April 01, 2014
Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.
Kini masuk minggu ketiga kehilangan pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China dan 12 kru. Ia hilang pada pagi 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Perdana Menteri, Datuk Najib Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang, bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Maka sejak kehilangan pesawat itu, ramalan demi ramalan, teori demi teori, agakan, jangkaan diperkatakan diseluruh dunia, malah Raja Bomoh dan pasukannya turut muncul di KLIA untuk meneropong "di mana kapal terbang itu".
Adalah ia berada di tujuh petala langit, atau tujuh petala bumi. Pesawat itu tidak juga dilihat baik di alam ghaib, mahupun di alam nyata. Jadi kemanakah gerangan hilangnya.
Kini 24 negara dengan segala peralatan dan ilmu teknologi modenya sedang mencari pesawat di Lautan Hindi, namun belum juga berjumpa.
Kehilangan pesawat itu memang sungguh menggemparkan dan menambah gempar lagi dengan kehadiran bomoh tersebut, sehingga dua isu serentak diperkatakan di seluruh dunia – MH370 yang hilang dan bomoh yang meneropongnya. Ini suatu kegemparan luar biasa.
Andai kata, melalui teropong bomoh tadi ditakdirkan dapat dilihat di mana pesawat MAS itu berada, gambarkanlah bagaimanakah gamatnya dunia. Maknanya bukan saja pesawat MH370 itu menarik perhatian dunia, bahkan juga "keajaiban" teropong bomoh itu menjadi perhatian. Ini adalah episod yang sangat lucu dan menggemparkan.
Tetapi ada episod lain yang sangat sedih dan mengecewakan dalam pencarian pesawat tersebut, apabila fitnah besar perlaku pula, iaitu mengenai laporan Akhbar Daily Mail di London kononnya juruterbang MH370 mengalami gangguan fikiran beberapa minggu sebelum pesawat itu hilang pada 8 Mac.
Ahli keluarga dan sahabat handai juruterbang itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah sangat kesal dan marah atas laporan palsu tersebut.
Akhbar tabloid Britain itu sebelum ini melaporkan Kapten Zaharie yang bekerja dengan Malaysia Airlines (MAS) selama 33 tahun dan pernah menerbangkan pesawat selama lebih 18,000 jam mempunyai masalah peribadi dan kononnya adalah penyokong fanatik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Juruterbang MAS itu disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia selepas pesawat membawa 239 penumpang hilang tetapi Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat mendapati Kapten Zaharie tidak boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu selepas tidak menemui apa-apa yang pelik terhadap simulator penerbangan Boeing 777 itu.
Anak juruterbang itu, Aishah Zaharie di akaun Facebooknya kelmarin menyatakan dengan marah: "Wahai Daily Mail hentikanlah membuat drama walaupun anda sangat pandai membuat cerita dan skrip yang tidak benar. Saya tidak akan maafkan anda," tulis anak juruterbang itu, Aishah Zaharie di akaun Facebooknya malam tadi.
Sudah lebih tiga minggu sejak pesawat MH370 hilang dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal, dan penyiasat di Malaysia mengesyaki pesawat mungkin melencong daripada laluan asalnya.
Satu emel yang dihantar kepada The Malaysian Insider menafikan ahli keluarga juruterbang itu bercakap kepada Daily Mail. Selain daripada anak lelaki Kapten Zaharie, tiada sesiapa daripada keluarganya yang pernah bercakap kepada media.
Lebih malang lagi ada pula pihak tertentu mengeksploitasi cerita fitnah ini dengan bumbu elemen politik jahat. Maka dalam suasana yang sangat sedih dan cemas ini, ada pula pihak yang mengambil kesempatan mengalihkan perhatian kepada politik jahat dan ini sebuah kejahatan yang tiada taranya.
Kini 26 negara dengan segala peralatan teknologi canggihnya sedang mencari dan mencari pesawat tersebut di Lautan Hindi, di hujung kira-kira 2,000 kilometer dari Perth, Australia – sebuah kawasan terpencil.
Tetapi hingga kini pesawat itu, atau serpihannya yang sebenar belum juga dijumpai.
Komitmen 26 negara itu memang sangat disanjung. Bayangkan, khabarnya kini berada di kawasan tempat pencarian pesawat itu, iaitu lautan bergelora dengan gelombang demikian besar dan ribut taufan.
Namun mereka meneruskan juga pencarian, setelah menghentikannya beberapa hari kerana lautan yang bergelora itu. Mereka nampaknya tidak berputus asa.
Peristiwa ini kelihatan menyatukan warga dunia, merentasi benua, kaum, agama dan sebagainya. Kesedihan menyatukan hati-hati manusia, mereka berkongsi bersama atas kesedihan ini dan ini adalah manifestasi ekuasaan dan kasih sayang Allah.
Tetapi suatu hal yang sangat mendukacitakan, bahawa dari 26 buah negara yang menghantar kapalnya dengan peralatan yang amat canggih untuk mencari pesawat itu, sangat kecil jumlah kapal pencari dari negara OIC, kecuali dari negara Arab Saudi, Indonesia dan Brunei. Adakah mereka tidak mempunyai kemampuan ini?
Sedangkan seperti diketahui negara Arab telah membelanjakan ratusan bilion USD untuk kelelngkapan pertahanannya dengan pelbagai senjata cangggih, tetapi tidak ada satupun jet atau kapal laut mereka yang menyertai misi pencarian MH370 itu.
Rupanya belanja pertahanan yang sangat besar itu lebih banyak digunakan oleh kerajaan Arab bagi melengkapkan senjata moden mereka untuk membunuh rakyat mereka sendiri, seperti yang berlaku di Mesir, Libya, Syria, Iraq dan negara Arab yang lain.
Inilah kelemahan yang tiada taranya dan memalukan bagi dunia Islam yang sepatutnya menginsafkan mereka. Walaupun berlaku Arab Spring di negara Arab setahun yang lalu, tetapi perubahan belum juga kelihatan.
Sementara itu, keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370 itu terus berdoa dan mengharap semoga penumpang dan anak kapal masih dalam keadaan selamat.
Baru-baru ini saya menghadiri majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat di sebuah surau berdekatan rumah saya di Subang Jaya, jamaah mendoakan semoga penumpang pesawat itu semuanya masih selamat.
Ayah salah seorang pramugara pesawat yang hilang itu, Mohd Hasnan, jiran saya, kelihatan tenang walaupun saya tahu hatinya diselubungi duka mengenangkan nasib anaknya, pramugara Hazrin. Anaknya itu menyertai MAS sejak 12 tahun lalu dan tinggal di Shah Alam.
Isteri Hazrin kelihatan tenang dan saya menyatakan rasa simpati kepadanya dan mengharapkannya kepadanya supaya terus berdoa dan bersabar. Tetapi lebih menyayat hati lagi, anak perempuannya yang berumur lima tahun, sentiasa menyebut nama ayahnya.
Kini umat Islam mengadakan bacaan Yassin, solat hajat dan mendoakan penumpang dan anak kapal tersebut semoga selamat. Penganut agama lain juga terus berdoa.
Penantian memang suatu siksaan, namun dengan segala kesabaran dan doa, maka penantian itu bukan lagi suatu seksaan, tetapi suatu ujian daripada Allah Maha Pengasih dan Penyayang. – 1 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.