keazaman untuk menolak dunia, tapi itu hanya angan-angan, biasanyalah. Sebab selagi tidak gila, kita sama saja seperti manusia lainnya. Mungkin sikap kita yang mengada-ngada hendak jadi lain daripada lain, tetapi selagi bernama manusia, kita ini sama saja seperti orang lain.

Apa yang penting bagaimana kita mahu menyesuaikan diri dengan kehidupan yang plastik hari ini. Mahu tidak mahu kita tidak punya banyak pilihan dalam hidup ini.

Saya kalau boleh mahu kampung saya tidak berubah dan kalau boleh saya mahu air sungai yang dulunya menjadi tempat kami mandi masih di situ kekal untuk selama-lamanya.

Kenyataannya hari ni di kampung saya, sungai pun sudah dikambus, hutan semakin gondol kesan pembangunan. Apa daya kita untuk melakukan perubahan waktu atau musim?

Saya juga kalau boleh mahu Pasar Seni tempat saya melepak dulu, kekal seperti dulu seperti di tahun 1980-an dan 1990-an dulu. Ada kedai mamak di dalamnya, kami boleh melepak dari pagi sampai ke malam. Budak busker boleh busking di laluan pejalan kaki di bahagian luarnya.

Tetapi itu dulu, hari ini tempat itu sudah berubah dan kalau itu kita katakan plastik, ya memang plastik sebab Pasar Seni tidak dikurniakan akal dan tidak berkehendak seperti kita makhluk yang bergelar manusia.

Pandangan saya hari ini terhadap kehidupan mungkin tidak sama seperti sebelumnya. Dalam usia yang semakin menginjak ke depan, saya lebih suka bersikap realistik dan melakonkan watak sesuai dengan waktu dan situasi.

Hari ini saya suka melihat pemandangan warga dan kawan yang sanggup bekerja untuk mencari rezeki. Itu menunjukkan mereka punya tanggungjawab terhadap diri dan keluarga mereka. Bagi saya itu 'real'. Kita sedang duduk di alam yang nyata, inilah kenyataannya.

Dan dunia yang plastik, atau mungkin kita pun sedang menggaulinya atas rasa kita perlu berbuat demikian untuk proses keseimbangan. Inilah bagi saya yang terbaik bagi kita seorang manusia sesuai dengan sifat kita yang baharu. – 29 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved