Selasa, 25 September 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Nasha gesa Guan Eng minta maaf kepada Nik Aziz

Posted: 25 Sep 2012 01:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Nasharuddin Mat Isa (gambar) hari ini menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya segera meminta maaf secara terbuka kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mengeluarkan pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Nasharuddin, yang merupakan bekas Timbalan Presiden PAS berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga perlu segera menarik balik kenyataannya kerana ia dilihat bercanggah dengan Nik Aziz yang sebelum menegaskan 'hudud satu kewajipan bukan pilihan'.

"Atas semangat Pakatan Rakyat (PR) seperti mana yang disebut, Lim Guan Eng perlu minta maaf kerana bagi PAS pendirian Tok Guru (Nik Aziz) perlu dihormati," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Walaupun sedar hudud tidak termasuk dalam polisi PR, ahli parlimen Bachok itu menegaskan kenyataan itu adalah satu campur tangan dalam asas perjuangan sesuatu organisasi.

"Kami hormati perbezaan pandangan, agama dan kepercayaan lain tapi isu sekarang ialah dia (Lim) secara konsisten mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip dan perjuangan asas PAS.

"Apa yang saya pertahankan ialah pendirian yang dimainkan oleh Lim dan Karpal yang secara konsisten menyerang isu keagamaan, saya sekadar nak pastikan semangat dalam Pakatan tidak rosak," katanya merujuk kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Nasharuddin juga menegaskan tidak gentar sekiranya menghadapi tindakan daripada pemimpin tertinggi PR kerana berpegang kepada prinsip yang diperjuangkannya.

"Ini bukan isu dipecat ataupun tidak, ia hanya persoalan saya menyatakan pandangan dan kepercayaan saya," katanya lagi.

Semalam, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan Lim mengambil pendirian sama dengan Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang menolak hudud atas alasan itu bukan dasar Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Lim menyalahkan pihak media dengan mendakwa kemelut antara DAP dan PAS dalam isu berkenaan sengaja disensasikan.

"Dalam pakatan pembangkang, mana-mana parti boleh mempunyai pandangan yang berbeza tetapi hudud tidak berbangkit langsung sebagai dasar kita dan perkara itu jelas," katanya dipetik dari Utusan Malaysia.

Azalina bidas NGO, cabar Salahuddin debat isu Pengerang

Posted: 25 Sep 2012 12:35 AM PDT

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman hari ini membidas kenyataan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang mengatakan nilai pampasan terhadap pengambilan tanah penduduk kampung di Pengerang hanya bernilai RM2.80, sedangkan harga sebenar adalah RM8 sekaki persegi.

Ketua Umno Bahagian Pengerang itu juga turut membidas kenyataan NGO dari Pengerang yang mengatakan kawasan pembangunan projek Komples Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) akan memberikan kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan sumber mata pencarian ekonomi penduduk.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman mencabar Salahuddin berdebat pasal isu ini di mana-mana sahaja. — Gambar file

"Itu semua dakwaan rambang dan rumusan secara menyeluruh. Harga pampasan tanah RM2.80 adalah untuk kawasan tanah yang jauh dari jalan utama, sedangkan kerajaan menilai bukan setakat tanah, tapi turut menilai bangunan, termasuk tanaman di atas tanah tersebut."Setakat ini jumlah tertinggi yang diberikan adalah RM8 sekaki persegi," tegas Azalina ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, berdasarkan taklimat Johor Petroleum Developement Corporation (JPDC), fasa pertama untuk pemindahan penduduk di 10 kampung tradisi di Pengerang telah menyasikan 179 borang H diserahkan tanpa sebarang bantahan.

"Fasa pertama dah panggil sebanyak 179 borang H, daripada jumlah itu, 70 menerima tanpa bantahan, dan 109 menerima dengan syarat.

"Tiada yang menolak," tegas Azalina membidas Salahuddin yang mengatakan ada penduduk yang menolak pengambilan tanah tersebut.

Jelasnya lagi, lokasi kampung itu dipilih kerana ia merupakan laluan utama kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan itu untuk ke China.

"Ia kawasan laluan beratus kapal dagang, perkara ini sudah 10 hingga 15 tahun berlaku. Bercakap tentang pencemaran, kawasan itu bukan tumpuan pelancongan.

"Kawasan pelancongan di sebelah bahagian Desaru dan Sebana," katanya lagi dan menyelar Salahuddin yang dakwanya menggunakan isu Pengerang semata-mata kepentingan politik dan pilihan raya.

Justeru, beliau turut mempersoalkan keihklasan pembangkang kerana sengaja menganjurkan perhimpunan pada Ahad depan untuk tujuan politik.

"Di mana keikhlasan pembangkang? Himpunan ini berbaur politik dan tidak ikhlas. Apa guna buat himpunan kalau ia banyak orang luar,  dan pengundi saya belum tentu hadir."

Sehubungan itu juga, Azalina turut mencabar Salahuddin untuk berdebat berhubung isu itu.

"Saya cabar Salahuddin Ayub berdebat pasal isu ini di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, sebelum pilihan raya ini," tegasnya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved