Ahad, 1 Jun 2014

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Jakim sedia disaman dalam isu coklat Cadbury, kata ketua pengarah

Posted: 01 Jun 2014 02:17 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 01, 2014

Dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) mencetuskan reaksi yang pelbagai daripada masyarakat Islam di negara ini. Gambar fail.Dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) mencetuskan reaksi yang pelbagai daripada masyarakat Islam di negara ini. Gambar fail.Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia disaman dalam isu coklat Cadbury yang mengandungi DNA babi atas prinsip ketelusan, kata ketua pengarahnya.

Datuk Othman Mustapha dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider berkata, beliau bersetuju dengan tindakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang akan memfailkan saman tersebut.

"Saya setuju, boleh mereka hendak saman, biar kita ada ketelusan," katanya kepada The Malaysian Insider.

JMM sebelum ini berkata, pihaknya menggalakkan sekiranya orang ramai ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama tersebut.

Pertubuhan itu dengan kerjasama Sukaguam juga sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Cadbury kerana mengeluarkan produk mengandungi DNA babi.

Presiden JMM, Azwanddin, Hamzah berkata selain permohonan maaf daripada syarikat pengeluar coklat tersebut, Cadbury Malaysia, Jakim dan KKM juga seharusnya mengemukakan permohonan maaf atas kelewatan mereka mengesan DNA babi dalam produk tersebut.

"Mungkin ada ketirisan berlaku dalam Jakim, tetapi saya tidak mahu menuduh, nanti mereka saman saya pula. Saya galakkan pengguna untuk saman Jakim," katanya.

JMM juga katanya, akan menghantar memorandum kepada Jakim dan KKM disebabkan insiden tersebut.

Ketika sidang media di Ibu Pejabat JMM di Kuala Lumpur minggu lalu, Azwanddin berkata, Cadbury Malaysia menipu umat Islam di negara ini dengan mengeluarkan produk mengandungi DNA babi kerana pasaran terbesar mereka adalah umat Islam dan komuniti Melayu.

"Ini penipuan jahat dan harus dibendung," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya juga menerima sokongan daripada ramai individu yang sedia tampil bersama mereka untuk mengambil tindakan terhadap Cadbury Malaysia.

"Kita terima 700 emel menyatakan kerjasama mereka untuk mengambil tindakan guaman terhadap Cadbury.

"Kita juga mempunyai lebih 50 individu yang memiliki resit dan bukti pembelian dua produk coklat yang mempunyai DNA babi," katanya.

Azwanddin berkata, permohonan maaf syarikat tersebut tidak memadai memandangkan perkara sebegitu seringkali berulang.

"Mereka sudah sumbat babi dekat mulut kita kemudian baru nak minta maaf," katanya.

Cadbury sebelum ini mengesahkan mereka menarik balik dua produk yang mengandungi DNA babi iaitu, adalah Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01Hh I2 yang tamat tempoh pada 13 November, 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R I1 yang tamat tempoh pada 15 Januari, 2015).

"Kami turut memberi jaminan semua produk keluaran Malaysia kami yang lain tidak terjejas dengan ujian yang dijalankan," kata Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Cadbury Malaysia, Raja Zalina Raja Safran dalam satu kenyataan sebelum ini.

Mengakui kesilapan pertama kali dilakukan Cadbury, Raja Zalina berkata pihaknya memahami isu status halal penting kepada komuniti masyarakt Islam di negara ini dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.

KKM sebelum ini mengesahkan kewujudan DNA babi dalam dua daripada tiga sampel coklat Cadbury yang diambil bagi tujuan pemantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin sebelum ini berkata hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi  DNA babi adalah seperti hukum asalnya iaitu "halal dimakan".

Beliau berkata, ia termasuk dalam kategori keadaan 'Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

Dr Abdul Shukor berkata, pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak membebankan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.

JMM bagaimanapun berkata, pihaknya akan tetap meneruskan tindakan saman terhadap Cadbury Malaysia, dan menyelar Majlis Fatwa kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Beliau juga menyelar sistem Jakim  yang lemah dalam pengurusan pemberian sijil halal makanan di negara ini apabila jabatan itu sehingga kini masih tiada makmal sendiri untuk menguji produk makanan.

"Sehingga kini Jakim hanya bergantung kepada jabatan kimia, sepatutnya mereka perlu mempunyai makmal sendiri yang terdiri daripada golongan profesional dan kita tidak ada langsung pakar halal untuk memastikan ia diuruskan secara efektif," katanya.

Berikutan insiden itu, ia mencetuskan kemarahan selain tindakan saman oleh beberapa NGO di negara ini, terdapat sesetengah pihak menyuarakan Islam yang makan coklat itu sebelum ini perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.

JMM bersama 80 NGO Islam lain akan memfailkan saman bernilai RM100 juta terhadap syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd (Cadbury) ekoran penemuan (DNA) babi pada dua produk keluaran syarikat terbabit pada 26 Mei lalu.

Azwanddin berkata, saman itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) sebagai mewakili pengguna Islam di negara ini bagi menuntut keadilan terhadap tindakan syarikat berkenaan yang tidak sensitif apabila sengaja menganiaya dan menghina umat Islam di negara ini dengan mencampurkan DNA babi di dalam produk mereka. – 1 Jun, 2014.

Saya reda apa yang berlaku, kata bapa Nurul Emielda Nadia

Posted: 01 Jun 2014 01:26 AM PDT

June 01, 2014

Bapa kepada kanak-kanak malang, Nurul Emielda Nadia Sallehuddin, 7, berkata beliau reda dengan kematian anaknya akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, semalam.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan semua sudah jelas dalam akhbar, tolong hormati perasaan saya," katanya ketika ditemui di Ruang Menunggu Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, hari ini.

Jenazah Nurul Emielda Nadia dimandi dan disembahyangkan di surau PPUM pada jam 2 petang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Puncak Alam.

Suasana pilu menyelubungi kawasan unit Forensik di hospital itu apabila ia dipenuhi dengan saudara mara dan rakan-rakan Sallehuddin.

Dalam kejadian semalam, Nurul Emielda Nadia maut setelah parah akibat terjatuh dari tingkat tiga di pusat beli-belah berkenaan.

Polis mengesahkan kanak-kanak itu mati akibat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan menyifatkan kes itu sebagai kematian mengejut.– Bernama, 1 Jun, 2014.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved