Rabu, 19 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Muzik, dadah dan imej

Posted: 18 Mar 2014 04:54 PM PDT

March 19, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Belum selesai masalah pesawat MH370 yang belum ada jawapan dan jalan penyelesaiannya, negara kita dikejutkan pula akan hal 6 pengunjung konsert "Festival Music Asia 2014" (FMFA 2014) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini, mati kerana mengambil dadah "ecstasy" jenis yang baru secara berlebihan.

Konsert yang berskala besar ini telah dianjurkan melibatkan Asia sejak 2012 lagi. Tahun 2013 ianya berlangsung di litar antarabangsa Sepang yang melibatkan 50,000 pengunjung.

Untuk tahun ini ianya berlangsung selama 3 hari dengan penglibatan para deejay popular dunia antaranya Will Sparks, deadmau5 dan Aventure Club dan penganjuran kali ini berjaya menarik pengunjung lebih dari 30 negara.

Untuk hari ke-3 ianya telah dibatalkan berikutan trajedi yang menimpa dan ramai yang telah ditahan untuk disiasat atas penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Kejadian ini agak tragik sebenarnya. Nyata dadah dan muzik seakan sudah sinonim dengan dunia anak muda sejak zaman "Woodstock" di penghujung tahun 60an dulu sehinggalah ke hari ini.

Konsert yang berteras dan mengetengahkan irama hip hop, trance, rap, rock yang kebanyakan jenis muziknya up-beat tempo dengan bunyi sampler yang bingit tanpa henti hingga bikin pengunjung melompat-lompat itu memanglah releven dengan "ecstasy" dari mula ianya menular ke negara kita ini sejak awal tahun 90an dulu.

Sebenarnya itu hanyalah kebetulan jika ianya melibatkan muzik dan dadah. Orang kerja pejabat pun jika mereka itu penagih, tetap juga penagih.

Siapa saja tidak kira apa kerjaya mereka, tetap digelar penagih jiak mereka itu penagih dadah.

Cuma di negara kita ini sejak dulu lagi, pihak penguasa lebih suka menilai dari sudut luarannya.

Maknanya dulu kalau kita ini berambut panjang, berpakaian rugged macam kutu, besar kemungkinan kita ini akan dilabel sebagai "penagih dadah".

Apatah lagilah jika kita bermain muzik di jalanan seperti kerjaya yang saya lakukan sekarang. Ini masalah persepsi, dari pihak penguasa sampailah kepada masyarakat sejak dari tahun 80an dulu.

Hari ini pandangan mereka semakin positif terhadap golongan busker terutamanya. Ini kerana terbukti "street performance" atau hiburan jalanan juga busking berjaya menyumbang sesuatu yang mampu memberi nilai positif pada masyarakat, pelancong juga pada pihak kerajaan.

Cuma apabila terjadinya kes FMFA ini yang kebanyakan pengunjungnya peminat hip hop dan trance belaka dengan sebahagian besar mereka berambut pendek dan up to date belaka fesyen pakaian mereka, nyatalah pada kita imej hanyalah sekadar imej cuma.

Tak semestinya buruk di luar itu buruk juga dalamannya dan tak semestinya cantik di luar itu cantik juga dalamannya.

Saya bercerita melalui pengalaman. Kulit saya yang sawo matang, mata cengkung, dulu rambut pula panjang dan badan pula kurus, kesannya banyak kali juga saya dicekup pegawai polis (SB) untuk ujian air kencing kerana disuspek penagih dadah tertutamanya di era busking di Pasar Seni awal tahun 2000 dulu.

Genre hip hop atau rap adalah satu genre yang bagi saya satu bentuk luahan atau ekspresi. Saya cuba menyelami muzik jenis ini tapi ianya tidak bersesuaian dengan selera jiwa. Nilai seninya sangat asing bagi saya.

Untuk bunyi dram atau "beat", segalanya terdapat dalam berbagai "effect", sampler dan berbagai lagi bahan peralatannya dengan segala macam bunyi dalam berbagai bentuk "effect" yang kita boleh dapat hari ini.

kalau nak "eppregios" atau "tremolo" tak payah susah-susah praktis, hanya dengan sekali tekan kita mampu melakukannya. Di mana nilai seni dan kreativitnya?

Melodi pula bercakap sepanjang lagu dengan satu tone yang sekual diselang-seli dengan sebait rangkap melodi yang dilagukan.

Pun saya respek sebab mereka, penyanyi hip-hop dan rap ni boleh bercakap dengan laju dan pantas.

Cuma kalau mood-mood elekrtonik dan pscyedelic era Syd Barret zaman Pink Floyd dulu saya minatlah, sebab walaupun elektronik, nilai seni dan mutu muzik mereka sangat berkualiti dan kena dengan konsep.

Begitu juga dengan muzik Radiohead, Sonic Youth atau Depeche Mode. Maknanya dalam apa juga muzik tidak kira apa genre, jika ia masih berserta "attitude", itu masih dikira bagus kerana masih terdapat nilai rugged dalam konsep yang ingin mereka persembahkan.

Untuk muzik rap, saya lihat itu muzik milik warga kulit hitam Amerika.

Tuhan beri kelebihan pada mereka dari segi suara, pergerakan badan, feel dan tahap keyakinan yang tinggi, walau mereka berkulit hitam dan tidak kacak seperti orang putih.

Apabila mereka bercakap, ianya seakan melodi walau senada kerana tone suara mereka yang mantap dan berkesan. Kalau yang rebel dan paling menarik itulah Tupac Shakur.

Ini kalau orang kita nyanyi lagu rap, saya masih tak nampak relevannya di situ. Pertama suara penyanyi rap kita bukannya sedap sangat.

Kebanyakan penyanyi rap dan dance kita tidak mempunyai suara yang berkualiti seperti suara seorang penyanyi.

Seperkara penyanyi rap kulit hitam dari barat sana, mereka ini kebanyakannya datang dari golongan marhaen jalanan, hidup memang huru-hara.

Jenayah dan kehidupan jalanan tidak dapat dipisahkan dengan cara hidup mereka atas desakan hidup.

Penyanyi rap kita pula kebanyakannya anak orang berada, belanja hidup makan minum segalanya ditanggung ibu bapa.

Masalah hidup tak ada kecuali cari sendiri. jadi dari segi "real"nya kuranglah. Itu sebab saya lihat dari segi feel penyanyi rap di negara kita ini kebanyakannya buat-buat.

Apapun, muzik tidak ada kena mengena dengan dadah, arak atau seks. Ianya atas kemahuan dan nafsu individu itu sendiri. –19 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved