Rabu, 16 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Negeri Sembilan sedia jual air terawat ke Selangor dan Kuala Lumpur

Posted: 16 Apr 2014 03:03 AM PDT

April 16, 2014

Kerajaan Negeri Sembilan bersedia untuk menjual air terawat kepada Selangor dan Kuala Lumpur yang kini menghadapi masalah bekalan air.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata kerajaan negeri tiada masalah menjual air ke negeri berkenaan jika sekiranya Kerajaan Persekutuan memerlukan bantuan daripada segi itu.

"Dalam waktu terdekat, kita boleh jual air maksimum sebanyak 20 juta gelen (91 juta liter) sehari daripada (menerusi) Loji Rawatan Air (LRA) baharu Ngoi-Ngoi di Pantai, Seremban. Kapasiti LRA Ngoi-Ngoi sekarang ialah 30 juta gelen (136.5 juta liter) sehari untuk bekalan Seremban. Kita boleh jual 20 juta gelen manakala 10 juta gelen (45.5 juta liter) lagi kita perlukan untuk keperluan sendiri. LRA Ngoi-Ngoi mendapat bekalan air mentah daripada empangan Triang, Jelebu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, katanya untuk rancangan jangka panjang, sebuah lagi LRA baharu perlu dibina untuk membekalkan air terawat ke negeri ini.

Mohamad berkata: "Ini disebabkan LRA Ngoi-Ngoi mempunyai kapasiti 30 juta gelen sehari dan sekarang kita gunakan LRA Ngoi-Ngoi untuk mengimbangi LRA Sungai Terip."

Jika ada usaha untuk membeli air di negeri ini oleh kerajaan persekutuan untuk kegunaan di Selangor dan Lembah Klang maka satu lagi LRA baharu mesti dibina iaitu loji yang lebih besar kapasitinya iaitu sehingga 455 juta liter sehari, katanya.

Loji tambahan ini boleh dibina kerana kerajaan negeri telah memperuntukkan satu kawasan berhampiran LRA Ngoi-Ngoi bagi tujuan itu sebagai rancangan jangka panjang. – Bernama, 16 April, 2014.

Zahida Rafik gagal ketepikan saman bekas pemandu peribadi

Posted: 16 Apr 2014 02:57 AM PDT

April 16, 2014

Pelakon Zahida Rafik hari ini gagal mengetepikan saman yang difailkan bekas pemandu peribadinya berhubung tuduhan memfitnah dalam sebuah akhbar tabloid berkaitan kehilangan wang RM200,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Zahida untuk mengetepikan saman yang difailkan Noor Azman Azemi serta memerintahkan Zahida membayar kos RM3,500 kepada lelaki itu.

Hue membuat keputusan itu di dalam kamarnya di hadapan peguam Latheefa Koya yang mewakili Noor Azman dan Jeffrey John yang mewakili Zahida.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa Hue menolak permohonan itu atas alasan saman berkenaan bukan suatu kes yang patut ditolak dan mahkamah menetapkan 20 dan 21 Oktober untuk perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah juga menolak permohonan defendan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 27 November tahun lepas, Noor Azman memfailkan saman yang mendakwa pelakon terbabit, yang berlakon dalam filem "Anak Mami The Movie", secara salah dan berniat jahat membuat kenyataan berunsur memfitnah dalam sebuah artikel yang disiarkan akhbar berkenaan pada 3 Mac tahun lepas.

Noor Azman mendakwa Zahida menuduhnya melesapkan wang itu, yang sepatutnya dimasukkannya ke dalam akaun bank pelakon tersebut.

Menurut Noor Azman, kenyataan itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak amanah, pencuri dan penjenayah serta mencemar nama baiknya dan merosakkan peluangnya untuk mendapat pekerjaan.

Menurut Noor Azman dia direman polis selama empat hari selepas Zahida, 39, membuat laporan polis terhadapnya berhubung kehilangan wang itu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. – Bernama, 16 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved