17 OKT ― Suatu waktu itu, sedang saya bernyanyi berlagu menjalani rutin harian sebagai busker di KL Sentral, datang seorang anak muda berdiri di hadapan saya sambil menghayati lagu yang saya nyanyikan.
Usai lagu, dia mengambil kesempatan untuk berbual dengan saya. Dia bertanya berapa lama masa yang perlu kita ambil untuk menjadi pemuzik dan penyanyi seperti yang saya lakukan?
Nyata dia berminat untuk menjadi pemuzik seperti saya walaupun punya kekurangan dari segi bakat, katanya.
Adakah tempoh enam bulan praktis itu mampu menjadikan kita seorang pemuzik amatur?
Umurnya dalam lingkungan awal 20an, anak muda itu agak cemas dengan masa depannya yang tak menentu. Saya boleh lihat resah itu di wajahnya.
Katanya lagi dia lulusan Electrical Engineering tapi sangat susah untuk mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakannya. Tidak punya pilihan, dia terpaksa memilih kerjaya sebagai pengawal keselamatan untuk sementara waktu.
Saya katakan kepadanya, untuk mahir dalam bidang muzik dan nyanyi ianya bukan mengambil masa setahun dua. Saya sudah bermain muzik berpuluh tahun, pun masih belajar lagi.
Juga, muzik adalah hal yang berkait rapat dengan seni dan kreativiti. Ianya bergantung pada bakat individu itu sendiri. Kalau tanpa bakat pun payah juga.
Kasihan juga saya melihat nasib anak muda itu. Tapi inilah kenyataannya jika kita memilih untuk hidup di kota Kuala Lumpur. Di sini segalanya ringgit. Tanpa ringgit kita sukar punya kawan atau saudara.
Saban hari saya melihat gelagat ribuan manusia yang lalu lalang, berlari mengejar waktu seolah kiamat akan datang sebentar lagi. Mereka kalut mengejar ruang dan waktu untuk meneruskan kehidupan.
Seorang kawan saya akan keluar dari rumahnya di Keramat jam 6 pagi setiap hari kecuali hari Ahad, untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam. Setiap hari beliau akan menggunakan perkhidmatan tren Putra LRT dan Komuter dan beliau akan sampai di rumah jam 10 malam paling lewat. Begitulah setiap hari selama 10 tahun untuk gaji sebanyak RM2,000 lebih sebulan.
Pun beliau masih mampu senyum dan ketawa riang meraikan kehidupan walau dalam bentuk yang seadanya.
Saban hari saya di KL Sentral juga, ramai anak muda terutamanya dari golongan Melayu yang datang dari kampung membawa beg besar dengan harapan dan cita-cita untuk berjaya hidup di kota yang keras ini. Adakah mereka akan berjaya atau mungkin akan kandas di pertengahan jalan?
Saya juga pernah bertanya kepada diri mengapa perlu ke Kuala Lumpur tahun 1985 dulu untuk belajar menjadi anak kota sambil cuba menggapai bintang di langit yang kadang malap dan terang itu ?
Muzik. Di sinilah pusatnya jika kita ingin bermuzik kerana inilah inti dan proses untuk segala ruang keterbukaan bagi golongan pemuzik meluahkan apa saja luahan dan emosi mereka walau diterima dalam kelompok yang minimal mungkin.
Pun akhirnya saya juga hampir terperangkap dengan janji kota. Sedar akan permainan dan perangkapnya kita pun belajar membiasakan keadaan dan bermuhasabahlah jika perlu untuk mendapatkan tahap yakin dan redha pada ketentuannya. Apa pilihan lain yang kita ada sebenarnya?
Hari ini jika duit RM1 tercicir orang ramai tidak hairan langsung malah tidak ghairah untuk mengutipnya melainkan RM10.
Nilai ringgit kita semakin kecil dari masa ke semasa. Dulu sewaktu saya bersekolah darjah satu tahun 1974, belanja sehari hanya 15 sen, cukup untuk sepinggan kecil mee goreng dan air sirap.
Hari ini belanja sekolah untuk anak-anak seorang paling kurang RM3, betapa cepatnya waktu beredar dan kita terpaksa berlari seiring dengan langkahnya.
Kos sara hidup semakin tinggi manakala peluang pekerjaan semakin sukar. Manusia semakin terdesak demi ringgit. Bukan untuk jadi kaya, melainkan untuk terus hidup sekurang-kurangnya.
Jurang antara si miskin dan si kaya sangat ketara di negara yang membangun seperti negara kita ini. Peluang untuk si kaya menjadi kaya terbuka luas manakala rakyat marhaen majoritinya masih bergelut mencari peluang dan ruang, pun demi ringgit.
Mereka yang di atas bertambah kenyang dan selesa dengan taraf dan kedudukan yang mereka miliki sedang rakyat bawahan masih terkial-kial mendaki tangga kejayaan kerana tangga yang disediakan belum tentu kukuh dan terjamin.
Untuk itu kitapun sering diajar berdoa semoga Tuhan bukakanlah pintu hati mereka untuk membantu rakyat bawahan yang daif dan tidak bermaya ini.
Adakah Tuhan itu mendengar keluhan para makhluknya? Atau itu hanya sekadar janji untuk meyakinkan kita supaya redha dan pasrah dengan ketentuannya?
Maka dengan itu akan halal-lah sifat-sifat tamak mereka yang terlalu pentingkan dunia dan kedudukan yang mana simpati yang kita sampaikan ini hanyalah seperti lagak para anjing yang menyalak bukit sahaja?
Tidak hairanlah kadar jenayah pun semakin meningkat dari sehari ke sehari. Manusia semakin terdesak melakukan apa saja untuk ringgit dan kemewahan walau dengan apa cara sekalipun hatta merompak, mencuri dan sebagainya.
Apabila itu terjadi, maka ramailah di kalangan kita yang mengidap sakit jiwa sehingga membawa ke tahap bahagia yang maksimum tanpa noktah.
Dengan itu tidak adalah lagi keinginan, kehendak, keperluan, kekayaan, kemiskinan... maka mereka pun berkeliaranlah di kota-kota besar yang kita banggakan ini seolah dunia ini milik mereka sepenuhnya.
Untuk apa kita di sini sebenarnya? Hanya sekadar menjalani watak-watak yang diperuntukkan untuk kita melengkapkan skrip suka-duka hidup ini atau itu hanyalah sekadar cubaan belaka, untuk menguji tahap iman dan percaya kita pada yang esa ?
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.