Khamis, 27 Mac 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Nik Razman, flamenco dan indipenden

Posted: 26 Mar 2014 04:33 PM PDT

March 27, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Nik Razman bersama gitarnya, pejuang muzik flamenco.Nik Razman bersama gitarnya, pejuang muzik flamenco.Ramai kawan baik saya merupakan insan yang hebat-hebat belaka di bidang masing-masing. Baik di bidang penulisan mahupun muzik. Banyak yang saya belajar daripada mereka. Untuk menjadi insan yang hebat bukanlah mudah.

Asasnya adalah bakat dan untuk memastikan ia berkembang, tidak ada jalan lain melainkan praktis tanpa jemu dan jika dalam penulisan, membaca dan terus membaca.

Saya akan memperkenalkan mereka yang saya kenal ini satu persatu kepada pembaca kerana penting untuk kita lebih mengenal mana kaca, mana permata.

Mungkin mereka tidak berpeluang ke arena arus perdana atau atas sebab prinsip juga, kerana di sana tempatnya untuk bergosip dan berhibur, bukan cerita tentang muzik dan pengisiannya.

Kita tidak punya pilihan melainkan melebarkan kelompok komuniti indipenden yang kita bina. Saya gembira melihat perkembangan dunia indipenden hari ini berbanding 10 tahun lalu.

Baru-baru ini saya terlibat menjayakan persembahan dan turut mengundang Nik Razman dan Amin Iskandar dalam satu program kesenian indipenden yang dinamakan 'Pesta Rabak', berlangsung di Publika pada 22 Mac lalu, bersempena pelancaran buku terbaru saya, 'Sembang Kehidupan' terbitan Merpati Jingga.

Apa yang menarik sambutan anak-anak muda yang semakin faham dan memberikan sokongan kepada program berbentuk ilmiah, rugged dan bijak. Ada baca sajak, seni persembahan, menyanyi, bermuzik dan berbagai lagi.

Temanya santai dan sambutan terhadap program sebegini sangat menggalakkan. Tahniah kepada penganjur.

Kita cuba menjadi Indonesia iaitu setiap genre muzik yang mereka perjuangkan seperti heavy metal, rock, blues, jazz, fusion, folk dan country dan western contohnya, tetap punya pengikut dan hasilnya pemuzik-pemuzik di sana mampu terus hidup dan berkarya mengikut cara dan acuan mereka tanpa perlu beralih ke arena pop dan arus perdana.

Kelebihan Indonesia kerana jumlah penduduknya yang seramai hampir 250 juta ditambah pemahaman muzik dan tamadun mereka lebih maju daripada kita. Penduduk di negara kita pula hanyalah kira 27 juta, yang mungkin dengar muzik mungkin 2 juta orang.

Yang mengikuti muzik arus perdana penuh kilauan dan materi mungkin 1.9 juta orang. Maknanya jangan tanya mereka ini tentang muzik yang selain pop dan berteraskan hiburan, memang mereka tidak minat untuk ambil tahu.

Jadi mungkin yang minat muzik atau benda berilmiah hanya 100,000 orang, pun itu sudah mencukupi jika mereka turut menyokong yang bercorak ilmiah.

Cuma produk indipenden memerlukan sokongan kelompok komunitinya, untuk mereka lebih bersemangat terus berkarya.

Saya kenal seorang anak muda, Nik Razman atau nama sebenarnya Razman Shaharin bin Hadi (lahir 22 Mei 1974) sejak awal 2000 dulu. Nik bagi saya antara pemain gitar flamenco terbaik di negara kita ini.

Beliau mula bermain gitar pada 1999. Saya pula mula bekerja di Yamaha Music pada 1996. Di sana saya kenal baik beberapa guru gitar klasikal yang hebat seperti Cikgu Omar, Shahrom dan Izat.

Cikgu Omar masih menjadi tenaga pengajar di Yamaha Music dan di sekolah muzik lain juga. Shahrom dan Izat pula merupakan pemuzik profesional yang masih aktif membuat persembahan.

Mereka merupakan kenalan baik Nik yang pernah mendalami ilmu gitar klasikal dengan Cikgu Omar. Saya juga pernah berguru dengan Cikgu Omar.

Jadi awal tahun 2000, saya mula mengenali Nik. Cikgu Omar, Shahrom dan Izat sering bercerita pada saya tentang Nik dan dunia flamenconya.

Beliau memang dilahirkan untuk muzik flamenco yang sedang digaulinya sejak mula mengenal gitar. Seperti legenda flamenco dunia, Paco De Lucia dan Tomatito, Nik juga tahap penghayatannya sampai seperti mereka. beliau juga sanggup untuk ke Sepanyol demi mendalami genre muzik tersebut.

Seperti katanya selepas ditanya apa yang membuatkan beliau minat untuk mendalami flamenco?

"Radar flamenco yang mengesan diri saya, sehingga diri terasa terdorong ke arahnya seperti ada tindak balas chemistry," katanya.

Saya tahu ramai di kalangan pemuzik terutamanya yang dalam genre klasikal dan akustik mampu memainkan muzik flamenco, tetapi untuk mendapatkan 'feel' atau penghayatan, ianya adalah sukar dan bukan boleh dibuat-buat.

Nik melalui perjalanan seninya seperti berjalan di lorong yang suram dan sunyi, dan beliau tetap bermuzik walau hanya segelintir yang mendengar.

Terbaik dalam kariernya apabila beliau turut terlibat sebagai 'sessionist' dalam album M Nasir, Phoenix Bangkit pada 2001.

Berbual-bual dan bertukar pandangan dengannya baru-baru ini, beliau nyata masih punya harapan agar muzik flamenco akan diterima ramai seperti katanya, di negara-negara Asia sudah mula menerima genre muzik tersebut, mengapa tidak Malaysia?

Nik turut memperkenal satu genre muzik baru - Cool Malay Flamenco (CMF) demi meuniversalkan irama flamenco agar lebih diterima ramai terutamanya untuk pendengar di negara kita ini.

Maknanya elemen tersebut digabungkan dengan nilai pop, jazz, blues,rock dan sebagainya. Ini seperti yang dilakukan oleh Gypsy Kings mahupun Ketama, yang muziknya masih berteraskan flamenco, namun penuh dengan elemen jazz dan fusion di dalamnya.

Saya bersetuju dengan pendapatnya. Cuma saya tidak pasti sampai ke mana mimpi ini akan kita bawa. Apa pun usaha beliau bagus dan harus dipuji. - 27 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

BN dan Umno perlu belajar jadi pembangkang selepas PRK Kajang

Posted: 26 Mar 2014 04:20 PM PDT

March 27, 2014

Datuk Nur Jazlan Mohamed is a three-term MP for Pulai and the new PAC chairman. Apart from being in the new politics, he also writes for The Malaysian Insider while debating other matters at www.jazlan.net

Seperti yang diramal semua pihak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR dan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh memenangi kerusi DUN Kajang (N25), Ahad lalu, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Mei lalu.

Tentangan sengit yang cuba diberikan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA, bekas timbalan menteri dan bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara terhadap Dr Wan Azizah seharusnya diberikan pujian kerana Chew sebenarnya, berdepan dengan Anwar yang mengepalai jentera Pakatan Rakyat.

Dengan strategi PKR yang menamakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang ini, dengan pelbagai gelaran seperti 'Langkah Kajang' atau 'Rencana Kajang', kemenangan Dr Wan Azizah sebenarnya, tidak mengubah apa-apa status quo dalam DUN Selangor dan begitu juga sebaliknya, jika Chew menang di Kajang.

Kemenangan Dr Wan Azizah ini, juga bermakna Pakatan kini mendahului BN sebanyak 2-1 dalam PRK selepas PRU13, apabila sebelum ini, memenangi PRK Sungai Limau manakala BN mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut.

Apa yang menarik mengenai PRK 'olok-olok' Kajang adalah kerusi ini, sengaja dikosongkan PKR pada 27 Januari lalu, kononnya untuk menguatkan parti berkenaan sebagai kerajaan memerintah daripada serangan Umno Selangor selain permulaan untuk menakluki Putrajaya pada PRU14 yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2018.

Ia secara tidak langsung turut dijadikan medan ujian PKR terhadap sokongan pengundi Selangor sama ada pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada mereka walaupun alasan untuk diadakan semula PRK bertujuan untuk mendamaikan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

Namun, ia juga sebenarnya ujian kepada BN terutama sekali Umno Selangor dalam menentukan sama ada sokongan rakyat negeri itu sudah kembali kepada mereka, sekurang-kurangnya itu yang sering diperkatakan kepada Datuk Seri Najib Razak oleh para penasihat rapat beliau.

Pertandingan satu lawan satu antara MCA dan PKR di kerusi DUN yang mempunyai komposisi pengundi 48% Melayu , 42% Cina dan bakinya, kaum India dan Lain-Lain kaum sebenarnya, amat penting untuk BN terutama sekali Umno Selangor.

Ia berikutan kegagalan menawan semula Selangor pada PRU13 lalu, walaupun diketuai perdana menteri selaku Pengerusi Umno Selangor dengan membawa peruntukan besar dan luar biasa semata-mata untuk memenangi semula negeri paling maju di Malaysia.

Bagaimanapun, harapan itu tinggal harapan untuk Najib apabila jumlah kerusi yang dimenangi BN di Selangor merosot kepada hanya 11 kerusi DUN daripada 22 kerusi.

Berikutan itu, PRK Kajang sebenarnya, adalah cubaan terbaik untuk BN menterjemahkan strategi baru serta menguji sama ada benarkah pengundi Melayu di kawasan pinggir bandar seperti Kajang, sudah beralih arah kepada BN terutama sekali Umno seperti yang didakwa pakar-pakar di Putrajaya.

Walaupun, peratusan keluar mengundi pada Ahad lalu, menurun kepada sekitar 72% berbanding lebih 80% pada PRU13 lalu, dan majoriti yang diterima Dr Wan Azizah lebih rendah daripada yang diterima Lee, Mei lalu, BN tidak boleh mendabik dada bahawa mereka memperoleh kemenangan moral atau menang dalam kekalahan.

Presiden PKR itu menang dengan majoriti 5,379 undi selepas mendapat 16,741 undi, manakala Chew berjaya memperolehi memperolehi 11,362 undi manakala undi rosak  pula sebanyak 176.

Tanpa disedari BN sebenarnya, kehilangan 1,385 undi dan kiraan ini, dibuat berdasarkan jumlah undi pada PRU13 iaitu sebanyak 12,747 undi berbanding 11,362 undi pada PRK Kajang.

Pada masa sama, PRK Kajang ini, juga terus menyaksikan penurunan sokongan undi Melayu pada BN terus merosot apabila hanya dua peti undi berbanding 16 peti undi yang ada dalam DUN Kajang.

Memang benar bahawa peratusan keluar mengundi merosot pada PRK Kajang tetapi penurunan undi BN amat membimbangkan dan ia sekali gus menunjukkan penyokong setia BN dan Umno tidak rela untuk keluar mengundi bagi membantu kemenangan Chew.

Secara langsung, PRK Kajang ini, jelas menggambarkan sokongan penyokong setia BN dan PKR tanpa ada penambahan sokongan pengundi luar yang jelas tidak berminat untuk membantu parti dalam pilihan raya yang penting ini.

Mungkin ramai sudah lupa bahawa kawasan DUN Kajang ini, dalam Parlimen Hulu Langat merupakan kubu kuat untuk Umno dan BN sebelum 2008 tetapi dalam tempoh enam tahun berlaku perubahan drastik di kalangan pengundi sehingga mengakibatkan BN serta Umno gagal mendapatkan sokongan rakyat di kawasan berkenaan dan kini, ia menjadi kubu Pakatan.

Seharusnya, pemimpin BN terutama sekali Umno Selangor sebenarnya, perlu mengkaji semula mengapa berlaku perubahan drastik sokongan rakyat kepada parti dan beralih kepada parti lawan.

Walau apa pun, Chew tetap kalah dan seperti biasa pemimpin Umno dan BN mendabik dada memberi alasan, mereka dapat mengurangkan majoriti undi pembangkang. Sampai bila pemimpin kita mahu menggunakan alasan ini, sedangkan seharusnya kita menerima hakikat itu dan bermuhasabah mengapa terus gagal menarik semula sokongan rakyat dan ahli parti sendiri.

Jika itu, sifat dan sikap yang ditunjukkan pimpinan serta jentera BN, ternyata mereka berada dalam keadaan 'denial' serta terus dilambung keseronokan di puncak kuasa tanpa memikirkan kesan yang akan diterima pada PRU 14 akan datang.

Dalam sistem dua parti yang akan berlaku di Malaysia, tiada parti yang boleh berkuasa lebih dua penggal dan memenangi kemenangan menguasai Parlimen dengan kedudukan kerusi dua per tiga.

Jadi, bagaimanakah Umno mahu membuat perubahan dan strategi untuk kembali berkuasa sekiranya, kalah dalam PRU14 nanti. Selagi Umno Selangor tidak boleh meninggalkan cara lama dan merancang berfikir serta bertindak macam pembangkang, saya tidak nampak bagaimana Umno Selangor dan BN mahu kembali semula berkuasa di negeri itu.

Terus terang saya katakan bahawa keputusan PRK Kajang adalah 'mimpi ngeri' buat Umno Selangor yang terpaksa bertindak sendirian memikul parti komponen kerana mereka terus gagal untuk mengembalikan undi orang Melayu kepada BN.

Satu kesimpulan yang saya boleh simpulkan adalah Umno tidak boleh hidup sekiranya hilang kuasa dan sumber kewangan.

Ketika MCA mendabik dada selepas PRK Kajang dengan menyatakan sokongan masyarakat Cina kini sudah mula kembali kepada parti itu, apabila mendapat sokongan 25% berbanding 18% pada PRU13, Umno Selangor yang kini diterajui Datuk Seri Noh Omar selaku Pengerusi Perhubungan terus hilang rentak dalam mengembalikan semula keyakinan masyarakat Melayu di negeri itu kepada BN.

Kegagalan dalam menangkis dakyah Pakatan yang mengeksploitasikan pelbagai isu nasional termasuk kehilangan pesawat MH370 kepada isu bomoh di KLIA sehingga penyokong PKR membawa kangkung pada hari pengundian, jelas memperlihatkan kegagalan Umno untuk menjangka perang psikologi yang akan digunakan PKR dan Pakatan dalam PRK Kajang.

Jentera BN dan Umno terus dengan pendekatan lembut dan 'bertahan' dalam setiap asakan yang dilakukan PKR sepanjang 12 hari berkempen sehingga menyebabkan pengundi bosan dengan strategi parti dalam PRK Kajang.

Walaupun, jentera BN yang dikepalai Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Najib dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen, ia tetap gagal mempengaruhi pengundi Melayu untuk beralih sokongan kepada BN.

Selain itu, rata-rata pemerhati politik juga mendapati bahawa kurangnya kerjasama antara sayap parti di peringkat bahagian itu dalam melakukan gerak kerja serta strategi berkempen sehingga dilihat banyak orang luar yang sebenarnya, melakukan kerja berkempen.

Bukan saya mahu menidakkan kepimpinan rakan saya, Datuk Johan Aziz dalam memimpin Umno Bahagian Hulu Langat kerana beliau tetap cuba memberikan yang terbaik walaupun menyedari bahawa tugas berlawan dengan PKR di gelanggang mereka bukan mudah.

BN dan Umno berterusan memikirkan bahawa mereka mengetahui apa sebenarnya yang dimahukan rakyat sehingga tidak responsif terhadap apa sebenarnya, yang dimahukan rakyat daripada sebuah kerajaan.

Ketika PKR dan Pakatan berterusan menyerang kerajaan BN dengan isu-isu lapuk seperti rasuah termasuk memperlekehkan usaha kerajaan dalam mengendalikan tragedi pesawat MH370, tiada pemimpin BN yang tampil bersemuka dengan pengundi menerangkan apa yang sudah dilakukan kepada rakyat.

Cara lama berkempen dengan 'menjual' projek pembangunan serta menjanjikan 'gula-gula' politik selain sikap 'poyo' pemimpin pusat BN jelas menyebabkan pengundi dan masyarakat setempat di Kajang meluat.

BN berterusan menganjurkan majlis bersama rakyat yang sebenarnya bukan untuk rakyat setempat sebaliknya lebih kepada pemimpin BN untuk 'memoyo' antara satu sama lain jelas menyinggung hati masyarakat setempat serta memperlihatkan terdapat jurang antara pemimpin BN dengan rakyat.

Adalah lebih baik sekiranya BN dan Umno menggunakan strategi menyerang pemimpin PKR dan Pakatan di Selangor yang sebenarnya, mempunyai 1001 masalah sesama mereka.

Kebergantungan kepada media arus perdana untuk terus memperlihat 'wajah' baik BN dan pemimpinnya tidak lagi berkesan kerana pengundi dan masyarakat sudah sedar bahawa siapa sebenarnya di belakang media-media ini.

Seharusnya, pimpinan tertinggi BN mengembleng semua pemimpin parti komponen yang ada untuk turun berkempen dan mengadakan ceramah bagi menerangkan dasar kerajaan serta menangkis dakyah pembangkang.

Jadual kempen yang membabitkan pemimpin BN perlu disusun dengan lebih intensif dan diwarwarkan kepada masyarakat setempat dengan menampilkan tajuk-tajuk ceramah yang bersifat menyerang pemimpin-pemimpin Pakatan serta pentadbiran mereka.

Banyak isu yang boleh dieksploitasi BN ketika berkempen dalam PRK Kajang kerana kita adalah pembangkang dan tugas membangkang adalah mendedahkan segala kelemahan dalam kerajaan PKR Selangor.

Namun apa yang saya perhatikan, pemimpin BN masih mempunyai sikap seperti mereka yang memegang tampuk kerajaan negeri yang memerintah dengan tidak mampu untuk menyedarkan masyarakat serta pengundi Kajang, mengapa mereka harus menolak PKR.

Pengajaran daripada PRK Kajang ini, membuktikan BN dan Umno masih terus gagal menyelami perubahan demografi masyarakat berikutan proses urbanisasi selain tidak dapat melihat jurang serta perbezaan antara kaum tidak lagi menjadi isu utama dalam pemikiran rakyat terutama sekali di kawasan bandar.

Sebaliknya, isu penting untuk masyarakat kawasan bandar dan pinggir bandar adalah disebabkan berlakunya jurang antara golongan kaya, pertengahan dan miskin yang semakin melebar sehingga menimbulkan persepsi bahawa Umno dan BN membolot segala-galanya.

Saya sebenarnya, bimbang dengan kesan daripada PRK Kajang ini, kerana ia sekali gus menunjukkan bahawa perubahan sikap pengundi bandar serta pinggir bandar untuk kembali menyokong BN langsung tidak menampakkan sebarang tanda positif.

Mungkin sudah sampai masanya Umno dan BN belajar taktik pembangkang sekiranya diperlukan selepas PRU 14. - 27 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved