Selasa, 14 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Exco MCA Johor bakal berhadapan dengan tindakan disiplin parti

Posted: 14 May 2013 02:20 AM PDT

Oleh Md Izwan
May 14, 2013

KUALA LUMPUR, 14 Mei — MCA tidak pernah bersetuju dengan perlantikan Exco Kerajaan Negeri Johor ke atas Datuk Tee Siew Kiong dan beliau akan berdepan dengan tindakan disiplin parti, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini.

Dalam satu kenyataan, Dr Chua berkata MCA kekal dengan pendirian diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun lalu tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan jika memperoleh prestasi buruk dalam Pilihan Raya 2013.

"Saya mahu jelaskan MCA tidak pernah mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang untuk menjadi Exco Kerajaan Negeri Johor selaras dengan resolusi parti yang diluluskan pada 2011 dan 2012," kata Dr Chua.

Dr Chua kemudiaan menjelaskan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang perlantikan tersebut memandang kuasa mutlak adalah milik Sultan Johor .

"Perlantikan Tee adalah dibuat oleh Sultan Johor yang mempunyai kuasa untuk melantiknya.

"Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Besar dan Exco Kerajaan Negeri Johor kerana keunikkan Perlembagaan Negeri," terang Dr Chua.

Walaupun tidak mmepunyai sebarang kuasa untuk menghalang keputusan tersebut, Dr Chua menegaskan Tee masih belum terlepas daripada tindakan disiplin oleh parti dan ia akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat MCA.

"Jawatankuasa Pusat MCA akan meneliti kes Tee dan dia mungkin berhadapan tindakan disiplin ke atas perlantikan Exco Kerajaan Negeri Johor," tambahnya.

Namun, Dr Chua menggesa para pemimpin MCA dan penyokongnya untuk menghormati pengumuman perlantikan Tee kerana keunikkan Sultan Johor dan kuasanya di negeri selatan tanahair tersebut.

Sebelum ini, Dr Chua mengatakan parti itu memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya tidak mencatatkan peningkatan daripada keputusan yang dicapai pada pilihan raya 2008 pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu.

MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen sahaja berbanding 15 sebelum ini.

Difahamkan pelantikan seorang wakil MCA dalam senarai Kabinet itu dibuat atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mahu wakil Cina dalam kerajaan negeri Johor.

Tee yang merupakan Setiausaha Penganjur MCA Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang akan mengetuai portfolio Pelancongan, Perdagangan Domestik dan Kepenggunaan. — Bernama

Kurangkan aktiviti luar rumah semasa cuaca panas, elak strok matahari, kata pakar

Posted: 14 May 2013 02:06 AM PDT

May 14, 2013

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Orang ramai terutama kanak-kanak dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa cuaca panas sekarang bagi mengelakkan terkena 'sunstroke' atau strok matahari yang menyebabkan seseorang pengsan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia, Dr H. Krishna Kumar berkata keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan mereka mengalami dehidrasi.

"Walaupun minum banyak air tetap tidak digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah kerana air lebih cepat terserap melalui peluh yang dihasilkan.

"Lebih teruk jika terjadi kepada kanak-kanak kerana sistem pertahanan tubuh mereka tidak sekuat golongan dewasa," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Krishna menasihatkan kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah menggunakan payung bagi mengelakkan mereka berasa lemah akibat cuaca panas yang seterusnya akan mengganggu pembelajaran.

Pakar perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr David Quek Kwang Leng menyarankan penghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, jantung dan buah pinggang berunding dengan pakar masing-masing bagi mengetahui cara penjagaan diri semasa cuaca panas.

"Mereka yang normal dan menghidap penyakit serius mempunyai kondisi badan yang berbeza. Maka penjagaan diri mereka juga harus lebih mendalam," katanya.

Beliau berkata jika kebiasaannya masyarakat perlu minum seliter air setiap hari, ketika cuaca panas orang ramai disaran minum antara satu setengah dan dua liter termasuk pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak.

Katanya selain kerap mandi untuk menyejukkan badan, penggunaan krim pelindung cahaya matahari juga dapat membantu melindungi kulit daripada terbakar.

Laman web TheStar.com pada Selasa memetik Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengatakan cuaca panas dan kering di Lembah Klang sekarang boleh dikaitkan dengan perubahan pola angin dan kesan ribut Mahesan di Teluk Bengal.

Keadaan itu dijangka berubah apabila pola angin stabil dengan peralihan monsun hujung bulan ini yang diramal membawa lebih banyak hujan. "Pada masa sekarang, suhu di Lembah Klang secara purata mencatatkan 35 darjah Celcius," lapor laman web itu. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved