The Malaysian Insider :: Bahasa |
Orang ramai perlu yakin dengan sijil halal Jakim, kata Jamil Khir Posted: 05 Jun 2014 02:11 AM PDT Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata sijil halal yang dikeluarkan pihaknya akan mengambil kira standard makanan yang diuji oleh Jakim dan Kementerian Kesihatan (KKM). "Dalam hal ini KKM hanya menjalankan ujian sampel makanan dan keputusan tentang status sesuatu makanan itu sama ada halal atau tidak hanya dikeluarkan oleh Jakim. "Jakim juga ada kumpulan audit yang akan melakukan pemeriksaan di kilang bagi melihat pengurusan, penyimpanan bahan mentah dan pengeluaran makanan. Jika tidak menepati piawaian, sijil halal tidak dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan di Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Limau di Yan hari ini. Beliau berkata kumpulan audit terbabit akan melakukan analisis sampel setiap makanan lebih sekali dalam setahun bagi memastikan makanan yang dijual tidak tercemar dengan pelbagai bahan tidak halal seperti Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi. Jamil berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga turut terlibat dalam penguatkuasaan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 1972. Beliau berkata pihaknya akan memastikan perkara seperti coklat susu Cadbury yang tercemar dengan DNA babi tidak akan berulang kerana masyarakat Islam khususnya memberi kepercayaan dan amanah kepada Jakim. "Jakim pertahan sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat coklat Cadbury kerana produk makanan itu tidak tercemar dengan DNA babi seperti yang disebut sebelum ini," katanya. Katanya jawatankuasa syariah syarikat itu juga perlu memperkemaskan pemantauan pembuatan coklat itu bagi mengelak kejadian sama berulang sehingga merisaukan pengguna dari kalangan masyarakat Islam. Dalam satu kenyataan 2 Jun lepas, Jamil Khir berkata analisis makmal Jabatan Kimia terhadap produk coklat susu Cadbury-Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) disahkan tiada DNA babi. – Bernama, 5 Jun, 2014. |
Kanak-kanak terperangkap dalam kereta ditimbus tanah runtuh Posted: 05 Jun 2014 02:01 AM PDT Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam semasa Koh Sue Siang baharu selesai makan malam di sebuah kedai makan di kawasan perumahan itu bersama datuknya Tham Peng Yong, 59, neneknya Wong Yok Moy, 57, serta tiga adiknya. "Koh bersama adiknya yang berusia tiga tahun baharu menaiki kereta, namun nenek mereka sempat menarik keluar adiknya sebaik konkrit jatuh dan menghempas kereta. "Saya sempat menjerit kepada isteri saya untuk menarik keluar cucu kami dari kereta apabila melihat tebing konkrit yang mengelilingi kawasan sebuah rumah bergerak-gerak sebelum jatuh menghempap kereta," kata Tham kepada pemberita. Koh dikeluarkan pihak bomba dan penyelamat dengan bantuan orang ramai dan hanya mengalami cedera ringan. Dia dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan. Kejadian tersebut menyebabkan dua lagi kereta mengalami kerosakan. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Ahmad Adli Abd Rahman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 10.34 malam menggegaskan dua jentera beserta 11 anggota. Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan jengkaut. – Bernama, 5 Jun, 2014. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider : Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |