The Malaysian Insider :: Bahasa |
Polis Filipina dakwa ‘wang tebusan yang besar dibayar untuk bebaskan tebusan Cina’ Posted: 31 May 2014 05:34 AM PDT Laporan itu bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa "tidak ada wang tebusan dibayar" untuk membebaskan pelancong China, Gao Huayun dan pekerja resort, warga Filipina Marcy Dayawan, yang diculik dari Singamata Adventures dan Reef Resort, di Semporna, 2 April lalu. Semalam dalam tweetnya, Najib menulis semasa lawatan rasminya ke China: "Saya baru sahaja diberi taklimat oleh @PDRMsia bahawa kedua-dua wanita diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas diselamatkan oleh pihak berkuasa kita." "Tiada wang tebusan dibayar bagi mendapatkan pembebasan mereka. Kejayaan hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat." Bagaimanapun, sumber polis Filipina memberitahu Reuters bahawa wang tebusan yang besar dibayar bagi membebaskan kedua-dua wanita itu. "Ia jarang berlaku bagi Abu Sayyaf untuk melepaskan orang yang diculik tanpa wang tebusan yang dibayar," kata laporan itu. Tetapi laporan itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai wang tebusan yang dikatakan itu, seperti jumlah yang dibayar dan sumber dana. Kumpulan pengganas itu sebelum ini menuntut 500 juta peso Filipina (RM36.8 juta) untuk melepaskan Gao, tetapi tidak membuat sebarang permintaan wang tebusan untuk Dayawan. Pada 2 April, tujuh lelaki bersenjata memasuki resort kira-kira 10.30 malam dan menculik Gao, 29, dari Shanghai dan Dayawan, 40, dari resort itu. Dilaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia percaya Abu Sayyaf, sebuah kumpulan pengganas yang berpangkalan di selatan Filipina, bertanggungjawab atas penculikan itu dan mereka mendapat bantuan dari dalam. Berikutan penculikan Gao dan Dayawan, seorang pegawai polis di Sabah mendedahkan bahawa penculikan itu juga mungkin melibatkan kakitangan resort. "Abu Sayyaf aktif di kawasan itu sejak 15 tahun yang lalu dan bertanggungjawab untuk beberapa kes penculikan," kata pegawai itu kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan. "Dalam banyak kes, mangsa dibebaskan selepas wang tebusan yang besar dibayar. Kes malam tadi dijangka tidak berbeza," katanya. Insiden itu merupakan satu daripada tiga kejadian dalam tempoh tujuh bulan lalu yang melibatkan pelanggaran di Zon Keselamatan Timur Sabah yang ditubuhkan selepas "pencerobohan" Lahad Datu oleh pihak berkuasa Sulu awal tahun lepas. Pada November tahun lepas, pelancong Taiwan Chang An Wei diculik dari pulau peranginan Pom Pom sementara pasangannya, Li Min Hsu ditembak mati. Chang dibebaskan sebulan kemudian selepas wang tebusan yang besar dibayar kepada Abu Sayyaf melalui perantara. Awal bulan ini, warga China Yang Zai Lin, 34, diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dari sebuah ladang ikan berhampiran Pulau Babi, Lahad Datu, dan dibawa lari dengan sebuah bot laju. Walaupun cuba ditahan pihak keselamatan Malaysia, penculik berjaya melarikan diri ke perairan antarabangsa dan dipercayai menuju ke selatan Filipina. Yang, yang berasal dari Guangzhou, menguruskan ladang ikan sejak tiga tahun lalu. Ladang ini dimiliki oleh Wonderful Terrace Sdn Bhd yang berpangkalan di Hong Kong. Yang diambil oleh lima orang lelaki yang berpakaian seragam tentera. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dikatakan bersenjatakan M-16. Abu Sayyaf adalah kumpulan militan Islam yang meningkat terkenal pada tahun 1990-an kerana berjuang untuk satu wilayah Islam bebas di Filipina. Ahli diketahui terlibat dalam kes pengeboman, penculikan, pembunuhan dan aktiviti pemerasan. – 31 Mei, 2014. |
Gerakan dakwa mereka menang di Teluk Intan melalui kiraan tidak rasmi Posted: 31 May 2014 04:05 AM PDT Gerakan sudah mendakwa mereka menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan apabila calonnya Datuk Mah Siew Keong didakwa mendahului calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan 150 undi. Berdasarkan kiraan tidak rasmi DAP, calon mereka mendapat 19,919 manakala Barisan Nasional mendapat 20,157 manakala undi rosak adalah 550. Majoriti adalah 238 undi. Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, terserah kepada pemimpin parti untuk menerima kekalahan ini atau tidak. "Kami sangat terkejut dengan keputusan ini tetapi sejak awal kami sudah tahu ia adalah satu pertandingan yang sukar," kata Ong kepada The Malaysian Insider. "Saya fikir Dyana adalah calon yang baik dan memaparkan dirinya dengan baik. Jadi saya harap ini akan mewakili hasrat parti untuk bergerak ke hadapan walaupun buat sementara ini kita menerima kekalahan," katanya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, 66.5% keluar mengundi daripada 60,438 pengundi berdaftar. Ketika pengundian awal pada 27 Mei, 95.61% atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi. DAP menyiarkan keputusan tidak rasmi secara langsung melalui tv internetnya, ubah.tv. Orang ramai memenuhi markas besar DAP di Teluk Intan bagi menyaksikan siaran langsung keputusan itu yang disiarkan satu persatu mengikut saluran mengundi. SPR menjangkakan keputusan rasmi akan disiarkan menjelang jam 9 malam ini. Keputusan pula sentiasa turun naik dengan kebanyakan masa Dyana Sofya berada di depan berbanding Mah namun di hujungnya Mah dilaporkan mendahului calon DAP itu. – 31 Mei, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan