Isnin, 24 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Malaysia akan muncul sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Dr Mahathir

Posted: 24 Mar 2014 02:31 AM PDT

March 24, 2014

Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata Malaysia, yang kini sebuah negara berpendapatan sederhana, akan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sejajar dengan perancangan komprehensif dan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat itu.

Dalam ucapan sepontan beliau pada Persidangan Perniagaan Nepal 2014 pada Ahad, Dr Mahathir menjelaskan tentang wawasan pembangunan beliau ketika menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun.

"Sebenarnya, bukan saya, tetapi bapa pengasas Malaysia dahulu yang menetapkan garis panduan untuk pembangunan, pemodenan dan pengindustrian negara kami dan saya hanya meneruskannya sahaja," kata beliau ketika menyentuh tentang dasar yang dilaksanakan Malaysia pada awal penubuhannya.

"Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, 50% rakyatnya berada dalam kemiskinan dan para pengasas itu sedar bahawa negara kami perlu membebaskan rakyatnya daripada belenggu kemiskinan, dan untuk tujuan itu, mereka memberi fokus terhadap kestabilan, keharmonian sosial dan perkongsian kuasa politik serta sumber ekonomi secara saksama," katanya.

Beliau berkata dasar itu membuahkan hasil dan seterusnya membolehkan Malaysia beransur-ansur muncul sebagai negara berpendapatan sederhana.

Sambil menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, Dr Mahathir berkata langkah para pengasasnya memberi lebih banyak tumpuan terhadap keharmonian dan kewujudan bersama dalam kalangan rakyatnya telah berjaya mewujudkan kestabilan dan keharmonian sosial.

"Ini menjadi asas penting bagi pengindustrian dan pembangunan. Kesediaan rakyat untuk berkongsi kuasa politik dan sumber ekonomi merupakan satu lagi asas penting bagi pembangunan sesebuah negara dan inilah yang diamalkan oleh Malaysia, yang hasilnya, bukan sahaja berjaya memperkasakan rakyatnya, tetapi juga melahirkan dalam diri mereka semangat untuk sama-sama terlibat dalam proses pembangunan dan membuat keputusan," katanya.

Menurut Dr Mahathir, satu lagi asas penting bagi pembangunan dan pengindustrian sesebuah negara adalah pendidikan, dan Malaysia berusaha dengan sedaya upaya untuk memastikan rakyatnya memperoleh peluang dalam bidang pendidikan.

"Untuk maju, kami perlu meningkatkan kemahiran serta pengetahuan rakyat dan kami mencapainya melalui penyediaan pendidikan rendah secara percuma, pemberian biasiswa kepada pelajar sekolah menengah serta dana dan insentif bagi pembukaan dan penubuhan universiti.

"Di samping itu, kami menghantar banyak pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi di luar negara supaya apabila kembali ke tanah air kelak, mereka memiliki lebih banyak kemahiran dan ilmu untuk membantu membina infrastruktur serta melakukan inovasi terhadap sektor ekonomi dan sebagainya.

"Rancangan itu mencapai banyak kejayaan serta membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, di samping memodenkan ekonomi Malaysia," kata Dr Mahathir.

Apabila beliau menyebut bahawa faktor paling penting bagi kemajuan Malaysia adalah keazaman serta dedikasi para pemimpin dan rakyatnya untuk menterjemah janji mereka kepada tindakan dan amalan, para hadirin menyambutnya dengan tepukan bergemuruh.

"Berbeza dengan sesetengah negara membangun lain, rancangan kami tidak hanya kekal di atas kertas, tetapi dilaksanakan dengan sesungguh hati bagi memastikan matlamat serta sasarannya dapat dicapai," katanya.

Dr Mahathir berkata antara perkara penting yang boleh dipelajari Nepal daripada Malaysia ialah budaya mewujudkan gabungan.

"Di Malaysia, kami membentuk gabungan sebelum pilihan raya diadakan dan berkongsi kuasa berdasarkan keputusan pilihan raya. Tetapi, Nepal membentuk gabungan hanya selepas pilihan raya diadakan.

"Gabungan sebelum pilihan raya adalah gabungan tulen, yang dibentuk melalui keazaman dan wawasan untuk membangunkan negara. Sebaliknya, gabungan yang dibentuk selepas pilihan raya hanyalah suatu gabungan longgar, yang selalunya tidak membawa hasil.

"Sekarang pun, kerajaan kami terdiri daripada gabungan yang dianggotai 40 parti dan pembangkang pun membentuk gabungan mereka. Gabungan sudah menjadi budaya dalam politik Malaysia dan ini boleh diteladani negara lain, termasuk Nepal," katanya ketika menjawab soalan tentang perkara yang boleh dipelajari negara itu daripada pengalaman Malaysia.

Dr Mahathir berkata ahli politik, termasuk beliau, tidak boleh berjuang untuk diri sendiri, tetapi untuk rakyat dan menambah "inilah yang menawan hati rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran negara".

Mengenai sistem politik, beliau berkata demokrasi diperlukan untuk kesejahteraan sesebuah negara.

"Bagaimanapun, demokrasi tidak boleh ditentukan dan dipaksakan oleh pihak lain, sistem politik itu sendirilah yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

"Demokrasi memerlukan pembaharuan dan penambahbaikan untuk menjadikannya lebih baik kerana demokrasi tidak akan sempurna di mana-mana pun di dunia," katanya.

Mengenai Nepal, Dr Mahathir berkata ia sebuah negara indah serta memiliki banyak potensi untuk maju dan sekiranya potensi ini dimanfaatkan dengan sewajarnya, Nepal boleh menjadi sebuah negara makmur.

Menurut beliau kini kira-kira setengah juta rakyat Nepal bekerja di Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan serta kemakmurannya.

Beliau berkata sumbangan mereka mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia.

Dr Mahathir adalah penceramah utama pada persidangan itu, yang berakhir hari ini.

Ia dirasmikan Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala, yang amat mengagumi Dr Mahathir kerana mengemudi Malaysia ke arah kestabilan, kemakmuran dan kemodenan. – Bernama, 24 Mac, 2014.

Tidak ada yang murtad dalam tempoh 10 tahun, kata Jamil Khir

Posted: 24 Mar 2014 02:24 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
March 24, 2014

Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) memberitahu Dewan Rakyat tidak ada penganut agama Islam termasuk saudara baru yang murtad direkodkan dalam tempoh 10 tahun ini.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, dalam tempoh 10 tahun ini Mahkamah Syariah langsung tidak menerima permohonan untuk keluar Islam.

Bagaimanapun katanya mahkamah hanya menerima kes permohonan menentukan status agama yang dipohon individu ekoran wujudnya kekeliruan dalam sijil kelahiran.

"Setakat ini hanya ada permohonan menentukan status agama yang dipohon berikutan kekeliruan dalam sijil kelahiran atau kad pengenalan atau sijil akuan memeluk Islam," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen.

Susulan itu, beliau berkata Mahkamah Syariah akan menimbang permohonan tujuan menentukan status agama ekoran dari kekeliruan.

"Mahkamah Syariah akan menimbang permohonan tujuan menentu status agama dalam keadaan berlakunya kekeliruan semasa pendaftaran nama terutama di negeri Sabah dan Sarawak.

"Ini kerana bagi dua negeri itu wujudnya situasi nama mereka seperti nama orang Islam biarpun mereka beragama lain," katanya.

Jamil Khir juga ditanya tentang bilangan bukan Islam yang memeluk agama Islam dalam tempoh 10 tahun lepas.

Katanya mengikut Perlembagaan Persekutuan maklumat yang tepat bagi bilangan masyarakat lain memeluk islam hendaklah dirujuk kepada jabatan agama Islam negeri.

"Dalam konteks ini bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mengikut rekod Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bilangan orang yang memeluk agama Islam bagi tempoh 2008-2012 adalah seramai 4,520 orang," katanya. – 24 Mac, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved