The Malaysian Insider :: Bahasa |
DAP hanya terima kedudukan agama Islam, bukan hukum hudud, kata Seng Giaw Posted: 16 Nov 2012 02:08 AM PST KOTA BAHARU, 16 Nov — Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw berkata tidak tahu bagaimana boleh timbul isu hukum hudud dipersetujui pakatan pembangkang. Dr Tan Seng Giaw Beliau berkata persetujuan yang dicapai antara DAP dan PAS berkenaan pelaksanaan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan nanti, adalah berdasarkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. "Itu banyak kali disebut Haji Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan kita ikut semangat isi kandungan perlembagaan (Malaysia) itu yang disebutkan... saya tak tahu macamana isu lain (hudud) boleh timbul," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, hari ini. Dr Wan Azizah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata isu hukum hudud hanya diperbesarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. "Menurut ucapan presiden (Abdul Hadi ketika merasmikan muktamar) ia tidak menyatakan begitu (apa-apa yang berkenaan dengan isu hudud)," katanya. "Ia hanya menyebut mengenai negara berkebajikan dan perpaduan." Berkata berkata "negara berkebajikan" tidak boleh dialih bahasa kepada "welfare state" kerana menurutnya ianya jauh berbeza daripada segi maksudnya. "Negara berkebajikan Islam ini merangkumi lebih daripada apa yang dikatakan 'welfare state' yang menjurus kepada negara komunis atau negara sosialis," katanya. "Ianya (negara berkebajikan) lebih berpandukan perpaduan bersama, untuk bawa generasi muda sekarang dan akan datang ke arah yang memberikan kita lebih kemajuan." — Bernama |
Tiga polis hadapi tuduhan merogol, meningkatkan sentimen anti-Malaysia di Indonesia Posted: 16 Nov 2012 01:40 AM PST Tiga polis hadapi tuduhan merogol, meningkatkan sentimen anti-Malaysia di IndonesiaKUALA LUMPUR, 16 Nov — Tiga anggota polis didakwa merogol pekerja restoran warga Indonesia oleh Mahkamah Pulau Pinang di Butterworth hari ini, meningkatkan kembali sentimen anti-Malaysia bagi rakyat negara tersebut. Sin Mat Lazim, 33, Syahiran Ramli, 21, dan Remy Anak Pana, 21, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibacakan kepada mereka di Mahkamah Sesyen di Butterworth petang ini. Menteri Luar Anifah Aman: Berikrar kerajaan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan. Jumaat lepas, seorang wanita Indonesia berumur 25 tahun telah meminta bantuan daripada penyelaras Barisan Nasional Bukit Mertajam Lau Chiek Tuan untuk membuat laporan polis mendakwa bahawa dia dirogol beramai-ramai oleh tiga anggota polis di balai polis Prai. Pekerja restoran tersebut mendakwa dia telah dibawa ke balai polis selepas diberhentikan oleh sebuah kereta peronda polis berhampiran kompleks membeli-belah Megamall Pinang kira-kira pukul 6.30 pagi semasa sedang berada dalam teksi. Beliau mendakwa dibawa ke balai polis selepas menunjukkan salinan pasport beliau dan polis enggan menerimanya. Beliau mendakwa dibawa ke sebuah bilik di balai polis dan telah dirogol oleh tiga anggota polis. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah mengutuk pertuduhan rogol tersebut sebagai tidak berperi kemanusiaan dan berikrar kerajaan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan membabitkan warga negara gergasi Asia Tenggara itu. Peningkatkan sentimen anti-Malaysia bertambah hangat apabila seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur 15 tahun dilaporkan dirogol oleh majikan lelakinya selepas tiga bulan bekerja. Sekumpulan rakyat Indonesia dilaporkan memprotes dihadapan rumah Duta Malaysia ke Indonesia di Jakarta tiga hari lalu untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap Malaysia. Kumpulan yang dikatakan mewakili gerakan nasionalis Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), dilaporkan telah membawa sepanduk yang tertulis "usir duta Malaysia, ganyang dan Lawan Malaysia" dan membakar bendera Malaysia. Bendera telah mengancam untuk menceroboh dan menyerang Malaysia pada tahun 2009, sebahagian daripada agenda "Ganyang Malaysia", tentang pemilikan wilayah budaya, minyak, pulau-pulau dan layanan terhadap pekerja asing dari Indonesia. Istilah "Ganyang" pertama kali digunakan pada tahun 1963 apabila Presiden Sukarno menentang penggabungan Malaya dengan Sabah, Sarawak dan Singapura, menyebabkan konflik bersenjata yang tidak diisytiharkan dikenali sebagai "Konfrontasi". |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan