25 Julai — Apabila saya ditawarkan peluang oleh syarikat penerbitan OneNusantara Sdn Bhd untuk ke Beijing, China, selama 10 hari untuk mengumpul bahan bagi menghasilakan buku travelog dan/atau panduan pelancongan, saya menerima tawaran itu dengan gembira.
Saya belum pernah ke India dan China walaupun saya amat kagum dengan kehebatan tamadun dan kebudayaan tradisional di kedua-dua negara Asia itu.
Walaupun saya sudah tahu bahawa saya akan ke Beijing pada 12 Julai lalu, saya sengaja tidak melakukan apa-apa pengumpulan bahan atau kajian menerusi buku mahu pun internet.
Saya membuat keputusan itu secara penuh sedar kerana saya mahu pergi ke Beijing dengan fikiran 'kosong' iaitu tanpa sebarang lambakan maklumat mengenai sejarah, budaya, cuaca, kehidupan, teknologi, kerajaan, pengangkutan awam dan sebagainya.
Dengan itu, selama 10 hari di Beijing, saya mendapat pelbagai maklumat dan pengalaman baru kerana saya mengunjungi kota metropolitan itu tanpa sebarang "harapan" dan "andaian".

See Hua (kiri) sentiasa bersedia menjawab pertanyaan mengenai tempat-tempat yang dilawati.
Saya, Izan Ali, Nurul Fadzillah dan Jasmine Koh amat bertuah kerana kami ditemani oleh Tan See Hua, calon PhD dari Institut Teknologi Beijing (BIT) sebagai "pemandu pelancong" yang kemudian bertukar menjadi sahabat karib.
Pemuda berumur 29 tahun itu yang berasal dari Tangkak, Johor, ternyata mempunyai maklumat amat mendalam mengenai sejarah, budaya, sosial, makanan, pengangkutan dan segala hal berkaitan Beijing.
Saya mula mengenali Beijing menerusi pengalaman berada di kota metropolitan itu sendiri serta mendengar pelbagai penerangan yang diberikan oleh See Hua.
Pengalaman seperti ini amat menarik kerana saya berpeluang mengenali, memahami dan menghayati pelbagai perkara berkaitan Beijing secara sedikit demi sedikit; bukan dilambakkan sekali gus di depan mata.
Saya, Izan, Fadzillah dan Jasmine pada mulanya dijadual menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong selama empat hari sahaja sebelum menyertai rombongan pelancong dari Malaysia pada 16-21 Julai.
Bagaimanapun, akibat terlalu kecewa dengan "pelancongan Islam" yang sebenarnya hanyalah "pelancongan beli-belah", kami berempat memutuskan untuk meneroka Beijing secara sendirian serta dengan bantuan See Hua pada tiga hari terakhir kami di sana.
Pengalaman seharian saya di Beijing ada disiarkan di The Malaysian Insider dan menjadi catatan yang menceritakan bagaimana saya mengenali dan memesrai Beijing secara berperingkat-peringkat selama 10 hari kami di sana.
Sistem kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai Beijing Subway — atau subway — mula beroperasi pada 1971. Rangkaian itu semakin berkembang sejak 2002 dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kelas antarabangsa kepada pengguna.
Kepada mana-mana pelancong yang datang ke Beijing, gunakan sahaja rangkaian subway, bas dan teksi tanpa bergantung pada bas pelancongan yang sebenarnya membantutkan usaha mengenali budaya dan cara hidup sebenar penduduk di kota ini.
Menurut See Hua, menjelang tahun 2020, sekitar 30 rangkaian subway yang melibatkan 450 stesen hentian dan landasan 1,050 kilometer dijangka beroperasi di Beijing.
Kunjungan saya ke Beijing hanya selama 10 hari dan tentulah tidak mencukupi untuk menulis buku serba lengkap mengenai kota itu yang mempunyai sejarah amat panjang.
Sebaliknya, buku yang bakal dihasilkan lebih berupa panduan kepada pelancong beragama Islam dari Malaysia mengenai pelbagai perkara berkaitan Beijing yang wajar dan perlu mereka ketahui supaya kunjungan mereka menjadi lebih terancang dan bermakna.
Maka tentulah saya, Izan dan Fadzillah dengan bantuan Jasmine dan See Hua akan menulis buku itu berdasarkan pengalaman sebenar kami "meneroka" Beijing selama 10 hari. Bukan bagi tujuan "pelancongan beli-belah" tetapi "pelancongan budaya".
Misalnya, jika diperhatikan, ada tiga bentuk seni bina yang amat dominan di pusat kota. Seni bina tradisional yang kaya dengan budaya China masih dikekalkan antaranya menerusi bangunan di Tiananmen dan Kota Larangan.
Seni bina yang dinamakan "Sino-Sov" pula dapat dikenal pasti menerusi bangunan berbentuk kotak yang kebanyakannya dibina pada tahun 50-an, 60-an dan 70-an.
Bentuk ketiga adalah bangunan serba moden dan serba canggih yang pasti membuatkan kita kagum, khususnya selepas khusyuk dengan kehebatan KLCC selama ini.

Setiap objek di Beijing ada kisah tersendiri berkaitan sejarah, seni dan budaya.
Banyak tempat di Beijing berakhir dengan "men" yang bermakna "pintu Gerbang" (gate). Tempat-tempat itu sesungguhnya pernah menjadi pintu gerbang sepanjang Tembok Besar China suatu masa dahulu.
Kita juga akan bertemu banyak tempat yang berakhir dengan "cun" yang bermakna "kampong", "jie" yang bermakna "jalan" dan "hutong" yang bermakna "lorong".
Dengan bantuan dan panduan See Hua, kami berempat berjaya menimba pengalaman bermakna di beberapa cun, jie dan hutong; selain meneroka tempat-tempat lain yang biasa termasuk dalam pakej ditawarkan agensi pelancongan.
Bercakap mengenai nama, "Beijing" sendiri mempunyai kisah menarik yang hanya saya mula teroka secara mendalam selepas pulang ke Malaysia pada 21 Julai.
Nama "Beijing" bermakna "ibu negara di utara" sebagaimana "Nanjing" bermakna "ibu negara di selatan" kerana "jing" bermaksud "ibu Negara".
Nama lain bagi Beijing adalah Peking dan nama itu masih digunakan secara rasmi dalam pelbagai urusan. "Beijing" adalah sebutan Mandarin manakala "Peking" pula sebutan dialek Fujian.
Semasa pemerintahan Dinasti Jin, nama Zhongdu digunakan. Semasa Dinasti Yuan pula, Beijing dikenali sebagai Dadu bagi orang China dan Daidu bagi orang Mongol.
Nama Beijing juga pernah ditukar kepada Beiping oleh Maharaja Hongwu dari Dinasti Ming apabila ibu negara ditukar ke Nanjing. Hal ini kerana "jing" bermakna "ibu Negara" manakala "ping" bermakna "keamanan" — seperti pada nama Taiping, Perak.
Maharaja Yongle pula mengembalikan nama serta kedudukan Beijing sebagai ibu negara; sehingga pada 28 Jun 1928 apabila Kuomintang (KMT) melakukan perkara sama seperti Maharaja Hongwu.
Akhirnya, pada 1 Oktober 1949, Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Zedong membentuk Republik Rakyat China, sekali gus mengembalikan nama dan kedudukan Beijing sebagai ibu negara.
Dengan lebih 19,612,370 penduduk, kota metropolitan ini menjanjikan pelbagai pengalaman yang mampu membuka mata dan minda pengunjung dari jauh dan dekat.
Malah, tidak salah jika saya mengatakan bahawa setiap pokok dan batu di Beijing mempunyai kisah tersendiri berkaitan seni, budaya dan sejarah kota ini.
Saya percaya bahawa buku yang sedang ditulis berdasarkan pengalaman 10 hari kami meneroka Beijing dari "kosong" mampu memberi sekurang-kurangnya panduan berguna kepada pembaca.
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.