March 31, 2013
Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia |
31 MAC — Awal minggu ini, dunia kewartawanan dan penyiaran negara telah kehilangan dua tokoh berbakat.
Seorang daripadanya berkecimpung dalam penyiaran radio manakala seorang lagi pula dalam dunia persuratkhabaran.
Kedua-dua tokoh ini mempunyai auranya yang tersendiri. Satu menerusi suaranya yang ke udara di Radio 4 menerusi program "Memories Are Made of These". Sementara seorang lain pula menggunakan pena sebagai alat untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat menerusi ruangan mingguannya dalam akhbar The Sun.
Ya, penyampai radio terkenal tanah air, Alan Zechariah dan tokoh wartawan veteran, Zainon Ahmad atau Pak Non telah meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Sudah pasti, pemergian dua tokoh terkemuka ini merupakan satu kehilangan besar kepada industri penyiaran dan persuratkhabaran tanah air. Apa tidaknya, masing-masing telah banyak berjasa kepada industri yang diceburi mereka.
Penulis cukup bertuah kerana mengenali kedua-dua tokoh ini. Alan Zechariah umpamanya merupakan "super senior" penulis di St. John's Institution manakala Pak Non pula seorang tokoh yang banyak membantu penulis dalam dunia kewartawanan.
Malangnya, perkenalan penulis dengan Alan cukup singkat. Penulis hanya pernah bertemu dengan Alan sekali sahaja iaitu ketika majlis makan malam Bekas-Bekas Pelajar St.John's Institution dalam lewat 90an.
Perkenalan penulis dengan Pak Non pula lebih rapat. Penulis mengenali Pak Non ketika berkhidmat sebagai Penganalisis Media di Institut of Strategic Analysis and Policy Research, INSAP…badan pemikir MCA pada 2008. Kali pertama, penulis bertemu dengan Pak Non secara langsung ialah ketika jemputan kepadanya untuk sebagai panel dalam seminar politik Melayu di Wisma MCA.
Namun hubungan akrab penulis dengan Pak Non bertambah erat ketika penulis berkhidmat sebagai penerbit Program Bual Bicara terbitan Bernama Radio24, Kerusi Panas sekitar 2011. Apabila Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio24, Azlan Idris mencadangkan agar isu Majlis Media diangkat sebagai topik dalam program bual bicara itu, nama pertama yang terlintas dalam fikiran penulis ialah Pak Non.
Ini kerana topik tersebut merupakan sesuatu yang cukup dekat dalam hati Pak Non. Ketika menjadi panel dalam satu forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 2011 Pak Non menegaskan, penubuhan Majlis Media tidak seharusnya melibatkan kerajaan.
Dengan segera, penulis menghubungi Pak Non dan menyampaikan jemputan tersebut kepada Allahyarham. Pak Non tidak menunggu lama untuk memberikan persetujuan. Dan setibanya ke Bernama Radio24, Pak Non memberitahu penulis…: "Markus, saya datang ke program bual bicara ini kerana awak."
Kata-kata tersebut membuatkan penulis cukup terharu. Ia membuktikan Pak Non begitu menghormati jemputan yang diberikan biarpun jemputan tersebut datang daripada seorang wartawan yang muda. Pada fikiran penulis, tidak menyangka kata-kata sedemikian boleh datang dari mulut seorang tokoh wartawan yang tersohor.
Inilah keistimewaan Pak Non berbanding dengan editor-editor berita lain. Beliau langsung tidak bermegah-megah dengan kedudukan serta pangkat yang disandangnya. Sebaliknya, dengan penuh lapang dada, Pak Non sentiasa bersedia untuk memberikan didikan dan tunjuk ajar kepada wartawan-wartawan baharu.
Disinilah kekuatan Pak Non sebagai seorang individu. Allahyarham begitu prihatin dan menggunakan pendekatan mengasuh wartawan-wartawan baharu. Ketokohannya jelas terserlah. Lebih membanggakan, Pak Non tidak kedekut ilmu tetapi sanggup berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan mereka yang berminat.
Pertemuan penulis dengan Pak Non di konti Bernama Radio24 ketika itu hanyalah permulaan kepada hubungan baik penulis dengan Allahyarham. Perwatakan Pak Non yang "cool" dan tenang membuatkan penulis begitu selesa berinteraksi dengannya. Tidak kira anda Melayu, Cina mahupun India, Pak Non merupakan seorang yang berfikiran objektif dalam isu-isu semasa.
Buktinya kolum mingguannya dalam akhbar The Sun yang mengetengahkan tiga watak iaitu Azman, Chong dan Mohan. Pelbagai isu semasa dikupas tetapi dalam suasana yang penuh santai dan Kemalaysiaan. Seronok juga membaca kolum What They Say yang tampil dalam bentuk dialog.
Selepas itu, Pak Non pernah mengajak penulis beberapa kali untuk keluar makan dan berborak-borak mengenai isu politik Cina. Topik yang Pak Non cukup minat ialah mengenai politik MCA. Malangnya, jemputan itu hanya tinggal jemputan sahaja.
Beberapa percubaan untuk mengajak Pak Non keluar makan tidak kesampaian. Atas faktor kesibukan tugas Pak Non di Parlimen dan tugasan hakiki sebagai kolumnis, hasrat itu terpaksa diketepikan seketika.
Namun manusia yang merancang, tuhan yang menentukannya. Hasrat untuk keluar makan dengan Pak Non kini berkubur begitu sahaja dengan pemergian Pak Non. Inilah satu-satunya kekesalan yang sukar dilupakan oleh penulis hingga ke saat ini. Penulis sebak dan kesal. Sekurang-kurangnya penulis sepatutnya menelefon Pak Non dan bertanya khabar.
Pemergian Pak Non akibat komplikasi hati cukup mengejutkan. Pak Non tidak menunjukkan tanda-tanda sakit. Dalam kesakitan, Pak Non tidak pernah mengeluh hinggalah ke saat-saat terakhir hidupnya.
Penulis hanya mampu meratapi pemergian Pak Non dengan penuh kesedihan. Namun Tuhan lebih menyayangi Pak Non. Segala yang berlaku merupakan ketentuan Ilahi.
Sejak pemergian Pak Non beberapa hari lalu, begitu banyak penghormatan yang diberikan oleh rakan-rakan seperjuangan yang mengenali Allahyarham. Bagi penulis sendiri, jalan terbaik untuk mengenang Pak Non ialah meneruskan legasi yang ditinggalkannya. Sesungguhnya, pemergian Pak Non sukar dicari ganti.
Terima kasih Pak Non di atas tunjuk ajar dan didikan anda. Jasamu kukenang selama-lamanya.
* Ini pandangan peribadi penulis.