Sabtu, 26 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Perhimpunan pembangkang tidak jejas pelaksanaan GST, kata Ahmad Maslan

Posted: 26 Apr 2014 02:47 AM PDT

April 26, 2014

Pembangkang merancang perhimpunan bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) awal bulan depan di Kuala Lumpur. Gambar fail.Pembangkang merancang perhimpunan bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) awal bulan depan di Kuala Lumpur. Gambar fail.Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata perhimpunan yang dirancang pembangkang bagi membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) awal bulan depan di Kuala Lumpur tidak menjejaskan pelaksanaan cukai itu pada 1 April 2015.

Beliau berkata, perhimpunan itu tidak akan memberi kesan kepada kerajaan untuk terus berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

"GST satu-satunya percukaian yang lebih adil dan telus setelah kerajaan memikirkan selama 30 tahun untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa di Pasir Puteh, hari ini.

Ahmad diminta mengulas rancangan pembangkang mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di ibu negara awal bulan depan bagi membantah pelaksanaan CBP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentang Belanjawan 2014 pada Oktober tahun lalu mengumumkan cukai tunggal GST pada kadar 6% akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16%.

Ahmad berkata, harga barangan tidak mungkin naik selepas pelaksanaan GST kerana kerajaan hanya akan mengenakan cukai pada kadar 6%.

Beliau berkata, rakyat berpendapatan rendah tidak perlu bimbang kerana GST tidak dikenakan ke atas barangan asas seperti beras, sayur, ikan, daging, pengangkutan awam, rumah kediaman, pendidikan, kesihatan dan makanan laut.

Pada asasnya, cukai itu lebih banyak dikenakan terhadap golongan berpendapatan tinggi dan pungutan akan dikembalikan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Ahmad berkata, perhimpunan yang dirancang bertentangan dengan janji pembangkang sebelum ini di Parlimen mereka tidak akan menghalang pelaksanaan GST.

Katanya, hasil penerangan berkaitan GST oleh kerajaan sebelum ini mendapati sebilangan besar rakyat sudah memahami serta mula menerimanya dan mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang. – Bernama, 26 April, 2014.

Barack Obama tiba di Malaysia

Posted: 26 Apr 2014 02:24 AM PDT

April 26, 2014
Latest Update: April 26, 2014 05:39 pm

Pesawat yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama selamat tiba di Subang, petang ini. Gambar fail.Pesawat yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama selamat tiba di Subang, petang ini. Gambar fail.Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama tiba di Malaysia pada hari ini untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika negara berdepan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, dan misi mencari turut dibantu kapal selam drone Tentera Laut AS.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada kira-kira jam 4.50 petang selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.

Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B Johnson pada 1966.

Memakai sut berwarna hitam, Obama muncul daripada Boeing 747-200B - yang dilengkapi kemudahan dan merupakan pejabat presiden di udara yang juga pesawat paling dikenali di dunia - dengan disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Hadir menyambut beliau dengan ucapan Selamat Datang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2012, melawat Jepun dan Korea Selatan. Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina. 

Kawalan keselamatan di pangkalan udara itu yang terletak di pinggir ibu negara Malaysia Kuala Lumpur amat ketat dengan beratus-ratus anggota keselamatan ditugaskan untuk berkawal.

Obama beredar dari pangkalan udara itu untuk ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi upacara sambutan rasmi dengan menaiki limousin presiden beliau.

Semalam, Anifah berkata, lawatan presiden AS itu menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-AS kepada sebuah perkongsian komprehensif.

Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara Obama dan Najib akan memastikan perbincangan berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif.

Menurut pegawai, usaha untuk mengesan MH370 yang sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi mungkin akan disentuh dalam perbincangan di Putrajaya.

Kenderaan Dalam Air Automatik Bluefin-21 yang dilengkapi alat sonar telah menjalankan misi mencari di kawasan dikenal pasti di Lautan Hindi sejak 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu.

Penerbangan MH370 bersama-sama  239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Malam ini, presiden dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan menghadiri jamuan negara di Istana Negara.

Esok,Obama akan mengadakan perbincangan dengan Najib di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya sebelum ke Cyberjaya yang terletak berdekatan untuk majlis pelancaran Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) yang akan menyediakan platform untuk usahawan melebarkan sayap mereka.

Aturcara lawatan Obama termasuk sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. – Bernama, 26 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved