29 JUN — Pemerhati politik, penganalisis, pengkritik sosial dan bermacam lagi… demikianlah terma-terma yang sering digunakan oleh individu ketika menulis artikel dalam suratkhabar mahupun makalah-makalah.
Yang tampil menulis pula bukanlah calang-calang orangnya. Ada dari orang politik, tokoh akademik, tokoh pertubuhan bukan kerajaan dan juga orang-perseorangan yang tidak berpengaruh seperti penulis.
Kepelbagaian latarbelakang dan kehebatan mereka mengolah artikel dengan begitu profesional dan lembut, menjadikan komentar dalam ruangan mingguannya sering dinanti-nantikan. Tanpa artikel mereka, hidup kita seolah-olah tidak lengkap bagaikan kehilangan sesuatu.
Kehadiran kolumnis-kolumnis ini sememangnya disambut baik. Apa tidaknya, pandangan yang dilontarkan dalam kolum mereka bererti pembaca boleh menikmati hasil tulisan bermutu yang boleh membina minda kita. Selain itu, pandangan-pandangan bernas yang dilontarkan itu boleh dijadikan sebagai panduan atau sumber rujukan.
Dengan adanya artikel-artikel yang bermutu, ia juga berupaya membantu kerajaan untuk membina sebuah masyarakat yang berfikir atau thinking society. Konsep masyarakat berfikir yang dimaksudkan di sini merujuk kepada masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan berlandaskan kepada penghujahan yang bernas.
Bererti masyarakat tidak terikat untuk menerima sesuatu pandangan dari satu pihak atas faktor kesetiaan kepada mana-mana parti politik tetapi masyarakat mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang dirasakannya betul.
Sebagai individu yang bergelar sebagai penulis, tidak salah untuk mengemukakan pandangan ataupun kritikan membina selagi ia dilihat mampu membantu memperbaiki keadaan. Kerana melalui kritikan membinalah, pemimpin negara akan mengambil perhatian terhadap permasalahan yang berlaku.
Bagaimanapun, bukan semua penulis yang memiliki hasrat dan berkongsi visi yang sama. Terdapat segelintirnya yang nampaknya beria-ia melabel atau memburuk-burukkan pihak tertentu melalui penulisan mereka.
Mereka berhak berbuat demikian kerana dalam kerangka demokrasi, semua pihak memiliki kebebasan untuk menyuarakan pendapat. Kepelbagaian pendapat dan kebebasan untuk menyuarakannya menjadikan demokrasi menjadi pilihan ramai.
Apa yang menyedihkan sebaliknya, pandangan yang dikemukakan itu bukan sahaja berat sebelah malah diselitkan dengan label-label yang disifatkan tidak sesuai dengan norma masyarakat hinggakan ia sudah tersasar daripada matlamat asal setiap penulis iaitu untuk memberikan pengetahuan kepada pembaca. Jauh sekali juga daripada mengajak pembaca untuk berfikir secara kritis!
Apabila label demi label sering diselitkan, ia menjadikan artikel yang ditulis tidak berwibawa dan kurang digemari oleh pembaca. Ada kalanya juga meloyakan! Sebagai kolumnis atau penulis-penulis yang berwibawa, haruslah penulisan mereka berpaksikan kepada kerasionalan, kewarasan dan objektif dalam menilai sesuatu.
Kecenderungan penulisan yang terlalu condong ke satu arah aliran pemikiran adalah sesuatu yang tidak sihat dan hanya memomokkan profesionalisme itu sendiri. Lagipun, sasaran audiens melalui penulisan sebegini hanyalah kepada sebuah kumpulan sasar sahaja. Apakah itu yang dimahukan oleh si penulis tadi?
Kelazimannya dan logiknya, hasil penulisan seboleh-bolehnya mengenai sasaran yang dimahukan. Apakah matlamat untuk menulis artikel-artikel yang berbaur ugutan, kurang baik terhadap orang lain? Apakah ada pasaran untuk artikel-artikel sebegini? Apa yang dapat dicapai melalui penulisan tersebut?
Dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama yang mempunyai sensitiviti masing-masing, adalah penting mereka yang bergelar kolumnis memanfaatkan ruang yang diberikan dengan melontarkan komentar yang konstruktif. Pastikan apa yang ditulis itu benar-benar mencerminkan suara hati si penulis.
Lebih penting lagi ialah kejujuran si penulis dalam menghasilkan penulisan itu. Janganlah sesekali menggadaikan prinsip penulisan beretika untuk kepentingan jangka pendek. Jangan juga menokok-tambah apa yang tidak pernah disebutkan oleh si pelaku seolah-olah artikel nukilannya benar-benar belaka. Manakala citarasa pembaca juga tidak harus dikorbankan untuk kepentingan sesetengah pihak.
Di sebalik keghairahan untuk menghasilkan artikel, prinsip kesederhanaan tidak harus diketepikan. Perlu diingat bahawa sebagai seorang penulis, kita mempunyai tanggungjawab sosial sebagai ejen penyatu.
Penulis tidak mendakwa dirinya seorang penulis yang prolifik, malah boleh dikatakan masih perlu banyak belajar dari penulis prolifik di luar sana seperti Joceline Tan (The Star), Zin Mahmud (Mingguan Malaysia) dan Citizen Nades (The Sun). Malahan, penulis sendiri tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan yang serupa hingga pernah ditegur oleh rakan-rakan seperjuangan.
Pada pengamatan penulis, teguran itu ada baiknya. Melalui teguran dan kritikan membina, penulis akan mengetahui di manakah kelemahan yang perlu diperbaiki. Dari semasa ke semasa, penulis berupaya untuk memperbaiki kelemahan yang ada lantaran terus berusaha menjadi seorang penulis yang beretika.
Sebagai seorang penulis, kita tidak harus takut untuk menerima teguran apatah lagi kritikan pedas yang dapat mematangkan pemikiran. Kritikan pedas itu tidak bermakna pembaca tidak sukakan penulisan yang dihasilkan tetapi mereka sebenarnya peka dan mengambil berat apa yang ditulis oleh kita.
Yang pasti, setiap tulisan yang dihasilkan tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak. Ada yang akan mengadu, mengeluh dan tak kurang juga yang berfikiran terbuka menerimanya dengan hati yang lapang.
Mungkin ada baiknya juga, penulis-penulis yang mempunyai keinginan untuk menghasilkan penulisan sedemikian wajar memikirkan kembali kewajaran untuk menghasilkan artikel hanya semata-mata untuk memenuhi kuota yang ditetapkan. Apakah kuota menghasilkan artikel itu setiap minggu lebih penting daripada kualiti yang akan diterjemahkan kelak?
Dalam apa sekalipun yang kita lakukan, aspek kualiti tidak boleh digadaikan. Kualiti ibarat penanda aras yang akan menentukan di mana sebenarnya penerimaan artikel mereka dalam kalangan pembaca. Penulis-penulis perlulah mengetahui selok-belok topik yang ingin dikupas, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bagi mereka yang ingin menerbitkan buku dan melariskan jualan, kualiti adalah jawapannya!
Sudah tiba masanya, kita sebagai penulis, penganalisis mahupun pengkritik memperkasakan budaya diskusi rasional dalam penulisan mereka. Dalam konteks ini, diskusi rasional boleh diterjemahkan dalam bentuk pandangan yang tidak terlalu ekstrem, sederhana dan bersifat middle-path. Masyarakat sebenarnya dahagakan suatu analisis dan penilaian yang bernas, jujur lagi membina.
Maka kerana itu, sebagai kumpulan pembaca yang menjadi mata dan mulut kepada penulisan penulis-penulis, masyarakat mengharapkan lebih daripada itu. Mampukah penulis-penulis yang bergelar penganalisis ataupun pengkritik ini menyahut cabaran itu? Ataupun sekadar mahu melepaskan geram semata-mata?
Ingat, apa yang ditulis itu menjadi tatapan umum dan adalah menjadi tanggungjawab penulis-penulis agar tulisan yang dihasilkan tidak mencetuskan polemik yang tidak diingini. Jadilah seorang penulis yang beretika dan bertanggungjawab!
* Segala pandangan diatas adalah pandangan peribadi penulis sahaja.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.