Khamis, 10 April 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Naratif satira P Ramlee (Bahagian 2)

Posted: 09 Apr 2014 06:09 PM PDT

April 10, 2014

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Apek kena tipu oleh P Ramlee, atau Jamil namanya dalam Madu Tiga. Selamba sahaja dia menipu. Memang dalam filem ini penuh dengan adegan menipu. Hidup Jamil penuh dengan menipu. Dia tipu isterinya Latifah dia nak pergi makan kenduri, sebenarnya dia nak pergi kahwin.

Dia tipu keluarga bakal isteri mudanya kata dia sudah dapat izin isteri tuanya untuk kahwin lagi satu. Bila dua-dua isterinya dapat tahu mereka dimadu, lagilah macam-macam adegan menipu ditunjukkan.

Tak cukup Jamil yang menipu, bapa mertuanya pun ikut sama berpakat menipu, termasuk menipu anaknya sendiri, bersubahat dengan menantunya yang berkahwin lagi. Dan Jamil ini memang jenis lelaki pantang tengok perempuan cantik. Baru saja kahwin isteri kedua, jumpa dengan Rohani dia terus jatuh hati lagi. Kahwin lagi isteri ketiga, dengan mengaku/menipu yang dia masih bujang, belum pernah kahwin.

Begitulah, sebenarnya, P Ramlee mentertawakan orang yang kahwin lebih daripada satu isteri. Hidup terpaksa menipu satu demi satu demi satu dan terus menipu. Itulah Jamil. Kalau mengikut falsafah absurd atau cara fikir absurd, sepertimana mereka melihat Waiting For Godot (mahakarya absurd oleh Samuel Beckett) itu sebagai menggambarkan hidup yang penuh kehampaan, menunggu dan terus menunggu sesuatu yang tak kunjung tiba; maka di sini kita juga boleh melihat Madu Tiga sebagai menggambarkan bahawa kehidupan ini penuh dengan penipuan atau aksi-aksi menipu.

Manusia yang ingin mencapai kebahagiaan dalam hidupnya, atau ingin memenuhi keinginan dirinya (seperti nyanyi P Ramlee: "Senangnya dalam hati, kalau beristeri dua; seperti dunia ana yang empunya), maka dia terpaksa hidup seperti Jamil dalam Madu Tiga. Benar atau tidak – itulah pandangan P.Ramlee.

Satu perkara yang agak pelik – kita tak marah kepada Jamil walaupun dia asyik menipu isteri-isterinya. Dan saya rasa orang perempuan pun tak marah. Saya tak pernah dengar ada orang marah kepada P Ramlee kerana watak Jamil dalam Madu Tiga yang hidupnya penuh dengan menipu. Kenapa kita tak marah kepada watak jahat ini? Menipu itu 'kan jahat?

Sebenarnya dalam filem ini kita tak terfikir dan tak terasa pun yang watak Jamil itu jahat. Sistem nilai yang membezakan baik dan jahat dalam diri kita seolah-olah tak berfungsi apabila kita menonton filem P Ramlee. Aspek kelakar dan lawaknya itu yang lebih menguasai perasaan dan minda kita.

(Betulkah begitu? Saya pun tak pasti. Tetapi saya perhatikan – begitulah. Misalnya dalam Ali Baba Bujang Lapuk, P.Ramlee jadi ketua penyamun. Adakah kita marah dan bencikan dia kerana menyamun harta orang? Tidak. Sebaliknya kita suka tengok dia berlakon dan kita ketawa dengan kelakar dan lawak lakonan dia; walaupun yang dia lakonkan itu ialah watak manusia jahat yang suka menyamun harta orang.)

3. Tiga Abdul

Satu lagi filem P Ramlee yang saya suka ialah Tiga Abdul. Ia lebih kurang macam Musang Berjanggut juga – kritikan atau kritik sosialnya begitu hebat sekali. Jelas, walaupun dengan cara menyindir; tepat mengena pada sasaran; dan kena itu begitu kuat sekali. Orang-orang yang tamak haloba dan hidup mengejar kekayaan wang dan harta telah dihukum oleh P Ramlee dengan hukuman yang cukup berat, iaitu semua harta kekayaan mereka dirampas dan mereka dijatuhkan taraf menjadi hamba abdi.

Cuba kita ingat kembali ceritanya. Tiga Abdul – Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub. Cara P Ramlee memberi nama kepada watak-watak dalam filemnya, pun satu keistimewaan. Ismet Ulam Raja – bapa kepada tiga orang Abdul itu, seorang saudagar kaya.

Itu bukan nama biasa. P Ramlee mencipta nama-nama yang di luar kebiasaan, tetapi menarik, hingga menjadi sebutan orang. Sadiq Segaraga – seorang lagi saudagar kaya. Dia ada tiga orang anak perempuan – Hamidah, Rafidah, Ghasidah. Dan ada satu lagi nama yang menarik dalam filem ini – Husein Lempoyang, saudagar unta yang beli Abdul Wahab dan Abdul Wahid ketika dijual sebagai hamba di pasar hamba abdi di kota Isketambola.

Ismet Ulam Raja ialah jenis saudagar atau bisnesman yang sanggup buat apa saja untuk merebut harta kekayaan, waimma menjual anak perempuannya sendiri. Di sini kita lihat plot cerita atau naratif yang menjadi trade mark P Ramlee, yang khas cara dan gayanya, termasuk lakonan.

Ada satu plot cerita yang istimewa, yang sengaja diadakan atau direkacipta, semata-mata bagi membolehkan P Ramlee memasukkan maksud dan menonjolkan mesej sesebuah karya. Kebanyakan filemnya dibuat begini.

Misalnya dalam Tiga Abdul apa yang dia buat? Dia buat syarat dalam perjanjian perkahwinan anak-anak Ismet Ulam Raja. Ini filem keluaran 1964. Orang Melayu-Islam berkahwin, ada perjanjian dan syarat, yang dibuat oleh peguam. Dan peguam itu menjadi rakan kongsi sebagai penasihat.

Ada komisyen 20 persen. Kemudian naik kepada 25 persen. Yang ini kemudiannya menjadi begitu popular apabila menteri-menteri kita termasuk Perdana Menteri dikatakan mengambil komisyen terhadap kontrak-kontrak dalam projek-projek kerajaan – Perdana Menteri 10 persen dan sebagainya.

Dalam Tiga Abdul kahwin mesti sain kontrak. Tak tahu samada masa itu sudah berlaku atau belum. Sekarang sudah berlaku. Syarat yang dibuat oleh P Ramlee itu memang tak pernah dibuat orang. Syaratnya saja sudah kelakar dan nakal. Menantu tak boleh marah kepada mertua walau apapun yang mertua buat. Kalau marah, kena jual. Mana pernah berlaku macam itu dalam realiti kehidupan? Tetapi itu yang P Ramlee buat. Mertuanya bagi syarat Abdul Wahab dan Abdul Wahid tak boleh makan. Hanya boleh cium ambil baunya saja. Dan tak boleh tidur bersama isteri dalam bilik. Mesti tidur dalam kandang kuda.

Tak masuk akal punya syarat. Absurd. Tapi masa menonton kita tak fikir pun pasal itu. Kita hanya ketawa kerana kelakarnya cerita itu dan kelakarnya lakonan. Dan cerita itupun mengalir terus seperti yang direka cipta oleh P Ramlee.

Tak timbul langsung soal logik dan tak logiknya mengikut realiti. Sebab apa? Sebab cerita atau naratif P Ramlee bukan naratif yang mengikut lojik realiti kehidupan. P Ramlee ada naratifnya sendiri. Naratif hasil rekaan dari kekuatan imaginasi dan kreativitinya. Di sinilah terbinanya satira filem-filem P Ramlee.

Dalam Tiga Abdul ditimbulkan perlawanan siapa yang lebih pandai/cerdik membuat supaya lawannya menjadi marah hingga tak dapat menahan rasa marahnya. Kalau siapa marah, dia kena jual sebagai hamba. Syarat dan undang-undang ini wujud untuk beberapa orang watak dalam filem ini saja.

Tak ada polis dan mahkamah yang hendak menguatkuasakan undang-undang yang sengaja direkacipta itu. Tetapi walaupun begitu, oleh kerana filem itu filem dia maka dia sendiri melaksanakan undang-undang itu.

Oleh kerana Abdul Wahab dan Abdul Wahid marah, maka Ismet Ulam Raja merampas semua harta mereka dan mereka dijual sebagai hamba di pasar hamba abdi di negeri itu. Tak kiralah negeri itu di zaman mana pun. Ada kedai muzik jual gitar dan ada muzik pop dan menari twist, tapi ada juga pasar hamba abdi. Tak mengapa. Dalam logik P Ramlee apa-apa pun boleh. Macam logik absurd juga.

Dalam filem Madu Tiga, bapa mertua Jamil buat peraturan untuk Jamil. Tiga hari tak boleh balik rumah sebab kena kerja overtime – alasan tipu. Tetapi peraturan itu dipersetujui dan diikut tanpa soal oleh isteri-isteri Jamil. (Maka jalanlah ceritanya. Kalau tak, tak berjalan ceritanya).

Dalam filem Anak Bapak P Ramlee buat mahkamah dalam pejabat. Mahkamah olok-olok. Tetapi perbicaraannya betul, dan hukuman serta dendanya pun betul. Maka berjalanlah ceritanya. Kalau tak, tak berjalan ceritanya.

Itulah naratif satira P Ramlee. – 10 April, 2014.

* Bahagian 1.

* Edisi lengkap dari teks disampaikan dalam Forum "Satira dalam Filem P.Ramlee" yang dianjurkan Penang Institute, pada 29 Mac 2014, di Kampung Melayu, Pulau Pinang.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Sementara sungai masih mengalir… (Bahagian 2)

Posted: 09 Apr 2014 05:32 PM PDT

April 10, 2014

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Pak Samad gemar berkongsi pengalamn dengan khalayak muda.Pak Samad gemar berkongsi pengalamn dengan khalayak muda."Samad Taata (datuk) nampak semakin kurus dan kurang sihat," komen anak saya, Devishi Prabha Sankari, selepas bertemu Datuk A Samad Said (Pak Samad) pada 26 Jun 2011 sempena Konvensyen Penulis di Shah Alam.

Devishi yang mengenali Pak Samad sejak lahir turut menambah dengan penuh bangga: "Tapi Samad Taata masih kuat macam Gandhi Taata (Mahatma Gandhi)."

Pak Samad dilantik sebagai Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2003. Sudah beberapa kali pihak tertentu (persatuan penulis?) menasihatkan, memujuk, menghasut serta memaksa beliau melepaskan sebarang ikatan dengan Kavyan dengan alasan bahawa kami anti-Melayu; semata-mata kerana Kavyan memperjuangkan konsep "Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia" dan berkempen "Tolak Perkauman, Raikan Kepelbagaian".

Seperti dapat dijangkakan, Pak Samad tetap bersama-sama Kavyan. Hubungan rapat dengan Kavyan sejak lebih sedekad lalu – serta perkenalan saya dengan Pak Samad sejak Ogos 1991 – membantu saya mengenali sisi-sisi lain karya-karya beliau. Selain daripada apa yang dibaca di akhbar, majalah, blog dan buku, perbualan bersama-sama Pak Samad juga "mendedahkan" pelbagai perkara – termasuk mengenai Sungai Mengalir Lesu.

Dengan membaca novel ini, kita tahu bahawa ia memaparkan derita hati nurani kelompok manusia kurang berpelajaran yang menjadi mangsa peperangan. Pembaca boleh merasai sendiri penderitaan, kesedihan, sayu, kekacauan, suasana cemas, resah dan pelbagai emosi lain yang disajikan secara terang-terangan berdasarkan penelitian, imaginasi dan pengalaman Pak Samad sendiri pada usia kanak-kanak.

Semasa membaca Sungai Mengalir Lesu, saya tidak sekadar membayangkan suasana di sekitar Sungai Rochore yang mengilhamkan sungai yang menjadi latar penting dalam novel ini. Saya turut membayangkan Pak Samad sebagai seorang kanak-kanak yang benar-benar kembali berada di latar tempat itu untuk menyaksikan semula apa yang berlaku pada tahun 1940-an.

Memandangkan Pak Samad adalah seorang pembaca dan penulis yang teramat teliti, saya membayangkan juga bagaimana beliau melakukan renungan, mengimbas kenangan perit zaman kanak-kanak, merakamkannya dalam bentuk kata-kata dan tulisan, serta melakukan saringan demi saringan, suntingan demi suntingan.

Seterusnya beliau menyusun plot bagi membolehkan kisah yang melibatkan sekumpulan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang disajikan dalam sebuah novel yang singkat, padat tetapi mengungkapkan sejarah dan permasalahan yang amat besar.

Memancing pembaca dengan pancing naratif

Saya mementingkan narrative hook iaitu "pancing naratif" pada cerita. Aspek ini juga sering ditekankan dalam bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Secara mudah, perenggan pertama perlu mampu memancing minat pembaca. Unsur-unsur dramatik, suspens, tanda tanya dan gambaran visual boleh dimanfaatkan bagi mencapai tujuan ini.

Wajar dinyatakan bahawa membaca bahagian awal setiap bab Sungai Mengalir Lesu umpama menonton babak pembukaan bagi drama dan filem bertaraf antarabangsa. Ilustrasi oleh Azam Ridzwan juga membantu merangsang imaginasi pembaca.

Dengan memanfaatkan dan memanipulasi ketajaman mata pena, penguasaan bahasa, ketelitian mata dan minda, serta imaginasi berdasarkan pengalaman silam, Pak Samad umpama seorang jurukamera profesional dan pengarah filem bertaraf Oscar yang membawa pembaca "menonton" secara langsung setiap adegan yang sedang berlangsung.

Sudah dinyatakan bahawa kisah-kisah dalam novel ini pasti diambil daripada pengalaman penulis. Perkara ini diakui sendiri oleh Pak Samad – secara langsung atau tidak langsung – dalam perbualan kami yang biasanya meliputi pelbagai topik dan bidang pada setiap kali berpeluang untuk bertemu.

Watak-watak yang ditampilkan dalam Sungai Mengalir Lesu – Maaf, saya sangat lemah dalam mengingat nama/watak – tentu bukan lahir daripada imaginasi semata-mata. Sebaliknya tentu sahaja "dipanggil" (recall) daripada zaman kanak-kanak Pak Samad.

Saya dapat membayangkan Pak Samad berdiri sebagai seorang kanak-kanak berumur sekitar lapan tahun di tebing (atau di sekitar) Sungai Rochore yang mengalir lesu sambil memperhatikan beberapa orang Jawa, Cina, Punjabi (Benggali), India-Muslim (Malbari) dan sebagainya sambil melakukan catatan mental supaya watak, perwatakan, kisah, perasaan dan penderitaan mereka boleh disajikan semula sebaik mungkin dalam sebuah karya sastera.

"Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah," seperti diakui Pak Samad menerusi judul pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara pada 25 Februari 1986 di Dewan Besar, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.

Karya Pak Samad terus malar

Pengalaman perang yang zalim pada usia kanak-kanak terus "menghantui" pengarang ini sehingga semacam "memaksa" beliau merakamkan segala kegelisahan dan keresahan itu dalam bentuk karya. Apa-apa yang tidak dapat diluahkan sepenuhnya menerusi Salina, diluahkan menerusi Sungai Mengalir Lesu.

Apabila segala pengalaman, penderitaan, kemanusiaan zaman perang serta falsafah anti-perang sudah disajikan dalam bentuk karya, amatlah adil dan wajar sekiranya seorang sasterawan mengharapkan agar karya-karyanya dibaca, diteliti, dihayati dan ditekuni oleh khalayak (pembaca).

Malah, atas dasar dan keinginan itulah juga novel Sungai Mengalir Lesu yang sudah banyak kali diterbitkan dalam pelbagai edisi diterbitkan semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd dengan kerjasama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). Majlis pelancaran rasmi pula berlangsung pada 1 April 2014 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Sasterawan yang senang didampingi peminat.Sasterawan yang senang didampingi peminat.Hasil penelitian, saya dapati ada beberapa pihak yang sebelum ini tampil untuk membantu Pak Samad dan Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan karya-karya Pak Samad. Tetapi sebenarnya, mereka juga seolah-olah bermotif mengaut keuntungan dan bukannya niat ikhlas membantu seorang sasterawan untuk menerbitkan karya-karyanya.

Kita yakin dan penuh percaya GBM tampil membantu dengan penuh ikhlas dan niat murni. Semoga sokongan dan bantuan dana tidak terhenti setakat Sungai Mengalir Lesu, sebaliknya diteruskan bagi penerbitan semula beberapa lagi karya agung Pak Samad. Jika tidak, GBM sama sahaja dengan beberapa pihak sebelum ini.

Sebagaimana Pak Samad memulakan setiap bab dalam Sungai Mengalir Lesu dengan pancing naratif atau narrative hook, begitu jugalah beliau mengakhiri setiap bab – termasuk bab terakhir – dengan unsur kejutan dan teknik tergantung.

Biarlah saya juga mengakhiri perkongsian pandangan di sini dengan cuba memanfaatkan teknik yang sama. Apakah Pak Samad, seorang penulis sepenuh masa dan Sasterawan Rakyat yang sudah "dipinggirkan" dan "dipulaukan" kuasawan kerana kelantangan bersuara, akan dibiarkan terus resah dan gelisah setiap kali bukunya terbit?

Atau Rakyat – The Third Force – yang kagum dengan keberanian dan perjuangan Pak Samad akan sudi tampil memberikan sokongan yang amat diperlukan golongan sasterawan – iaitu dengan membeli, memiliki, membaca dan menghayati karya yang terbit.

Tepuklah dada, tanyalah selera sementara sungai khazanah ilmu bernama "Abdul Samad Mohamed Said" masih mengalir di tengah masyarakat. Atau apakah kita hanya tahu menghargai nilai sebatang sungai selepas ia berhenti mengalir dan sudah tiada bersama-sama kita? – 10 April, 2014.

Bahagian 1

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved