Khamis, 5 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


30 tahun Malam Salam Benua

Posted: 04 Sep 2013 05:09 PM PDT

September 05, 2013

Dinsman atau nama sebenarnya Che Samsudin Othman adalah budayawan, penulis dan sastrawan. Beliau menulis untuk kepuasan dan kebebasan berkarya.

Suatu hari saya tiba-tiba dihubungi seorang sahabat lama yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Chan Yong Sin namanya. Saya panggil dia Chan. Sahabat yang dulu sering bertemu kerana sama-sama menjayakan aktiviti seni dan sastera. Dia dan beberapa orang kawan lagi yang meminati sastera Melayu, bergiat dalam satu badan yang mereka namakan Perspektif (kalau tidak salah ingatan saya).

Chan Yong Sin antara lain banyak menterjemah karya sastera Melayu ke dalam bahasa Cina (Mandarin). Antara hasil terjemahannya yang penting ialah drama Uda Dan Dara karya Usman Awang.

Sudah lama tidak berjumpa, dia menghubungi saya kerana hendak mengadakan acara bagi mengingati atau menyambut ulang tahun ke-30 Malam Salam Benua, suatu acara seni budaya yang pernah kami menjayakannya pada 1984 dulu.

Wah, mereka hendak sambut ulang tahun ke-30 acara tersebut. Hebatnya! Saya tidak pernah pun terfikirkan, atau terbayang, atau terlintas dalam fikiran saya hal seperti itu. Tentulah bagi Chan dan kawan-kawannya yang hendak menyambut ulang tahun peristiwa itu menganggapnya sebagai satu peristiwa yang penting dan besar maknanya. Kalau tidak takkan mereka sampai terfikir hendak membuat satu program khas bagi mengingatinya.

Apa hebatnya Malam Salam Benua itu? Atau apa dia sebenarnya Malam Salam Benua itu?

Seingat saya ia adalah suatu malam yang diadakan oleh masyarakat Cina bagi menyambut penganugerahan "Sasterawan Negara" kepada Usman Awang oleh Kerajaan Malaysia. Ia diadakan di hotel Dayang, Petaling Jaya, pada 22 Januari 1984. (Sekarang hotel itu sudah ditukar nama lain). Waktu itu kumpulan Teater Elit (kumpulan seni teater dan puisi yang digerakkan oleh Sutung Umar Rs dan saya) masih aktif.

Malam itu dinamakan Malam Salam Benua kerana mengambil sempena judul sebuah puisi Usman Awang, Salam Benua (ditulis pada 1970), iaitu puisi yang menyatakan sikap persaudaraan dan kemanusiaan Usman Awang yang melampaui batas perkauman, darjat, warna kulit dan juga sempadan negara. Bacalah rangkap akhir puisi tersebut:

Salam

tanpa visa

passport

golf

warna

kemanusiaan rakyat

seluruh benua.

Memang saya masih ingat pada peristiwa Malam Salam Benua itu. Beberapa orang sahabat karib Usman Awang, yang juga menjadi sahabat saya dan Sutung Umar Rs (kerana saya dan Sutung memang sangat rapat dengan Usman Awang), berpakat menganjurkan malam tersebut. Kami beberapa kali mengadakan mesyuarat, yang diketuai Tan Kai Hee.

Saya kurang pasti siapakah atau badan/persatuan apakah yang menganjurkan program tersebut. Saya tanya Chan, dia kata, "Kita sama-samalah yang anjur." Saya tanya pula, atas nama badan atau persatuan apa? Dia kata, "Tak ada badan atau persatuan. Kita sendiri saja. Tan Kai Hee sebagai ketua. Kita sama-sama mesyuarat, you tak ingatkah? You, Sutung Umar, Jomo…"

"Oh, Jomo pun ada?" tanya saya.

Rupa-rupanya Chan masih simpan kad jemputan untuk malam itu. Memang tidak ada nama badan yang menganjurkannya. Yang ada hanya nama empat orang untuk dihubungi (bersama dengan nombor telefon), iaitu Tan Kai Hee, Jomo, Chan dan Dinsman.

Walaupun saya terlibat sama menganjurkannya, seingat saya, yang hadir pada malam itu, sekitar 700 orang, kebanyakannya adalah masyarakat Cina. Ia adalah inisiatif Tan Kai Hee dan kawan-kawannya. Dan hari ini pun, yang teringat untuk menyambutnya lagi, sekaligus mengingati Usman Awang yang pernah menjadi ikon persahabatan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, ialah Tan Kai Hee dan kawan-kawannya.

Saya jadi teringat pada suasana waktu itu, yang berbeza dengan suasana sekarang, iaitu dalam hal persahabatan antara individu pelbagai kaum. Bukan sebagai agenda politik, tetapi sebagai individu manusia sesama mansuia, tanpa dipengaruhi (atau mempengaruhi) kepentingan politik. Dan yang menjadi pengikat kepada hubungan itu ialah aktiviti atau hal seni budaya.

Hari ini keakraban yang seperti itu hanya menjadi nostalgia.

Penulis Lee Ban Chen, misalnya, pernah menyatakan kepada saya akan nostalgianya terhadap suasana keikhlasan persahabatan antara Melayu-Cina-India seperti yang pernah terbina di lingkungan Usman Awang itu. Tetapi kenapakah suasana seperti itu hilang bersama dengan 'hilang'nya Usman Awang? 

Saya dan beberapa orang kawan pernah berbincang mengenai perkara ini dan pernah berusaha untuk menghidupkannya kembali, tetapi rupa-rupanya ia tidaklah semudah yang dijangka atau difikirkan. Padahal di waktu Usman Awang dulu saya melihat ia seperti terjadi begitu natural sekali, seperti terjadinya begitu sahaja tanpa diusahakan. Barangkali itu adalah sebahagian daripada keistimewaan peribadi besar orang seperti Usman Awang itu.

Ya, Malam Salam Benua. Saya masih ingat lagi, pada malam itu saya membaca puisi "Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul" (karya Usman Awang) secara berduet bersama dengan Noor Azam.

Memang, yang itu begitu kuat terlekat dalam ingatan saya. Yang lain-lainnya tidak lagi. Sangat kabur, malah boleh dikatakan saya tidak ingat pun lagi.

Chan mengatakan pada malam itu juga Sutung Umar Rs membaca sebuah puisi khas tentang Usman Awang dalam loghat Kelantan – Sme Awe. Dan kita juga mementaskan sebahagian daripada teater Uda dan Dara dalam bahasa Mandarin, yang saya menjadi pengarahnya. Oh ya? Memang saya masih ingat saya pernah mengarah sekumpulan pelajar Cina melakonkan beberapa adegan menarik dari drama tersebut. Tetapi ingatan itu sangat kabur dan saya tidak ingat langsung yang ia dipentaskan pada Malam Salam Benua itu.

Terima kasih Chan, kerana menolong saya mengingatkan semula peristiwa itu. Terima kasih lebih lagi kerana mengingatkan saya akan suasana keakraban persahabatan Melayu-Cina-India yang pernah wujud di kalangan kita tidak berapa lama dulu.

Bagaimanakah agaknya dapat kita mengembalikan lagi suasana yang indah dan harmoni itu?

Saya juga teringat kepada Dr Shanmugalingam dan isterinya pelukis Normala, yang selalu juga bersama-sama dalam acara seni-budaya waktu itu. Dan ingat kepada Dr Shan mesti teringat juga kepada Raja Muda Perak sekarang, Dr Raja Nazrin, yang sering hadir bersama dengan Dr Shan, terutamanya pada sesi Baca Puisi dua minggu sekali di Hotel Abad Century di akhir 70-an dan awal 80-an.

Tetapi apakah, dan kenapa, itu semua kini hanya tinggal menjadi nostalgia sahaja! Barangkali Faridah Merican, Chin San Sooi dan Marion deCruz boleh membantu saya menjawab soalan misteri ini. – 5 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Seni, muzik dan pengisian

Posted: 04 Sep 2013 04:58 PM PDT

September 05, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Baru-baru ini saya ditemuramah seorang wartawan akhbar arus perdana. Isunya mengenai busking dan Pasar Seni dulu dan sekarang. Saya menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan pelbagai pihak terutama kementerian terhadap golongan busker tapi secara peribadi saya kecewa dengan pemandangan di Pasar Seni hari ini.

Wartawan itu juga menemuramah pengurusan Pasar Seni mengenai hal yang melibatkan busking dan aktiviti seni yang tidak melibatkan aspek perniagaan dan untung rugi. Memanglah jika disediakan satu ruang atau spot untuk busker ia tidak akan menguntungkan mereka kerana laluan pejalan kaki di lorong Kasturi hari ini nyata menguntungkan kantung Pasar Seni dengan sederetan kios peniaga yang berniaga dengan kadar sewa yang tinggi.

Pihak pengurusan Pasar Seni juga khabarnya menjanjikan suatu yang positif untuk golongan busker beraktiviti di situ tapi tidak taulah jadi atau tidak sebab benda yang tidak mendatangkan untung dari segi ringgit ni memang payahlah kita nak agak.

Saya impikan suasana yang dulu terutama di sekitar pertengahan tahun 80-an dan 90-an. Waktu itu setiap petang ada orang bersajak secara santai dan kita juga boleh menonton persembahan dari busker yang sering busking bersilih ganti di situ.

Saya tidaklah pula menolak nilai materi yang terkandung di dalam bangunan itu, tapi seni itu perlukan keseimbangan. Materi tidak akan membawa kita ke lubuk jiwa yang tulus dan ikhlas bahkan mungkin akan membutakan mata dan pandangan kita kepada nilai kebenaran itu sendiri.

Budaya seni yang asli perlu dihidupkan semula di Pasar Seni. Hari ini tempat itu terlalu asing bagi saya. Seperti sebuah tempat yang telah hilang aura dan nilai artistiknya. Magnetnya hilang untuk menarik saya ke sana.

Seperkara juga kawasan sekitar Pasar Seni menghala ke Lebuh Ampang dan Puduraya hari ini sudah menjadi sarang warga asing dari Myanmar, Indonesia dan Nepal. Memang sesak kawasan itu hari ini dengan pemandangan yang tidak selesa dipandang mata.

Berbalik kepada temubual saya dengan wartawan itu tadi, kami kemudian bertukar pandangan mengenai busking dan mutu dan kualiti muzik di negara kita ini. Tidak ada apa yang menarik untuk diceritakan mengenai artis atau pemuzik di Malaysia kerana kebanyakan mereka berkarya untuk cari makan, jadi kita pun fahamlah situasi tersebut.

Saya pun tidak tahu apa akan jadi pada perkembangan seni tanahair esok. Yang kita lihat penyanyi baru silih berganti cuma nama mereka yang kalau hari ni naik, esok kalau lenyap mungkin lenyap terus dan diganti pula dengan yang baru.

Kebanyakan penyanyi dan pemuzik yang 'real' terpaksa mengorbankan nilai seni dan kreativiti mereka semata-mata untuk terus hidup dalam industri muzik hari ini. Ramai mereka yang bagus dan berbakat tapi siapa yang mahu menghargainya?

Hala tuju anak muda hari ini lebih kepada program hiburan realiti popular. Misi mereka sangat mudah. Cuba nasib masuk program realiti untung-untung berjaya menjadi penyanyi seperti Stacy mahu pun Hafiz sekurang-kurangnya boleh buat duit untuk satu musim pun jadilah.

Kita lihat hari ini kebanyakan artis kita misi mereka tidak jelas melainkan kerja untuk cari duit banyak-banyak dan menyanyikan lagu dengan tema dan melodi yang stereotype. Ini kerana lagu kebanyakannya dicipta oleh komposer yang sama. Mungkin ada dua atau tiga orang komposer yang betul-betul meletup dari segi kehendak dan pasaran dan mereka inilah yang untung banyak sebenarnya.

Muzik hari ini hadir tanpa pengisian melainkan hal yang berbentuk luaran belaka. kita terpaksa bergelut dalam arus yang komersial semata-mata untuk terus bertahan sebagai seorang pemuzik dan penyanyi.

Lihat di pub sana, kebanyakan pemuzik akan menyanyikan lagu-lagu pop semasa yang sesuai dengan kehendak dan halwa telinga pendengar. Lihat pula di jalanan, kebanyakan busker juga akan menyanyikan lagu-lagu popular semasa seperti lagu Anak Kampung juga lagu penyanyi cilik Indonesia, Tegar.

Kita lihat penyanyi pop pula, mereka akan menyentuh perasaan pendengar dengan lagu putus cinta yang penuh dengan cerita sedih dan harapan yang tak kunjung tiba. Jadi tema selain dari lagu cinta memang payahlah nak meletup.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka bekerja untuk mencari rezeki, sama seperti saya juga. Selain muzik pop komersial, adakah sokongan untuk genre muzik yang lain? Ada itu ada tapi kebanyakannya akan berbau pop dan temanya pasti tema cinta. Jadi sampai sudah seni muzik dan nyanyi kita tidak akan berkembang.

Sokongan, pendedahan, keterbukaan itu perlu ada pada jiwa pendengar di negara kita ini kerana kita sedang berada di abad yang ke-21.

Kita perlu mendengar lagu berkualiti yang penuh dengan pengisian dan mesej. Kita jangan lihat dan menilai John Lennon, Bob Marley atau Jim Morrison pada luaran dan cara hidup mereka. Kita cuma ambil apa cerita dan mesej dalam lagu mereka untuk memberikan kita kefahaman erti kehidupan dan kasih sayang, contohnya.

Apa yang akan kita dapat jika kita asyik melayan dan mendengar lagu Justin Bieber atau Hafiz? – 5 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved