April 05, 2014
Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.
Apabila siri baru Cosmos yang diterbitkan oleh Seth MacFarlane di Fox Network di Amerika Syarikat, dan di National Geographic Channel, rakan serumah saya memberitahu saya tentang siri ini dan saya turut menontonnya.
Rancangan ini yang mula penyiaran pada 9 Mac lalu, dikemudi oleh seorang ahli astrofizik, Neil Degrasse Tyson, menarik minat saya terhadap sains.
Sejak kecil lagi, saya mengajukan soalan seperti "dari mana matahari ini datang, dari mana bulan ini datang, mengapa langit berwarna biru" dan bermacam-macam soalan yang datang kepada fikiran saya.
Semasa saya berusia 6 tahun, saya ternampak kilat dan terdengar bunyi guruh, daripada mana datangnya semua ini?
Apabila saya bertanya kepada mereka yang lebih tua, mereka cuma berkata, "Oh, Tuhan mahu memanah syaitan dengan petir."
Jawapan itu tidak memuaskan hati saya apabila suatu hari di bulan Ramadhan, petir dan guruh masih lagi berlaku walaupun saya diberitahu, pada bulan Ramadhan, semua syaitan dikurung dalam neraka untuk tidak mengganggu umat Islam berpuasa.
Sehinggalah saya belajar di sekolah tentang fenomena petir dan guruh ini, rupanya terdapat caj-caj elektrik dalam awan dan pertembungan caj dalam atom-atom di dalam awan itu membentuk petir, yang mengeluarkan cahaya yang terang, lalu guruh datang, kemudiannya dengan bunyi yang kuat.
Rupanya pada masa itu baru saya tahu bahawa kelajuan cahaya lebih laju daripada kelajuan bunyi, sebab itulah petir datang menyambar dahulu sebelum guruh berbunyi.
Namun, saya bukan seorang pelajar yang cemerlang. Di dalam akademik, saya merupakan pelajar yang sederhana. Saya merupakan seorang pelajar yang 'mediocre'.
Dalam bahasa mudah, tidak berapa pandai.
Saya ditempatkan di sekolah awam biasa, dan bukannya sekolah berasrama penuh yang mempunyai fasiliti yang terbaik untuk pembelajaran.
Semasa saya di sekolah, makmal sains hanya dibenarkan masuk sekali sekala, dan saya hanya memegang penunu Bunsen hanya sekali dalam hayat saya.
Jangankan hendak pegang bahan kimia yang tersimpan di kabinet makmal sains, hendak pegang buret atau tiub pun saya jarang dapat pegang.
Barang mahal katanya, diimport dari Jerman. Kalau pecah nanti sekolah rugi.
Namun itu bukan alasan untuk saya melupakan terus sains. Banyak persoalan-persoalan yang masih membelenggu saya. Kerana itu, saya bertanya.
Namun sains bukan memberi jawapan. Sains hanya memberi fakta.
Seperti rakan serumah saya pernah berkata, "Sains bukan memberi jawapan, ia hanya memberi fakta. Yang menimbulkan persoalan untuk kita - manusia mencari jawapan ialah falsafah."
Selepas saya menonton Cosmos edisi terbaru itu, saya terus mencari di Google tentang rancangan Cosmos yang diterbitkan pada tahun 1980, semasa itu dikemudi oleh seorang ahli astrofizik yang merupakan mentor kepada Tyson, iaitu Carl Sagan.
Sejak saya menonton rancangan itu, saya tidak putus-putus bertanya kepada diri sendiri, dan terus mencari jawapan. Dengan Reddit, Google dan Wikipedia.
Ramai yang suka memperlekehkan orang yang suka mencari fakta, dan memanggil orang-orang seperti saya dengan gelaran "Mat Google" atau "Mat Wikipedia", dan ini yang sebenarnya menyedihkan saya.
Saya sedih bukan kerana panggilan itu dianggap sebagai konotasi negatif, tetapi sebaliknya masyarakat kita kini memperlekehkan budaya mahu mencari jawapan kepada semua persoalan yang ada di dunia ini.
Saya bukan pelajar sains, walaupun saya merupakan bekas pelajar di Universiti Sains Malaysia.
Pada satu ketika, mendengar perkataan 'sains' sahaja sudah menakutkan pelajar 'mediocre' seperti saya.
Mungkin manifestasi ketakutan terhadap sains pada zaman ini menyebabkan masyarakat kini tidak lagi mahu bertanya, tidak lagi mahu mempersoalkan jawapan yang sedia ada.
Tetapi, sampai bila saya harus takut dengan sains? Sampai bilakah saya harus takut untuk bertanya?
Hari ini masyarakat kita ialah masyarakat yang takut untuk bertanya. Di dalam kelas, jarang ada pelajar yang sudi mengangkat tangan dan bertanya pada guru, "Cikgu, ini apa, itu apa".
Kerana pelajar takut dengan guru. Guru adalah simbol autoriti yang paling dekat dengan pelajar, selain ibu bapa.
Murid takut bertanya pada guru, anak takut bertanya kepada ibu bapa.
Rakyat takut bertanya kepada kerajaan.
Dan hari ini, ketakutan kita terhadap autoriti dibentuk sejak kecil lagi, kerana itu kita tidak mahu bertanya.
Apabila kita melontarkan persoalan, kita dianggap seperti mahu mempersoalkan autoriti, mahu memperkecilkan kekuasaan mereka, atau merendahkan martabat mereka.
Semasa saya menonton Cosmos siri terbaru yang dikemudi Tyson, beliau menceritakan tentang seorang ahli falsafah Itali bernama Giordano Bruno, yang menolak fahaman bahawa bumi di tengah cakerawala dan matahari dan bulan beredar.
Giordano Bruno melawan dan menolak dogma gereja pada zaman gelap, lalu dihukum mati dibakar.
Kerana Giordano, Molière bertanya, Spinoza berfikir dan James Joyce menghasilkan karya epiknya, Ulysses.
Giordano sanggup dihukum mati dibakar kerana keinginannya untuk mengetahui rahsia alam ini.
Namun, seperti yang rakan serumah saya berkata, sains bukanlah jawapan, ia adalah fakta.
Sama ada anda mahu percaya sains atau mahu menolaknya, ia tetap ada. Ia ada di sekeliling anda.
Sama ada anda mahu bertanya, atau anda mengabaikan sahaja, itu terpulang kepada anda, tapi, sampai bila nak belenggukan diri dengan kebodohan?
Bagi saya, manusia tidak pernah terlambat daripada mempelajari sesuatu. Proses daripada pembelajaran hasil berevolusi berjuta-juta tahun membentuk diri saya hari ini.
Tidak mengapa kalau saya tidak mendapat jawapan yang saya mahu pada hayat saya ini, tetapi sekurang-kurangnya dalam hayat ini, saya terus mencari jawapan - seperti Homo Erectus mengembara ke seluruh benua Afrika mencari kehidupan yang lebih selesa.
Seperti Homo Sapiens yang hari ini bersebaran di seluruh dunia mencari erti eksistensial diri.
Tidak mengapa jika kita tidak mendapat jawapan pada hayat kita - seperti Giordano Bruno, yang tidak sempat untuk mendapat jawapan yang dikehendakinya.
Tetapi, alangkah ruginya jika kita hanya membiarkan persoalan yang ada di minda - dengan mengabaikannya. – April 5, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.