Khamis, 10 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Selangor akui selenggara 10 banglo Exco membazir

Posted: 10 Apr 2014 02:42 AM PDT

OLEH JAMILAH KAMARUDIN
April 10, 2014

Exco Selangor mengakui penyelenggaraan 10 banglo di Seksyen 7, Shah Alam merupakan satu pembaziran.Exco Selangor mengakui penyelenggaraan 10 banglo di Seksyen 7, Shah Alam merupakan satu pembaziran.Kerajaan Selangor mengakui berlakunya pembaziran wang RM6 juta untuk menyelenggara 10 banglo kediaman Exco yang jarang digunakan di Seksyen 7, Shah Alam.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim mengakui kualiti banglo terbabit sangat teruk walaupun baru dibina pada tahun 2008.

Katanya, berlaku banyak kerosakan termasuk siling runtuh dan kebocoran paip sehingga ada Exco memutuskan untuk keluar dan enggan tinggal di situ.

"Apabila kami menerima kunci, didapati banyak kerosakan walaupun rumah itu dibina kurang 10 tahun lalu," katanya kepada pemberita di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dan Exco memutuskan untuk menjadikan premis tersebut sebagai tempat perjumpaan, mesyuarat dan majlis keraian sahaja.

Justeru tidak wajar untuk mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor membazir kerana tidak menggunakan sepenuhnya banglo seperti yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara 2013.

"Kita mewarisinya sejak tahun 20008, kalau semua 10 Exco menghuni banglo tersebut atau tidak jumlah penyelenggarannya sama juga, orang tinggal atau tidak kena bayar juga.

"Nak jual tak boleh, nak sewa orang tak nak duduk," katanya.

Laporan Audit Negara 2013 kelmarin mendedahkan kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak lebih RM6 juta untuk 10 unit rumah kerajaan yang jarang digunakan.

Laporan itu juga mendapati rumah kerajaan itu pernah disewa pada sekitar tahun 2010 hingga Jun 2013 tetapi kadar sewa itu jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan bagi kerja penyelenggaraan dan kos utiliti yang berjumlah RM6.24 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang itu berkata, pihaknya akan meneliti kontrak penyelenggara dan akan membatalkannya jika mendapati kos terlalu tertinggi.

"Kita akan lihat (kontrak penyelenggaran rumah tersebut) jika terlalu tinggi kita akan batalkan dalam masa terdekat ini," katanya. – 10 April, 2014.

Jumlah caruman bersih KWSP selepas pengeluaran RM15.23 bilion

Posted: 10 Apr 2014 02:26 AM PDT

April 10, 2014

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, ia mencatat caruman sebanyak RM50.58 bilion berbanding pengeluaran RM35.35 bilion, menjadikan aliran masuk bersih sebanyak RM15.23 bilion tahun lalu.

Dalam Laporan Tahunan 2013 yang dibentangkan di Parlimen hari ini ia berkata, pengeluaran umur 55 tahun mengatasi pengeluaran lain pada RM13.23 bilion, meningkat 8.5% daripada RM12.19 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengeluaran di bawah Skim Pelaburan Ahli merupakan pengeluaran kedua terbesar pada RM7.85 bilion.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, objektif utama KWSP adalah untuk membolehkan ahli mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara.

"Oleh itu, bagi memastikan ahli mendapat faedah sepenuhnya daripada simpanan persaraan mereka, kadar caruman 11% dan 12% dikekalkan untuk umur 55 hingga 60 tahun berbanding kadar separuh sebelum 2013," katanya.

Jenis pengeluaran lain yang menunjukkan peningkatan berbanding 2012 ialah Pengeluaran Perumahan RM4.95 bilion, Umur 50 Tahun (RM3.84 bilion), Pendidikan (RM338.14 juta) dan Kesihatan (RM43.13 juta).

Menurutnya, pada tahun sama KWSP meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur IT dan perkhidmatan elektronik melalui pelancaran e-Caruman dan e-Pengeluaran yang bertujuan memudahkan transaksi untuk ahli dan majikan.

Samsudin berkata, dalam usaha memenuhi kehendak ahli yang celik IT, terutama golongan muda yang merangkumi kira-kira 35 peratus daripada jumlah ahli, KWSP terus memanfaatkan kemajuan teknologi dan meningkatkan kemudahan dalam taliannya.

Katanya, KWSP baru-baru ini melancarkan aplikasi mudah alih "EPF i-Akaun" bagi membolehkan ahli memantau simpanan mereka bila-bila masa dan di mana sahaja.

Laporan Tahunan itu juga melaporkan kejayaan KWSP dalam aspek pelaburan meskipun ekonomi dan pasaran global yang lembab.

Strategi pelaburan berhemah, katanya membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.35% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, bayaran dividen tertinggi sebanyak RM31.20 bilion kepada ahlinya, meningkat 13.66% berbanding RM27.45 bilion pada 2012.

Jumlah ahli KWSP meningkat 2.48% kepada 13,922,194 daripada 13,585,007 pada tahun sebelumnya, sementara jumlah majikan juga melonjak daripada 502,863 pada 2012 kepada 517,062.

Samsudin yakin polisi pengurusan risiko dan strategi pelaburan berhemah akan membantu KWSP melindungi modal selain memastikan pulangan optimum untuk jangka panjang.

Ahli KWSP yang ingin mendapatkan versi penuh Laporan Tahunan 2013 boleh mengakses dan memuat turun daripada laman web myEPF di www.kwsp.gov.my. – Bernama, 10 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved