Isnin, 28 April 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Hudud: Kesan penentangan DAP pada persepsi orang Melayu

Posted: 27 Apr 2014 06:10 PM PDT

April 28, 2014

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Hudud sekali menjadi isu hangat yang diperdebatkan di persada politik negara berikutan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private member's bill) bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau undang-undang hudud dikuatkuasakan di negeri pimpinan PAS tersebut.

Walaupun usul tersebut masih belum sampai di perkarangan Parlimen, bantahan keras terhadap hasrat PAS itu sudah menjadi semakin kencang dan agak berlebihan, terutamanya daripada DAP.

Hujah dan serangan DAP kepada PAS

Alasan DAP adalah konsisten, bahawa hudud adalah bertentangan dengan perlembagaan yang ada. Justeru, ia tidak wajar dikemukakan.

Bagi mereka, PAS perlu menggugurkan hasrat ini jika ingin terus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Penentangan hudud menjadi semakin beremosi sehingga ahli Parlimen Seremban daripada DAP, Anthony Loke mengeluarkan kata-kata yang ditunggu Umno-BN selama ini, apabila beliau menyuruh PAS keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya ingin melaksanakan hudud.

Apa yang beliau dan DAP takutkan pada hudud sehingga kini tidak dapat dikenalpasti selain daripada hujah bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan.

Namun yang pasti, bilangan orang Melayu yang memandang serong DAP sedikit sebanyak meningkat apabila Sinar Harian mengambil kenyataan beliau sebagai muka depan akhbarnya Sabtu lalu.

Bukan itu sahaja, 'fobia' DAP terhadap hudud juga menyebabkan Setiausaha Agongnya, Lim Guan Eng melakukan sesuatu yang luar biasa.

Selama ini, DAP yang menyarankan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengikuti cara Mahathir dalam bermain perkauman di dalam politik dan juga pentadbiran - tetapi dengan kontroversi hudud, tiba-tiba Guan Eng bertukar nada dan meminta Najib mengikut kata-kata Mahathir.

Berlain dengan bapanya, Lim Kit Siang cuba menyakinkan PAS bahawa hudud tidak membantu untuk memenangi pilihan raya dengan memberikan fakta secara berdata.

Cara Kit Siang secara tidak langsung menunjukkan DAP mementingkan kemenangan pilihan raya berbanding segalanya, seperti parti politik yang lain.

Dalam kata lain, baginya, parti politik tidak seharusnya melakukan sesuatu yang tidak memberikan keuntungan politik.

Apa yang Kit Siang katakan itu adalah logik, tapi ia tidak boleh digunakan dengan PAS.

Perlu diingatkan, PAS bukan sahaja sebuah parti politik, ia adalah satu gerakan Islam.

Daripada kefahaman penulis, ahli PAS lebih takut melakukan sesuatu yang mengundang azab Allah daripada segalanya; sebagai contoh, tidak berusaha melaksanakan hudud apabila sudah berkerajaan.

Hak demokrasi PAS dan DAP sebagai penjunjung demokrasi

Sebenarnya, walaupun tanpa penentangan keras bertalu-talu atas pelaksanaan hudud, pihak umum tahu DAP tidak menyokong hasrat PAS untuk melaksanakan hudud.

Dalam kontroversi hudud kali ini, PAS mengambil langkah tidak membelot, tidak membelakangkan kawan mahupun rakyat jelata dengan mengumumkan hasratnya secara terbuka, tanpa sebarang sembunyi untuk menghantar usul undang-undang persendirian ke Parlimen.

PAS menggunakan hak demokrasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk mencuba nasib bagi mendapatkan kelulusan untuk melaksanakan hudud di Kelantan, yang menjadi sebahagian daripada manifesto mereka terhadap rakyat Kelantan selama ini.

Apakah tindakan PAS untuk menunaikan janji manifesto dan mencuba nasib di ruang demokrasi yang tersedia ini satu tindakan yang tidak demokratik?

Boleh difahamkan penentangan DAP terhadap hudud ini ada kaitan dengan pertarungannya dengan MCA untuk menjaga undi bukan Melayu.

Tetapi sebagai sebuah parti yang menjulang demokrasi seperti namanya 'Democratic Action Party', DAP perlu bertanya apakah wajar menyerang PAS yang mengambil langkah demokrasi untuk merealisasikan cita-citanya untuk melaksanakan hudud?

Daripada sudut prinsip demokrasi, penulis berpendapat DAP tidak patut menyerang dan membantah tindakan PAS untuk membawa usul rang undang-undang persendirian untuk diundi di Parlimen.

Itu adalah hak demokrasi PAS yang perlu dihormati.

Cukuplah sekadar mesej pada PAS bahawa tiada seorang pun daripada 39 ahli Parlimen DAP yang akan menyokong usul tersebut di Parlimen.

DAP juga boleh berkempen agar ahli Parlimen lain menolak usul yang dibawa oleh PAS seperti mereka.

Tetapi untuk mengkritik dan menghalang PAS untuk membawa usul tersebut ke Parlimen, ia satu pencabulan terhadap hak demokrasi PAS yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti yang bernama 'Democratic Action Party.'

Tidak perlulah ugutan seperti yang dibuat oleh Anthony Loke, dan Lim Guan Eng yang menyarankan Najib mengikut kata-kata Mahathir terhadap hudud yang menyinggung ramai umat Islam.

Serangan bertali arus keras ini menghantar mesej yang salah pada orang Melayu, bahawa DAP menjadikan agenda penentangan terhadap hudud, satu kewajipan yang tidak boleh ditolak oleh seorang yang beragama Islam, jauh lebih penting daripada menumbangkan Umno-BN.

Barangkali kerana tersedar hal ini, semalam Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar semua pimpinan Pakatan Rakyat tutup mulut mengenai kontroversi hudud.

Nasihat

DAP sudah sedia maklum hudud adalah sebahagian daripada perjuangan PAS sejak penubuhannya.

Apabila duduk bersama, DAP juga sedar bahawa PAS tidak akan menggugurkan cita-cita ini.

Ketika isu hudud bergema di 2011, bukankah PAS dan DAP mencapai persetujuan untuk 'setuju untuk tidak bersetuju' dan masing-masing menghormati hak untuk memperjuangkan agenda parti sendiri secara bersendirian, tanpa melalui Pakatan Rakyat?

Mengapa lupa pada persetujuan itu?

DAP tidak perlu berlumba dengan MCA dan Gerakan untuk menunjukkan siapa hero untuk melawan hudud.

Tidak perlu berlumba mengeluarkan kenyataan kerana permainan kejar-mengejar ini mudah menyebabkan diri terperangkap.

Perkara yang wajar diberi pujian ialah meskipun DAP keras menentang pelaksanaan hudud, sehingga kini tiada pemimpin DAP yang menghina hudud, bukan seperti penentang-penentang hudud di BN yang tidak dapat membezakan antara zina dan rogol dan memahami bahawa intipati hudud ialah "biar salah lepas, jangan tersilap hukum."

Akhirnya, hudud ialah agenda PAS sendiri dan bukan Pakatan Rakyat.

Biarlah PAS sendiri yang menentukan nasib cita-citanya di Parlimen. – 28 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kisah Datin Jaliji

Posted: 27 Apr 2014 04:18 PM PDT

April 28, 2014

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Datin Jaliji mahu dipuji dan dipuja. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 28 April, 2014. Datin Jaliji mahu dipuji dan dipuja. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 28 April, 2014. Kisah mengenai Datin Jaliji (bukan nama sebenar) muncul semasa saya dan rakan-rakan sedang berbual pada 14 April 2014 mengenai seorang individu yang muncul hampir setiap 15 minit menerusi iklan ucapan Tahun Baru Tamil di sebuah stesen radio tempatan.

Siapakah wanita ini yang melanggar etika dan peraturan iklan, tetapi dibenarkan bersiaran menerusi sebuah stesen milik kerajaan?

Seolah-olah seluruh negara mengenalinya secara peribadi sehingga tanpa menyebut siapakah dia, orang akan tahu sekadar dengan mendengar nama sahaja.

Mungkin hanya saya yang tidak mengenalinya! Selepas perkara dan kekeliruan ini dipaparkan menerusi Facebook, seorang rakan mengirim mesej peribadi berserta pautan bagi akaun Facebook seorang individu lain yang namanya hampir sama.

Bagaimanapun, memandangkan wanita itu khabarnya pengasas dan presiden sebuah syarikat media, tentulah dia tahu syarat dan peraturan penyiaran iklan menerusi media.

Saya yakin bahawa mereka bukan orang yang sama.

Topik perbincangan dan perkongsian mesej peribadi mula beralih daripada "budak iklan" itu (Gitanjali Ji) kepada Datin Jaliji yang nampaknya mempunyai kisah tersendiri.

Namanya sendiri mengingatkan saya kepada "Datuk Guluji" yang kisahnya pernah saya paparkan menerusi makalah "Mari Mengenal Datuk Guluji".

Mungkin sahaja tiada sebarang hubungan antara Guluji dan Jaliji, tetapi kedua-dua individu ini nampaknya amat mengimpikan puji-pujian dan puja-pujaan.

Pelbagai taktik, manipulasi dan penipuan juga ditangani secara licik oleh mereka untuk mendapat tempat di tengah masyarakat.

Sementara pengikut setia dan juak-juak yang ada kepentingan peribadi terus memuja-muja Jaliji, beberapa individu yang pernah menjadi mangsa wanita itu mengirim mesej untuk berkongsi cerita.

Mereka membenarkan kisah-kisah itu dikongsikan di sini dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan.

Mereka tentulah bimbang jika Jaliji (seperti juga Guluji) ada "kaki pukul" daripada kalangan "pemuja tegar" yang mungkin mengapa-apakan mereka.

Secara umum, nampaknya ada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India, seniman dan usahawan muda menjadi mangsa Jaliji.

Bagaimanapun, selama ini mereka memilih untuk membisu kerana tidak berani melakukan pendedahan secara terbuka.

Tabur janji merata-rata demi publisiti

"Sebuah NGO mengadakan majlis makan malam pada April 2013 di sebuah hotel terkenal di Taiping, Perak. Seorang tokoh pemimpin terkemuka dari India sepatutnya menyampaikan ucap utama. Maka saya dan kawan-kawan pun membeli tiket dan pergi dengan penuh gembira.

"Bayangkan betapa terkejutnya kami apabila tiba-tiba Jaliji mengambil alih tempat pemimpin itu dan menyampaikan ucapan propaganda selama 45 minit. Dalam masa lima minit sahaja, rakan-rakan saya meninggalkan tempat acara kerana terlalu menyampah," kata seorang rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Gobal.

Mengulas lanjut, pemuda itu mengatakan bahawa beberapa minggu kemudian, beliau bertanya kepada seorang lelaki India-Muslim yang menerajui NGO terbabit.

Rupa-rupanya Jaliji menjanjikan sumbangan ikhlas RM25,000 sekiranya diberikan peluang berucap menggantikan pemimpin dari India.

Lelaki India-Muslim itu pun khabarnya menerima tawaran Jaliji dengan gembira.

"Pengerusi NGO itu mengesahkan bahawa sehingga sekarang, Jaliji masih berkeras tidak mahu memberikan walau satu sen. Alasannya adalah bahawa dia tidak pernah berjanji dan tidak ada sebarang bukti atau saksi bahawa dia pernah menjanjikan sumbangan itu," katanya.

Ternyata minat dan topik perbincangan kami sudah beralih terus daripada "budak iklan" di stesen radio kepada kisah Jaliji yang nampaknya amat menarik untuk diteroka secara lebih mendalam.

Saya mempelawa lebih ramai rakan Facebook mengirimkan mesej untuk berkongsi cerita.

Seorang guru dari SJKT Ladang Siru Kambam mendedahkan bahawa pada tahun lalu, Jaliji pernah menjanjikan sumbangan RM2,000 untuk sekolah yang kurang dikenali itu.

"Dia datang merasmikan Karnival Sains dan Kolem di sekolah saya. Dalam ucapannya, dia berjanji akan memberikan RM2,000 demi membantu pelbagai projek di sekolah ini. Sehingga hari ini, guru yang bertugas masih gagal menghubunginya untuk menuntut janji.

"Apabila pejabat wanita itu dihubungi, pelbagai alasan dan cerita karut diberikan. Akhirnya guru yang bertugas itu sudah putus asa. Kami sudah kenal wajah sebenar wanita ini yang mengharapkan nama dan publisiti murahan tetapi tidak menepati janji," kata seorang guru dalam mesej yang dikirim.

Beberapa individu yang mengenali Jaliji sejak usia kanak-kanak dan remaja turut menghubungi saya untuk berkongsi kisah.

Rata-rata mereka tidak hairan atau terkejut dengan segala penipuan, manipulasi dan kempen mengangkat bakul sendiri yang dilakukan oleh wanita ini.

"Saya mengenali Jaliji sejak zaman sekolah. Dia memang gilakan perhatian dan sanggup buat apa sahaja untuk dipuji dan dipuja orang ramai. Di Facebook juga ada beberapa akaun yang dikendalikannya untuk mengangkat bakul sendiri," Rajan menulis dalam mesej peribadi kepada saya.

Personaliti murahan, penuh kontroversi?

Rajan berkata, Jaliji memang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk iklan dan publisiti murahan di mana-mana media.

Dia juga gemar menjanjikan bantuan itu dan bantuan ini apabila berucap pada mana-mana majlis.

"Malangnya semua itu hanya janji manis; janji yang tidak ditepati. Jaliji memang suka bermimpi dan mengimpikan untuk menjadi wanita paling dikenali di Malaysia; mengatasi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Sebab itu dia muncul di mana-mana, sama ada majlis perkahwinan, pelancaran buku, makan malam atau apa sahaja. Impiannya hanya untuk menjadi terkenal dan dipuja ramai. Tidak mustahil dia akan memasuki MIC selepas ini untuk menjadi idola ahli parti politik itu," katanya lagi.

Apabila membaca segala kisah ini, saya tertanya-tanya juga bagaimana saya tidak pernah mendengar mengenai Jaliji.

Mungkin juga kerana tumpuannya hanya pada kelompok berbahasa Tamil dan pengunjung kuil Hindu.

Atau mungkin saya terlalu kagum dengan Rosmah sehingga terlepas pandang akan kewujudan Jaliji.

Wanita itu juga khabarnya pernah memenuhi undangan ke Kuil Sivaperuman di Siru Kambam tidak lama dahulu.

Kisah ini disampaikan seorang penduduk yang bertemu Jaliji semasa majlis berkenaan. Pemberi maklumat hanya mahu dikenali sebagai Chitra.

"Jaliji menderma RM25,000 untuk Kuil Sivaperuman. Sebagai balasan, dia dijemput sebagai tetamu kehormat dan diberikan peluang menyampaikan ucapan. Kedatangannya lebih meriah berbanding kedatangan presiden PPI," katanya sambil merujuk kepada presiden Pertubuhan Politik India (PPI) yang hanya dikenali umum dengan nama 'Datuk'.

Menurut Chitra lagi, Jaliji datang menaiki kereta mewah berharga dua juta ringgit (berbanding 'Datuk' yang hanya menaiki Kancil Era).

Sejumlah pengawal peribadi dan jurufoto pula mengiringinya di dalam sebuah lagi kereta mewah.

Agak menarik bahawa seorang pemuda Melayu yang segak memakai kot diberikan tugas khas memegang dan mengangkat beg tangan Jaliji.

Pemuda itu dikatakan selalu kelihatan seolah-olah mengalami dilema tetapi tidak mampu bersuara.

"Saya rasa pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak dan isterinya pun tidak seramai ini. Majlis yang dihadiri Jaliji berlangsung di Dewan Besar Siru Kambam. Ucapannya yang panjang berlangsung lebih 45 minit. Tidak sampai 15 minit, ramai yang keluar dari dewan kerana terlalu bosan dan menyampah," Chitra menceritakan.

Kebanyakan mesej yang dikirim menggambarkan modus operandi dan pengalaman yang hampir sama.

Kiriman mesej bukan hanya dari Taiping, Perak tetapi juga dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Maknanya, Jaliji memang mempunyai rekod negatif di serata tempat.

"Dia hanyalah personaliti murahan dan penuh kontroversi. Tidak perlulah membazir masa menulis artikel mengenainya. Tetapi elok jugalah dilakukan pendedahan supaya orang ramai yang belum tahu akan lebih berhati-hati." demikian kata seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mary.

Diva yang mahu jadi politikus

Khabarnya Jaliji pernah mendapat peluang berlakon memegang satu watak kecil dalam sebuah drama Tamil tempatan sekitar tahun 2007.

Penggambaran dilakukan di Siru Kambam, dan Jaliji hanya memandu kereta buatan Malaysia ke lokasi pada waktu itu.

"Tetapi cara dia bercakap dengan kru macamlah dia pelakon hebat dari Tamil Nadu, India. Apabila disapa penduduk kampung, cara dia menjawab seumpama orang bandar yang baru pertama kali masuk ke kampung serta tidak fasih bercakap Tamil.

"Pendek kata, dia memberikan gambaran seolah-olah dia memang ada semua kriteria untuk diberikan gelaran 'diva' dalam industri seni, sedangkan dia baru sahaja diberikan peluang untuk memegang watak kecil dalam sebuah drama. Drama itu pun terbantut separuh jalan dan tidak disiarkan," Mary menceritakan.

Mary mengaku pernah bekerja dengan Jaliji serta mengikutnya ke lokasi penggambaran drama itu.

Katanya, wanita yang gila nama itu memang suka bercakap dengan memetik nama-nama politikus, artis, seniman dan usahawan ternama.

Jaliji seolah-olah berusaha keras untuk memberikan gambaran kononnya dia bukanlah orang biasa; sebaliknya orang istimewa yang mengenali dan dikenali semua tokoh penting di Malaysia, termasuk kerabat diraja.

"Hasil pergaulan dengan Jaliji, saya mengandaikan bahawa dia seorang individu yang inginkan segala kekayaan dan kemewahan dengan apa cara sekali pun. Dia bermimpi mahu keluar daripada kehidupan biasa dan hidup senang-lenang sebagai seorang tokoh yang dipuji dan dipuja ramai," Mary berkongsi pandangan.

Jaliji juga khabarnya sudah berkahwin, tetapi identiti lelaki terbabit disembunyikan.

Pendedahan ini segera mengingatkan saya kepada seorang personaliti televisyen dan pengacara radio tempatan yang khabarnya juga "bermain" dengan misteri yang serupa.

Bagaimanapun, harap maklum bahawa saya tidak berminat dan tidak mahu masuk campur urusan peribadi personaliti televisyen dan pengacara radio itu.

Bagi saya, kisah Jaliji lebih menarik dan penuh misteri untuk diteroka.

Hasil maklumat yang diterima menerusi mesej peribadi daripada begitu ramai orang menunjukkan bahawa mungkin saya seorang sahaja yang tidak tahu mengenai kewujudan Jaliji selama ini.

Kisah, maklumat dan pengalaman yang dikongsikan pemberi maklumat hampir sama. Sebahagiannya dimuatkan dalam makalah ini tanpa mendedahkan maklumat peribadi.

Apa yang pasti, Jaliji seorang 'diva' yang mahu dipuja lelaki dan wanita.

"Saya dapat maklumat bahawa dia mahu memasuki politik dan bermimpi menjadi senator. Kita nantikan pula bagaimana sikap diva selepas dia menjadi politikus. Tahulah kami apa yang perlu dilakukan," kata seorang individu yang mengaku memegang jawatan agak penting dalam PPI. – 28 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved