Isnin, 10 Februari 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Bunuh anak teman wanita, rakyat Sudan terlepas tali gantung

Posted: 10 Feb 2014 02:57 AM PST

February 10, 2014

Seorang rakyat Sudan terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh anak perempuan teman wanitanya, empat tahun lepas.

Selepas Presiden Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan itu, anggota keluarga bekas pelajar kolej, Mohannad Taha Ismail dan rakan-rakannya, yang berada di mahkamah, menitiskan air mata dan kelihatan memeluk satu sama lain.

Di luar mahkamah, kesemua mereka mengucapkan 'Alhamdulillah' dan sesetengah daripada mereka menangis.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan terakhir Mohannad Taha terhadap sabit kesalahan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 September, 2011.

Ketika membuat keputusan sebulat suara, Hakim Md Raus berkata selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat bahawa berdasarkan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati bahawa adalah tidak selamat untuk mengekalkan hukuman itu ke atas perayu (Mohannad Taha).

"Oleh itu, rayuan dibenarkan, mahkamah mengetepikan sabit kesalahan dan hukuman mati ke atas perayu," kata Hakim Md Raus yang mempengerusikan panel hakim lima anggota terdiri daripada Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Hasan Lah, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Pada 15 Oktober, 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Mohannad Taha selepas mendapatinya bersalah membunuh Aaliyah Ayman Hussin Abdullah, 3 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kondominium Venice Hill di Cheras antara 7.30 malam dan 8.30 malam pada 12 Oktober, 2009.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohannad Taha berhujah bahawa tiada bukti jelas menunjukkan bahawa anak guamnya telah menyebabkan pendarahan parah pada bahagian kranium mangsa kerana tiada siapapun dalam rumah nampak Mohannad Taha menggoncang mangsa.

Beliau berhujah bahawa keterangan emak mangsa tidak boleh diterima, kerana kenyataannya kepada polis didapati bercanggah dengan keterangannya kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya berhujah bahawa satu kesimpulan seharusnya dibuat ke atas perayu memandangkan dia tinggal bersama mangsa dan ibunya selama tiga bulan di rumah itu. – Bernama, 10 Februari, 2014.

Pelakon video Teresa Kok beri keterangan polis esok

Posted: 10 Feb 2014 02:45 AM PST

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
February 10, 2014

Polis belum lagi bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran  RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok. – Gambar fail.Polis belum lagi bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok. – Gambar fail.Pelakon dalam klip video Teresa Kok, 'Onederful Malaysia CNY 2014' adalah yang pertama dipanggil polis untuk memberikan keterangan ke atas penglibatan beliau dalam klip video yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Dipercayai pelakon tersebut, Lim Ching Mau akan berjumpa dengan polis esok di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) pada jam 2 petang untuk memberikan keterangan.

Kok melakonkan watak sebagai pengacara rancangan feng shui dan menemubual tiga ahli panel, termasuk Lim dalam klip video Tahun Baru Cina tersebut.

Tiga ahli panel itu mempersendakan pelbagai isu, termasuk isu keterangan sistem pendidikan Malaysia dan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah tahun lalu.

Kok sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kerosakan awam dan Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lim, 32 tahun, memberitahu portal berita Malaysiakini bahawa beliau memainkan watak Lydia Shum, pelakon daripada Hong Kong, dalam klip video tersebut.

"Saya rasa rupa saya seiras dengan Lydia... saya menonton beliau sejak kecil lagi," katanya.

Beliau menambah, beliau sudah kehilangan banyak kerja lakonan berikutan kontroversi klip video Kok.

"Saya harap perkara ini akan selesai secepat mungkin, saya kehilangan dua kerja dan kerja lain pula ditangguhkan. Ini menyebabkan saya kehilangan beberapa ribu ringgit," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata polis akan menyiasat klip video tersebut dan memutuskan sama ada ia merupakan hasutan atau fitnah.

Beliau menambah, sekiranya didapati bersalah, tindakan relevan akan dikenakan terhadap Kok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bahawa polis menerima sebanyak 300 aduan terhadap Kok tentang klip video tersebut.

"Kita sudah memulakan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara ini.

"Kita akan mengumpulkan dan meneliti semua laporan yang diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Klip video yang berunsurkan satira politik itu dimuat naik ke laman maya pada 27 Januari lalu.

Beberapa NGO Islam dan menteri Kabinet mengkritik video tersebut dan mendakwa video itu menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang masih belum menonton video tersebut, mengatakan bahawa Kok mempermainkan insiden pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Sulu yang mengorbankan 10 polis dan tentera Malaysia.

Bagaimanapun, polis belum bertindak terhadap sekumpulan individu yang menggelar diri mereka 'Majlis NGO Islam', yang menawarkan ganjaran  RM1,200 terhadap mereka yang berani menampar Kok.

Ahli Parlimen Seputeh itu serta penyokong beliau membuat tujuh laporan polis, Jumaat lalu, kerana bimbang atas keselamatan dirinya.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 505(c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang lain, dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata tiada siasatan lanjut diperlukan oleh polis, kerana tindakan NGO tersebut bukan satu ancaman.

"Tamparan bukan satu ugutan. Jika mereka mengugut untuk membunuh, maka ia satu ugutan," katanya.

NGO tersebut merancang untuk menganjurkan satu lagi protes jika ahli politik tersebut enggan mengubah sifat cauvinistik mereka. – 10 Februari, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved