Khamis, 1 Mei 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Hari Buruh, Phil Ochs, Billy Bragg, Dylan dan kita

Posted: 30 Apr 2014 04:20 PM PDT

May 01, 2014

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

1 Mei atau Mayday adalah Hari Buruh atau Hari Pekerja, hari di mana golongan marhaen atau golongan 'working class' diraikan. Setiap kali datangnya Hari Buruh biasanya saya akan kembali kepada 'roots' muzik saya, folk.

Muzik folk dekat dengan masyarakat biasa kerana kita adalah sebahagian daripada kehidupan yang penuh dengan elemen 'survival'. Kita adalah golongan pekerja yang perlu bekerja untuk terus hidup dan mencapai bahagia.

Lagu-lagu folk menceritakan tentang kehidupan yang biasa. Jarang terdapat lagu folk bercerita tentang orang kaya yang sukses menjana kejayaannya dan dipuji lantaran kekayaan mereka. Melainkan jika kita bercerita tentang mereka, ia penuh dengan mesej yang sinis dan provokatif.

Saya akan kembali mendengar lagu-lagu eperti Phil Ochs, Dylan, Billy Bragg dan Woody Guthrie. Yang agak berkesan dan penuh dengan elemen punk dan politikal, Billy Bragg. Pun yang paling menarik daripada segi idea dan karangan lagu tentunya Phil Ochs.

Bragg amat mengkagumi karya Phil Ochs, kerana katanya jika dibandingkan dengan Dylan, beliau lebih menghormati karya Phil Ochs.

Bagi Bragg, Phil Ochs lebih pure manakala Dylan pula berjaya mengecap kemasyuran sebagai penyanyi folk yang melalui zaman penuh gemilang.

Tabiknya pada Phil Ochs, hinggakan terdapat sebuah lagu yang berjudul ' I Dreamed I Saw Phil Ochs Last Night' di dalam albumnya The Internationale, didedikasikan untuk mentornya itu.

Saya agak berkecuali dalam menilai mana yang lebih bagus, sebab masing-masing, Dylan mahupun Ochs, ada kelebihan. Mereka muncul dalam era yang sama, pertengahan zaman 1960-an. Bragg pula hanya muncul di era 1980-an.

Secara umumnya tidak dapat dinafikan Dylan lebih menonjol. Banyak faktor, antaranya Dylan lebih berkarisma, kacak, bijak manakala lagu dan liriknya tidak terlalu serius, mudah diterima, variasi sifatnya dan beliau adalah fenomena di zamannya.

Sepanjang kariernya, Ochs menghasilkan 8 album iaitu All the News Thats Fit to sing (1964), I Aint Marching Anymore (1965), Phil Ochs in Concert  (1966), Pleasures of the Harbour (1967), Tape From California (1968), Rehearsals From Retirement (1969), Greatest Hits (1970) dan Gunfight at Carnegie Hall (1975).

Lagu-lagu beliau tidak pernah menduduki carta 100 lagu terbaik Amerika, cuma penyanyi folk Joan Baez pernah mempopularkan lagu beliau yang berjudul There but for Fortune dan menduduki carta 10 lagu terbaik di United Kingdom.

Agak malang nasib Ochs tidak secerah Dylan. Ia mengingatkan saya pada era Jimi Hendrix, banyak gitaris hebat yang lain tenggelam nama dan kehebatan mereka dek karisma Hendrix yang mendahului zamannya. Salah seorang gitaris/penyanyi hebat yang tidak bernasib baik ialah Rory Gallagher.

Apa boleh buat, Hendrix muncul dengan pakej yang sempurna sebagai seorang gitaris yang berkarisma.

Di sini memang tidak dapat kita nafikan Ochs tenggelam kerana kehebatan Dylan, Sawong Jabo tenggelam dengan karisma dan populariti Iwan Fals. Takdir lebih menyebelahi mereka.

Dylan dan Ochs, hero mereka adalah Woody Guthrie, legenda penyanyi folk sosialis yang namanya akan terus dikenang sepanjang zaman. 1963, nama Phil Ochs semakin dikenali.

Beliau mula mendapat tempat untuk membuat persembahan di majlis yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar mahupun parti politik, di Carnegie Hall dan Town Hall contohnya, juga di pentas ceramah anti perang dan protes.

Dylan bahkan menganggap Ochs sebagai saingannya mungkin sebab mereka waktu itu di bawah pengurus yang sama, Albert Grossman.

Dalam waktu yang sama mereka adalah kawan seperjuangan yang boleh dikatakan akrab. Bila peminat Dylan tidak menyukai dia bermain gitar elektrik, Ochsmengkagumi Dylan di atas keberaniannya dalam membuat perubahan dalam muziknya.

Bagi saya lagu-lagu Ochs sangat bermutu daripada segi proses penciptaan mahupun lirik-liriknya. Unik dan menarik. Cuma tema dalam lagunya serius walau ada unsur humor yang sarkastik, perang dan protes.

Cuba dengar lagu Highwayman, Power and Glory, I aint Marching Anymore dan War Is Over. Walaupun beliau mengkagumi Woody Guthrie sebagai mentor, namun daripada segi penciptaan lagu bagi saya Ochs lebih menarik, Woody pula agak tradisional dan straight forward.

Nasib penyanyi folk selalunya berakhir dengan cerita sedih dan tragis. Nick Drake mati di kerusi malas, depresi, murung dan putus asa dalam hidup. Victor Jara, legenda penyanyi folk Chile yang juga rakan akrab Ochs mati dibunuh.

John Lennon yang juga kawan baik Ochs mati dibunuh oleh peminatnya sendiri, Ochs juga mengalami nasib yang sama, murung, sakit mental, kecewa, dadah, arak dan mati.

Kematiannya dikatakan ada sangkut paut dengan keterlibatan pihak daripada CIA dan FBI kerana bagi mereka pengaruh yang ada pada Ochs sangat bahaya dan pembabitannya dalam konsert protes, politik dan lagu-lagunya tidak disenangi.

Joekidd memperkenalkan muzik Billy Bragg kepada saya di awal 1990-an dulu melalui album pertamanya Life's a Riot with Spy Vs Spy yang diterbitkan pada 1983.

Siapa sangka album yang agak rabak dan tidak cukup sempurna itu meletup di pasaran UK dan menduduki tangga ke-30 dalam Carta album UK. Life's a Riot penuh dengan elemen punk, dengan iringan gitar elektrik yang raw dan vocal Bragg yang jujur.

Itu kali pertama saya mendengar album yang hanya dengan hanya iringan sebuah gitar elektrik. Melodi yang catchy dengan teknik power chords yang sinonim dengan lagu-lagu punk menjadikan album ini unik dan patut dimiliki oleh semua mat punk khususnya.

Seterusnya saya mengikuti perkembangan album-album Bragg seperti album Talking with the Tax Man about Poetry (1986) dan The Internationale (1990).

Bragg berjaya menghasilkan 21 album sejak album pertamanya yang diterbitkan pada 1983 hinggalah album Tooth&Nail (2013).

Bragg, Phil Ochs, Dylan, Iwan Fals, Kembara, Gombloh, Fanky Sahilatua mahupun band rock legenda Indonesia Godbless antaranya, lagu-lagu mereka banyak bercerita tentang kehidupan yang realisitk sifatnya.

Tentang ketidakadilan antara sesama manusia, tentang Tuhan dalam konteks yang lebih matang dan terbuka, tentang dunia yang semakin kejam dan tidak berperi kemanusiaan, tentang alam yang semakin reput, tentang rakusnya golongan atas menindas yang bawah demi kuasa yang mereka miliki kononnya.

Ini semua sepatutnya mereka (anak-anak muda) perlu ambil tahu dan tanamkan minat untuk lagu yang ada kena mengena dengan kehidupan kita.

Untuk apa kita yang katanya 'working class' ini masih asyik melayan lagu-lagu cinta bodoh artis yang tahap mereka hanya seperti burung belatuk, yang hanya pandai menyanyi dengan iringan muzik minus one sahaja? – 1 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Yakinlah Pakatan Rakyat tidak berpecah

Posted: 30 Apr 2014 04:04 PM PDT

May 01, 2014

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

Gara-gara isu hudud meledak semula seperti yang berlaku awal 1990-an, hampir hendak hancur Pakatan Rakyat oleh bahangnya.

PAS berhajat benar hendak melaksanakannya di Kelantan. Apa jadi pun rang undang-undang persendirian bakal dibentangkan di Parlimen tahun ini juga. PKR tidak tertarik dengan perkembangan itu. DAP seperti yang diwasiatkan oleh mendiang Karpal Singh tidak akan menyokong usul itu.

PAS mahu juga ia dibentangkan. Maka DAP melalui Setiausaha Organisasinya, Antony Loke cabar PAS keluar PR. PAS tidak mahu keluar PR tetapi hudud hendak dilaksanakan juga di Kelantan.

Macam PR hendak berpecah gara-garanya. Siapa yang seronok? Tentulah Umno dan Barisan Nasional melihat kerabat PR beramok sama sendiri. Seronokkah Umno bila PR macam hendak berpecah.

Seronoknya cuma beberapa hari saja kerana PAS tidak akan keluar Pakatan dan DAP serta PKR tidak akan membiarkan PAS keluar kerana isu itu. Mereka berkelahi saja tetapi tidak pecahkan bahtera yang mereka bina.

Berkelahi tidak elok, tetapi mungkin ada elok juga berkelahi sekali sekala supaya masing-masing lebih kenal budi dan hati antara satu sama lain. Atas perkelahian itulah mereka akan membangunkan muafakat yang lebih kuat.

Awal 1990-an ketika Pilihan Raya Kecil Bukit Payong, Terengganu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cabar PAS supaya laksanakan hudud di Kelantan setelah Angkatan Perpaduan Ummah menang semua kerusi di Kelantan.

Mungkin cabaran Dr Mahathir hendak menjauhkan bukan Melayu daripada PAS kerana politik Tengku Razaleigh Hamzah melalui Parti S46 boleh jadi jambatan yang boleh mendekatkan PAS dan DAP jika dibiarkan.

PAS sahut cabaran itu lalu meluluskan Enakmen Jenayah Syariah 2 di Kelantan. Bila hendak dilaksana, Dr Mahathir hantar surat kepada kerajaan Kelantan, kalau laksana dia akan bertindak. Mungkin Dr Mahathir menyesal mencabarnya dulu kerana puak pro hudud ini tidak boleh  dicabar.

PAS tawakuf pelaksanaan itu. Tetapi hudud itu tidak menghalang DAP bermuafakat dengan PAS melalui Barisan Alternatif. Mereka berpecah sekejap. Tetapi atas perpecahan sekejap itu mereka bangkit dengan perantaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegakkan Pakatan Rakyat.

Apabila Brunei Darussalam mengumumkan mendaulatkan syariat setahun sebelum Malaysia menguatkuasakan Cukai Barangan dan Perkhidmata (GST), Kelantan tidak mahu ketinggalan dengan hududnya. Umno pula cabar PAS bawa ia ke Parlimen nescaya ia akan mereka sokong. PAS pun terima positif atas cabaran itu.

Puak yang tidak boleh dicabar tentang hudud ini lemparkan cadangan untuk bentangkan ia ke Parlimen.

DAP melenting tetapi buat masa ini DAP bukan musuh PAS dan PAS bukan musuh DAP. Mereka berbalah tetapi mereka tidak berecah.

Sama ada Umno/BN sokong usul PAS itu di Parlimen, Umno adalah musuh yang kekal setakat ini buat semua kerabat  Pakatan Rakyat. Umno boleh sokong hudud tetapi Umno tetap musuh PAS. DAP dan PAS mungkin berkelahi sekejap tetapi musuh kedua-duanya ialah Umno.

Baguslah kalau Umno sudah dapat hidayah tentang hudud. Hidayah itu masih teka teki. DAP masih takutkan hudud. PKR tunggu dan lihat.

Takut DAP tentang hudud itu seperti ia takutkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seolah-olah DEB itu untuk Melayu saja. Tetapi yang banyak untung atas DEB ialah bukan Melayu. Majoriti Melayu dapat kuah. Beberapa kerat Umno dan bukan Melayu dapat isi DEB.

Hudud itu akan menguntungkan bukan Melayu seperti bukan Melayu mengaut keuntungan DEB. Baiknya hudud nanti ia menguntungkan Melayu dan bukan Melayu. Kalau usul PAS itu kalah kita tidak dapat buktikan bukan Islam untung dengannya kerana ia tidak dilaksanakan. Tunggulah untungnya daripada pelaksanaan hukum itu di Bandar Seri Begawan. – 1 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved