Selasa, 15 April 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Tokoh muda bakal presiden Indonesia

Posted: 14 Apr 2014 04:32 PM PDT

April 15, 2014

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Pengumuman Ketua Umum Parti PDI-Perjuangan (PDIP), Megawati Soekarnoputri mengenai bekas Wali Kota Solo, Jokowi (Joko Widodo) akan menjadi calon Pemilu Presiden parti itu 9 Julai nanti tidak memeranjatkan 248 juta rakyat Indonesia.

Jokowi kini Gubernur Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta. Beliau dilahirkan pada 21 Jun 1961 dan beragama Islam.

Calon muda ini sangat popular dan sangat dekat dengan rakyat. Menurut pemerhati politik, caranya mendekati rakyat begitu mengesankan. Tokoh ini adalah produk Parti PDI-Perjuangan, sebuah parti yang dipimpin oleh Megawati yang sentiasa menghubungkannya dengan perjuangan ayahnya, allahyarham  Presiden Soekarno. Ia adalah tokoh pemimpin terpuji Walikota Solo dan berperanan membangunkan kota kraton itu untuk dua penggal iaitu 2005-2015.

Jika Jokowi dan Wakil Presiden (Wapres) Republik Indonesia 2004 -2009,  Muhammad Jusuf Kalla (JK) bergabung diramalkan berpeluang besar menjadi presiden dan wakil (naib presiden) dalam Pemilu tahun ini. 

Hal ini diperoleh daripada hasil kaji selidik terbaru yang dilakukan oleh Cirus Surveyors Group. Kaji selidik itu menunjukkan pasangan Jokowi-JK memperoleh suara sebesar 52.8%.

Sementara itu, jika Jokowi dipasangkan dengan mantan Ketua Mahkamah Konstitusi (MK), Mahfud MD pula, dalam simulasi tiga nama, suara yang diraih hanya 47.6%.

Perolehan suara Jokowi menjadi lebih kecil lagi jika dipasangkan dengan Menteri Koordinator (Menko) Perekonomian, Hatta Rajasa, dengan perolehan suara 44.7%. Adapun jika Jokowi dipasangkan dengan Gubernur Bank Indonesia, Agus Martowardoyo, maka perolehan suaranya hanya 43.5%.

Jokowi berkata, PDI-Perjuangan terbuka melakukan gabungan dengan parti manapun. Gubernur DKI Jakarta ini mempersilakan jika parti politik lain ingin bergabung.

"Silakan bergabung, perlu. Kita mahu cari kawan sebanyak-banyaknya," kata Jokowi ketika melakukan tinjauan.

Jokowi berkata, meskipun berlaku gabungan pelbagai parti, dia tidak menjamin akan membagi-bagikan kerusi menteri jika terpilih sebagai presiden. Masalah paling utama yang akan diselesaikan, katanya, ialah menyelesaikan masalah negara.

"Kita jangan berbincang mengenai pembahagian kerusi menteri. Kita bicara untuk menyelesaikan masalah bangsa dan negara," katanya. Bagaimanapun Jokowi berjanji, jika beliau memegang jawatan presiden nanti, dia akan lebih mengutamakan menteri Kabinetnya daripada golongan profesional. Dia akan memilih menteri yang sanggup menyelesaikan masalah yang dihadapi bangsa Indonesia.

Jokowi berkelulusan sebagai jurutera daripada Fakulti Kehutanan Universiti Gajah Mada pada 1985. Ketika mencalonkan dirinya sebagai walikota Solo dulu, banyak yang meragukan kemampuan usahawan hiasan rumah dan taman ini.

Di bawah kepemimpinannya, Solo mengalami perubahan yang pesat  dengan moto 'Solo: The Spirit of Java'. Langkah yang dilakukannya begitu progresif untuk ukuran kota-kota di Jawa. Ia mampu merelokasi pedagang barang lama di Taman Banjarsari, serta berinteraksi dengan baik dengan peniaga di Solo. 

Jokowi menjaga keberhasilan kota itu dan pada 2007. Solo (Surakarta) juga menjadi tuan rumah Festival Musik Dunia (FMD) yang diadakan di Kompleks Benteng Vastenburg yang terancam dirobohkan untuk dijadikan pusat perniagaan dan ekonomi. Disebabkan prestasinya yang baik, maka Jokowi terpilih menjadi salah seorang daripada '10 Tokoh 2008' Indonesia oleh Majalah Tempo tahun tersebut.

Sikap yang beliau bawa dalam menjalankan karier sebagai birokrat ialah secara prinsip, dia hanya bekerja untuk rakyat.

Anggota Majelis Pertimbangan Partai (MPP) Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Zulkieflimansyah berkata partinya belum memutuskan akan bergabung atau bertindak sebagai pembangkang.

"Arahan Ketua Majelis Syuro Ustaz Hilmi Aminudin sangat jelas. PKS sekarang sedang berkonsentrasi untuk mengkaji hasil Pemilu Legislatif baru-baru ini, sambil mengumpulkan bahan dan informasi untuk persiapan Pemilu Presiden," kata Zulieflimansyah dalam kenyataan bertulisnya  di Jakarta, Ahad lalu.

Beliau berkata, pelbagai informasi dan fakta berhubung Pemilu Legislatif itu akan segera disampaikan kepada Majelis Syuro. Daripada situ kemudian diputuskan sama ada PKS akan bergabung atau bertindak sebagai pembangkang. Seperti diketahui PKS, adalah parti bernuansa Islam yang banyak pengalaman.

"Jadi kalau ada yang mengatakan PKS sudah pasti bergabung atau pasti jadi pembangkang, maka itu hanya pendapat peribadi saja," katanya. Seperti diketahui PKS, adalah parti yang banyak memenangi kerusi di Pemilu Lagislatif pada 2004, terutama kerana dokongan generasi muda dan pengundi bandar.

Namun dalam Pemilu 2009 prestasinya mulai merosot dan dalam Pemilu Lagislatif minggu lalu ia terus merosot.

Ini dikatakan akibat pelbagai masalah dalaman parti dan imejnya yang rosak oleh pelbagai perbuatan pimpinannya yang dikatakan mengecewakan rakyat. Maka untuk membina kembali imejnya yang rosak, itu tidak mudah.

Bagaimanapun, siapa pun yang menang atau kalah dalam pertarungan politik di Indonesia ini, namun mestilah diakui Pemilu Indonesia sangat demokratik dan telus serta bersih dari penipuan. Kalau adapun masalah, seperti urusan pengundian dan seumpamanya, itu sangat kecil dan terpencil.

Perdebatan di peringkat calon presiden dan naib presiden - seperti Pemilu yang lalu - dijangka memperlihatkan keterbukaannya dan tidak ada serangan peribadi di antara calon. Ia sangat demokratik di mana perbahasan dalam debat Pemilu Presiden itu, seperti yang pernah saya saksikan dalam dua Pemilu 2004 dan 2009 di negara itu dulu, sangat demokratik.

Debat itu hanya berkisar mengenai misi dan visi calon Pemilu presiden dan naibnya serta program kerja mereka untuk rakyat. Tidak ada serangan di antara parti dan jauh sekali bersifat ancaman dan ugutan.

Itulah demokrasi Indonesia yang sangat cemerlang, yang dimulai di zaman B J Habibie ketika menjadi presidennya. Beliaulah yang membuka ruang demokrasi seluas-luasnya, hingga ada pula pihak yang merasa 'ngeri' dan 'bimbang' jika demokrasi itu dieksploitasi oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun sejauh ini suasana sangat aman di sana, ia sangat terkawal dan tidak ada pihak yang merasa tidak selamat. Inilah jasa besar negarawan Habibie terhadap negara dan bangsanya. – 15 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

GST dan perakaunan akruan penentu sokongan rakyat kepada Barisan Nasional

Posted: 14 Apr 2014 04:16 PM PDT

April 15, 2014

Datuk Nur Jazlan Mohamed is a three-term MP for Pulai and the new PAC chairman. Apart from being in the new politics, he also writes for The Malaysian Insider while debating other matters at www.jazlan.net

Malam 7 April lalu, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan Barangan dan Perkhidmatan (GST) akhirnya, diluluskan Dewan Rakyat dan akan dilaksanakan pada April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) seperti yang dijadualkan.

RUU berkenaan amat penting dalam menstruktur semula sistem percukaian negara selepas ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu, ketika membentangkan Bajet 2014.

Seperti biasa, pembangkang berusaha keras menentang pelaksanaan GST dengan terus bersikap kebudak-budakan dengan membawa sepanduk dan kad manila dengan menulis perkataan menentang GST sebaik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluluskan Rang Undang-Undang GST dalam undi belah bahagi apabila semua 118 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang hadir bersetuju manakala 81 Ahli Parlimen pembangkang menentang.

Saya pernah menulis artikel bertajuk 'Masa Terbaik Laksana GST' di portal berita ini, pada 11 September tahun lalu, berhubung kebaikan pelaksanaan GST yang sudah diamalkan di kebanyakan negara di dunia ini.

Apa yang menghairankan saya adalah sikap pembangkang yang cuba mempolitikkan pelaksanaan GST yang akan diperkenalkan dengan kadar  6% April tahun depan, sedangkan jika rakyat menolak sistem cukai GST ini, sudah pasti ia akan memberikan kelebihan kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka pada 2018.

Dalam rakyat berada dalam keadaan berbelah bahagi menantikan pelaksanaan GST sama ada ia akan menaikkan harga barangan seperti yang dimomokkan pembangkang atau mendapat manfaat melalui pembangunan mampan dan holistik seperti yang diterangkan BN.

Tanpa disedari ramai dan kurangnya pendedahan meluas kepada rakyat, kerajaan BN pimpinan perdana menteri, yang juga menteri kewangan akan turut memperkenalkan sistem perakaunan baru dikenali sebagai Sistem Perakaunan Akruan.

Pelaksanaan perakaunan akruan yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2015 menyebabkan sistem kewangan negara akan beralih daripada perakaunan tunai ubahsuai yang diamalkan sejak negara merdeka lagi.

Selaku pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan seorang akauntan bertauliah, saya mengalu-alukan pelaksanaaan sistem perakaunan akruan ini, yang akan membolehkan gambaran kedudukan kewangan kerajaan menjadi lebih menyeluruh dan tepat.

Sebelum ini, kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai ubahsuai dengan kedudukan kewangan kerajaan hanya mengiktiraf dan merekod sesuatu urusniaga kewangan apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan berkenaan.

Dalam kata mudah, rakyat hanya mengetahui kedudukan kewangan kerajaan hanya melalui transaksi tunai dengan liabiliti tidak direkodkan menyebabkan kita tidak mengetahui jumlah sebenar hutang kerajaan.

Tetapi melalui perakaunan akruan ini, hutang negara akan ditunjukkan dalam nota akaun atau penyata kewangan sekaligus ia menjadikan sistem kewangan negara lebih telus dan rakyat dapat mengetahui sama ada kerajaan benar-benar berhemah dalam berbelanja wang mereka.

Atas sebab itu, saya daripada awal lagi mahu kerajaan melaksanakan Sistem Perakuanan Akruan ini, yang sudah dilaksanakan 63 negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Sweden dan Australia.

Faedah pelaksanaan sistem ini, ia sekali gus dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan dalam pengurusan kewangan serta akaun selain menambah baik pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan melalui tadbir urus yang baik serta menjurus kepada 'value for money'.

Keputusan melaksanakan sistem ini, adalah selaras dengan Dasar Transformasi  Sektor Awam yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru dan ia akan memberi kesan siginifikan dalam pengurusan fiskal berhemat serta dapat mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan pusat.

Menyedari pentingnya PAC dimaklumkan secara terkini dan tepat mengenai pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan ini, Jabatan Akautan Negara diketuai Datuk Wan Selamah Wan Sulaiman, Ketua Akauntan Negara memberikan taklimat lebih dua jam kepada PAC pada 12 Mac lalu.

Ketika ini, Jabatan Akauntan Negara (JAN) sebagai agensi peneraju pelaksanaan Sistem Perakaunan Akruan sedang giat memberikan latihan kepada semua pegawai dan kakitangan awam yang terbabit secara langsung.

Dianggarkan lebih 70,000 pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam akan terbabit secara langsung dalam melaksanakan sistem ini, dan kecekapan mereka ini, perlu setanding dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat (IT) yang bakal digunakan.

Migrasi perakaunan kerajaan daripada tunai ubahsuai kepada akruan akan menyaksikan bahawa semua hasil dan belanja kerajaan diiktiraf walapun tidak membabitkan tunai seperti bon jaminan kerajaan dan sebagainya.

Pada masa sama, semua aset negara akan diperakaunkan sekali gus membolehkan kerajaan mengetahui semua aset yang dimiliki negara sama ada membabitkan hartanah, loji, peralatan, aset kewangan, aset warisan, aset kontinjen dan aset tidak ketara.

Selain itu, liabiliti kerajaan juga turut direkodkan dalam perakaunan akruan ini, sama ada ia pinjaman dalam dan luar negara, akaun belum bayar, nota kena bayar, bayaran balik cukai, liabiliti pencen, pajakan/konsesi serta liabiliti kontinjen.

Selain itu, semua kementerian akan menyediakan Penyata Kewangan masing-masing dan semua Ketua Setiausaha (KSU) bertanggungjawab terhadap kewangan kementerian masing-masing dan sebab itu, adalah amat penting mereka benar-benar memahami perakuanan akruan ini.

Dalam taklimat JAN kepada PAC, sejajar dengan pelaksanaan perakaunan akruan ini, satu sistem baru dikenali sebagai sistem '1Government Financial Management Accounting System (1GFMAS) akan digunakan bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu Sistem Pengurusan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (eSPKB), eTerimaan dan GFMAS.

Keterbukaan dan ketelusan kerajaan BN dalam melaksanakan sistem perakaunan akruan ini, membuktikan tiada apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat dan ia amat jelas berbeza dengan segala dakwaan, dakyah dan tohmahan pembangkang.

Pembangkang yang bersikap seperti pembangkang penuh dengan prasangka negatif hanya pandai memutarbelitkan isu serta langsung tidak memberikan pujian atau kredit kepada kerajaan untuk melaksanakan sistem perakaunan akruan ini.

Atas sebab itu, kerajaan BN perlu juga pandai untuk menerangkan kepada rakyat keseluruhannya mengenai perakuanan akruan ini, walaupun ia amat teknikal tetapi ia penting dalam membuktikan bahawa apa yang dilakukan kerajaan selama ini, adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Dengan segala 'resources' digunakan untuk menangkis dakwaan serta dakyah pembangkang mengenai GST, 'pakar-pakar' di Putrajaya juga perlu menggunakan pelaksanaan perakaunan akruan ini, sebagai satu senjata bagi menyerang pembangkang.

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi kerajaan BN kerana segala dasar serta inisiatif yang dilaksanakan gagal diterangkan sebaik mungkin kepada rakyat selain terus bergantung kepada kaedah penyampaian konvensional seperti menggunakan media cetak dan elektronik arus perdana.

Berapa ramai menteri-menteri Kabinet bercakap mengenai peri pentingnya pelaksanaan sistem perakaunan akruan ini, sebaliknya yang biasa didengar adalah komen-komen menahan asakan pembangkang mengenai GST?

Mengapa tidak media-media arus perdana ini, digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan komen mengenai perakaunan akruan ini, selain mendapatkan komen daripada pembangkang mengenai pelaksanaannya?

Ataupun menteri-menteri ini, sendiri tidak mengetahui satu sistem kewangan kerajaan yang baharu dan lebih telus bakal dilaksanakan Januari tahun depan manakala di semua negeri pula akan dilaksanakan pada Januari 2016.

Sama ada  ia GST atau akruan, kedua-dua sistem kewangan baru dan penstrukturan cukai ini, sebenarnya adalah satu senjata paling ampuh untuk kerajaan BN jika kita pandai menggunakannya.

Namun, dalam hal menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif yang dilakukan kerajaan BN kepada rakyat, BN jelas ketinggalan daripada pembangkang sekali gus memperlihatkan ketidakmatangan kita untuk terus menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Segala-gala yang dilakukan kerajaan BN ini, untuk rakyat hanya akan dapat dijawab kira-kira empat tahun akan datang apabila kad laporan kerajaan pemerintah dinilai semula rakyat dalam PRU14.

Ketika itu, kita akan dapat menyaksikan sama ada rakyat benar-benar memberi sokongan kepada BN melalui segala dasar serta inisiatif baru yang dilaksanakan dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang Wawasan 2020.

Di pihak pembangkang pula, sikap jelik yang berterusan membangkang pelaksanaan GST menunjukkan mereka sendiri tidak mengetahui sistem cukai itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada mereka untuk memenangi PRU jika rakyat termakan dengan dakwaan dan dakyah terhadap GST.

Sejarah sudah membuktikan majoriti kerajaan pemerintah yang melaksanakan sistem GST di negara masing-masing akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, keadaan menjadi lebih memelikkan apabila kerajaan negara itu yang diambil alih oleh pembangkang, tidak pula menghapuskan GST dan terus menggunakannya sekali gus menunjukkan kebaikan cukai ini.

Apa pun, GST dan perakaunan akruan ini, bakal menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU14, kerana ia jelas berkait rapat dengan rakyat yang semakin terhimpit akibat kos sara hidup tinggi selain terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerajaan BN melakukan penyelewengan dan boros dalam berbelanja menguruskan negara. – 15 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved