Selasa, 29 April 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Yadim setuju berada dalam jawatankuasa teknikal hudud jika dipelawa

Posted: 29 Apr 2014 03:06 AM PDT

April 29, 2014

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bersetuju berada dalam jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan jika ia dibentuk dan Yadim dipelawa untuk menganggotainya.

Yang Dipertua Yadim Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berkata perbincangan mengenai hukum hudud yang mahu dilaksanakan PAS Kelantan itu perlu dihalusi melalui jawatankuasa berkenaan dan PAS perlu melihat objektif penubuhannya tanpa sebarang prejudis.

"Yadim, kalau dipanggil, kami akan duduk bersama (jawatankuasa berkenaan). Ini juga peluang terbaik buat dua parti terbesar berada bersama berbincang berkenaan masa depan dan hala tuju Islam di negara ini.

"Jawatankuasa ini bukan nanti kerana asasnya adalah politik tetapi kita nak buat kerana benar-benar mahu melaksanakan hukum Allah itu sendiri. Kalau niat kita betul, Insya-Allah akan dipermudahkan. Kalau salah, akan menjadi fitnah kepada negara dan Islam," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas menteri besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim di Kota Baharu hari ini.

Ahad lalu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan penubuhan jawatankuasa berkenaan yang disertai oleh pihak yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar-pakar hukum agama dari luar negara.

Muhyiddin berkata hukum hudud itu perlu diperbincangkan secara halus kerana masih ramai yang tidak memahaminya.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz ketika ditemui selepas itu, melahirkan rasa gembiranya dengan cadangan Muhyiddin itu dan berharap ia mampu direalisasikan segera.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak tertentu untuk melaksanakan jawatankuasa teknikal itu dan enggan campur tangan mengenainya. – Bernama, 29 April, 2014.

MH370: Jepun mohon sertai panel pakar, kata Hishammuddin

Posted: 29 Apr 2014 02:56 AM PDT

April 29, 2014

Japan memohon untuk menyertai panel pakar antarabangsa yang akan membuat penyelidikan berhubung insiden kehilangan MH370 Malaysia Airlines, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar).

Beliau berkata Jepun dialu-alukan untuk menyertainya kerana panel itu mengamalkan ketelusan dan mempunyai kredibiliti.

"Ada permintaan bahawa mereka (Jepun) diberi ruang dalam panel pakar yang akan membuat penyelidikan berhubung kait dengan MH370.

"Kami tiada masalah untuk mereka menyertai panel kerana seluruh dunia ingin tahu mengenai MH370 dan seperti saya sebutkan sebelumnya, mungkin apa yang kita tahu berhubung MH370 akan mengubah sejarah penerbangan," kata beliau kepada pemberita.

Sebelum itu, Hishammuddin menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Jepun Itsunori Onodera di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Hishammuddin menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun berminat untuk meneruskan usaha menangani isu seperti menjamin keamanan dan kestabilan di rantau ini, bantuan bencana, berkongsi maklumat bagi memerangi keganasan dan industri pertahanan.

Mengulas laporan bahawa Jepun menarik diri daripada operasi mencari pesawat yang hilang itu, Hishammuddin berkata: "Jauh sekali.. (tarik diri), Menteri Pertahanannya datang tadi untuk menyatakan bahawa apa lagi yang mereka boleh bantu.

"Ini menunjukkan bahawa komitmen mereka masih lagi kukuh," katanya.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang dalam pesawat hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Misi pencarian di bawah permukaan laut yang diketuai Australia kini dijalankan di perairan dekat Perth, Australia.

Ia merupakan pertemuan pertama Onodera, yang menjadi Menteri Pertahanan Jepun pada Disember 2012, dengan Hishammuddin. – Bernama, 29 April, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved