December 11, 2013
Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini. |
Saya ingin menjemput pembaca dan peminat muzik untuk cuba luangkan masa pada sabtu ini, 14 Disember 2013 (8 malam - 10 malam) dan hadir memeriah serta memberikan sokongan dengan menonton persembahan 'live' pemain gambus/oud dalam dan luar negeri di Festival Gambus Kebangsaan (NGF 2013) di Auditorium Mini JKKN, Kuala Lumpur.
Program ini dianjurkan oleh National Conservatory of Art (NCA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Seperti biasa, untuk program yang berbentuk ilmiah ini tiket masuk adalah percuma, sebab umum tahu orang kita yang majoritinya Melayu masih ingin dan lebih ghairah kepada pertunjukan hiburan artis glamour yang tidak tahu berlakon, tapi laku sebagai pelakon kerana kisah putus tunangnya menjadi bahan cerita masyarakat atau belanja kawin yang mencecah hingga RM13 juta.
Saya juga akan faham jika yang membuat persembahannya penyanyi popular seperti Hafiz atau Faizal Tahir contohnya yang dijemput untuk bermain gambus secara miming, saya gerenti walau dikenakan bayaran, pasti ramai yang akan hadir. Mereka bukan hendak dengar muzik gambus, mereka cuma excited lihat penyanyi pujaan main instrumen pelik.
Yang tidak berbakat menyanyi, tapi laku sebagai penyanyi walau yang ditonjolkan hanya cermin mata rayban sambil tersengih berposing menggamit orang kampung menampal wajah mereka di bilik sambil berangan sampai kiamat.
Jadi kita faham tentang senario mentaliti masyarakat yang tidak minat dan faham sangat tentang muzik, berbanding hiburan dan gossip di negara yang kebanyakan rakyat dan pemikiran mereka sudah mencapai tahap tepu ini.
Bukan itu saja, bahkan tidak ada bajet atau tajaan daripada segi ringgit kecuali tempat yang disediakan, juga makan dan minum. Sebenarnya ini kali kedua program seperti ini diadakan.
Kali pertama ia berlangsung tahun lalu, tapi tanpa ada promosi ia kurang mendapat sambutan melainkan galakan dan sokongan pihak yang terbabit.
Saya rasa kerajaan perlu memberi sokongan wang ringgit kepada mereka yang terlibat kerana program berbentuk ilmiah seperti ini walau hasil pulangannya daripada segi komersial tidak memberangsangkan, namun untuk jangka masa panjang, ia penting untuk anak cucu kita nanti tahu apa itu muzik zapin, ghazal, mahupun muzik Timur Tengah.
Agak menghairankan kerana peruntukan kerajaan untuk cabang seni dan budaya itu sepatutnya lebih mencukupi sebenarnya, tapi itulah, apabila segalanya dipolitikkan maka jadilah ia seperti cerita biasa yang selalu kita tonton dan baca hari ini.
Raja Zulkarnain dan gambusnya.Saya sempat bertemu dan berbual panjang dengan orang kuat program NGF baru-baru ini, Raja Zulkarnain (lahir 1971 di Muar, Johor) atau nama panggilannya Zul yang merupakan aktivis gambus di negara kita ini.
Kita kata aktivis kerana tahap dedikasi dan minatnya yang mendalam terhadap alat muzik tradisional terutama gambus agar dapat diterima secara komersial di negara kita ini.
Saya rasa jika kita bercerita tentang gambus atau oud, sebenarnya alat muzik ini namanya oud, bukan gambus.
Tetapi, kita sudah terbiasa dengan nama gambus Melayu oleh orang lama dulu yang memang terlalu menjaga adat dan budaya.
Orang dahulu tidak gemar muzik tradisional lama seperti zapin dan joget diusik mahupun ditambah sesuai dengan peredaran zaman.
Tidak menghairankan antara sebab itu juga muzik tradisional kita kekal selamanya di sini dan sukar untuk berkembang di merata dunia seperti muzik blues dan jazz.
Zul penting dalam dunia gambus tanah air selain nama-nama lama yang kita kenal seperti allahyarham Fadhil Ahmad.
Penting kerana selain pernah menjadi tenaga pengajar untuk alat muzik gambus di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari 2003 hingga 2010, sebelum ASK ditukar namanya kepada Aswara pada 2005, beliau juga berjaya menghasilkan sebuah buku hasil karangannya bertajuk 'Oud , Warisan Seni dari Timur Tengah' yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad pada 2013.
Beliau pernah berguru dengan Nasheer Shamma selama mendalami muzik gambus di Kaherah, tokoh muzik oud terkenal di persada antarabangsa yang berasal dari Iraq.
Jadi, bagi kita yang berminat untuk kenal dengan lebih mendalam apa itu gambus, oud atau sejarahnya, bolehlah memiliki buku tersebut yang boleh didapat di kedai-kedai utama.
Menariknya tentang Zul, asalnya beliau mendalami ilmu gitar di G I T London dari 1999-2000 namun selepas mengenali alat muzik oud pada 1999, beliau mula jatuh cinta sehingga 3 bulan berikutnya beliau berguru dengan seorang tenaga pengajar gambus di London.
Alat muzik oud ini sangat unik, seperti kata Zul. Oud baginya adalah tentang elemen mistik yang terdapat di dalamnya. Saya akui katanya itu, sama seperti sitar yang mana untuk mencapai tahap 'feel' atau 'rasa', ia bukan suatu yang mudah.
Sama seperti saya menonton persembahan atau mendengar muzik Munir Bashir (oud), Naseer Shamma (oud), John McClaughin (guitar), Paco De Lucia (gitar flamenco) mahupun Osman Ali Khan (sitar). Mereka akan membawa kita secara perlahan-lahan masuk ke dunia mereka melalui irama yang dimainkan. Nilai asyik itu sukar untuk digambarkan. Benarlah kata pujangga, kita hanyalah alat saja, segala bunyi dan rasa itu milikNya yang abadi jua.
Untuk program NGF 2013 ini nanti, antara peserta ialah Muhammad Razman Shaharin Hadi (pemain gitar flamenco dari Malaysia), Ismahairi Putra (Singapura), Mohd Zulhafis Zulkeply (UPM), Syech Razie Ali Maula Dawilah (Indonesia), Nathan William Fischer (USA), Zulkifli Ramli (Dewangga Sakti) dan Eric Zang (USA).
Saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat berjuang kepada Zulkarnain, saya percaya jika kita tekun dengan watak yang kita jalani ini, akan ada hasil dan hikmahnya di kemudian hari. – 11 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.