Isnin, 25 November 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pembangunan stesen kuasa Battersea dapat pembiayaan bersindiket RM4.1b

Posted: 25 Nov 2013 03:15 AM PST

November 25, 2013

Projek Stesen Kuasa Battersea di United Kingdom berjaya mendapatkan pembiayaan RM4 bilionProjek Stesen Kuasa Battersea di United Kingdom berjaya mendapatkan pembiayaan RM4 bilionKonsortium Malaysia yang terdiri daripada SP Setia Bhd, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mendapat pinjaman pembiayaan semula pembangunan dan tanah 790.2 juta pound (RM4.1 bilion) untuk Stesen Kuasa Battersea di United Kingdom.

Fasiliti itu diatur dengan sekumpulan bank antarabangsa yang diketuai CIMB Bhd, sebagai pengatur utama penyelarasan yang dimandatkan, dengan OCBC, Standard Chartered dan Malayan Banking Bhd sebagai pengatur bersama yang dimandatkan.

"Kami gembira bahawa juru bank kami, yang telah bekerja bersama kami untuk banyak tahun di Malaysia, telah menyokong usaha kami untuk menghidupkan semua Stesen Kuasa Battersea di United Kingdom," kata pengerusi Battersea Project Holding Company Ltd Tan Sri Liew Kee Sin.

Beliau bercakap pada majlis penandatanganan pinjaman di Kuala Lumpur hari ini yang disaksikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Pembiayaan itu adalah salah satu transaksi pembiayaan hartanah terbesar tahun ini dan terdiri daripada kemudahan pembangunan lima tahun 532 juta pound (RM2.77 bilion) untuk menyokong Fasa 1 pembangunan itu dan pengubahsuaian projek Stesen Kuasa itu sepanjang tiga setengah tahun akan datang.

Ia juga termasuk fasiliti tanah 258.2 juta pound (RM1.34 bilion), yang boleh digunakan untuk membiaya semula pinjaman awal yang digunakan untuk membiaya pembelian tapak tersebut sepanjang tempoh yang lebih panjang iaitu lima tahun.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak, yang turut menyaksikan majlis itu berkata, acara hari ini adalah aktiviti bersindiket yang bersejarah, di mana bank-bank Malaysia muncul untuk menyokong sebuah konsortium Malaysia dalam satu projek pembangunan yang besar di luar negara.

"Saya gembira ia berjalan lancar dengan Fasa 1 kini hampir habis dijual," kata beliau.

Fasa 1 Stesen Kuasa Battersea, yang dinamakan Circus West at Battersea Power Station telah dilancarkan pada Januari 2013 dan telah melihat pembelian hampir 99% daripada unit kediamannya.

Kerja-kerja Fasa 1 itu bermula pada Julai lalu.

Pakej pembiayaan itu juga akan menyokong pembaikan Stesen Kuasa itu sendiri untuk Fasa 2 projek itu.

Ini termasuk pembinaan semula serombong asap seperti reka bentuk aslinya, yang akan bermula tahun depan.

Kerja-kerja reka bentuk juga telah bermula untuk Fasa 3, iaitu High Street, yang dijangka menjadi kawasan paling menarik pembangunan projek Battersea itu. – Bernama, 25 November, 2013.

Saman fitnah Anwar terhadap Khairy akan dibicarakan

Posted: 25 Nov 2013 02:06 AM PST

November 25, 2013

Permohonan batal saman yang difailkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.Permohonan batal saman yang difailkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel lima anggota Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan Khairy bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman sivil itu yang difailkan terhadapnya.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel itu, berkata kebenaran tidak boleh diberikan kepada Khairy untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana beliau gagal memenuhi syarat utama Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata persoalan yang dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan tidak berbangkit daripada penghakiman mahkamah lebih rendah.

Hakim Zulkefli memerintahkan Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.

Turut bersidang ialah empat Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar, 66, memfailkan tindakan undang-undang terhadap Khairy, mendakwanya, sebagai Ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dan menyebabkan klip video bertajuk "Anwar and kin no threat" dimuat naik dalam laman web termasuk Malaysiakini.com.

Ketua Pembangkang itu mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi perkataan memfitnah yang diucapkan Khairy pada satu ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Februari, 2008.

Khairy, dalam pernyataan pembelaannya difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Pada 21 Disember, 2011, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Khairy
untuk membatalkan saman fitnah itu.

Khairy memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos tahun lepas.

Peguam yang mewakili Anwar, Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi perbicaraan saman itu.

Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. – Bernama, 25 November, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

The Malaysian Insider :: Opinion

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Perwakilan atas pagar PAS yang kebal

Posted: 24 Nov 2013 05:59 PM PST

November 25, 2013

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Sejurus selepas barisan kepimpinan baru PAS 2013-2015 diumumkan, sudah muncul kata-kata bahawa barisan kepimpinan yang baru ini akan membawa perang dalaman lebih besar di Muktamar ke-61.

Dalam barisan kepimpinan yang baru ini, hampir kesemua penyandang jawatan (selain Datuk Mahfuz Omar) diberi kepercayaan sekali lagi untuk meneruskan kerja-kerja mereka. Namun, diyakini bahawa Mahfuz akan dibawa kembali ke Dewan Harian melalui perlantikan.

Datuk Tuan Ibrahim pulang ke kerusi Naib Presiden yang disandangnya pada sesi 2009-2011 sebelum menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat.

Antara keempat-empat calon yang bertanding di kerusi Naib Presiden – Salahuddin Ayub, Mahfuz, Datuk Husam dan Tuan Ibrahim – sememangnya tiada siapa yang layak ditewaskan.

Namun kerusi yang ada hanya tiga. Begitulah hakikat permainan.

Melihat pada undi yang diperoleh oleh AJK PAS Pusat dan naib presiden, deposit kekal bagi golongan yang lebih cenderung memilih agamawan untuk memimpin adalah sekitar 30% (berdasarkan undi yang diterima Abu Bakar Chik dan Zaharuddin Mohamad) ~ sekitar 325-350 undi.

Manakala, deposit kekal bagi golongan yang lebih cenderung memilih bukan agamawan untuk memimpin adalah sekitar 45% (berdasarkan undi yang diterima Mahfuz, Husam, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah) ~ sekitar 475-500 undi.

Ini bermakna terdapat 25% perwakilan atas pagar iaitu sekitar 275-300 undi.

Di dalam ketiga-tiga pecahan ini, ada unsur undi golongan Muslimat yang mempunyai pemikiran tersendiri seperti yang jelas dilihat di dalam keputusan pemilihan Dewan PAS Muslimat.

Kemenangan besar bagi Ustaz Idris Ahmad (927), Salahuddin Ayub (917), Tuan Ibrahim (849), Mazlan Aliman (840), Nizar Jamaluddin (688), Dr Amiruddin Hazmah (679), Dr Hatta Ramli (649), Ustaz Nasrudin Hassan (645), Ustaz Nik Abduh (627), Dr Mujahid Yusof Rawa (626), Dr Dzulkefly Ahmad (610) dan Hanipa Maidin (604) (yang mendapat lebih 600 undi ke atas) – menunjukkan perwakilan atas pagar terlalu bijak untuk permainan saraf dalaman mahupun Umno.

Mereka mempunyai cara dan penilaian tersendiri untuk memilih calon-calon untuk menerajui kepimpinan PAS.

Daripada yang senarai calon yang mendapat undi melebihi 600 undi, boleh dilihat para perwakilan lebih memilih kepada mereka yang dekat dengan ahli bawahan.

Calon yang dilihat rajin bekerja juga menjadi pilihan perwakilan atas pagar selain ketokohan dan kepimpinan yang ada pada calon itu sendiri.

Paling penting ialah para perwakilan atas pagar ini lebih suka memilih calon-calon yang boleh merapatkan saf kepimpinan dalam parti.

Terdapat empat calon yang mendapat sokongan ketiga-tiga golongan – iaitu Idris, Salahuddin, Tuan Ibrahim dan Mazlan – di mana-mana keempat-empat mereka mendapat lebih daripada 800 undi.

Jika hipotesis ini betul, maka boleh disimpulkan bahawa 2/3 perwakilan atas pagar lebih memilih Mohd Amar berbanding Mat Sabu – namun untuk penulisan ini, saya biarkan ia kekal sebagai satu hipotesis.

Pemilihan akan datang akan berlaku 19 bulan daripada sekarang di 2015 kerana muktamar akan kembali ke jadual biasa di bulan Jun. Ini bermakna kepimpinan yang ada mempunyai waktu lebih singkat untuk membuktikan kemampuan diri.

19 bulan akan datang ini bukanlah tahun pilihan raya.

Oleh yang demikian, kepimpinan PAS yang baru ini harus menumpukan kepada kerja-kerja penyediaan PRU14. Kalau di zaman kuno, waktu ini dikenali sebagai waktu mencari askar, membina senjata dan membuat tinjauan dan peta.

Antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah daftar pemilih pengundi baru (mencari askar), mencari dana pilihan raya yang cukup (membina senjata), membina saluran informasi kepada rakyat pedalaman dan melakar strategi menawan Putrajaya dengan rakan-rakan di Pakatan Rakyat.

Ramai perwakilan PAS merasakan kepimpinan kali ini adalah kepimpinan terbaik untuk membawa PAS masuk ke medan perang PRU14.

Tapi, ini mungkin terlalu awal untuk membuat kesimpulan sedemikian.

Pemilihan di 2013 tidak sepenting pemilihan di 2015 di mana ia satu pemilihan yang kritikal kerana barisan kepimpinan yang dipilih ketika itulah yang sebenarnya akan membawa PAS ke medan perang PRU14. Apakah para perwakilan akan berubah fikiran pada 2015 nanti?

Apakah Mohamad Sabu akan terselamat lagi?

Siapakah di antara Naib Presiden yang akan tergelincir seperti Mahfuz nanti sekiranya AJK-AJK PAS Pusat yang mendapat undi tertinggi ingin mencuba nasib di kerusi yang lebih tinggi dan terhad?

Sudah ada kata-kata yang berkata pemilihan kali ini hanya kegembiraan atau kesedihan sementara untuk golongan tertentu.

Kerana barisan kepimpinan yang ada ini, mereka berasa perang dalaman PAS akan berterusan untuk 19 bulan akan datang.

Dr Mahfodz Mohamad, Naib Ketua Dewan Ulama telah cuba menutup buku perang dalaman PAS ketika ucapan penggulungannya di Muktamar ke-59. Beliau juga menyatakan bahawa perang dalaman PAS ini adalah perkara luaran yang dibuat oleh musuh dan dibawa ke dalam PAS. Justeru, beliau meminta ahli-ahli PAS jangan terbawa-bawa dengan saraf yang dimainkan musuh.

Namun, apakah saranannya akan didengar oleh para pengendali kempen melampau daripada kedua-dua kumpulan untuk Muktamar ke-59 pada Muktamar ke-61 nanti?

Ketika itu, harapan akan sekali lagi diletakkan atas bahu perwakilan atas pagar yang bijak dan kebal daripada permainan saraf (diharap saiznya bertambah) untuk membuat keputusan yang sewajarnya untuk memastikan kepimpinan PAS yang dipilih akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa PAS bakal menggantikan Umno di PRU14. – 25 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Bahuchara dan transgender

Posted: 24 Nov 2013 03:40 PM PST

November 25, 2013

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Walaupun mungkin kurang diperkatakan, terdapat catatan mengenai transgender dalam pelbagai mitos dan purana India-Hindu.

Sikap prejudis dan gambaran negatif oleh media arus perdana mungkin menyebabkan orang ramai tidak berusaha menyelongkar kisah transgender untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Semasa berkesempatan bertemu seorang transgender bernama Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013, saya tidak melepaskan peluang menimba ilmu dan menambah pengetahuan.

Tambahan pula, Sharan terlibat aktif dalam usaha-usaha melakukan advokasi dan memberikan kesedaran tentang transgender kepada masyarakat umum, selain membantu golongan transgender itu sendiri memperkasa diri dengan ilmu.

Berikut adalah sebahagian daripada isi perbualan kami yang saya terjemahkan daripada Bahasa Inggeris dan saya rasakan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Uthaya: Saya pernah mendengar mengenai dewi khas yang dikaitkan dengan golongan transgender. Boleh berikan maklumat lanjut mengenai dewi berkenaan?

Bahuchara Mata dipercayai melindungi transgender.Bahuchara Mata dipercayai melindungi transgender.Sharan: Kalau kita melihat golongan transgender dari sudut budaya India dan agama Hindu, perkara yang paling penting, paling asas dan paling menonjol adalah berkenaan Bahuchara Mata yang selalu digambarkan menggunakan seekor ayam jantan sebagai vahanam (kenderaan).

Dalam mitos agama Hindu, Bahuchara adalah avatara (jelmaan semula) Dhurga Dewi. Terdapat 18 avatara utama bagi dewi berkenaan; sembilan di muka bumi dan sembilan lagi di kayangan.

Menurut mitos, antara avatara bagi Dhurga di muka bumi adalah sebagai Kaali, Mahishasuramartini dan sebagainya. Setiap avatara ada peranan dan tujuan khusus.

Bahuchara dikatakan lahir di Gujarat, India sebagai seorang puteri bersama-sama dua beradik perempuan dan tiga abang. Dalam suatu kejadian, sekumpulan penyamun menyerang semasa puteri itu sedang dalam perjalanan jauh bersama-sama kumpulannya.

Gerombolan penyamun itu juga cuba memperkosa wanita-wanita yang berada dalam kumpulan itu. Khabarnya, semasa ketua penyamun cuba memegang buah dada Bahuchara, puteri itu segera menggunakan pisau untuk mencantas payu dara, lalu diserahkan kepada lelaki itu.

Akibat kejadian itu, ketua penyamun berkenaan yang bernama Bapaiya menjadi kurang siuman serta kehilangan sifat-sifat kelelakiannya kerana terkena sumpahan Bauchara.

Selama beberapa tahun lelaki itu berusaha menebus dosanya. Suatu hari, Bahuchara muncul dalam mimpi lalu mengarahkannya supaya berpakaian dan hidup sebagai wanita.

Selepas berbuat seperti diarahkan, ketua penyamun itu mendapat kembali sifat-sifat kelelakiannya. Dia juga sedar bahawa Bahuchara adalah avatara Dhurga Dewi.

Namun, Bapaiya masih menanggung rasa bersalah. Akhirnya dia membuat keputusan mengkasi dirinya – mencantas alat kelamin; zakar – dan hidup sebagai seorang wanita.

Mengikut mitos, Bahuchara memberitahu Bapaiya bahawa dewi itu akan menerima dan melindungi golongan transgender iaitu manusia yang lahir dengan "identiti seks" (alat kelamin) lelaki tetapi memiliki "identiti gender" (minda) wanita, dan sebaliknya.

Apakah kisah Bahuchara sekadar mitos dalam kelompok kecil atau ada juga kisah dalam purana Hindu?

Dalam kalangan penganut Hindu, Bahuchara juga dewi kesuburan. Pasangan suami-isteri yang sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak akan menyembah dewi berkenaan. Sejak ribuan tahun dahulu, ajaran Hindu menyebut Bahuchara sebagai dewi yang memilih sperma yang bakal bersatu dengan ovum semasa hubungan seks.

Ada banyak purana (mitos Hindu) yang menyebut Bahuchara sebagai dewi yang melindungi golongan tansgender; sama ada lelaki menjadi wanita atau wanita menjadi lelaki.

Bagi individu yang dilahirkan dengan "identiti seks" lelaki tetapi memiliki "identiti gender" wanita, Bahuchara dipercayai akan muncul dalam mimpi dan memberitahu bahawa dia diterima oleh dewi berkenaan sebagai seorang wanita.

Malah apabila seorang individu transgender membuat keputusan mahu menjalani pembedahan untuk membuang "identiti seks" lelaki (zakar), dia akan melakukan upacara sembahyang khas yang dinamakan "matha pooja".

Memang menarik kerana ramai yang tidak tahu segala perkara ini. Minta tolong huraikan upacara ini secara lebih mendalam.

Bahan paling penting dalam upacara "matha pooja" adalah dua biji kelapa. Sebiji akan dipecahkan selepas upacara sembahyang. Jika kelapa itu pecah dengan sempurna, Bahuchara dipercayai sudah memberikan restu untuk individu itu menjalani pembedahan.

Sebaliknya, jika kelapa pertama itu tidak pecah dengan sempurna atau jika isinya rosak (hitam), maka transgender tadi belum menerima restu untuk membuang alat kelamin lelaki yang dimiliki.

Dalam keadaan seperti itu, upacara sembahyang akan diadakan semula genap setahun kemudian. Sekiranya tiga tahun berturut-turut kelapa tidak pecah dengan sempurna atau isinya tidak sempurna, maka Bahuchara terbukti tidak mengizinkan pembedahan dijalankan.

Hal ini tidak bermakna Bahuchara tidak menerima dan melindungi individu transgender berkenaan. Sebaliknya, pembedahan pembuangan zakar pada individu itu tidak direstui kerana mungkin akan membahayakan nyawanya sendiri.

Kalau restu sudah diterima daripada Bahuchara, maka pembedahan boleh dilakukan. Pada masa dahulu, tiada kemudahan bagi membuat pembedahan di hospital.

Pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (Hospital Universiti) pula dihentikan selepas 1982, bukan? Jadi bagaimana pembedahan dilakukan secara tradisional?

Mendiang Aasha Dewi dianggap sebagai ketua dan ibu kepada golongan transgender di Malaysia. Beliau menjadi "ibu" kepada transgender di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Aasha melakukan pembedahan bagi golongan transgender selepas mereka mendapat restu Bauchara.

Upacara pembedahan yang dilakukan selepas "matha pooja" dinamakan "nirvana pooja". Individu yang melakukan pembedahan akan menggunakan pisau cukur yang diletakkan di hadapan berhala Bahuchara untuk memohon restu.

Kemudian, pisau cukur berkenaan digunakan untuk memotong atau mengerat zakar dan buah zakar yang merupakan "identiti seks" lelaki. Pembedahan tidak melibatkan sebarang ubat bius atau ubat tahan sakit.

Darah yang tersembur keluar dengan banyak sebaik zakar dicantas dianggap sebagai simbol sifat-sifat maskulin mengalir keluar daripada tubuh transgender berkenaan.

Selama 48 hari selepas pembedahan, individu terbabit perlu berpantang dan menjaga pemakanan. Dia hanya memakai pakaian – biasanya sari – warna hijau sepanjang tempoh berpantang.

Selama tempoh itu juga dia tidak dibenarkan bersemuka dengan mana-mana lelaki. Sebaliknya, dia akan dijaga oleh transgender lain. Bulu yang tumbuh pada seluruh badan akan dicabut menggunakan peralatan khas.

Pada hari ke-48, upacara "sadangu" akan dilakukan. Dalam budaya India, upacara ini hanya dilakukan bagi gadis yang sudah baligh. Maknanya, individu transgender tadi sudah menjadi wanita selepas membuang "identiti seks" lelaki yang dimiliki sebelum ini.

Ternyata tradisi budaya India dan agama Hindu amat dititik beratkan dalam kehidupan transgender.

Benar. Dalam upacara "matha pooja" dahulu, dua biji kelapa digunakan. Sebiji sudah dipecahkan dan sebiji lagi masih diletakkan dengan baik di hadapan berhala Bahuchara.

Kelapa itu kini diletakkan di atas "kumbam" iaitu sebiji bekas logam (sembu) yang diisikan dengan susu lembu. Individu tadi akan berpakaian menutup seluruh tubuh -- termasuk muka – dan membawa "kumbam" berkenaan ke laut.

Laut itu adalah simbol lagi "lautan susu" yang menjadi tempat bersemayam bagi Dewa Vishnu dalam mitos dan purana Hindu. Vishnu pula pernah beberapa kali muncul dalam avatara Mohini, iaitu seorang wanita cantik.

Individu transgender tadi akan meletakkan "sembu" berisi susu di atas kepala. Kemudian, sebahagian susu dicurahkan ke arah belakang sambil berkata (lebih kurang), "Kehidupan saya sebagai lelaki (identiti seks) adalah masa lampau."

Kemudian sebahagian susu dicurahkan ke arah hadapan sambil berkata, "Kini kehidupan saya adalah sebagai seorang wanita." Segala upacara yang saya ceritakan ini boleh juga ditonton dalam filem Narthagi (2011).

Selepas upacara di laut selesai, transgender itu dibawa pulang ke rumah. Upacara sembahyang khas diadakan bagi Bahuchara. Kemudian, kain yang menutup wajah individu tadi akan dialihkan. Wajahnya kini sudah berubah menjadi wajah wanita.

Wajah transgender berubah selepas ‘nirvana pooja’.Wajah transgender berubah selepas 'nirvana pooja'.Perubahan itu dipercayai dilakukan oleh Bahuchara. Malah, manusia biasanya hanya ada satu kehidupan tetapi golongan transgender dianugerahkan dua "kehidupan" iaitu kehidupan sebelum dan selepas upacara "nirvana pooja".

Ramai juga yang mengaitkan Ardhanari – gabungan Dewa Shiva dan Dewi Parvati menjadi separuh lelaki dan separuh wanita – dengan golongan transgender.

Bagaimanapun, rupa bentuk Ardhanari dalam mitos hanyalah simbol dan metafora untuk menunjukkan bahawa ajaran Hindu menekankan persamaan hak antara lelaki dan wanita.

Ardhanari berperanan mengingatkan manusia bahawa lelaki tidak boleh hidup tanpa wanita; dan demikian juga sebaliknya. Rupa bentuk itu juga untuk menyedarkan manusia bahawa dalam diri setiap lelaki masih ada sifat-sifat kewanitaan (feminin); dan dalam diri setiap wanita tetap ada sifat-sifat kelelakian (maskulin).

Sifat maskulin dan feminin adalah aspek peribadi seseorang dan bukannya "identiti gender" dan bukan juga "identiti seks" seseorang. Orang ramai tidak harus terkeliru tentang perkara ini.

Sekiranya masyarakat – khususnya kaum India – berusaha memahami segala perkara ini, saya percaya, tidak akan timbul isu meminggirkan atau menindas golongan transgender yang tidak berdosa. – 25 November, 2013.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut mengenai topik ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com
 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved