Sabtu, 12 April 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Generasi Dota, cybercafe dan Internet

Posted: 11 Apr 2014 04:40 PM PDT

April 12, 2014

Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.

Kali pertama saya kenal Internet adalah pada 1996. Ketika itu, untuk saya dapat melayari Internet, banyak perkara leceh perlu dilakukan seperti mencabut wayar telefon dan sambungkan pada soket, tunggu dial-up. Menunggu bunyi modem untuk Internet disambungkan yang memakan masa 2 minit (paling kejap), dan kalau anda ada daya sabar yang tinggi, mungkin boleh makan masa 15 minit.

Kelajuan Internet 14.4 kbps (kilobyte per saat) membuatkan anda menunggu gambar untuk keluar di skrin memakan masa lima minit, tetapi, pada masa itu, kita masih boleh bersabar.

Hari ini, kelajuan Internet saya selalu gunakan adalah sekitar 5 mbps (megabyte per saat). Purata kelajuan Internet dunia ialah 17.9 mbps. Hong Kong mempunyai kelajuan Internet paling laju di dunia dengan 65.1 mbps.

Oh ya, Malaysia adalah negara yang kelajuan Internetnya ke-10 terlembab di dunia. Dengan masuknya ranking "top ten" itu, ya, Malaysia boleh!

Apapun, kali pertama kawasan perumahan saya di Cheras Perdana mempunyai sebuah cybercafe adalah pada sekitar 1999. Sejak itu, saya membesar dengan cybercafe.

Cybercafe – adalah institusi yang membentuk seorang Nomy Nozwir. Bahkan sehingga ke hari ini, saya masih membuat kerja saya di cybercafe.

Ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke cybercafe – banyak perkara baik yang saya pelajari (dan juga perkara "nakal" – sudah tentu) dan selama 15 tahun ini, saya memerhatikan evolusi cybercafe.

Pada lewat 90an, orang pergi ke cybercafe untuk mendapatkan sumber Internet, memandangkan sumber Internet ketika itu sangat terhad dan melecehkan.

Semasa saya di bangku sekolah, selain menggunakan Internet untuk mendapatkan nota-nota peperiksaan, saya juga menggunakan Internet untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang tak mungkin saya dapat di sekolah.

Ilmu-ilmu seperti pengetahuan muzik, budaya, dan politik.

Saya memiliki kesedaran politik seawal usia saya 15 tahun, pada ketika itu Reformasi 1998 baru setahun sahaja berlalu, dan melalui forum yang dibuat oleh mendiang M.G.G. Pillai – forum Sang Kancil, dan kemudiannya laman web seperti Rice Cooker dan banyak lagi, membentuk saya pada hari ini.

Saya juga mengetahui yang buku teks Sejarah di negara ini tidak lengkap melalui Internet. Ia umpama perpustakaan saya yang bebas untuk saya menyelami segala ilmu di dunia ini.

15 tahun kemudian, saya masih menulis di Internet. Ramai yang memujuk saya untuk membeli sebuah laptop atau menggunakan iPad untuk membuat kerja, tapi saya fikir ini perkara sukar buat saya.

Sehingga penerbit buku novel saya terpaksa memberikan laptop untuk saya bekerja, yang kawan serumah saya gunakan untuk Spotify atau menonton dokumentari Cosmos di Hulu.com. atau menonton Youtube.

Hari ini saya melihat anak muda menggunakan Internet bukan seperti semangat saya gunakan ketika 15 tahun lalu.

Internet digunakan bukan untuk tujuan mencari ilmu, atau untuk mengetahui semua ilmu yang ada di dunia ini.

Kebanyakan anak muda yang saya lihat hari ini – khususnya di cybercafe ini – hanya menggunakan Internet untuk bermain game, menonton video yang entah apa-apa, atau berbual kosong.

Saya rasa tidak salah untuk melakukan ini memandangkan saya sendiri turut melakukan benda yang sama – tetapi apakah tidak ada pencarian ilmu atau mencari sesuatu yang baru dalam Internet?

Adakah Internet ini hanya terhad untuk bermain Facebook, Twitter, atau menonton drama Korea semata-mata?

Ketika saya menulis tulisan ini – pada jam 2:18 pagi, saya masih kelihatan beberapa orang kanak-kanak masih lagi bermain game Dota di cybercafe.

Apabila saya datang di waktu pagi, mereka masih lagi bermain game. Apabila waktu petang, mereka masih lagi bermain game.

Bila masanya mereka ini pergi ke sekolah? Bila masanya mereka tidur?

Apabila saya melihat cybercafe ini menjadi tempat melahirkan kanak-kanak jadi penagih game – saya jadi sedih.

Ini samalah seperti zaman saya kecil dahulu – tempat mesin slot judi dan arked menjadi "port" kepada penagih game.

Timbul persoalan, mana pergi ibu bapa mereka ini? Mana mereka dapat wang untuk bermain game setiap hari setiap malam?

Saya memang cukup ortodoks dalam hal kanak-kanak. Bagi saya, kanak-kanak harus tidur jam 9 malam.

Semasa saya berusia sama seperti mereka, saya dipaksa untuk tidur jam 9 malam oleh ibu bapa saya.

Ini kerana tubuh seorang kanak-kanak memerlukan lebih banyak tidur daripada seorang dewasa.

Hari ini saya sedih – satu generasi telah dilalaikan oleh Internet. Ia seharusnya menjadi perpustakaan atau tempat mencari ilmu untuk kita terus diberi maklumat terkini.

Bukan sarang bagi mereka yang menjadi penagih game.

Tetapi, saya fikir, mungkin disebabkan banyak sekatan sana sini, serta pendidikan di sekolah yang membosankan, membuatkan mereka malas untuk menggunakan Internet bagi tujuan pengetahuan.

Mereka tidak mempunyai semangat seperti generasi saya menggunakan Internet.

Mungkin mereka ini golongan yang "taking for granted", kerana mendapat Internet berkelajuan 5 mbps berbanding generasi saya yang berkelajuan 14.4 kbps.

Mereka tidak berasa zaman menunggu modem untuk memberi isyarat masuk ke Internet.

Mungkin sebab itu, mereka ambil mudah dengan Internet berbanding generasi saya.

Bayangkan kalau Malaysia memiliki kelajuan Internet yang kalau tidak selaju Hong Kong, paling-paling pun atas sedikit daripada purata kebanyakan negara iaitu 18 mbps.

Kenapalah Malaysia segala-galanya di tangga corot? Pendidikan, ketelusan maklumat, kebebasan akhbar, sains dan matematik, bola sepak, dan kelajuan Internet?

Tak apalah, bersyukurlah Internet kelajuan 5 mbps berbanding zaman 14.4 kbps.

Tak apalah, tak perlu Internet kelajuan tinggi cari ilmu pun. Orang kita guna Internet untuk main game.

Haih. – 12 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved