The Malaysian Insider :: Bahasa |
Mahkamah Persekutuan benarkan permohonan pihak pendakwaan batal rayuan Anwar Posted: 04 Mar 2014 03:04 AM PST Ini membuka jalan bagi Mahkamah Rayuan untuk mendengar, seperti dijadualkan, pada 6 dan 7 Mac rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008. Pada 12 Februari Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk memanggil semula Supt Judy Blacious Pereira dalam kes liwatnya berhubung isu kewibawaannya. Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dalam keputusan sebulat suara, berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah betul dan bahawa permohonan kedua Anwar bukan permohonan yang boleh dirayu mengikut tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Hakim Suriyadi berkata mahkamah tertinggi bersetuju dengan penghujahan pihak pendakwaan, yang diketuai Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak melupuskan hak responden. "Rayuan itu tidak cekap memandangkan perayu tidak dihalang sepenuhnya," demikian diputuskan Hakim Suriyadi. Empat anggota panel hakim yang lain ialah Tan Sri Ahmad Maarof, Datuk Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Abu Samah Nordin. Semalam, Anwar gagal dalam cubaan ketiga di Mahkamah Rayuan bagi menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan atas alasan bahawa peguam kanan itu seorang yang tidak sesuai dan wajar untuk menerima pelantikan memandangkan dia didapati bersalah dan didenda RM5,000 oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara kerana melangar Akta Profesion Undang-undang. Anwar pertama kali mencabar kesahihan pelantikan Muhammad Shafee mengikut Kanun Acara Jenayah tetapi ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas. Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 November tahun lepas. Permohonan keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee, berdasarkan akuan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk M Zain Ibrahim, turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lepas. Rayuannya di Mahkamah Persekutuan turut ditolak pada 11 Februari tahun ini. Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara "fiat" (autoriti beliau) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan. – Bernama, 4 Mac, 2014. |
Akhbar Sarawak minta maaf iklan ucapan ‘tahinah’ kepada Taib Posted: 04 Mar 2014 02:50 AM PST "Pihak pengurusan Utusan Sarawak ingin mohon maaf atas kesalahan ejaan yang tidak disengajakan itu," kata akhbar itu, yang dimiliki Sarawak Press Sdn Bhd pimpinan anak bongsu Taib, Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree. Semalam, akhbar tersebut menerbitkan iklan muka penuh tajaan parti Taib, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tetapi perkataan "Tahniah" disalah eja sebagai "Tahinah". Willian Chan, pengarang kumpulan Sarawak Press Sdn Bhd, bagaimana pun berkata, tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pekerja akhbar berkenaan. Dipercayai PBB terlebih dahulu memastikan pruf iklan tersebut bebas dari kesilapan sebelum ia dihantar untuk penerbitan. Utusan Sarawak merupakan antara akhbar tertua di negeri itu, dan sebelum ini pengarangnya pernah diberhentikan kerana menerbitkan laporan kurang menyenangkan mengenai pentadbiran Taib. Taib mengumumkan perletakan jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari, dan dilantik menjadi Yang Di-Pertua baru mulai 1 Mac. Pada 2006, akhbar The Sarawak Tribune yang diterbitkan bersama Utusan Sarawak, digantung permitnya kerana memaparkan kartun Denmark yang menghina Nabi Muhammad. Akhbar berbahasa Inggeris itu muncul sekali lagi sebagai New Sarawak Tribune pada 2010. – 4 Mac, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan