Isnin, 12 Mei 2014

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Bukit Gelugor, mengapa Umno tak bertanding?

Posted: 11 May 2014 05:10 PM PDT

May 12, 2014

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Jika dibandingkan antara Kajang dan Bukit Gelugor, sebenarnya lebih wajar untuk MCA bertanding di pilihanraya kecil Bukit Gelugor daripada Kajang.

Ini kerana PRK Kajang dibuat dengan sengaja untuk tujuan politik PKR, manakala PRK Bukit Gelugor terpaksa diadakan kerana kematian ahli parlimennya iaitu Karpal Singh.

Atas nama mempertahankan demokrasi sebagaimana hujahnya untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada hudud di Kelantan, MCA wajar boikot PRK Kajang dan turun di Bukit Gelugor sekiranya parti ini masih konsisten antara tindakan dengan hujahnya.

Ini tidak. MCA memilih untuk melarikan diri daripada berdepan dengan kekalahan yang lebih teruk.

Pendirian ini juga bertentangan dengan kata-kata mereka selepas PRK Kajang di mana MCA mendabik dada menyatakan bahawa mereka berjaya meningkatkan sokongan orang Cina kembali kepada BN selepas mengurangkan undi majoriti kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bukan itu sahaja, pendirian tidak bertanding MCA juga melanggar saranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan Barisan Nasional perlu menurunkan calon di Bukit Gelugor meskipun tahu itu adalah kawasan hitam bagi BN.

Memandangkan MCA tidak berani turun selari dengan persepsi awam yang ada pada presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Wee Ka Siong, mengapa Umno tidak mengambil peluang ini untuk bertanding di Bukit Gelugor untuk mengukur keberkesanan propaganda mereka pada DAP dan juga minda orang Melayu?

Di Bukit Gelugor, terdapat 11,880 pengundi orang Melayu yang boleh dijadikan ukuran populariti Umno.

Mereka mewakili 14.48% daripada jumlah pengundi di Bukit Gelugor yang berjumlah 82,431 pengundi. Yang selebihnya ialah pengundi bukan Melayu dengan majoriti 74.49% berbangsa Cina.

Sekiranya Umno tidak hilang deposit di Bukit Gelugor dan berjaya meningkatkan undi Melayu berbanding PRU13, Umno dikira mendapat kemenangan moral di Bukit Gelugor.

Ini sepatutnya sesuatu yang mudah dan dapat dilakukan oleh Umno yang bersenjatakan jentera kerajaan yang banyak untuk menyalurkan maklumat.

Lebih-lebih lagi lawannya ialah anak kepada seorang yang terkenal dengan sikap menentang hudud atau undang-undang Islam yang Umno teringin sangat membantu PAS untuk melaksanakannya di Kelantan.

Umno sepatutnya gembira bahawa PAS kini betul-betul mempercayainya untuk bersama-sama melaksanakan hudud di Kelantan meskipun duit royalti tidak pernah dibayar sesen pun pada kerajaan Kelantan sehingga kini.

Malah, PAS semalam membuat satu keputusan besar untuk menangguhkan hasratnya membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat.

Semua ini dibuat kerana PAS mempercayai Umno betul ikhlas ingin melihat hudud terlaksana di Kelantan tidak lama lagi selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Dengan bertanding di Bukit Gelugor, Umno boleh menggunakan peluang ini untuk membuktikan keikhlasannya untuk membantu PAS melaksanakan hudud di samping menggunakan ruang kempen PRK untuk menyebarkan kebaikan mengenai hudud sebagai senjata meningkatkan undi Melayu.

Secara tidak langsung juga, cara ini dapat membantu memberi penerangan yang tepat mengenai hudud sebagaimana usaha Umno mewar-warkan kebaikan GST.

Memandangkan MCA tidak berani turun bertanding atas alasan ingin menumpukan perhatian untuk melawan perlaksanaan hudud di Kelantan, Umno wajib bertanding untuk berbuat sebaliknya.

Namun, segalanya nampak macam dah terlambat.

Sebab pendirian MCA tidak bertanding ini telahpun disambut baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meskipun bertentangan dengan pandangan Dr Mahathir.

Apakah ini juga secara tidak langsung bermaksud Umno menyokong penuh alasan MCA untuk tidak bertanding bagi menumpukan perhatian untuk menentang perlaksanaan hudud di Kelantan?

Jika benar, ikhlas ke Umno nak bantu PAS untuk laksana hudud di Kelantan? Lu pikirlah sendiri. – 12 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Rasisme memang ‘budaya’ UiTM?

Posted: 11 May 2014 04:11 PM PDT

May 12, 2014

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 turut menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam.

Sewaktu saya berkongsi rasa kecewa menerusi laman rangkaian sosial Facebook, ramai yang tampil berkongsi pandangan dan perasaan yang sama.

Seminar yang menimbulkan kemarahan masyarakat pelbagai agama. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Seminar yang menimbulkan kemarahan masyarakat pelbagai agama. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama, kepercayaan dan mazhab yang berfikiran rasional serta tidak sewenang-wenangnya menerima anasir-anasir jahat yang cuba menghancurkan keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia.

Seorang guru dari Bayan Baru, Pulau Pinang, Rosihan Amri Md Zakaria meluahkan rasa bimbang kerana polisi kerajaan dalam mentadbir UiTM seolah-olah menyebabkan generasi muda menjadi sangat rasis dan paranoid.

"Sangat membimbangkan apabila UiTM dikatakan melahirkan graduan berminda tertutup yang sering menyalahkan kaum lain serta mahu kerajaan hanya membantu kelompok Bumiputera Melayu-Islam," katanya menerusi mesej peribadi kepada saya.

Rosihan turut mengimbas pengalaman sendiri yang terpaksa bersaing dengan mahasiswa daripada kaum-kaum lain secara adil dan saksama semasa beliau belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya bergaul dengan baik dengan kaum-kaum lain kerana kami hidup bersama-sama; bukan hanya bergaul dengan kaum sendiri. Bagi saya, memanglah sesuatu yang membahayakan apabila UiTM didapati menyebarkan propaganda perkauman. Generasi akan datang yang terpaksa menanggung kesan negatif daripadanya nanti," katanya.

Seminar anjuran UiTM dengan kerjasama Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf dan TV Al-Hijrah didapati secara terang-terangan bersifat anti-Kristian serta menanam bibit kebencian terhadap penganut Kristian.

Penceramah yang didatangkan dari Indonesia dilaporkan menuduh penganut Kristian sebagai mengkhianati Tuhan selagi mereka tidak meninggalkan agama asal dan memeluk agama Islam.

Hujah-hujah yang mempersenda, memperlekeh dan menghina Nabi Isa juga dijadikan "senjata" untuk memujuk orang memeluk Islam.

Lebih mendukacitakan apabila Majlis Agama Islam Selangor (Mais) didapati mengedarkan buku berjudul 'Pendedahan Agenda Kristian' kepada ribuan peserta yang hadir tanpa mengambil kira sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan.

Segala perbuatan itu turut diselar rakan-rakan pelbagai kaum dan agama yang mengikuti perkembangan menerusi media cetak, media alternatif dan laman rangkaian sosial.

Pelajar jadi mangsa polisi yang "gila"

Perzeus James membuat laporan polis terhadap seminar anti-Kristian di UiTM. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Perzeus James membuat laporan polis terhadap seminar anti-Kristian di UiTM. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014."Islam tidak pernah memaksa; apatah lagi mendesak seseorang meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk Islam. Pada saya, bukanlah sesuatu yang harmoni apabila kenyataan seperti itu dikeluarkan pada seminar tersebut," kata Ahmad Fakhrul Syazwan Mohd Yaacob, seorang pelajar dari Bestari Jaya, Selangor.

Memandangkan rakan-rakan saya di Facebook terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama, ideologi dan latar belakang, maka peluang memang terbuka untuk berdialog mengenai topik-topik yang saya kemukakan menerusi paparan status.

Seorang graduan UiTM Shah Alam (2008) yang kini bekerja di Lumut, Perak berkata bahawa apa-apa yang berlaku sepanjang seminar tersebut sedikit pun tidak menghairankan baginya.

"Saya pernah belajar di sana. Memang menjadi semacam polisi UiTM untuk 'brainwash' pelajar supaya bersikap etnosentrik dan rasis. Malah, mereka diajar supaya berbangga dengan sikap perkauman.

"Pelajar diajar supaya memandang rendah dan menghina kaum lain dan orang bukan Islam. Sepanjang belajar di sana, kempen ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua graduan UiTM memiliki ketaatan kepada pemerintah dan membenci orang bukan Melayu," kata Adam dalam mesejnya.

Menurut pemuda itu, kebanyakan pelajar yang masuk ke UiTM datang daripada MRSM, sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional dan sebagainya di mana mereka hanya bergaul dengan kelompok Melayu-Islam.

Maka, kerja 'brainwash' yang sudah bermula sejak awal memang mudah untuk diteruskan di UiTM.

Masalah kelompok orang Melayu-Islam yang hampir tidak tahu apa-apa mengenai orang bukan Melayu dan bukan Islam turut disentuh oleh T Gopal, seorang guru yang berasal dari Serdang dan kini tinggal di Selayang.

"Saya pernah menghadiri kursus anjuran majikan saya di Jerantut, Pahang beberapa tahun lalu. Hampir 30% peserta adalah penganut Hindu. Malangnya kami disajikan masakan daging lembu oleh pihak pengurusan resort terbabit.

"Alasan yang diberikan adalah bahawa mereka tidak tahu-menahu orang India-Hindu tidak makan daging lembu! Apabila diselidik, ternyata individu terbabit tidak pernah bergaul dengan kaum lain sejak kanak-kanak," kata Gopal.

Guru berkenaan mempunyai pandangan hampir sama dengan Adam; di mana kebanyakan orang Melayu-Islam lulusan UiTM sudah melalui proses 'brainwash' secara terancang sejak kanak-kanak.

Maka, katanya, individu terbabit juga sebenarnya "mangsa" yang tidak bersalah.

Peluang penganjur "menebus dosa"

Penduduk Sarawak turut membuat laporan polis. – Gambar ihsan Daniel, 12 Mei, 2014.Penduduk Sarawak turut membuat laporan polis. – Gambar ihsan Daniel, 12 Mei, 2014.Seorang lagi graduan UiTM (2005), Hafidz Baharom juga berkongsi pandangan menerusi Facebook.

Aktivis ini yang tinggal di Shah Alam sedikit pun tidak terkejut dengan isu seminar anti-Kristian yang berlangsung di institusi pengajian tinggi tersebut.

"Saya tidak akan terkejut jika pelajar yang menghadiri seminar itu diberitahu bahawa mereka wajib hadir jika mahu lulus subjek tertentu. Memandangkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir sama, maka tidak hairanlah pelajar beberapa sekolah menengah dibawa masuk untuk meramaikan peserta," kata Hafidz.

Pada pandangannya, penganjur seminar tersebut perlu disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang.

Selain itu, Mais selaku penerbit buku Pendedahan Agenda Kristian perlu turut dipersalahkan kerana mengedarkan buku itu kepada para peserta seminar.

"Kalau ada orang Kristian atau Islam yang mahu membuat laporan polis berhubung penganjuran seminar itu dan pengedaran buku berkenaan, saya akan turut serta," Hafidz menekankan.

Dua hari selepas seminar berlangsung, saya (pengamal multifaith) dan Perzeus James (penganut Kristian Katolik) sama-sama pergi membuat laporan rasmi di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam.

Khabarnya ramai juga orang Islam dan Kristian di Sabah dan Sarawak turut membuat laporan polis.

Seperti kata Hafidz, universiti memang wajar dijadikan tempat untuk berbahas, berdialog dan berhujah secara akademik berhubung pelbagai perkara, termasuk topik agama.

"Tetapi universiti bukan tempat untuk menyebarkan rasa kebencian dan perasaan takut, serta menyampaikan maklumat yang salah mengenai sesuatu agama yang tidak sepenuhnya difahami oleh penceramah terbabit," tegas penulis itu.

Hafidz turut menekankan bahawa kini hanya ada satu cara untuk UiTM membetulkan keadaan serta "menebus dosa" berikutan penganjuran seminar yang terbukti berniat jahat dan mahu menghancurkan keharmonian masyarakat.

"Saya menggesa UiTM mengundang sekumpulan penceramah Kristian untuk datang bercakap mengenai isu kewujudan kelompok orang Islam yang sangat prejudis dan sering menghasut orang membenci masyarakat bukan Islam," katanya dengan sinis.

Kita nantikan sama ada UiTM cukup "jantan" untuk menerima cabaran itu.

Bagaimanapun, memandangkan ia umpama menanti bulan jatuh ke riba, mungkin kita nantikan sahaja sama ada pihak berkuasa cukup "jantan" untuk mengambil tindakan yang adil terhadap penganjuran seminar berkenaan.

Malangnya, apakah itu juga umpama menanti bulan jatuh ke riba?

Sama-sama kita nantikan perkembangan kes ini (termasuk laporan dari Sarawak dan Sabah) yang khabarnya sedang disiasat Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan IPD Shah Alam. – 12 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved