The Malaysian Insider :: Bahasa |
Khalid Ibrahim nafi beri rasuah RM50 kepada pengundi PKR Posted: 11 May 2014 03:50 AM PDT Calon timbalan presiden PKR itu bagaimanapun mengaku menaja pengangkutan bagi kemudahan pengundi ke tempat pusat mengundi. Beliau menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR. "Aduan dan tindakan ini penting untuk kita tunjukkan bahawa PKR ialah parti yang bersih dalam tatacara mengendalikan pemilihan. "Saya memohon maaf kepada seluruh anggota KEADILAN kerana kegagalan proses pengundian. Kita benar-benar memerlukan reformasi yang menyeluruh," katanya melalui akaun Twitter @khalid_ibrahim. Beliau berkata demikian sebagai responsnya terhadap dakwaan bekas Ahli Parlimen Kapar yang juga calon Ketua Cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam yang mengatakan Khalid memberi wang suapan kepada pengundi sebanyak RM50 seorang. "Saya ada bukti dalam bentuk rakaman video (politik wang) dan saya akan muat naikkannya tidak lama lagi. Saya menerima aduan bahawa pemilih diberi rasuah sebanyak RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua bahagian Kuala Selangor. "Saya harap jawatankuasa pemilih akan bertindak segera tentang perkara ini," katanya seperti dilapor Bernama hari ini. Manikavasagam berkata, beliau akan memfailkan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR sekiranya beliau kalah dalam pertandingan satu lawan satu dengan Khalid bagi jawatan itu. Pemilihan PKR 2014 berakhir hari ini kecuali melibatkan sekurang-kurangnya 17 Cabang ditangguhkan dan diadakan pemilihan semula dalam tempoh Mei ini. Laporan rasmi setakat ini menunjukkan penyandang Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali masih mendahului dengan 9,876 undi, jauh meninggalkan pesaingnya Khalid yang mendapat 6,217 undi dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebanyak 5,717 undi. – 11 Mei, 2014. |
AirAsia sedia 350 sukarelawan di klia2 Posted: 11 May 2014 03:26 AM PDT Usaha yang diterajui oleh Jabatan Sumber Manusia AirAsia itu merangkumi sukarelawan yang dibahagikan kepada empat syif bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu. Ketua Jabatan Sumber Manusia AirAsia Adzhar Ibrahim berkata sukarelawan berkenaan merupakan satu pasukan yang berdedikasi dengan misi untuk menyediakan bantuan kepada para penumpang di lapangan terbang klia2. "Sejak tiga hari lalu, sukarelawan kami berkhidmat sebagai sumber maklumat lengkap untuk membantu para penumpang untuk mencari lokasi pintu, semak status penerbangan, tuntutan bagasi, informasi pengangkutan awam serta pertanyaan umum,", katanya dalam satu kenyataan di Sepang hari ini. Pasukan sukarelawan AirAsia yang mudah sekali dikenal pasti dengan kemeja-T merah, boleh ditemui di seluruh pelosok lapangan terbang klia2 dan juga pusat membeli-belah Gateway. Menurut kenyataan itu, apabila jabatan sumber manusia syarikat penerbangan itu membuka pendaftaran untuk sukarelawan, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada AirAsia Allstars (kakitangan) dari seluruh Malaysia, Thailand dan Indonesia. Malah, permintaan sukarelawan melebihi jumlah sebenar yang diperlukan oleh syarikat penerbangan itu, katanya. Kesediaan mereka untuk membantu rakan kerja mencerminkan semangat setia kawan yang tinggi dan nilai-nilai keluarga yang diterapkan oleh pengurusan AirAsia, demikian menurut kenyataan itu. Program sukarela AirAsia akan diteruskan selama satu bulan bagi memastikan kelancaran operasi di klia2. – Bernama, 11 Mei, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan