March 24, 2013
Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia |
24 MAC ― Pentas politik ibarat jalan pintas ke puncak kegemilangan dan kemasyhuran.
Bagi mereka yang ingin menikmati saat-saat indah itu, inilah masa dan peluangnya untuk berbuat demikian.
Apa tidaknya, jika anda mempunyai rangkaian rapat dengan orang-orang kenamaan dan disokong oleh mereka, maka segalanya menjadi mudah. Pada permukaan, segalanya cukup indah dan baik-baik belaka.
Tetapi hakikatnya, langit tidak selalu cerah. Tanggapan umum bahawa politik merupakan sesuatu yang indah, jauh sekali meleset. Di luar sana, wujudnya si antagonis dan protaganis masing-masing mempunyai agendanya tersendiri; baik mahupun yang kurang baik.
Dalam kalangan individu yang berjawatan tinggi, kehadiran individu lain yang dilihat berpotensi adalah satu ancaman besar kepada kelangsungan mereka. Justeru, individu-individu sedemikian perlu dicantas, kalau tidak pun dihapuskan terlebih dahulu.
Demikianlah dilema dan penyakit yang melanda pentas politik negara. Gentleman politics dan politik bersih yang menjadi kemahuan semua nampaknya hanya akan tinggal impian semata-mata.
Politik Malaysia sejak beberapa dekad lalu telah melalui satu fasa gelap. Gutter politics, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sudah menjadi satu kebiasaan seolah-olah ia sesuatu yang biasa. Isu seks dan soal peribadi nampaknya menjadi terus modal utama musuh politik. Keadaan ini menjadi lebih malap selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
Tidak hairanlah mengapa satu ketika dahulu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah melabelkan politik sebagai sesuatu yang kotor. Namun apa yang sebenarnya yang menjadikan politik itu kotor ialah si pelaku atau manusia sendiri.
Justeru, hanya mereka yang mempunyai daya ketahanan serta kemampuan untuk berubah mengikut keadaan, akan bertahan dalam dunia yang penuh jijik itu.
Yang pasti, survival atau kelangsungan diri mengatasi segala-galanya. Itu sebabnya kita jarang melihat pemimpin-pemimpin politik negara jarang melibatkan diri dalam diskusi dan politiking yang membina.
Sebaliknya, apa yang dapat kita lihat ialah sikap kebudak-budakan dan kebodohan pemimpin politik dalam menyerang antara satu sama lain. Serangan itu tampil dalam bentuk yang pelbagai, bersifat peribadi dan serangan ke atas moral seseorang pemimpin.
Medium yang digunakan pula tidak kurang hebatnya dengan media sosial, YouTube dan Facebook kini menjadi pentas untuk mengaibkan musuh-musuh politik.
Terbaru, klip video seorang lelaki yang dipercayai seorang politikus terkenal terlibat dalam aksi songsang dengan pasangannya. Ini bukan kali pertama pendedahan tersebut dibuat dalam media sosial. Soal motif dan modus operandinya… hanya mereka yang menyebarkan video tersebut boleh menjawabnya.
Dan ini membawa kita kepada persoalan pokok dalam isu ini… apakah era "gentleman politics" sudah berkubur di Malaysia? Ataupun "gentleman politics" sebenarnya tidak wujud di Malaysia? Mengapakah begitu sukar "gentleman politics" begitu sukar bertapak di negara ini?
Adakah pemimpin-pemimpin politik kita masih tidak begitu matang dan sukar untuk meninggalkan pendirian partisan mereka? Mungkinkah juga mereka sebenarnya tidak berniat langsung untuk berubah kerana sebarang perubahan hanya akan mengugat kedudukan mereka?
Jika laporan media dan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan pemimpin politik kita dijadikan sebagai penanda aras, boleh dikatakan tidak ramai pemimpin politik negara yang dapat digolongkan dalam kelas yang gentleman.
Apa tidaknya, apa manfaat yang akan diperolehi mereka jika berlaku adil dan jujur dalam politik? Tidak semestinya orang yang berlaku adil dan jujur akan menang dalam perjuangan politik malah dalam banyak ketikanya, ramai yang tersungkur bukan kerana kelemahan mereka tetapi atas faktor lain.
Dalam dunia politik, semuanya berkisar kepada survival dan untuk meneruskan survival, harus ada perancangan untuk memastikan musuh anda tidak terlepas. Bagi mereka, gentleman politics hanya untuk mereka yang lemah dan enggan berhadapan dengan realiti. Individu yang gentleman lazimnya tidak mendapat tempat dalam dunia politik. Sering kali, mereka akan digelar tidak berkarisma terlalu berhati-hati, lemah dan tidak berprinsip.
Ramai yang berpendapat, sikap gentleman hanya akan membuka ruang dan peluang kepada musuh politik untuk kembali menyerang. Maka kerana itu, adalah lebih baik jika musuh politik dimatikan terlebih dahulu. Itulah doktrin yang pernah diajar oleh strategis perang terkenal, Niccolo Machiavelli dalam karyanya "The Prince".
Agak mengecewakan bilangan pemimpin politik negara yang mengamalkan "gentleman politics" adalah amat rendah. Jika ada sekalipun, bilangannya tidak ramai. Ramai yang lebih cenderung untuk menjadi pak turut dan mengikut telunjuk bos besar mereka. Semuanya dibuat dengan harapan periuk nasi mereka terjamin.
Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, mereka sepatutnya menggunakan masa terluang untuk membahaskan isu-isu yang bersangkut-paut dengan kebajikan rakyat. Untuk mendapatkan penghormatan daripada rakyat, pemimpin politik kita haruslah berpegang teguh kepada prinsip perjuangan sejati mereka dan bukannya berjuang mengikut keadaan semasa.
Bagi penulis, ini adalah pemimpin politik yang oportunis dan tidak bermaruah. Ini juga kumpulan pemimpin politik yang tidak harus mendapat dalam hati masyarakat. Pemimpin jenis ini wajar ditolak.
Sikap gentleman yang penulis maksudkan tidak bermakna pemimpin-pemimpin politik perlu senyum dan tidak membuli setiap hari di hadapan orang. Tetapi sikap gentleman yang penulis maksudkan lebih merujuk kepada kematangan pemimpin-pemimpin politik kita untuk berpolitik.
Tetapi bersediakah pemimpin-pemimpin politik kita untuk berbuat demikian? Adakah mereka sudah matang untuk mengetepikan sikap partisan yang semakin menebal dalam isu-isu tertentu membabitkan kepentingan rakyat?
Sikap pemimpin-pemimpin politik kita sudah berada pada tahap yang meloyakan. Sudah sampai masanya untuk mereka membuang sikap yang kurang baik itu. Jangan mengadu-domba dan jangan sesekali meletakkan rakyat dalam keadaan yang sukar dan jangan biarkan penghormatan rakyat terhadap pemimpin politik hilang begitu sahaja.
Jika tahap persepsi rakyat terhadap pemimpin politik sudah mencapai ke peringkat tersebut, maka segala-galanya mungkin sudah terlambat. Jangan pula menyalahkan rakyat jika mereka membuat keputusan yang sebaliknya. Tidak hairan mengapa pada mata rakyat, pemimpin-pemimpin politik kini hanya dikenang sebagai individu yang oportunis, tidak bermaruah dan palsu.
Bermakna juga, gentleman politics yang penulis sebutkan tadi pun tidak berguna lagi. Apakah harapan yang tinggal untuk rakyat kita? Apakah kita perlu menahan gelagat pemimpin politik begini untuk satu tempoh yang panjang lagi?
Mereka harus sedar bahawa gelagat buruk sebegini tidak akan dikompromi lagi. Sama ada pemimpin politik negara berubah ke arah kebaikan ataupun bersedia untuk diubah.
* Ini pandangan peribadi penulis.