Khamis, 24 April 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


MH370 dan kisah Ashabul Kahfi

Posted: 23 Apr 2014 03:58 PM PDT

April 24, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Kita masih bercerita tentang MH370 yang semakin menjauh daripada kita, semakin sayup dan lama-kelamaan ia mungkin akan hilang ditelan zaman.

Sudah lebih sebulan, atau mungkin sampai kiamat, segala yang hadir hanyalah andaian dan spekulasi belaka.

Tanpa kesan, tapi terkesan. Kejadian ini adalah sebahagian daripada tragedi misteri yang tidak akan terungkap sebagaimana misterinya kisah Segi Tiga Bermuda.

MH370 akan menjadi renungan dan sejarah yang mungkin tidak mampu dijawab oleh sesiapapun, walau dari mana-mana negara sekalipun. Yang mereka kemukakan hanyalah andaian dan spekulasi belaka.

Cerita-cerita logik pun seakan sudah tidak relevan lagi dengan misteri MH370. Apa teori dan logik yang masih tertinggal untuk membuatkan kita kembali menaruh harapan tentang MH370? Yang kita tunggu hanyalah keajaiban, itu saja.

Tolak cerita bomoh, marilah kita singgah ke alam mistik, kepercayaan dan misteri. Seperti pandangan seorang kawan, mungkinkah dalam tempoh 200 atau ratusan tahun lagi MH370 yang lenyap itu akan kembali dengan semua penumpangnya akan pulang dalam keadaan selamat?

Atau seperti kita menonton filem sains fiksyen dari Amerika yang bertaraf box-office "The Abbys", arahan pengarah hebat James Cameroon terbitan tahun 1989 dulu?

Filem ini memang menarik jika kita sukakan "advanture" dengan lakonan pelakon hebat seperti Ed Harris dan Mary Elizabeth. Menariknya filem ini kerana ada dunia dan kehidupan yang tidak pernah kita fikirkan di dalam sana, 8km ke dasar lautan dan mereka jauh lebih hebat dan maju daripada kita.

Apa yang terdapat di dasar laut sana? Kita tidak tahu dan teknologi kita tidak akan sampai ke situ walau kita sedang berusaha ke arah itu. Mungkin berbanding Alien atau makhluk asing, manusia tidaklah sepandai dan sehebat mana dari segi sains dan teknologi.

Manusia kebanyakannya cuma pandai menipu dan membelit untuk memenuhi tuntutan nafsu.

Segi Tiga Bermuda, Atlantis, Piramid, Patung Gergasi Pulau Easter, Crop Circle, Batu Ica, Black Hole mahupun cerita Ashabul Kahfi adalah sebahagian cerita misteri yang masih tiada jawapan sahih tentangnya sehingga ke hari ini.

Mungkinkah kehilangan MH370 kerana diculik sekumpulan makhluk asing (alien) seperti yang selalu kita tonton dari filem-filem keluaran Hollywood? Atau mereka berjaya menghentikan putaran masa (dengan izin Tuhan) sehingga segala-galanya terhenti untuk satu tempoh masa.

Andainya kisah penumpang MH370 yang katanya "berakhir di Lautan Hindi" itu rupanya dilenyapkan oleh suatu kuasa yang tidak terjangkau oleh akal dan pemikiran kita, adakah kita akan percaya jika itulah kehendak Tuhan?

Atau mungkin untuk ratusan tahun lagi mereka pun kembali dalam keadaan seperti hanya sedetik masa berlalu sahaja, seperti mereka dibangunkan daripada mimpi dan tidur yang lena?

Ini kerana mereka tidak terikat dengan ruang dan waktu. Mereka malah terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku.

Kitapun bertanya mengapa surah Kahfi itu terkandung di dalam al-Quran? Maka kitapun diwajibkan percaya akan kisah-kisah tentang keajaiban itu boleh saja berlaku dengan izin Yang Maha Kuasa. Siapa kita untuk menafikan cerita Tuhan?

Kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua) mengisahkah tujuh orang pemuda bersama seekor anjing melarikan diri bersembunyi ke dalam gua daripada pemerintah yang zalim.

Di dalam gua tersebut mereka ditidurkan selama 300 tahun lamanya dan apabila dibangunkan semula, mereka seolah terpinga-pinga dan tidak sedar tentang apa yang berlaku kepada mereka.

Di dalam surah al-Kahfi, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Adakah engkau (Muhammad) menyangka bahawa kisah Ashabul Kahfi dan ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan antara tanda kekuasaan Kami?

"(Ingatlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda berlindung di gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakan kami rahmat daripada sisiMu dan berikanlah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".

"Lalu Kami menidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun yang banyak bilangannya."

"Kemudian Kami bangkitkan mereka (daripada tidur ) untuk Kami menguji siapakah antara dua golongan mereka yang lebih tepat kiraannya mengenai tempoh mereka hidup (di dalam gua itu)." (Al-Kahfi, ayat 9-2).

Kisah mereka ditidurkan juga terdapat di dalam firmanNya,

"Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka dan tentulah engkau akan merasa amat gerun dan takut kepada mereka." (Al-Kahfi, ayat ke-18).

Saya percaya setiap yang tertulis seperti apa yang terkandung di dalam kisah Ashabul Kahfi itu untuk kita renungkan. Al-Quran mewajibkan kita percaya setiap ayat yang terkandung di dalamnya kerana itu kata-kata Tuhan, bukan kita.

Dan saya percaya, jika Dia mahu sesuatu itu berlaku, "kun faya kun", maka jadilah! Adakah kita mampu menafikan ceritaNya dengan menilai segala sifat kita yang baharu dan lemah ini? – 24 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Khidmat kesihatan, perumahan naik harga selepas GST

Posted: 23 Apr 2014 03:58 PM PDT

April 24, 2014

Dr Dzulkefly Ahmad is a member of the PAS central working committee and ex-MP of Kuala Selangor.

Sesiapa yang menonton Wacana Nasional Ahad lalu (20 April)  di TV1 atas tajuk GST – Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan teringat tentang beberapa perkara yang saya tekankan.

Di sini saya hendak highlight tentang kenaikan harga/inflasi yang bakal menimpa rakyat di sektor kesihatan dan perumahan yang dinafikan pengarah GST Kastam dan YB Titiwangsa. Maaf. Tapi sebelum itu, mengulangi sedikit.

Tentang hutang dan defisit fiskal yang tidak akan dapat diatasi selagi tabiat berbelanja besar, pembaziran, ketirisan serta bocor dengan rasuah tidak dapat diatasi. Inilah ketirisan bahkan kebocoran pada "tempayan" kerajaan.

Maka banyak mana pun yang bakal dipungut, dikatakan RM20-RM27 bilion peningkatan hasil cukai,ketika stabil nanti, hutang dan defisit tetap tidak akan dapat diatasi sebab "kebocoran tempayan" mesti ditangani dahulu.

Beberapa perkara lain yang saya bangkitkan gagal dijawab secara tuntas oleh pengarah GST Kastam dan juga Ahli Parlimen Titiwangsa. Wakil PPIM tidak bersungguh mempastikan kepentingan rakyat selaku pengguna dipertahankan.

Tulisan ini mahu membangkit satu perkara secara lebih khusus kerana dalam Wacana Nasional satu jam banyak isu tidak dapat digarap secara tuntas dan muktamad. Antara asakan saya adalah untuk membuktikan bahawa GST tidak akan membebankan khasnya golongan berpendapatan sendah-sederhana, secara tidak adil dan ganas atau "regressive".

Pengarah GST Kastam cuba sedaya upaya meyakinkan penonton tetapi fakta dan sokongan hasil penyelidikan pihak Kastam belum atau tidak kukuh untuk mempertahankan dakwaannya. Sebaliknya saya hanya perlu menyandarkan hujah saya kepada pernyataan timbalan pengerusi Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara, bahawa perlaksanaan GST nanti akan membebankan golongan berpendapatan rendah-sederhana meskipun ada barang-barang asas yang "dikecualikan atau disifarkan kadar" cukainya.

Begitu juga nama-nama pakar ekonomi seluruh dunia yang sependapat seperti Douglas Holtz dan Cameron Smith bahkan Pemenang Novel Laureatte Ekonomi Milton Friedman tentang persoalan mengatasi hutang dan sifat "regresif" cukai kepenggunaan atau Consumption Tax seperti GST.

Cukai progresif' adalah seperti cukai pendapatan (Income Tax) dan cukai keuntungan modal (Capital Gain Tax- CGT). Contoh CGT ialah RPGT atau Real Property Gain Tax (Hartanah).

Di negara-negara maju (OECD), orang kaya di samping cukai pendapatan, dikenakan  "cukai buffet" untuk yang Maha-Kaya atau Super-Kaya. Itu baru adil terutama yang memilikki kekayaan kerana amalan kronisme dan kontrak-kontrak mega-mewah daripada kerajaan.

Juga wujud 'Windfall Tax' atau Cukai Keuntungan Berganda'. Malaysia pernah mengenakan cukai ini kepada sektor kelapa sawit sedikit waktu dahulu.

Keuntungan pemilik konsesi atau monopoli seperti lebuh raya atau telekomunikasi-media seperti Astro juga berbilion RM. Kenapa rakyat berpendapatan rendah-sederhana juga yang mahu dimangsakan?

Untuk hari ini yang mahu dibangkitkan adalah dakwaan kerajaan kononnya cukai yang dibayar oleh peniaga dalam rantaian bekalan contohnya sebagai pemborong, pengilang, peruncit tidak akan dipindah kepada pengguna kerana mereka akan dapat rebat atas "cukai input" mereka bayar kepada pihak Kastam DiRaja.

Dalam Wacana malam itu saya tekankan dan ulangi bahawa disegi teorinya betul tetapi rebat bukan seluruh jumlah "input tax" yang mereka bayar. Ia hanya perbezaan antara "Input Tax - Out Tax" yang dibayar pihak sebelumnya dalam rantaian bekalan.

Katakan kalau mereka dikenakan 6% GST yang berjumlah RM60 dan pihak yang bayar sebelum telah membayar cukai sebanyak RM20, maka mereka tetap akan membayar (RM60-RM20) yakni RM40 dan merekan hanya dapat balik RM20 (rebat) tetapi tetap membayar RM40!

Persoalan RM40 siapa hendak tanggung? Ini yang akan akan dipindah kepada pihak selepasnya dalam "supply-chain" itu dan akhirnya rakyat akan terbeban!

Hari ini ada dua sektor yang mengakui bahawa mereka terpaksa akan pindah kos cukai ini kepada pengguna iaitu sektor kesihatan dan perumahan.

Meskipun perkhidmatan dan rawatan hospital adalah tidak dicukai kerana dalam senarai dikecualikan (Tax-Exempted), namun ubat-ubatan dan alat-alat perubatan semuanya dicukai. KPJ Healthcare Bhd, contohnya meramalkan bil perubatan akan meningkat sebanyak 3-5% setiap tahun.

Begitu juga halnya dalam sektor perumahan dan hartanah. Seorang naib presiden MCA hari ini membangkit hakikat bahawa harga rumah akan meningkat disebabkan pihak pemaju tidak akan sanggup menampung kenaan cukai 6% terhadap pelbagai barangan pembinaan.

Beliau meramalkan kenaikan harga rumah apabila kos 3% barangan tidak mampu mereka tanggung. Ini akan dipindahkan akhirnya kepada pembeli yang akan dibebankan dengan kenaikan harga rumah.

Beliau menuntut supaya rumah mampu-milik yang dijual kepada golongan berpendapatan rendah-sederhana dikategorikan sebagai "sifar kadar" cukainya.

Nah, jelas dalam kedua-dua contoh tadi peniaga pastinya akan memindahkan kos kenaikan mereka akibat bayaran 6% GST kepada pengguna yakni rakyat. Tepat seperti yang saya nyatakan dalam Wacana Nasional Ahad lalu, teori betul, peniaga tak boleh pindah kos cukai kepada pengguna tetapi hakikatnya semua barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai akan dipindahkan dana dibebabkan kepada rakyat.

Betullah seperti disebut timbalan pengerusi Klaster Ekonomi dan Kewangan MPN bahawa golongan berpendapata rendah akan paling teruk terbeban.

Maka jangan lupa untuk menyatakan bantahan pada 1hb Mei nanti di Dataran Merdeka. Semua rakyat termasuk ahli Umno-BN mesti hadirkan diri. – 24 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved