Ahad, 9 Februari 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Keputusan Taib tidak beri kesan terhadap politik serta pentadbiran negeri

Posted: 09 Feb 2014 01:48 AM PST

February 09, 2014

Biarpun sedih dengan keputusan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk meletak jawatan, tiga presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak senada bahawa keputusan itu tidak akan memberi impak keterlaluan.

Ini, menurut mereka, asalkan pemimpin yang bakal dipilih meneruskan corak kepimpinan yang dibentuk sejak sekian lama.

Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom (gambar) berkata berkata Taib telah lama mentadbir Sarawak, meninggalkan asas kukuh pentadbiran, justeru pemimpin baharu yang bakal dipilih hanya perlu meneruskan sistem yang telah lama diamalkan itu.

"Selagi sistem serta pentadbiran sedia ada diteruskan, saya percaya tidak akan ada impak besar kepada Sarawak, walaupun Taib sudah lama mentadbir negeri ini. Kita semua faham keputusan ini menyedihkan ramai pihak khususnya rakyat Sarawak, namun keputusan dibuat selepas pelbagai perkara diambil kira," katanya.

Mawan berkata Taib merupakan pemimpin yang bertanggungjawab, di bawah pentadbirannya berjaya membawa perubahan pesat serta pembangunan terhadap negeri itu, tidak lupa hasil sokongan penuh rakyat negeri ini.

"Bagi saya Taib bukan hanya seorang pemimpin biasa, dia adalah pemimpin hebat," katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing berkata keputusan Taib untuk mengundurkan diri tidak mengejutkan, dan akan memberi sokongan kepada bakal pengganti yang akan dipilih nanti.

"Saya sudah mengagak berita ini, rasa amat sedih namun PRS akan memberikan sokongan penuh kepada keputusan serta sesiapa saja yang bakal dipilih. Saya sendiri akan memberitahu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PRS agar mereka berpendirian sama dengan saya, menyokong calon tersebut," katanya.

Masing juga berharap walaupun Taib berundur, beliau akan terus memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin politik negeri.

"Kita juga menyokong cadangan MKT Parti Pesaka Bumiputera agar Taib dicalon serta menjadi Yang Dipertua Negeri yang baharu," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata SUPP bersedia dan berupaya bekerjasama rapat dengan ketua menteri Sarawak yang baharu untuk terus memajukan negeri ini dan kesejahteraan penduduknya.

"Taib mengabdikan diri dalam jangka yang panjang untuk berkhidmat kepada negara dan negeri. Dedikasi beliau terhadap tugasnya dan banyak dasar inovatif yang beliau perkenalkan selama bertahun-tahun tidak syak lagi telahpun bertapak di samping membuahkan hasil dari segi transformasi ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar.

"Hakikat bahawa Sarawak berada di tempat kedua dalam kalangan negeri di Malaysia dari segi KDNK per kapita bukan satu kebetulan, sebaliknya terhasil daripada usaha berterusan dan lestari di pihak kerajaan negeri," katanya.

Chin berkata setiap pemimpin perlu berdepan saat genting dalam hidupnya apabila perlu membuat keputusan untuk bersara daripada berkhidmat kepada orang ramai, tidak kira apa jua jawatan atau kuasa yang mungkin dipegangnya.

"Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Tun Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) telah melakukannya dan kini Taib pula berbuat demikian. Selamat bersara dan mudah-mudahan pengganti beliau serta yang lainnya akan mendapat manfaat daripada pengalaman beliau yang kaya serta pelbagai itu," katanya.- Bernama, 9 Februari, 2014.

Peletakan jawatan Waytha tidak jejas usaha bantu kaum India, kata Dr Subramaniam

Posted: 09 Feb 2014 01:41 AM PST

February 09, 2014

Tindakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai timbalan menteri tidak akan menjejaskan agenda MIC untuk membantu komuniti India, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya beliau melihat peletakan jawatan Waytha sebagai keputusan peribadi dan tidak menggugat kedudukan perwakilan kaum India dalam kerajaan.

"Bagi saya mereka hanya membangkitkan isu yang sudah dibangkitkan oleh kami (MIC)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara keagamaan di kuil Hindu di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata MIC telah dan akan terus berusaha menangani isu berkaitan kaum India dan kedudukannya dalam kabinet membolehkan usaha itu dilaksana dengan lebih berkesan.

"Sudah tentu ada sesetengah isu tidak dapat diselesaikan dengan segera. Kami berpuas hati dalam sesetengah isu dan ada juga yang kami tidak puas hati," katanya menambah kata antara isu yang diselesaikan dengan jaya ialah pendidikan Tamil, manakala yang kurang memuaskan pula berkenaan pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam.

Ditanya sama ada MIC akan membuka pintu dan bekerjasama dengan Waytha untuk meningkatkan taraf hidup kaum India, beliau berkata perkara itu tidak mustahil, bagaimanapun bergantung kepada beberapa aspek termasuk bidang kerjasama yang boleh dilakukan.

Hindraf dalam kenyataan semalam, berkata peletakan jawatan Waytha sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji dalam memorandum persefahaman yang dimeterai sebelum pilihan raya umum 5 Mei tahun lepas.

Sementara itu Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang ketika dihubungi Bernama hari ini, berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan Waytha sebagai senator dan hanya mengetahui perkara tersebut melalui media.

Beliau berkata sepatutnya Waytha terlebih dahulu memaklumkan kepada Dewan Negara sebelum mengumumkan kepada media.

"Sejak Jumaat saya belum terima surat peletakan jawatan daripada Senator Waytha, saya mengetahuinya melalui akhbar. Terpulang pada budi bicara beliau, untuk Dewan yang mulia ini dan Senator (Waytha) juga seorang yang mulia sepatutnya tahu menghormati Dewan dan Perlembagaan," katanya.

Abu Zahar juga berkata beliau sedia berjumpa dan menerima surat peletakan jawatan Waytha pada bila-bila masa.

"Sebagai warganegara Malaysia, beliau antara seorang yang bertuah kerana dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri untuk berada dalam Dewan Negara," katanya.

Sementara itu Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas berkata Waytha tidak patut menyalahkan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sebagai alasan meletak jawatan sebaliknya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab diberi.

"Dia gagal menjalankan tugas walaupun diberi peluang dan ruang. Dia langsung tidak faham bahawa untuk menjayakan sesuatu perubahan, memerlukan masa dan bukan semudah ABC dan tempoh satu malam untuk selesaikannya.

"Kami, MIC, PPP bekerjasama dalam mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi masyarakat India seperti kemiskinan, sekolah Tamil dan setinggan dan dilakukan tanpa publisiti langsung.

"Tetapi Waytha langsung tidak pernah menemui kami sejak dilantik hingga masyarakat datang kepada kami beritahu betapa sukarnya menemui Waytha. Jadi usaha kami membantu masyarakat India tidak akan terjejas tanpa penglibatannya pun," katanya.

Senada dengannya, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader turut meminta Waytha menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan dan BN gagal dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India.

"Namakan apa yang BN gagal buat. Janganlah cakap tidak buat langsung. Banyak sudah buat dan diselesaikan, pelbagai imbuhan dan bajet telah diberi. Bukannya tidak bagi langsung.

"Saya tidak faham macam mana dia boleh buat tuduhan macam itu. Saya rasa dia ada agenda lain melalui Hindraf dengan platform yang telah diberi, dan bukannya betul-betul hendak perjuangkan masyarakat India," katanya kepada Bernama. - Bernama, 9 Februari, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved