September 02, 2013
Latest Update: September 02, 2013 03:27 pm
Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia
Bahagian III dan terakhir
Dengan BN masih memegang kerajaan persekutuan selepas 5 Mei, perang DAP-ROS (Pendaftaran Pertubuhan) bermula semula di akhir bulan Mei. Sudah pasti, dengan imej ROS yang teruk dirosakkan, ia memulakan semula kerja desakan mereka terhadap DAP.
ROS melalui Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Rahman Othman memulakan desakan (dalam kata lain kerja-kerja menyusahkan) DAP dengan membuat beberapa kenyataan bertalu-talu di media untuk menghangatkan isu kesilapan mengundi di bulan Disember 2012.
Membalas kenyataan DAP yang menyoal niat ROS membesarkan isu ini di umum, Abdul Rahman berhujah bahawa ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan siasatan terhadap parti itu untuk mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat mereka bertarikh 17 April lalu.
Di dalam satu laporan The Star 26 Julai 2013, Abdul Rahman memberikan peringatan kepada anggota DAP supaya tidak memasang harapan untuk membentuk parti baru jika jabatan itu bertindak membatalkan pendaftaran parti lama.
Daripada nada tersebut, penasihat DAP Lim Kit Siang terus mendakwa kerajaan sedang bersedia untuk membuat kejutan dengan membatalkan pendaftaran DAP menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dengan PRU14 yang masih jauh, Kit Siang menyedari bahawa kemungkinan ini ialah satu realiti yang bakal berlaku.
Pada 30 Julai 2013, Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diselar DAP kerana mendahului ROS dalam membuat pengumuman bahawa jabatan tersebut telah membuat keputusan mengarahkan parti itu membatalkan CECnya sebelum perkara itu dimaklumkan secara bertulis.
Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng terus membidas Zahid dan mempersoalkan kenapa DAP harus mengadakan pilihan raya semula ekoran kesilapan yang sudah pun dibetulkan.
ROS kemudian menghantar notis di bawah Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966 kepada DAP bagi memaklumkan keputusannya untuk membatalkan CEC dan ketidakpuasannya dengan penjelasan DAP berhubung pemilihan CEC parti itu.
Bermula 1 Ogos, DAP terus melawan ROS dengan berkata parti tersebut akan ingkar arahan selagi penjelasan tidak diberi mengapa ROS tidak berpuas hati dengan penjelasan parti berkenaan berhubung perjalanan CEC pada 15 Disember yang lepas.
ROS tetap tidak tunduk pada kehendak DAP dan menyatakan bahawa jabatan tersebut tidak perlu menyatakan sebab.
Setelah 15 hari bertarung, akhirnya DAP akur untuk mengadakan semua pemilihan CEC. Menurut setiausaha publisiti DAP Tony Pua, keputusan itu terpaksa diambil untuk mengelakkan pembatalan pendaftaran parti itu dan bukan pengesahan terhadap dakwaan ROS bahawa berlaku salahlaku.
Guan Eng pula berkata tindakan undang-undang terhadap ROS hanyalah sia-sia. Ini kerana jika DAP menang di mahkamah terhadap arahan itu tersebut, katanya, parti itu akan terpaksa ke mahkamah sekali lagi untuk berdepan dengan kemungkinan pembatalan pendaftarannya.
Antara pengharaman DAP dan keuntungan politik, DAP akhirnya memilih untuk tidak diharamkan.
Seperti dijangka, para pemimpin Umno terus mengambil peluang ini untuk membalas dendam pada DAP, yang sekian lama mengambil untung daripada kontroversi ini. Yang mendepani serangan ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC parti itu sebagai satu "pengakuan bersalah".
Tunku Aziz pula tidak membenarkan DAP mengambil untung simpati dalam hal ini dengan berkata alasan bahawa DAP akan diharamkan hanyalah rekaan DAP semata-mata untuk mencipta persepsi bahawa mereka adalah mangsa politik BN.
Katanya, DAP telah memutar-belitkan kontroversinya dengan ROS untuk menyerang SPR, BN dan juga Umno.
Sepanjang perang DAP-ROS, DAP telah mendapat untung politik yang banyak atas kesilapan mereka dan kesilapan musuh. Tunku Aziz yang lama di dalam DAP sudah tentu dapat membacanya berdasarkan serangan-serangan berjarum tajamnya pada DAP.
Semasa mengumumkan kesilapan mereka, lihatlah bagaimana DAP mengambil langkah memukul diri sendiri sambil mengambil simpati untuk membuktikan mereka betul-betul telus dan demokratik.
Ada yang terfikir mengapa tidak terus merahsiakannya sahaja? Di dalam politik Malaysia, tiada yang boleh dirahsiakan dan DAP sedar akan perkara ini. DAP memilih langkah ini kerana risiko kesilapan ini terbongkar oleh musuhnya semasa kempen PRU13 sangat tinggi. Ini bakal menenggelamkan isu-isu lain dan padahnya lebih buruk daripada segalanya. Pertimbangan ini sudah tentu di dalam perhitungan untung-rugi, ekoran langkah DAP yang mengambil masa 3 minggu lamanya untuk mengumumkan kesilapan yang kecil ini.
Kemudian, kesilapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menuduh DAP gagal menyerahkan penyata tahunannya pada masa yang ditetapkan digunakan sepenuhnya oleh DAP untuk menunjukkan bahawa parti mereka sedang dianiaya oleh Umno. Daripada kesilapan mengira, DAP menukar graviti kontroversi itu kepada mereka dianiayai dan bakal diharamkan.
DAP sekali lagi mengambil untung politik daripada kesilapan ROS yang menghantar 2 surat berlainan 3 hari sebelum hari penamaan calon bahawa jabatan itu tidak mengiktiraf CEC yang dipilih pada Disember. Akibat itu, imej ROS teruk dicalar, dan imej DAP sebagai parti dianiaya tersemat di sanubari rakyat.
'Marketing DAP' ini sangat berjaya, namun Putrajaya masih gagal ditakluki bersama PAS dan PKR. Ekoran itu, DAP tahu ROS akan datang semula mengacaunya.
Namun, DAP tidak melepaskan peluang untuk mengambil untung politik sekali lagi apabila ROS mengarahnya membuat pemilihan semula. Melalui kenyataan media dan desakan mereka untuk ROS memberikan penjelasan, mereka berjaya menggambarkan DAP betul-betul teraniaya, ROS tidak berlaku adil dan tidak bertindak mengikut undang-undang dan tangan ghaib Umno ada di sebalik keputusan ROS sebelum akur untuk membuat pemilihan semula.
Pemilihan semula CEC ini sebenarnya adalah satu risiko besar terhadap DAP. Perkara ini cuba dielakkan DAP sepanjang peperangannya dengan ROS.
DAP sedar sekiranya tiada calon Melayu yang menang kali ini, maka ia akan menguatkan tuduhan Umno selama ini bahawa kesilapan teknikal itu adalah satu penipuan untuk membolehkan ahli parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menang dan layak ke CEC.
Lebih teruk lagi, DAP akan terus ditenggelamkan dengan imej chauvunis Cinanya di kawasan pedalaman, yang akan menghantar DAP dan sekutunya ke kerusi pembangkang.
Atas sebab itu, tidak hairan apabila Guan Eng mengumumkan pada 22 Ogos 2013 bahawa pemilihan semua CEC akan dilakukan menggunakan senarai calon dan perwakilan yang sama seperti 15 Disember lalu. Pengundian akan dilakukan 29 Sepember ini.
Ramai juga yang berasa hairan mengapa DAP tidak mengambil peluang ini untuk mengemukakan calon yang baru, kerana Sakmongkol AK47, Datuk Mohd Ariff Sabri yang menang di parlimen Raub, dikatakan sudah pasti akan dapat masuk ke CEC menjadi wakil calon Melayu. Keputusan tersebut sudah tentu akan menutup serangan daripada Umno kerana Datuk AK47 adalah seorang bekas ahli Umno.
Bahkan ada yang berkata, Datuk AK47 bakal mendapat undi yang lebih tinggi daripada Zairil.
Sebenarnya itu bukanlah masalah. Ini kerana kontroversi sebenar di pemilihan Disember lalu ialah pada Zairil, yang diumum layak ke CEC selepas pembetulan silap kira di Microsoft Excel.
Hanya dengan mengekalkan senarai perwakilan dan calon lama, DAP boleh membuktikan bahawa kesilapan teknikal di bulan Disember 2012 hanyalah satu kesilapan menampal di Microsoft Excel yang benar-benar berlaku tanpa niat menipu seperti yang didakwa musuhnya.
Malah, hanya dengan cara ini saja, DAP boleh mengurangkan risiko di mana Zairil akan kecundang dengan syarat semua perwakilan masih mengundi calon yang sama. Tiada gunanya jika Zairil kecundang dan Datuk AK47 layak ke CEC dengan adanya senarai calon yang baru kerana ia tidak akan membantu DAP untuk keluar daripada kemelut ini.
Namun, DAP harus ingat apa yang terjadi pada Aspan Alias, yang lantang mengkritik parti itu dengan dakwaan cakap tidak serupa bikin kerana "terlalu Cina" dalam segala hal dalam parti selepas PRU13.
Berapa ramaikah lagi yang berfikiran seperti Aspan dan orang yang tidak berpuas hati terhadap DAP dalam perwakilan yang lama yang mengundi di bulan Disember yang lalu, selepas PRU13 akan mengundi lagi kali ini?
Persoalan dan kebimbangan DAP sekarang ialah apakah perwakilan akan mengundi dengan cara yang sama seperti Disember 2012? Jika tidak, apakah keuntungan politik yang diambil DAP dalam episod kesilapan teknikal di Disember 2012 akhirnya memakan diri sekiranya keputusan pemilihan semula ini mirip keputusan Disember 2012 yang belum diperbetulkan?
Artikel ini tidak berniat menilai siapa betul dan siapa salah dalam perang DAP-ROS. Bagi yang mengikuti perang DAP-ROS secara dekat, banyak ilmu politik daripada segi 'political marketing' dan strategi persepsi boleh dipelajari.
Bukan semua parti politik boleh mengubah kesilapan 'memalukan' kepada 'advantage' seperti DAP. Dan ini adalah perkara yang perlu dimahiri, terutamanya oleh sekutu DAP iaitu PAS dan PKR. Dan inilah inti sebenar artikel analisa 3 siri perang DAP-ROS ini. - 2 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Bahagian 1: Akibat silap kira 1,823 undi, DAP dalam dilema
Bahagian II:Perang ROS-DAP: DAP ambil untung yang akhirnya rugi?